BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, October 31, 2008

Bercakap Dengan Khalayak

Dari sehari ke sehari selepas saya mula menulis di dalam blog sendiri, saya belajar mengenali khalayak pembaca dengan lebih dekat. Setiap kali menulis, saya nampak dengan lebih jelas siapa yang mungkin akan membaca tulisan itu. Pengunjung yang digerakkan hatinya oleh Allah untuk meninggalkan komen-komen di shoutbox atau di ruang komen adalah antara khalayak pembacanya. Saya mendapat maklum balas secara langsung daripada mereka.

Lalu saya sedar tentang satu perkara. Saya sedar yang saya harus mendisiplinkan diri untuk menulis dengan lebih kerap kerana ada orang yang mungkin menunggu-nunggu entri terbaru daripada saya. Saya harus meluangkan masa untuk berkongsi ilmu dan tip-tip yang mungkin dapat dimanfaatkan oleh khalayak pembaca saya.

Dengan kata lain, saya harus ‘bercakap’ dengan khalayak pembaca saya itu sekerap mungkin.

Sudah tentu situasi ini mempunyai banyak kelebihan. Dengan mengenali khalayak pembaca dengan lebih dekat, penulis akan terbantu untuk menyampaikan sesuatu yang ditujukan khusus kepada khalayak pembaca itu.

Situasi ini samalah seperti seorang speaker yang bercakap di hadapan hadirin di dalam sebuah dewan. Sewaktu bercakap, dia akan memfokus kepada khalayak di hadapannya. Dia cuba meraikan khalayak itu dengan memperkatakan perkara-perkara yang mereka mungkin suka dan perlu dengar. Dia juga akan bercakap dengan cara yang mudah difahami oleh mereka.

Ini sesuai dengan pesan Rasulullah SAW agar kita berbicara dengan orang lain mengikut kadar akal orang itu. Oleh itu, amat penting bagi penulis untuk membayangkan siapa yang akan membaca tulisannya nanti. Jikalau dia menulis untuk bacaan remaja misalnya, dia harus membayangkan remaja bagaimana yang akan membacanya.

Jikalau khalayak pembaca itu adalah remaja terpelajar, cara penulis ‘bercakap’ dengan mereka tentu berbeza daripada cara bercakap dengan remaja kaki lepak umpamanya. Istilah dan ekspresi yang digunakan, cara mengolah ayat, contoh-contoh yang dibawa dan sebagainya dengan sendirinya akan disesuaikan dengan khalayak itu.

Wednesday, October 29, 2008

Belajar Berenang Di Dalam Air


“Bagaimana cara yang betul hendak belajar menulis?” Seorang rakan bertanyakan soalan ini kepada saya hampir 20 tahun lalu.

Saya ketika itu masih berkhidmat di BERNAMA. Rakan yang bertanya itu baru hendak berjinak-jinak dengan penulisan.

Saya pun menjawab, “Mulalah menulis dan terus menulis.”


Saya juga memberitahunya bahawa penulisan adalah antara perkara yang boleh dipelajari tanpa perlu diajar. Saya berpegang kepada kata-kata yang pernah saya baca tetapi saya lupa siapa penuturnya bahawa ada perkara-perkara di dalam kehidupan kita ini yang “cannot be teach, but can be learn.”


Oleh itu, saya meyakinkan rakan itu bahawa sekiranya dia hendak belajar menulis, dia perlu mula menulis dan terus menulis. Rakan itu memang cepat belajar. Bukan belajar daripada saya tetapi belajar daripada amalinya sendiri dengan melakukan aktiviti menulis yang berterusan. Dia sekarang adalah editor sebuah majalah yang berwibawa terbitan sebuah syarikat penerbitan yang besar.

Menulis ini adalah satu bentuk kemahiran (skill). Apabila dikatakan kemahiran, ia bukan soal susah atau senang, tetapi soal biasa atau tidak biasa saja.

Orang yang tidak pernah memandu kereta akan berasa susah hendak mula memandu. Orang yang tidak pernah berenang akan berasa susah untuk mula berenang. Bukan sebab memandu atau berenang itu susah, tetapi sebab tidak biasa melakukannya. Apabila aktiviti memandu atau aktiviti berenang itu sudah dilakukan berkali-kali, sudah menjadi biasa, ia tidak akan dirasakan susah lagi.

Makan menggunakan sepit juga dirasakan sangat susah bagi yang tidak biasa. Tetapi lihatlah orang yang sudah biasa makan menggunakan sepit. Dia melakukannya dengan begitu mudah dan bersahaja seperti dia makan dengan suapan tangan.

Menulis pun begitu juga. Ia perlu dibiasakan supaya senang dilakukan.

Satu perkara lagi, apabila dikatakan menulis itu satu kemahiran, cara belajar menulis yang paling berkesan adalah belajar sambil membuatnya.

“Keahlian berenang tidak perlu dipelajari dari buku tetapi dipraktikkan di dalam air,” ungkap Dr. ‘Aidh Abdullah al-Qarni, pengarang buku best-seller, La Tahzan (Jangan Bersedih).

Apabila saya mengambil kata-kata Dr. ‘Aidh ini dan mengaitkannya dengan penulisan, saya melihat banyak kebenarannya. Sewaktu saya memasuki BERNAMA pada penghujung 1984, saya berada dalam barisan tenaga-tenaga baru wartawan yang sebahagian besarnya tidak mempunyai asas langsung dalam penulisan.

Salah seorang daripada mereka belajar di Universiti Malaya bersama saya, tetapi mengambil jurusan sosiologi dan antropologi. Saya lihat dia dan kesemua rakan yang lain dapat mengembangkan kemahiran menulis apabila setiap hari berlatih menulis berita.

Memang kami ada diberi sedikit pendedahan kepada selok-belok penulisan berita di peringkat awal, tetapi kemahiran menulis berita yang sebenar hanya dikuasai apabila sudah berada di lapangan. Apabila setiap hari dilatih mencari dan menulis berita, masing-masing belajar walaupun tanpa perlu lagi diajar.

Kami juga belajar untuk membaiki mutu penulisan kami apabila setiap hari membaca semula hasil penulisan kami yang telah disunting oleh editor. Kami tahu apa yang betul dan apa yang salah. Apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Apa yang sesuai dijadikan intro dan apa yang tidak sesuai.

Proses ‘belajar sambil membuatnya’ ini dialami oleh ramai orang yang akhirnya dikenali sebagai penulis atau novelis. Mereka berjaya mengembangkan kemahiran menulis kerana telah melalui proses tersebut. Yang penting, mereka melakukannya dengan penuh minat. Tidak mungkin seseorang itu akan melakukan sesuatu secara berterusan sekiranya dia tidak berminat dengan apa yang dilakukannya.

Calon-calon penulis boleh mendapatkan panduan-panduan menulis daripada buku. Mereka juga boleh mempelajari tip-tip penulisan daripada bengkel. Bagaimanapun, semua panduan dan tip itu hanya berguna sebaik-baik sahaja mereka mula menulis. Sebagaimana panduan dan tip berenang hanya berguna apabila seseorang pelatih renang mula masuk ke dalam air untuk mempraktikkannya.

Saturday, October 25, 2008

Mencuba Menjadi 'Funny Writer'

Sebagai penulis, kadang-kadang kita dicabar menulis dalam bidang yang kita tidak biasa tulis. Satu ketika dulu saya ditawarkan peluang menulis skrip untuk sitkom (situation comedy atau komedi situasi). Ia merupakan siri sitkom yang baru hendak ditayangkan di tv.

Bolehkah saya menulis untuk sitkom?

Saya beritahu rakan penulis yang menawarkan peluang itu melalui syarikatnya, “Saya tidak ada pengalaman menulis sitkom. Saya bukannya ada bakat melawak.”

Rakan itu telah meyakinkan saya, “Awak tidak perlu menjadi ‘funny person’ untuk menjadi ‘funny writer’. Saya akan berikan bahan-bahan panduan dan contoh skrip, nanti awak boleh study.”

Saya berkata pada diri saya, apa salahnya saya mencuba. Lagipun, melalui sitkom ini, penulis skrip diberi ruang untuk menyelitkan nilai-nilai didikan berunsur Islam.

Beberapa hari kemudian saya berkunjung ke pejabat rakan saya itu di Bandar Baru Sg. Buloh. Rakan saya memberikan fail lipat yang mengandungi bahan-bahan rujukan berupa panduan dan tip untuk penulisan skrip sitkom.

Di dalam fail itu juga ada beberapa contoh skrip sitkom karya rakan saya itu dan contoh sinopsisnya. Di pejabatnya juga saya dipertontonkan dengan pilot project siri sitkom yang akan ditayangkan di RTM itu. Menarik. Ada nilai Islam yang berjaya diselitkan di situ dalam ‘dos’ yang wajar, di samping unsur humor yang bersahaja.

Balik ke rumah, saya baca bahan-bahan panduan dan contoh skrip yang diberikan. Saya membuat sedikit ‘homework’ sebelum benar-benar bersedia untuk menjadi ‘funny writer’.

Selain itu, saya juga mengkaji perwatakan setiap watak yang muncul di dalam sitkom berkenaan. Tidaklah susah kerana profil setiap watak sudah pun tersedia.

Sitkom itu mengisahkan kehidupan seorang bapa tunggal (lakonan Mustafa Kamal) yang membesarkan tiga orang anak, salah seorang daripadanya lakonan Cut Mutia. Mereka mempunyai seorang pembantu rumah. Rumah mereka juga sering didatangi seorang pemuda warga asing yang bekerja di sebuah kedai runcit berhampiran.

Dalam panel skrip sitkom itu ada beberapa orang penulis lain, termasuk Sha Hanim Ramli (panggilan mesranya Om) yang telah menghasilkan banyak skrip drama bersiri dan telemovie untuk pelbagai saluran tv.

Sebelum skrip ditulis, setiap penulis dalam panel skrip itu diminta mengajukan sinopsis. Hanya setelah sinopsis diluluskan barulah penulis diminta menyiapkan skripnya.

Skrip sitkom mempunya struktur cerita yang mudah. Dalam setiap episod, cerita dimulakan dengan ‘teaser’ atau pembuka tirai yang memaparkan munculnya satu-satu masalah. Selepas itu cerita diikuti dengan situasi bagaimana watak-watak berdepan dengan masalah yang muncul dan cuba mengatasinya.

Cara watak-watak itu mendepani masalah berkenaan malah menjadikan keadaan bertambah buruk. Ibarat tikus membaiki labu. Di sinilah unsur-unsur humor banyak diselitkan. Semakin banyak pendekatan salah yang dilakukan oleh watak-watak dalam mendepani masalah yang muncul, semakin terbuka ruang untuk diselitkan unsur humor.

Di hujung cerita, akhirnya masalah dapat juga diselesaikan atau diungkai. Cerita berakhir dengan keadaan kembali normal.

Ini formula dalam mencetuskan unsur humor dalam sitkom.

Satu lagi formula sitkom adalah, setiap episod mengandungi dua cerita yang berjalan serentak. Ada Cerita A, ada Cerita B. Dengan kata lain, ada cerita utama dan ada cerita sampingan. Plot dan sub-plot.

Begitulah formula cerita bagi sitkom. Jikalau penulis sudah arif dengan formula mudah ini, hanya kreativiti saja yang diperlukan untuk menggarap skrip sitkom yang baik. Ada unsur humor yang bersahaja, aksi lawaknya tidak berlebih-lebihan (mungkin sekadar membuat penonton tersenyum-senyum, bukannya ketawa terbahak-bahak), tidak ada kata-kata kotor dan dapat pula diselitkan nilai Islam.


Editor Menggesa Penulis

“Sedang sibuk program? Ada masa untuk diluangkan kepada Anis dalam sehari dua ini?”

Begitulah lebih kurang bunyi sms saya kepada rakan penulis yang menjadi kolumnis majalah Anis.

Selalu apabila kebetulan tiba hari Jumaat, saya biasa mulakan dengan ucapan seperti ini, “Assalamualaikum, moga dirahmati Allah dan diberkati serta dipermudah segala urusan pada hari Jumaat yang permai ini. Sibuk hari ini? Dapat beri sikit masa untuk Anis?”

Kadang-kadang apabila ‘deadline’ sudah terlalu suntuk, saya akan menghantar sms yang lebih kurang begini, “Bahtera Anis sudah hampir belayar, tidak lengkap rasanya pelayaran ini tanpa … (saya menyebut nama kolum yang diisi oleh rakan penulis berkenaan di dalam Anis).”


Ini merupakan sebahagian daripada tugas editor dalam penerbitan majalah, iaitu ‘menggesa penulis’.

Jadual penerbitan perlu dipatuhi demi kelangsungan penerbitan majalah dan maslahat khalayak pembaca. Dalam masa yang sama, editor harus cuba memahami kesibukan para kolumnis, lebih-lebih lagi jika seseorang kolumnis itu bukanlah penulis sepenuh masa. Dia menulis di celah kesibukan urusan seharian. Sesetengahnya sering terlibat dalam program-program motivasi di luar daerah, muncul di tv atau ke udara di radio.

Saya mahu memberi rangsangan kepada mereka untuk menyiapkan artikel dengan kadar seberapa segera yang boleh tanpa nada mendesak. Lagipun, sedari awal kami menawarkan mereka menjadi kolumnis, kami yang mahukan mereka menulis, bukan mereka yang beriya-iya menawarkan diri. Oleh itu, kamilah yang terlebih dahulu harus memahami situasi mereka.

Di kalangan kolumnis itu pula, mereka juga mengisi kolum di dalam majalah atas dasar persahabatan dengan editor. Hal ini lebih kuat mendorong mereka berkongsi ilmu dan bersama-sama menyampaikan didikan serta memberi motivasi kepada khalayak pembaca majalah berkenaan.

Sehingga kini pun, selepas lebih tiga bulan saya meninggalkan meja majalah, saya masih terus menjadi perantara antara meja majalah dengan beberapa orang kolumnis. Mereka juga selesa untuk terus berhubung dengan saya, bukan berhubung langsung dengan editor majalah.

Setiap bulan pihak editor majalah akan mengingatkan saya tentang ‘deadline’ dan saya pula akan menghubungi rakan-rakan penulis tersebut untuk menyampaikan hasrat editor. Apabila ‘deadline’ sudah suntuk, tugas saya adalah menyampaikan mesej ‘sense of urgency’ kepada para kolumnis itu.

Keadaannya agak berbeza, tapi serupa, apabila saya menjadi editor buku. Bezanya, kali ini desakan 'deadline' bukan dipengaruhi oleh tarikh tertentu setiap bulan, tapi oleh jadual penerbitan yang saya dan pengurus jabatan sendiri tetapkan.

Saya masih perlu bertegas dengan 'deadline' untuk memastikan jadual penerbitan lancar, tapi masih boleh memberi lampu hijau kepada penulis yang memohon keuzuran. Adakalanya penulis memohon dilanjutkan tempoh dia harus menyiapkan manuskripnya atas halangan tertentu. Jadual penerbitan akan diubah suai tapi ia tidak menyebabkan sesebuah buku itu tidak dapat diterbitkan langsung. Cuma jadual penerbitannya harus dianjakkan ke depan untuk memberi laluan kepada buku lain.

Memang sebahagian daripada tugas editor adalah menggesa penulis, tetapi editor juga harus tahu meletakkan dirinya di tempat penulis. Menggesa adalah wajar, tapi tidak seharusnya mendesak. Pendekatan yang berhikmah itu perlu.

Thursday, October 23, 2008

Dari Blog Ke Buku



Kira-kira dua tahun lalu saya diperkenalkan oleh sahabat dan guru penulisan saya, Pahrol Mohd Juoi, kepada laman blog saifulislam.com. Saya mula mengikuti blog Ustaz Hasrizal Abdul Jamil itu dan tertarik dengan gaya penulisan serta nilai isi (content value) tulisan-tulisan beliau.

Saya kemudian mencadangkan kepada editor Anis supaya menawarkan Ustaz Hasrizal menjadi kolumnis. Kolum beliau, Bekal Jalanan, bermula di dalam majalah Anis pada Mac 2007. Pada penghujung tahun lalu sewaktu Galeri Ilmu hendak membuat kemunculan sulung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang dijadualkan pada April 2008, saya dan beberapa orang rakan diamanahkan membina judul-judul buku yang akan diterbitkan. Waktu itu saya masih di bahagian majalah. Jabatan Buku pun belum ditubuhkan.

Saya segera teringat kepada blog Ustaz Hasrizal.


Saya cuba merisik Ustaz Hasrizal tentang kemungkinan artikel-artikelnya di dalam blog itu dibukukan. Waktu itu, awal Oktober 2007, saya belum mengenali beliau. Jadi, saya hanya merisik melalui emel. Saya beritahu beliau bahawa sudah tiba masanya tulisan-tulisan beliau di dalam blog itu dibukukan kerana sudah ratusan jumlahnya.

“Pengunjung-pengunjung saifulislam.com yang lewat berkunjung seperti saya, tidak sempat baca semua tulisan terdahulu,” beritahu saya.

Ustaz Hasrizal memberikan jawapan positif. Rupanya beliau juga ada hasrat membukukan tulisan-tulisannya. Katanya, pernah ada penerbit yang berminat membukukan tulisan-tulisan beliau tapi selepas itu tidak ada langkah susulan. Jadi, ia tenggelam begitu saja hinggalah saya mempelawa beliau menerbitkan bukunya bersama Galeri Ilmu.

Ustaz Hasrizal telah meminta pandangan para pengunjung saifulislam.com mengenai idea pembukuan blog tersebut. Ramai yang memberi komen yang baik. Atas saranan Ustaz Hasrizal, saya meneliti kesemua komen itu sepintas lalu. Antara komen-komen itu adalah tentang perlunya pengasingan buku mengikut genre, pemilihan entri berdasarkan artikel-artikel terpilih, menentukan pembaca sasaran, mengenal pasti konsep buku, konsep cover dan... tidak terkecuali, memastikan ia ditangani oleh ‘reputable publisher’. Saya fikir, semua pandangan itu wajar dipertimbangkan.

Bulan Syawal 1428, saya mula mengumpul artikel-artikel Ustaz Hasrizal dalam beberapa kategori.

Saya bermula dengan menyenaraikan kira-kira 200 tajul artikel dari blog beliau. Saya memikirkan hendak mengelompokkan artikel-artikel itu kepada bahagian-bahagian. Bermakna, dalam sebuah buku ada beberapa bahagian dan setiap bahagian mengandungi sejumlah artikel. Saya dapat pecahkan kepada sembilan bahagian. Ada bahagian Diari Kembara, ada bahagian Kekeluargaan dan sebagainya.

Setelah memikirkan soal halatuju buku-buku Galeri Ilmu yang bakal diterbitkan, saya fikir, elok jikalau saya memfokuskan pada dua buku dulu iaitu buku berbentuk kekeluargaan dan buku travelog/diari kembara. Melihat pada bilangan artikel yang ada untuk kedua-dua kategori itu, masing-masing sudah mencukupi untuk dijadikan sebuah buku. Oleh itu, kami boleh terbitkan sebuah buku untuk setiap kategori tersebut.

Ustaz Hasrizal bersetuju dengan idea itu. Beliau memberi cadangan awal kemungkinan moto blog beliau, Erti Hidup Pada Memberi, dapat dijadikan judul buku atau tagline buku beliau. Saya tertarik dengan cadangan itu tetapi saya sedar keputusan akhir masih tertakluk kepada perbincangan dengan rakan-rakan di Galeri Ilmu. Judul buku adalah antara perkara paling akhir perlu diputuskan.

Setelah membuat beberapa pertimbangan dan mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan, akhirnya satu keputusan dibuat untuk memberi tumpuan kepada sebuah buku saja. Buku berkenaan adalah buku berbentuk kekeluargaan dan pendidikan anak-anak. Halatuju ini selari dengan halatuju majalah ANIS dan boleh disasarkan kepada khalayak pembaca yang sama.

Pada awalnya saya menyarankan kepada Ustaz Hasrizal agar beliau sendiri memilih dan membuat kompilasi artikel-artikelnya. Saya fikir, cara itu akan lebih mudah. Tetapi tidak semudah itu rupanya. Beliau perlu dibantu dalam aspek-aspek teknikal ini. Lagipun, beliau tidak mempunyai simpanan khusus artikel-artikel yang telah beliau ‘posting’ ke blog. Ada tetapi tercerai-cerai dan banyak juga yang hilang. Lalu, saya pun memberitahu beliau bahawa saya sendiri yang akan memilih dan menyusun artikel-artikel beliau mengikut urutan yang saya fikir sesuai. Beliau ternyata gembira dan benar-benar berasa terbantu dengan cadangan itu.

Saya mencuri-curi masa di celah kesibukan kerja penerbitan majalah untuk menyalin-turun (secara ‘copy & paste’) artikel-artikel dalam kategori kekeluargaan dari blog saifulislam.com. Mula-mula saya salin hampir kesemuanya. Selepas itu, saya saring satu persatu dengan mengambil artikel-artikel yang sesuai dibukukan saja. Akhirnya yang tinggal adalah kira-kira 40 artikel.

Proses seterusnya adalah menyusun artikel-artikel itu mengikut urutan. Proses ini paling renyah kerana saya perlu melakukan ‘fast reading’ setiap artikel untuk menyusunnya mengikut urutan yang sesuai. Mana satu hendak dijadikan bab pertama, bab kedua dan seterusnya. Saya menyusunnya berpandukan judul-judul artikel yang saya telah baca secara sepintas lalu isi-isinya.

Proses menyusun ini melibatkan beberapa kali rombakan untuk mendapatkan susunan yang paling sesuai. Saya cuba menimbulkan kesan kepada pembaca bahawa dari bab ke bab, buku ini mempunyai kesinambungan. Biar pembaca dapat merasakan kesinambungan itu walaupun sebenarnya tulisan-tulisan itu ditulis tanpa mengikut urutan.

Di tempat-tempat tertentu dalam artikel ada digunakan perkataan ‘semalam’, ‘awal bulan ini’, ‘esok’ dan sebagainya. Ada juga ayat yang menyatakan bahawa sesebuah artikel itu adalah maklum balas kepada tulisan sebelumnya di blog. Ayat yang mengandungi perkataan atau konotasi seperti ini harus diubah suai atau ditiadakan supaya sesuai dengan format buku. Kita tidak mahu pembaca merasakan dia membaca kompilasi tulisan-tulisan dari blog, bukannya membaca buku. Saya juga ada memotong perkataan dan ayat di satu dua tempat atas pertimbangan tertentu.

Kini sebahagian besar artikel telah saya susun mengikut urutan. Hanya ada beberapa artikel lagi yang perlu disusun tetapi saya rasa kedudukannya mengikut urutan adalah terkemudian daripada artikel-artikel yang telah sedia disusun. Tugas berikutnya sudah nampak agak mudah. Lalu saya menyerahkan manuskrip itu kepada rakan editor, Puan Suraiya, untuk menyambutnya. Beliau melengkapkan dan memperkemaskan lagi susunan artikel-artikel di dalamnya.

“Boleh ustaz luangkan masa untuk datang ke Galeri Ilmu?” tanya saya kepada Ustaz Hasrizal apabila manuskrip buku yang sudah lengkap itu telah dikeluarkan dalam bentuk cetakan lazer.

Minggu berikutnya Ustaz Hasrizal datang. Itulah pertama kali beliau datang ke Galeri Ilmu iaitu di bangunan pejabat lama di Taman Tun Dr. Ismail, sebelum kami berpindah ke Kota Damansara. Itulah juga pertama kali saya bertemu dan berjabat tangan dengan beliau. Turut hadir dalam pertemuan itu adalah En. Roslan Kassim yang menerajui penerbitan majalah dan buku ketika itu (sebelum Jabatan Buku ditubuhkan).

Ustaz Hasrizal pulang membawa manuskrip buku sulungnya. Beliau menyemak semula tulisan-tulisan beliau itu dan mengeluarkan beberapa artikel yang kurang relevan. Beliau juga menulis mukadimah untuk buku yang mengandungi 36 bab itu.

Beberapa hari sebelum Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada April 2008, Ustaz Hasrizal telah mewar-warkan kemunculan bukunya di saifulislam.com. Ramai pengunjung blog beliau yang ternanti-nanti. Mereka tidak sabar-sabar untuk memiliki buku itu.

Akhirnya, buku Aku Terima Nikahnya – judul yang tidak pernah terlintas di fikiran saya dan rakan editor hinggalah di saat akhir buku hendak dicetak – menemui pembaca pada minggu kedua pesta buku berlangsung. Judul itu memang cadangan daripada saya, tetapi saya dan beberapa rakan editor juga mencadangkan beberapa judul lain. Akhirnya, judul itu yang dipilih, dengan saya tambahkan ‘blurb’. Pengarah Rekabentuk Hj. Badrulhisham sendiri menghasilkan rekabentuk kulitnya yang nampak santai dan lembut.

Ustaz Hasrizal telah saya maklumkan tentang judul muktamad itu.

“Walaupun ‘Erti Hidup Pada Memberi’ tidak dijadikan judul buku, ‘blurb’ pada kulit buku sudah membawa pengertian itu,” beritahu saya.

Beliau menerimanya dengan lapang dada. Memang mudah berurusan dengan beliau.

Pengunjung gerai Galeri Ilmu di pesta buku membeli buku Aku Terima Nikahnya seperti membeli goreng pisang panas. Memang buku itu masih ‘panas’. Siap saja dicetak, ia terus dibawa ke gerai pesta buku. Saya lihat ramai yang membeli empat lima naskhah sekaligus. Dua ribu naskhah habis dijual dalam tempoh seminggu lebih. (Hingga saat saya menulis ini, buku itu telah diulang cetak sebanyak empat kali.) Ini di luar jangkaan kami dan di luar jangkaan Ustaz Hasrizal sendiri.

Alhamdulillah, jalinan komunikasi serta koordinasi yang baik antara editor dan penulis mampu memberi hasil yang baik dan mudah-mudahan diredhai.

Tuesday, October 21, 2008

Menangani Titik-Bengik Menerbitkan Majalah

“Dengan kapasiti biasa, berapa tenaga yang diperlukan untuk menerbitkan sebuah majalah?” tanya seorang rakan penulis melalui sistem pesanan ringkas.

Setelah bermenung sejenak, saya pun membalas sms rakan tadi. Berdasarkan pengalaman saya bersama majalah ANIS, untuk menerbitkan sebuah majalah, tenaga asas yang diperlukan adalah seorang editor, seorang penolong editor merangkap penyelaras, seorang penyunting merangkap pembaca pruf, dan seorang wartawan merangkap jurufoto.
Dengan empat orang tenaga kerja ini, kerja menerbitkan sebuah majalah agak selesa.
Berdasarkan pengalaman saya juga, kerja penerbitan majalah tidak boleh dicampur-aduk dengan kerja penerbitan buku. Oleh itu jikalau sebuah penerbit buku misalnya, hendak menerbitkan majalah, penerbit ini hendaklah membentuk tim editorial yang baru. Tim editorial buku tidak boleh diusik.

Kerja menerbitkan majalah juga mesti ditangani oleh tenaga-tenaga sepenuh masa. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan tugas-tugas penting seperti merancang isi, mengadakan sesi ‘brainstorming’, mengagihkan tugasan kepada penulis dan wartawan, ‘mengejar’ kolumnis dan responden, menyaring kemasukan bahan (gatekeeping), menyemak bahan, menyelaras bahan dan membina ‘jambatan’ dengan bahagian rekaletak. Ini belum dikira sesi post-mortem yang perlu dilakukan apabila majalah siap diterbitkan dan diedarkan. Semua rutin ini memerlukan kerja secara kolektif untuk ditangani dengan berkesan.

Jika tugas-tugas rutin ini tidak dapat ditangani dengan konsisten oleh bilangan tenaga yang mencukupi iaitu sekurang-kurangnya tiga orang tenaga editorial sepenuh masa, ia pasti menjejaskan jadual penerbitan.

Menangani sebuah buku setebal 200 halaman memang meletihkan. Namun, menangani sebuah majalah setebal 100 halaman dengan puluhan ruangan (kolum) yang mempunyai gaya penulisan dan konsep yang berbeza-beza, jauh lebih meletihkan lagi.

Ada seorang rakan yang melakukan kerja penerbitan untuk sebuah buletin agensi kerajaan negeri setebal 24 halaman yang terbit empat kali setahun. Untuk kerja penerbitan yang ringan seperti itu, dia mampu melakukan pelbagai kerja (multi tasking) dengan hanya dibantu oleh isterinya.

Bagaimanapun, keadaannya berbeza dalam menerbitkan sebuah majalah bulanan setebal lebih 96 halaman. Saya tidak fikir seorang tenaga sepenuh masa dan seorang tenaga separuh masa misalnya, sudah memadai bagi menerbitkan majalah seumpama ini. Walaupun andainya 80-90 peratus bahan di dalam majalah itu diisi oleh penulis luar atau kolumnis, masih banyak kerja rutin yang tidak akan ‘menang tangan’ untuk disempurnakan oleh tenaga yang sangat minimum itu. Kalaupun boleh, hasilnya tidak akan sempurna.

Oleh itu, bilangan tenaga kerja yang terlalu minimum tidak memadai untuk penerbitan majalah yang ‘nature’ kerjanya mempunyai banyak titik-bengik. Titik-bengik itu pula mungkin berbeza-beza dari bulan ke bulan penerbitannya. Bulan ini masalahnya lain, bulan berikutnya lain pula.

Sekadar contoh, apabila beberapa orang kolumnis gagal memenuhi ‘deadline’ untuk satu-satu keluaran, masing-masing dengan sebab tersendiri, editor terpaksa membongkar ‘bank artikel’ untuk mencari bahan gantian. Atau, editor sendiri yang harus mengisi kekosongan bahan itu. Mungkin pula ada artikel sumbangan kolumnis yang kurang sesuai untuk disiarkan dan terpaksa juga dicarikan gantinya. Agihan mukasurat juga memerlukan ubah suai pada saat akhir untuk disesuaikan dengan panjang pendek artikel-artikel yang sampai di meja editor. Gambar yang sesuai untuk sesebuah artikel juga mungkin sukar diperolehi. Ini belum dikira masalah mencari tajuk yang sesuai untuk setiap artikel dan tajuk-tajuk ‘blurb’ pada kulit majalah.

Hal-hal seumpama ini merupakan antara titik-bengik yang harus ditangani oleh tenaga editorial majalah. Ia merupakan sebahagian daripada ‘nature’ kerja penerbitan majalah yang perlu ditangani oleh tim tenaga kerja yang komited yang bekerja sepenuh masa, bukan separuh masa.

Siapa Pembaca Peribadi Anda

Isteri saya Fauziah seorang surirumah sepenuh masa. Dia ada juga mengambil upah menjahit pakaian di rumah di celah-celah kesibukannya mengurus rumah tangga dan anak-anak. Hampir semua kawan-kawannya tahu perkara ini. Apa yang mereka tidak ketahui adalah tentang tugas tidak rasminya sebagai ‘pembaca peribadi’ saya.

Pembaca peribadi?

Sewaktu saya masih giat mengisi ruangan Fokus Utama untuk majalah ANIS, seringkali saya akan memberikan artikel yang saya telah siapkan kepada isteri saya untuk dibaca. Saya mahu dia menjadi pembaca pertama artikel tersebut.

Selepas dia selesai membacanya, dia selalunya akan memberikan maklum balas dan komen yang sangat membina. Maklum balas yang saya nanti-nantikan adalah kesan selepas dia membaca sesebuah artikel itu. Apa yang dia rasakan sebagai pembaca biasa, bukan sebagai editor.

Seingat saya, pernah beberapa kali saya merombak semula keseluruhan tulisan saya selepas mendengar maklum balas daripada isteri saya atau orang lain yang saya berikan tulisan saya untuk dibaca. Paling kurang, saya akan merombak intro, membuang bahagian tertentu atau membuat ubah suai serta tambahan di sana sini.

Saya rasa ada kelebihannya jika seseorang penulis mempunyai ‘pembaca peribadi’ yang dia boleh tanyakan pandangan tentang hasil-hasil tulisannya. ‘Pembaca peribadi’ ini adalah orang pertama yang akan membaca tulisan kita sebelum tulisan itu diserahkan kepada editor. Dengan cara ini, penulis dapat mengelakkan daripada sindrom cepat berpuas hati dengan hasil tulisannya tanpa memikirkan respons daripada pembaca. Penulis dapat mengenal pasti kesan atau impak tulisannya ke atas para pembaca kelak. Penulis akan sempat membuat ubah suai malah membuat rombakan jika perlu, sebelum tulisan itu diserahkan kepada editor.

Saya tidak begitu pasti dengan penulis lain, tetapi setahu saya Zabidi Mohamed adalah antara penulis yang akan memberikan manuskrip bukunya kepada orang lain untuk dibaca dan diberi komen sebelum manuskrip itu diserahkan kepada editor. Saya sendiri adalah antara beberapa orang rakan yang diberikan manuskrip salah sebuah bukunya untuk dibaca sebelum disunting.

Bagaimana dengan anda? Selalukah anda memberikan tulisan anda kepada orang tertentu selain daripada editor untuk dibaca? Apa pun, pastikan ‘pembaca peribadi’ anda itu dapat memberikan maklum balas yang kritis dan berterus-terang. Manakala anda sendiri bersedia mendengar dan menerimanya dengan hati terbuka serta bersedia pula untuk mengubah suai tulisan anda berdasarkan maklum balas yang mereka beri.

Saturday, October 18, 2008

Menyuntikkan Roh Islam Di Dalam Novel

Novel Islami adalah novel yang mempunyai roh atau nafas Islam. Apabila membaca Ayat-ayat Cinta misalnya, Islam terasa ‘hidup’ di dalam novel itu, bukan sekadar diperkatakan atau ditempelkan. Demikian juga apabila membaca karya-karya Buya Hamka.

Berikut adalah apa yang penulis boleh lakukan supaya novelnya ada roh Islam:

1. Mencipta watak-watak yang mempunyai sifat-sifat mulia.
Watak ciptaan ini adalah watak yang pembaca akan suka dan terangsang untuk salin pada dirinya. Dengan membaca kisah orang sabar, mudah-mudahan pembaca pun boleh sabar. Begitu juga apabila membaca kisah orang yang redha, orang yang bertaubat, yakin, pemaaf, berani, tawakal, sangat penyayang, sangat cinta kepada al-Quran, pembaca dapat dirangsang untuk menyalin sifat-sifat itu pada dirinya. Ini tidak bermakna watak itu semestinya sempurna.

Mungkin ada watak yang mempunyai banyak sifat mulia tapi sekali-sekala alpa juga. Ada pula watak yang sentiasa alpa tetapi sekali-sekala melakukan perkara mulia. Ada pula watak yang asalnya buruk dan sangat alpa tapi dikembangkan menjadi watak yang suka melakukan perkara mulia.

2. Mencipta watak yang suka buat amal soleh atau menimbulkan adegan-adegan amal soleh
Amal-amal soleh yang lebih menyentuh adalah amal-amal yang dianggap kecil tapi tinggi di sisi Allah. Sekadar contoh, dicipta watak yang setiap kali membayar tol dia akan bayarkan untuk kenderaan di belakangnya. Ada watak yang setiap kali dapat gaji, dia akan cium duit gaji sebagai tanda syukur dan asingkan terus bahagian untuk sedekah. Ada pula watak yang suka memudahkan urusan orang lain. Apabila membaca tentang orang beramal soleh, pembaca akan terangsang untuk beramal soleh.

3. Mencipta watak antagonis dengan 'dos' perlakuan buruk yang wajar
Watak ini fungsinya untuk menampakkan kepada pembaca akan hinanya sesuatu perbuatan, sifat dan akhlak buruk. Bagaimanapun, perlukisan watak ini tidak berlebih-lebihan, iaitu sekadar untuk membawa fungsi tadi. Apabila membaca kisah orang jahat, orang yang buat mungkar dan orang yang rendah akhlak yang dilukiskan dengan ‘dos’ yang wajar itu, pembaca akan rasa jijik dan terangsang untuk menjauhi perbuatan dan sifat buruk itu. Tetapi jika cara melukiskan kejahatan/keburukan itu melebihi 'dos', seperti dalam banyak novel Barat, ia boleh merangsang pembaca seronok atau jadi lali dengan perkara buruk.

4. Melukiskan kejadian alam atau kejadian makhluk bernyawa dengan mengaitkannya dengan Allah
Misalnya ketika melukiskan embun di hujung daun maka ia dikaitkan dengan waktu pagi – pagi yang Allah jadikan sempadan antara malam dan siang dengan maksud untuk memudahkan kehidupan manusia. Apabila membaca gambaran tentang kejadian ciptaan Allah sama ada kejadian alam atau kejadian makhluk bernyawa, mudah-mudahan pembaca akan rasa di hatinya betapa hebatnya Allah, luar biasanya kekuasaan Allah, bijaksananya Allah, sempurnanya Allah, maha kayanya Allah, adilnya Allah, hingga terangsang untuk menyucikan dan membesarkan Allah.

5. Menggambarkan Islam yang indah
Islam yang indah itu digambarkan sedemikian rupa hingga keindahan itu dapat dipindahkan ke hati pembaca. Misalnya, keindahan adab melayan tetamu, syariat berpakaian yang dikaitkan dengan soal aurat, keindahan cara bergaul, keindahan bersifat pemaaf, keindahan bersifat penyayang, keindahan taat, keindahan solat, keindahan bersilaturrahim, keindahan adab berjiran, keindahan peraturan berniaga dan sebagainya. Sudah tentu keindahan Islam digambarkan dalam aspek-aspek yang dirasakan sesuai dengan perkembangan plot dan perkembangan watak. Pembaca akan terasa diajak untuk turut merasai keindahan itu – keindahan syariat, keindahan adab dan keindahan akhlak Islam – secara yang begitu bersahaja.

6. Menerapkan adab-adab Islam melalui watak-watak novelnya
Misalnya melalui watak seorang anak yang mungkin nakal tapi sangat baik adabnya dengan ibunya – dia akan berdiri apabila ibunya yang sedang berdiri mengajak bercakap, dia akan duduk di lantai kalau ibunya duduk di kerusi, dia akan serta-merta merendahkan suara apabila datang ibunya. Atau, melalui watak remaja perempuan yang bersifat pemalu – tidak ketawa terbahak-bahak, tahu menjaga nada suara di depan lelaki, sangat tertib waktu makan. Apabila membaca tentang watak yang begitu kuat menjaga adab, pembaca akan terangsang untuk menyucikan Islam dan mengamalkannya.

7. Menulis dialog-dialog yang sopan dan manis di dalam novelnya
Hatta dalam adegan bertegang leher antara watak-watak sekalipun, penulis wajar mengekalkan dialog yang masih dikira sopan, bukan dialog yang kasar dan membawa konotasi rendah akhlak. Dalam novel-novel Hamka, kita tidak akan temui dialog-dialog yang membawa konotasi rendah akhlak. Saya sangat terkesan apabila membaca kata-kata sopan melalui dialog watak-watak dalam mana-mana karya beliau. Terasa indahnya menuturkan kata-kata yang sopan itu.

8. Menyelitkan adegan berdoa dan bermunajat yang boleh menyentuh emosi pembaca
Doa itu mungkin doa satu watak yang dipohonkan untuk kebaikan satu watak yang lain. Misalnya, doa seorang rakan untuk rakannya, doa suami untuk isterinya, doa majikan untuk kakitangannya, doa ahli perniagaan kepada rakan niaganya. Pembaca akan terasa indahnya hubungan hamba dengan Tuhan melalui doa, tersentuh dengan kandungan doa itu dan ingatannya terus kepada Allah yang dihadapkan doa itu.

Untuk menyuntikkan roh atau nafas Islam itu, ia lebih daripada sekadar soal shariah compliant. Bukan sekadar boleh atau tidak boleh di sudut syariat. Penulis mestilah sudah menghayati Islam di dalam kehidupannya sendiri. Ini akan membantunya memindahkan ke dalam karyanya apa yang dia sendiri sudah jadikan nafas kehidupannya. Penulis akan dapat berkarya secara bersahaja (natural) tanpa memaksa diri untuk ‘menempelkan’ Islam ke dalam karyanya.

Friday, October 17, 2008

Mengubah Suai ‘Rumah’ Yang Sudah Siap

Mana-mana calon novelis yang hendak menulis novel untuk Galeri Ilmu dimestikan mengajukan sinopsis novelnya terlebih dahulu. (Nota: Untuk mengetahui sebabnya, sila klik di sini.) Sinopsis adalah rangka kasar atau ‘outline’ bagi jalan cerita novel yang hendak ditulis.

Bagaimanapun, ada juga saya menerima manuskrip novel yang sudah siap. Oleh kerana statusnya sudah siap, manuskrip ini tidak boleh diusik berlebih-lebih. Maklumlah ibarat rumah yang sudah siap, kerja menukar material pintu, menukar kedudukan tingkap, menukar saiz bilik tidur, menukar lantai jubin dan sebagainya bukanlah mudah. Tetapi langkah itu perlu supaya rumah itu benar-benar sesuai untuk diduduki dan memenuhi kriteria yang dikehendaki oleh tuan rumah.

Apabila editor mencadangkan beberapa ubah suai pada manuskrip yang sudah siap, penulis akan berasa kepayahan melainkan jikalau penulis itu memang bersedia untuk membuat ubah suai. Malah sanggup pula melakukan ubah suai besar-besaran jikalau perlu, selepas mendengar cadangan balas editor.

Berdasarkan pengalaman membaca dua manuskrip novel yang sudah siap yang penulisnya tidak mengajukan sinopsis terlebih dahulu, saya telah mengenal pasti beberapa ‘nilai tambah’ yang tercicir. Nilai tambah itu berupa elemen-elemen tambahan yang dapat menguatkan dan meningkatkan nilai komersil sesebuah karya itu.

Dua manuskrip novel yang saya terima itu mempunyai kekuatan tersendiri. Kedua-duanya mempunyai aliran cerita yang kemas cantik. Kreativiti penulis-penulisnya sangat tajam dalam melukiskan suasana dan watak serta membina jalan cerita. Apabila elemen-elemen tambahan yang saya kenal pasti ini dapat dimasukkan, saya rasa novel-novel itu akan lebih mantap. Nilai komersilnya dapat ditingkatkan. Elemen-elemen tambahan itu adalah:

1. Memanfaatkan fungsi dialog
Apabila orang membaca novel, orang suka membaca dialog. Pembaca, lebih-lebih lagi yang remaja, sukakan cerita yang banyak dialog. Dialog turut membawa fungsi bercerita. Pembaca mengikuti cerita dan mendapat maklumat melalui dialog. Dalam surah Yusuf, surah yang pada ayat ketiganya didahului dengan kalimah bermaksud “Kami menceritakan kepadamu kisah yang paling baik…”, 86 peratus daripada 111 ayat adalah ayat dialog. Ini berdasarkan kajian sifuPTS Puan Ainon Mohd.

Saya telah mengenal pasti banyak tempat dalam kedua-dua novel yang saya jadikan kes kajian ini, yang akan menjadi lebih menarik jikalau diselitkan dialog, atau dipindahkan kepada bentuk dialog.

Contoh berikut adalah ayat naratif tanpa dialog:
Sempat juga Abang Azahar mengingatkan Mimi supaya berhati-hati takut terkotor lengan baju sekolahnya. Mimi sememangnya sudah lebih berhati-hati dengan kerjanya, ini bukan pertama kali Mimi melakukan kerja sebegini.

Apabila diselitkan dialog, ayat tadi mungkin jadi begini:
Sempat juga Abang Azahar mengingatkan, "Hati-hati Mimi, nanti terkotor pula lengan baju sekolah Mimi."
Mimi hanya tersenyum.
"Susah hendak dihilangkan bekasnya kalau terkena sambal," kata Abang Azahar lagi.
"Iya, Mimi hati-hatilah ini," balas Mimi, masih dengan senyum. Ini bukan pertama kali Mimi melakukan kerja sebegini.

Kehadiran dialog menjadikan halaman demi halaman lebih mudah dan laju dibaca. Kadar 'readability'nya lebih tinggi. Ayat naratif semata-mata menjadikan sesuatu halaman novel agak lambat/perlahan dibaca.

2. Membanyakkan pendekatan ‘showing’
Pendekatan ‘showing’ (menunjukkan) lebih ‘hidup’ dan menarik daripada pendekatan ‘telling’ (memberitahu). Novel perlu membanyakkan pendekatan ‘showing’ ini. Melalui pendekatan ‘showing’, kita menggambarkan insiden yang berlaku, aksi watak dan juga dialog yang dituturkan oleh watak, bukan sekadar memberitahu pembaca apa yang berlaku seperti dalam pendekatan ‘telling’.

Contoh berikut adalah ayat naratif yang menggunakan pendekatan TELLING – sekadar memberitahu pembaca apa yang berlaku:
Akhirnya Tanamera telah diseksa oleh para algojo di dalam istana.
Dalam ayat di atas, penulis hanya memberitahu tanpa cuba menggambarkan apa yang berlaku. Apabila penulis mengubahnya kepada pendekatan SHOWING dengan dimasukkan dialog, ayat tadi mungkin jadi begini:
Para algojo istana berada di kiri kanan Tanamera. Mereka memegang Tanamera dengan kasar. Tidak ada lagi penghormatan kepada seorang wazir. Mereka membawanya ke satu ruang dan mengikatnya.
Tanamera tidak langsung melawan. Bukan kerana tenaga tuanya telah lemah tetapi kerana hatinya telah diserahkan sepenuhnya kepada Tuhan.
Seorang algojo bertubuh sasa kemudian menghayunkan rotan ke batang tubuh Tanamera. Sekali, dua kali, tiga kali... berkali-kali.
“Bagaimana rasanya, Tanamera? Siapa yang akan menyelamatkan kamu? Apakah Tuhanmu akan datang menyelamatkan kamu dari seksaanku?” soal Tutankamen dengan sinis.
Puas dirotan, Tanamera ditinggalkan sendirian.
Keesokannya dia masih disitu, tidak diberikan air, tidak diberikan makan.
Tutankamen datang mendesaknya, “Tinggalkan kepercayaan karutmu, Tanamera!Tinggalkan tuhanmu, nescaya aku akan menyelamatkanmu.”
Tanamera tidak menjawab, tapi mulutnya kumat-kamit menyebut sesuatu. Dia tidak putus-putus menyeru nama Allah.
Pendekatan ‘showing’ memberi lebih ruang berimaginasi kepada penulis. Pendekatan ini juga menjadikan manuskrip novel lebih tebal.

3. Memasukkan kesan ‘Oh’
Salah satu kekuatan pada karya fiksyen adalah adanya unsur ‘unpredictable’. Apa yang pembaca ramal akan berlaku, berlaku pula sebaliknya iaitu perkara yang tidak dijangka sama sekali. Unsur ini boleh cuba dimasukkan di mana-mana tempat yang sesuai. Apabila ada unsur ini, pembaca akan menerima kejutan dan menimbulkan kesan, "Oh...", bukan sekadar kesan, "Dah agak dah". Ini mengelakkan penceritaan daripada menjadi mendatar.

4. Menyelitkan nilai Islam
Apabila penulis mahu melahirkan novel berunsur Islam, aspek yang amat penting adalah menyelitkan nilai Islam atau nilai didikan yang dapat mengajak pembaca secara tidak langsung atau secara halus kepada membesarkan Allah dan syariat Allah.

Seperti doktor menyuntik ubat kepada pesakit, penulis boleh menyuntikkan nilai Islam ini mengikut ‘dos’ yang dirasakan wajar. Contohnya:

a) Wujudkan konflik yang membuatkan satu-satu watak itu rasa amat dekat dengan Tuhan. Misalnya, digambarkan satu watak bangun solat malam waktu alami kesedihan. Boleh dimasukkan elemen doa sebagai penghubung hamba dengan Tuhan, sebagai pengakuan lemahnya si hamba dan sebagai mekanisme membina kekuatan diri dengan memohon kepada Yang Maha Perkasa. (Drama bersiri Mutiara Hati banyak memainkan elemen doa ini termasuklah melalui watak sekecil Nabila.)

b) Atas tujuan mendidik, elok juga di tempat-tempat tertentu penulis meletakkan satu-satu watak dalam situasi 'helplessness' hingga waktu itu dia benar-benar rasa dia hanya perlukan Tuhan saja. Dalam novel-novel yang tidak Islamik, situasi 'helplessness' itu hanya mengundang simpati pembaca semata-mata. Novel Islamik harus dapat membangunkan jiwa pembaca melalui contoh pergantungan yang kuat dengan Tuhan. Biar pembaca dapat rasakan, di hujung ikhtiar adanya pertolongan Allah bagi hamba yang mahu mengadu dan memohon pada-Nya.

c) Selitkan elemen mendidik hati, misalnya melalui satu watak yang pada ketika-ketikanya digambarkan agak panas baran. Di situ boleh dimasukkan monolog misalnya, di mana watak itu berusaha memujuk hatinya supaya sabar dan tidak sakit hati. Membaca cerita orang yang sabar (atau berusaha untuk sabar) dapat mendorong pembaca untuk cuba menjadi penyabar.

d) Masukkan unsur 'shariah-compliant'. Rasakan kepada pembaca pentingnya membesarkan syariat Allah. Misalnya, pembaca boleh diajak secara bersahaja agar memahami bahawa berpegangan tangan lelaki-perempuan yang bukan mahram itu salah, begitu juga tidak menutup aurat. Dalam novel remaja Aku Mahu Popular (Ain Maisarah, PTS), watak dua kawan baik digambarkan tidak bertudung dari awal cerita tetapi ‘ditudungkan’ di hujung cerita. Penulis mencipta insiden-insiden – ada yang lucu – yang menjadi penyebab mereka akhirnya mahu bertudung.

e) Selitkan juga kefahaman tentang adab-adab Islam. Misalnya jangan biarkan ada ayat yang begini:
Burger tadi tidak sempat tiba di rumah, dia makan semasa sedang sibuk berjalan dan berfikir pada masa yang sama.

Tetapi berilah sedikit ‘dos’ nilai adab Islam dengan ditambah ayat seumpama ini:
Tidak terfikir pula olehnya bahawa makan sambil berjalan itu bukan satu kebiasaan yang baik, malah tidak sesuai dengan adab Islam.

Nilai-nilai Islam ini jika dapat disuntikkan secara bersahaja dengan ‘dos’ yang wajar, akan memberi nilai tambah kepada sesebuah karya untuk bacaan pembaca Islam. Karya itu nanti akan dapat menjadi ‘harta’ bukan saja dalam bentuk royalti tapi juga amal jariah.
Sesungguhnya mengubah suai manuskrip yang sudah siap banyak memerlukan kerjasama penulis.

Wednesday, October 15, 2008

Menulis Novel Adalah Mengadaptasi Kisah

Ada seorang ibu kepada beberapa orang anak remaja dan merupakan kakak sulung dalam keluarga. Umurnya sudah 40-an. Beberapa tahun lalu, dia menempuh satu pengalaman yang sangat menarik. Dia telah mengambil tanggungjawab meminang calon isteri untuk ayahnya. Waktu itu dia telah kematian ibu sejak beberapa lama. Sebelum ibunya meninggal dunia, ayahnya begitu setia menjaga si isteri yang sakit bertahun-tahun tanpa terfikir untuk berkahwin lain.

Sewaktu mengendalikan satu taklimat penulisan novel remaja, saya bertanyakan satu soalan tutorial kepada peserta-peserta yang ada kaitan dengan kisah wanita tadi: “Bolehkah kisah wanita yang berumur 40-an ini diadaptasi menjadi sebuah novel remaja?” Ramai yang mengatakan “Boleh” sambil beberapa peserta memberikan sebabnya.

Dalam taklimat sebelumnya, saya telah menerangkan bahawa menulis novel adalah mengadaptasi kisah-kisah kehidupan. Kisah realiti diadaptasi kepada kisah rekaan (fiksyen). Diambil dan dibuat pindaan serta diubah suai mengikut suka penulis.

Dalam setiap kisah kehidupan yang kita alami, kita dengar, kita baca dan kita tonton, di situ ada watak, jalan cerita (plot) dan konflik yang boleh diadaptasi kepada kisah rekaan. Kita cuma perlu meminda dan mengubah suai watak, jalan cerita dan konflik itu.

Watak, jalan cerita dan konflik itu adalah dari kisah kita sendiri, kisah orang yang dekat dengan kita, kisah jiran kita, kita yang kita dengar daripada kenalan kita, serta kisah yang kita baca, dengar dan tonton. Kita cuma perlu meminda dan mengubah suainya supaya kisah itu menjadi lebih menarik untuk dibaca.

Untuk mengadaptasi kisah benar itu kepada kisah rekaan dalam novel remaja, dia hanya perlu meminda dan mengubah suai wataknya sendiri. Berbalik kepada kisah wanita 40-an yang meminangkan calon isteri untuk ayahnya tadi, penulis novel remaja hanya perlu membayangkan watak yang disuruh meminang calon isteri untuk ayahnya itu adalah seorang remaja berusia 16 atau 17 tahun, yang masih bersekolah.

Kemudian wujudkan konflik. Misalnya ada di kalangan adik-adiknya tidak setuju dengan perkahwinan ayah mereka. Mungkin dalam beberapa orang adik-beradik, ada dua orang tidak bersetuju, masing-masing dengan alasan yang berbeza. Lalu berlaku konflik di kalangan adik-beradik dan boleh digambarkan bagaimana si kakak sulung menghadapi cabaran menyelesaikannya. Si kakak beriya-iya mahu memastikan rancangan meminang calon isteri untuk ayahnya itu berjalan lancar.

Bermakna, plot kisah itu perlu dipinda dan diubah suai daripada plot cerita asal, supaya penuh insiden dan adegan yang lebih menarik untuk dibaca. Di situ juga boleh diselitkan adegan-adegan lucu.

Novel Julia yang ditulis oleh Abu Hassan Morad berkisar pada satu watak yang diadaptasi dari watak benar anak kepada Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad. Dalam novel itu, watak Julia mengambil alih pengurusan syarikat arwah ayahnya apabila ayahnya meninggal dunia dalam satu kemalangan.

Apabila menulis novel, penulis juga boleh meminda dan mengubah suai latar tempat dan latar masa sesebuah kisah yang diambil untuk diadaptasi. Habiburrahman el-Shirazy mengadaptasi kisah Zulaikha dan Nabi Yusuf untuk menambah menarik perkembangan watak, plot dan konflik dalam novel Ayat-ayat Cintanya. Latar zaman Nabi Yusuf diadaptasi kepada latar moden walaupun latar tempatnya masih di Mesir.

Kita juga boleh menghasilkan sebuah novel remaja dengan latar cerita yang mempunyai watak, jalan cerita dan konflik yang seakan-akan kisah Zulaikha dan Nabi Yusuf itu tetapi digambarkan berlaku di sebuah sekolah atau sebuah taman perumahan, misalnya. Yang perlu dibuat hanya memasukkan kisah itu ke dalam latar moden di alam persekolahan atau kehidupan di sebuah taman perumahan.

Oleh kerana menulis novel adalah mengadaptasi kisah kehidupan, wajarlah bagi novelis atau calon novelis untuk menajamkan daya pemerhatian kepada rencah-rencah kehidupan.

Bagaimanapun, untuk menulis novel berunsur Islam, tidak cukup andainya penulis sekadar memerhati dan memasang telinga kepada cerita-cerita kehidupan di sekelilingnya. Sebaliknya, penulis perlu cuba mengamalkan dan menghayati Islam dalam kehidupannya sendiri. Barulah penulis dapat secara bersahaja (tanpa memaksa-maksa diri) menyuntikkan nilai-nilai didikan Islam ke dalam karyanya. Barulah penulis dapat menghasilkan karya yang boleh dianggap ‘syariah compliant’ dan ada roh Islam.

Tuesday, October 14, 2008

Menulis Untuk Remaja

Saya sudah terlalu jauh dari dunia remaja, tetapi saya mempunyai ramai anak remaja. Apabila diamanahkan sebagai editor perolehan bagi novel remaja, yang antara tugasnya adalah mencari penulis dan membawa masuk manuskrip novel-novel remaja Islam, saya cuba menyelami dunia remaja dengan memaksa diri membaca novel-novel remaja.

Saya juga ‘menugaskan’ isteri saya membaca beberapa novel remaja yang laku keras di pasaran. Dia sangat kooperatif dan memang dia minat membaca novel dan buku. Sambil menyusukan anak pun dia boleh membaca. Setelah dia selesai membaca satu-satu novel, saya bertanyakan perjalanan cerita dan komen dia tentang novel itu. Ini satu cara saya dapat ‘menghadam’ sesebuah novel tanpa perlu membacanya sendiri. Hendak kerja senang, he he. Bagaimanapun, saya akan buat ‘fast reading’ juga untuk merasai secalit pengalaman membaca novel itu.

Kepada calon-calon penulis novel remaja Islam, saya sentiasa pesankan supaya mereka cuba memahami siapa yang disasarkan untuk membaca tulisan mereka. Dalam pendekatan dakwah, sasaran pembaca ini disebut mad’u. Sekiranya sasaran pembacanya adalah remaja, penulis mesti memahami remaja sebagai ma’du.

Untuk menulis novel remaja, penulis mesti memahami sedikit sebanyak psikologi remaja, apa yang remaja suka dan tidak suka. Berikut adalah antara kesukaan remaja yang dapat saya senaraikan:

1. Remaja suka watak yang bukan perfect sangat atau ‘skema’. Sebaliknya remaja suka watak yang mungkin perfect dalam beberapa aspek, tapi yang ada ciri-ciri kelemahan yang ketara dalam aspek tertentu. Itulah watak yang biasa-biasa mereka dapat temui dalam lingkungan mereka.

2. Remaja suka unsur humor atau kelakar. Oleh itu, penulis harus cuba menyelitkan unsur humor. Antaranya dengan mengeksploit kelemahan atau ‘trademark’ satu-satu watak untuk timbulkan adegan-adegan lucu.

3. Remaja suka kepada ekspresi keremajaan, bukan ekspresi ke’emak’an atau ekspresi orang tua. Misalnya, remaja lebih senang menerima saranan atau nasihat daripada rakan sebaya berbanding daripada orang tua. Oleh itu, penulis perlu meletakkan diri seperti kawan yang menasihati kawannya yang lebih muda, bukan seperti ibu atau bapa menasihati anaknya. (Tip ini saya dapat daripada penulis novel remaja Ain Maisarah sewaktu menghadiri taklimat penulisan novel chick-lit anjuran PTS.)

4. Remaja suka membaca cerita yang ‘happy ending’. Oleh itu, penulis novel remaja harus seboleh mungkin cuba menamatkan ceritanya secara ‘happy ending’, bukan sebaliknya.

Perkara-perkara di atas adalah antara rumusan yang saya dapat apabila membaca (atau ‘membaca’ melalui isteri saya) beberapa novel remaja yang laris di pasaran.

Dengan memahami remaja sebagai mad’u, barulah penulis novel remaja yang berjiwa Islam dapat menyampaikan nilai-nilai didikan melalui cara dan gaya yang mudah diterima oleh remaja, walaupun si penulis bukan remaja lagi.

Ingat pesan Nabi SAW? Nabi Muhammad berpesan supaya hendaklah kita bercakap mengikut tahap pemikiran orang yang kita lawan bercakap. Dari situlah penulis mudah menyelitkan nilai-nilai didikan melalui karyanya.

Enid Blyton masih giat menghasilkan novel-novel kanak-kanak dan remaja dalam usianya 40-an. Sudah jauh dari zaman remajanya sendiri. Beliau menulis watak-watak para pelajarnya (beliau seorang pendidik) dan watak beliau sendiri serta rakan-rakan pada zaman remajanya, selain watak-watak remaja pada zaman beliau menulis.

Jadi, kita yang sudah menjadi emak-emak atau ayah-ayah, masih boleh menulis karya untuk remaja, kerana kita pernah remaja, sesetengahnya ada anak remaja, ada adik yang masih remaja, ada jiran remaja dan ada juga yang menjadi guru kepada remaja. Salah seorang penulis novel remaja Galeri Ilmu adalah seorang guru sekolah menengah.

Sunday, October 12, 2008

Media Untuk Dakwah

Seorang pelajar sebuah IPTA dalam emelnya bertanyakan pandangan saya tentang sejauh mana media dapat digunakan untuk tujuan dakwah. Satu persoalan besar yang memerlukan jawapan yang panjang lebar juga. Tetapi sekadar untuk membantu membuka minda, inilah yang dapat saya coretkan.

Media cetak, elektronik mahupun maya (internet) memang sangat berpotensi digunakan untuk tujuan dakwah dan tarbiah. Cuma soalnya, kebanyakan organisasi media yang dominan di dunia hari ini terutama media Barat, dimiliki oleh bukan Islam. Mereka ini menyimpan prasangka dan sentimen tak sukakan Islam. Oleh itu, jangan hairan jika mereka menggunakan media untuk memburukkan Islam dan merosakkan umat Islam.

Sama ada untuk propaganda atau sebagai alat dakwah, semua bergantung pada cara menggunakannya oleh siapa pun yang berada di belakang media itu.

Untuk menjelaskan perkara ini, saya boleh katakan bahawa kandungan bahan dalam media hari ini tidak lari daripada empat kategori – berita, cerita, hiburan dan iklan. Inilah empat kategori bahan pengisian media yang selama ini banyak merosakkan nama baik Islam dan merosakkan umat Islam, kerana digunakan dengan begitu berkesan oleh pengamal media yang tidak sukakan Islam.

Media itu cuma alat yang boleh digunakan untuk tujuan baik atau tujuan buruk. Kalau kita boleh kuasai alat ini dengan baik, kita boleh gunakan untuk tujuan dakwah dan tarbiah dengan amat berkesan. Kita boleh ‘Islamkan’ berita, cerita, hiburan dan iklan, supaya media benar-benar menguntungkan umat Islam. Soalnya, mampukah kita?

Untuk menjawab soalan ini, mari tengok beberapa perkara:
Pertama sekali, kalau hendak ‘Islamkan’ pengisian media, pengamal media itu mestilah orang-orang Islam yang komited dengan agamanya. Ada ilmu, cuba beramal dengan seluruh ajaran Islam, dan ada sifat ingin menyampaikan. Ada jiwa dakwah.

Kefahaman Islam, kesedaran beragama dan sifat ingin menyampaikan ini mesti ada pada seluruh team produksi, terutama tenaga utama yang berpengaruh dalam penghasilan majalah, suratkhabar, produksi tv, filem, laman web, blog dan apa saja bentuk media. Kalau dalam produksi drama misalnya, dari penerbit, pengarah hingga penulis skrip mesti terdiri daripada orang yang komited dengan Islam. Komited beramal dan komited menyampaikan. Beramal dengan ilmu dan menyampaikan pun dengan ilmu juga. Barulah ada dorongan yang kuat untuk ‘mengislamkan’ drama (kategori pengisian media berbentuk cerita). Supaya bukan saja pengisian drama, tapi juga cara pembikinannya termasuk etika lakonan dan soal menjaga waktu solat sewaktu penggambaran, semua selari dengan kehendak Islam.

Kedua, mesti tahu cara menyampaikan dakwah dengan baik, berhikmah dan berkesan melalui media. Mesti tahu asas dalam selok-belok dakwah. Contohnya berdakwah melalui berita. Kejadian atau perkara yang biasa-biasa pun mungkin ada nilai berita jika wartawan atau pemberita melihatnya dari kacamata pendakwah. Ada jiwa hendak ajak orang buat kebaikan dan mencari redha Allah melalui paparan peristiwa atau kejadian yang boleh mendorong orang buat baik dan jauhi perkara tak baik. Misalnya, aktiviti amar makruf yang orang lain boleh tiru atau tersentuh apabila tengok. Atau mengulas satu-satu insiden atau tragedi yang boleh dikaitkan dengan unsur tauhid, dengan qada’ dan qadar Allah.

Dalam melapor berita tentang krisis melibatkan dua pihak, wartawan yang ada jiwa hendak didik masyarakat, tak akan semata-mata muatkan kata-kata pihak sana begian-begin dan kata-kata pihak sini pula begian-begian. Dia akan gunakan pertimbangan saksama dalam memetik mana-mana pihak, antara menyiar atau tidak menyiarkan. Dia membawa watak pendamai, bukan pengapi-api, kerana berpegang pada prinsip yang Allah ajarkan:
“Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa satu berita, periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang menyebabkan kamu menyesali perbuatanmu.” (Al-Hujurat: 6)

Masalah hari ini, kita terlalu ‘setia’ dengan etika kewartawanan atau pemberitaan yang diperkenalkan Barat. Kita tidak bebas mengolah berita supaya berita itu boleh jadi bahan dakwah dan tarbiah.

Dalam etika kewartawanan Barat, wartawan tidak boleh masukkan pandangan sendiri dalam laporan berita. Wartawan juga mesti dapatkan dua pandangan pro dan kontra untuk seimbangkan sudut pandangan dalam berita. Tak boleh ‘bias’. Sedangkan dalam Islam, kita kena ‘bias’ pada kebenaran. Itu pun, sebenarnya media Barat sendiri banyak melanggar apa yang disebut-sebut etika kewartawanan yang mereka sendiri lagang untuk kepentingan propaganda mereka. Tengok sajalah berita-berita CNN. Banyak sudut pandangan (point of view) dukungan Barat diselitkan secara halus untuk burukkan Islam, negara Islam atau umat Islam.

Kalau kita jujur melulu pada etika kewartawanan ini, tidak bebaslah kita untuk sampaikan dakwah. Bagi pengamal media yang ada jiwa dakwah, jiwa mendidik dan jiwa perjuangan membela agama, dia harus sentiasa fikir untuk selitkan sudut pandangan yang boleh untungkan Islam dan umat Islam. Misalnya, kalau kita hendak beri mata pada umat Islam di dunia hari ini, kita akan paparkan kejayaan dan pencapaian umat Islam dalam pelbagai bidang, bukan hanya paparkan kedaifan umat Islam di merata-rata walaupun realitinya yang daif itu lebih ramai.

Jadi kalau kita ikut sepenuhnya etika kewartawanan Barat, memang di situ ada pertentangan dengan prinsip Islam. Tapi, alat (media) kalau sudah di tangan kita, sepatutnya kita dapat corakkan ikut acuan kita.

Ketiga, kalau hendak ‘Islamkan’ pengisian media, umat Islam mesti kuasai media. Bukan sekadar kuasai pegangan ekuitinya, tapi lebih penting lagi, menguasai pengisiannya. Kita mungkin dapat kuasai ekuiti media, dengan ertikata lain memiliki organisasi media, tapi belum tentu kita dapat kuasai corak pengisiannya. Belum tentu kita dapat ketengahkan bahan berita, cerita dan iklan yang menguntungkan Islam dan umat Islam.

Untuk benar-benar ‘berkuasa’ ke atas organisasi media itu, kita mesti tahu mencorakkan bahan-bahan berita, cerita dan iklan mengikut acuan Islam. Sekali lagi, ini bergantung pada orang-orang yang mengendalikan media itu sendiri. Sejauh mana komited dengan Islam (mengamal dan menyampaikan). Sejauh mana rasa tanggungjawab terhadap agama dan umat lebih dominan berbanding tuntutan komersil. Sejauh mana kerja-kerja seharian dalam organisasi media itu cuba dijadikan ibadah, suatu pengabdian kepada Allah. Diwujudkan suasana pengamalan Islam dan diberi kefahaman Islam kepada seluruh tenaga kerja, supaya sama-sama mendukung misi yang sama untuk menyampaikan Islam dan membesarkan syiar Islam melalui media.

Keempat, untuk ‘Islamkan’ berita, cerita dan iklan, pengamal media mestilah bersikap selektif. Contoh: untuk tarik pengiklan agar mengiklan dalam saluran media kita, kita mesti ada dasar tentang iklan yang perlu dipatuhi. Ini merangkumi apa produk yang boleh diiklankan, bentuk iklan, etika berpakaian dan etika lakonan dalam iklan. Kalau pengamal media betul-betul ‘berkuasa’ ke atas medianya, tentu semua ini dalam bidang kuasanya.

Soalnya, dana dari iklan sangat diperlukan, malah memberi sumbangan amat besar untuk menampung kos operasi media dan untuk buat untung. Jadi, mampukah pengamal media memastikan semua iklan yang disiarkan adalah mengikut acuan yang ditetapkan oleh pihaknya, bukan oleh pihak pengiklan.

Ya, mampukah pengamal media bersikap selektif dan berpendirian teguh dalam perkara ini? Selektif dalam memilih iklan yang boleh dan tak boleh disiarkan. Sekali lagi, ini bergantung pada sejauh mana pengamal media itu komited pada Islam.

Kalau dilihat perkara-perkara di atas, memang boleh dibilang dengan jari media yang mendukung cita-cita Islam atau benar-benar berlandaskan Islam, khususnya di Malaysia. Ada, tapi bilangannya amat kecil jika dibandingkan dengan begitu banyak media yang tidak berlandaskan Islam walaupun organisasi media itu dimiliki oleh orang-orang Islam. Saya kira saya tak perlu sebut nama-nama media itu, kita sama-sama boleh lihat sendiri.

Untuk menyediakan orang-orang yang boleh mengisi berita, cerita, hiburan dan iklan dengan nilai-nilai Islam memang lebih sukar, berbanding dengan menyediakan tenaga kerja teknikal untuk menghasilkan berita, cerita, hiburan dan iklan itu. Kerana untuk buat pengisian nilai-nilai Islam perlukan pengetahuan dalam selok-belok dakwah. Supaya dapat menyampaikan dengan berhikmah dan berkesan. Ini tidak ramai yang ambil serius.

Saturday, October 11, 2008

Mudahkan, Mudahkan, Mudahkan

Prinsip yang Nabi SAW ajar, hendaklah kita memudahkan, jangan menyusahkan. Jadi, apabila kita menulis, hendaklah kita memudahkan pembaca.

Pembaca pertama tulisan kita adalah editor atau penyunting. Oleh itu, seorang penulis mesti set dalam mindanya untuk memudahkan kerja editor yang akan menyunting tulisannya.

Misalnya, waktu menulis berita untuk diserahkan ke meja editor, pastikan berita itu ada tajuk, lengkap dan betul fakta 5 W 1 H-nya, ‘shortlist’kan gambar-gambar yang ada dan sediakan keterangan gambar. Anggap bahan berita itu belum siap sepenuhnya selagi belum ada keterangan gambar.

Tulislah bahan untuk orang baca. Oleh itu, mudahkan olahannya. Mudahkan orang tahu apa yang kita hendak cerita atau sampaikan dari intro sampai penutup. Mudahkan orang baca ayat ke ayat, paragraf ke paragraf. Pecahkan paragraf. Jangan biarkan tulisan kita itu tanpa paragraf atau terlalu panjang paragrafnya. Keretapi pun dipecahkan kepada gerabak-gerabak untuk memudahkan ia bergerak!

Memang bahan yang kita tulis itu editor akan sunting. Tapi apa salahnya kita memudahkan kerja editor. Buat self-editing dulu. Tengok balik fakta. Tengok balik intro. Tengok balik ejaan, tanda bacaan dan binaan ayat. Apabila kita sudah puas hati, barulah serahkan bahan itu kepada editor. Jangan serahkan bahan yang sebenarnya masih ‘mentah’.

Ibarat kita menghidangkan makanan yang masih mentah atau separuh masak, tentulah orang tidak berselera untuk makan. Oleh itu, kalau penulis menyerahkan hasil kerja yang statusnya masih ‘mentah’, tentu editor tidak berapa seronok untuk membacanya.

Kita mungkin bertanya: “Habis, kalau kita serah bahan yang sudah ‘perfect’, apa pula kerja editor?”

Hal ini samalah seperti kita menyoal: “Kalau sudah tidak ada orang buang sampah merata-rata, nanti apa pula kerja tukang sapu sampah?”

Kita jangan kisah sangat orang hilang kerja, kerana kalau setiap orang menyempurnakan kerjanya dengan baik, masih ada bermacam-macam jenis kerja lagi yang boleh dibuat oleh manusia untuk memakmurkan bumi Allah ini!

Sebenarnya, kalau penulis dapat menyerahkan bahan tulisan yang sudah diedit sendiri dengan baik, kerja editor akan menjadi lebih ringan dan lebih cepat diselesaikan. Dengan itu, lebih banyak bahan dapat disunting dalam relatif waktu yang lebih singkat.

Friday, October 10, 2008

Buku Kisah Benar

Sebagai editor, antara pengalaman paling menarik bagi saya adalah sewaktu menangani manuskrip buku kisah benar, Atiq Wazif: Satu Anugerah tulisan sahabat saya, Sdr Hasan Suyut. Buku kisah benar (true account story) belum banyak dihasilkan di negara ini.

Saya suka kepada genre ini, mungkin disebabkan latar belakang saya dalam bidang kewartawanan. Lebih-lebih lagi selepas ada pengalaman sebagai editor perunding untuk buku Maunah: Kebenaran Yang Sebenar yang ditulis oleh rakan penulis, Sdr Zabidi Mohamed, peguam yang beralih arah menjadi penulis.

Daripada pengalaman saya dengan dua buku ini, saya melihat salah satu kriteria yang perlu ada pada penulis buku genre ini adalah kepekaan dan ketelitian dengan fakta. Kriteria ini ada pada Zabidi Mohamed dan Hasan Suyut. Zabidi mempunyai latar belakang sebagai peguam manakala Hasan mempunyai latar belakang sebagai jurutera.

Bidang tugas peguam memang memerlukan ahli profesyen ini peka dan teliti dengan fakta. Peguam sudah terlatih membentangkan fakta kes. Ini satu kelebihan yang telah dimanfaatkan dengan baik oleh Zabidi ketika menulis bukunya Maunah dan buku ‘bestseller’ sebelumnya, Arqam: Tersungkur Di Pintu Syurga – kedua-duanya buku kisah benar.

Hasan pula dapat memanfaatkan keahliannya sebagai jurutera, ditambah dengan pengalaman sebagai konsultan dan business developer, untuk menulis bukunya Satu Anugerah.

Teringat kata-kata SifuPTS Puan Ainon Mohd, “Penulis adalah jurutera.”

Saya mula mengesan skill penulisan Hasan ketika membaca laman web yang dibangunkannya untuk mengumpul dana bagi mendapatkan rawatan untuk anak istimewanya Atiq Wazif. Tidak pula saya tahu dia memang pernah menulis satu ketika dulu. (Nota: Menurut Hasan, beliau pernah menghasilkan sebuah manuskrip novel yang ‘hilang’ sebelum sempat diterbitkan. Manuskrip fizikalnya hilang, tapi masih tersimpan kemas dalam memorinya.)

Hasan bukan saja dapat memanfaatkan ketelitiannya dengan fakta. Hasan juga dapat memanfaatkan daya ingatannya yang kuat untuk mengingat kembali detik-detik membesarkan Atiq Wazif.

Percaya atau tidak, Hasan mengambil masa hanya tiga bulan untuk mengumpul pengalaman selama kira-kira 8 tahun menjadi sebuah buku setebal 263 halaman. Amat mengagumkan bagaimana dia boleh ingat detik demi detik yang dilaluinya sepanjang tempoh lapan tahun itu, lalu dirakamkannya dengan terperinci. Hasan dapat menurunkan semula dialog-dialog beliau, isteri, anak-anak dan watak-watak lain yang terlibat dalam kembara anak istimewanya itu.

Saya sendiri terangsang, malah sebenarnya sudah pun merangka-rangka, untuk menulis sebuah buku kisah benar. (Doakan agar ia menjadi kenyataan.) Mungkin kelebihan yang dapat saya manfaatkan untuk tujuan itu adalah pengalaman sebagai wartawan. Wartawan adalah juga insan yang telah terlatih agar teliti dan peka dengan fakta. Buku kisah benar tidak banyak berbeza daripada hasil kerja kewartawanan yang saya biasa buat.

Salam Perkenalan


Assalamualaikum wr. wb.

Nama saya Zakaria Sungib, anak bongsu daripada 12 adik-beradik, lahir di Johor Bahru pada 17 Oktober 1960. (Nota: Saya tidak sempat mengenali lapan adik-beradik yang lain kerana masing-masing meninggal sewaktu kecil, manakala seorang kakak dan abang sulung saya meninggal beberapa tahun lalu. Kini, saya sendiri telah menjadi ayah kepada 12 orang anak yang kesemuanya sihat walafiat, alhamdulillah.)

Melalui blog ini, saya ingin berkongsi tip dan pengalaman dalam bidang penulisan, penyuntingan dan kewartawanan. Boleh dikatakan agak lama juga saya ceburi bidang ini, iaitu lebih 20 tahun. Sebenarnya, sebahagian besar pengalaman ini saya timba setelah menceburi dunia penulisan berunsur Islam sejak 1990.

Semasa berkhidmat di Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) antara 1984-1990 selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya (UM), saya lebih terdedah kepada kerja sebagai pemberita dan penyunting. Sekali-sekala saya menulis cerpen dan artikel untuk majalah, khususnya Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya.

Apabila menceburi dunia penerbitan berunsur Islam, saya mengasah kemahiran dalam pelbagai bidang kerja (multi tasking). Selain menulis, saya buat kerja menyunting, membaca pruf, menjadi wartawan, menjadi jurufoto dan sedikit sebanyak menulis naskhah iklan (copywriting). Kerja-kerja editor juga saya buat, melibatkan tugas ‘gate keeping’, menjaga hubungan dengan kolumnis dan responden, merangka konsep majalah baru dan konsep-konsep ruangan di dalamnya, juga merancang isi dan gaya persembahan untuk memberi ‘wajah baru’ kepada penerbitan sedia ada.

Satu ketika saya pernah turun naik pejabat KDN untuk urusan memohon permit untuk beberapa judul penerbitan berkala. (Nota: Kesemua penerbitan berkala itu kini hanya tinggal kenangan.) Ada juga saya berurusan dengan Perpustakaan Negara Malaysia untuk mendaftar ISBN bagi buku, serta berurusan dengan pejabat Pendaftar Perniagaan.

Malah pada satu ketika, saya adakalanya turut membantu melakar rekabentuk halaman majalah untuk ruangan tertentu. Bukan apa, sekadar hendak membantu memudahkan kerja rakan di bahagian rekaletak. Oh ya, pernah juga saya gatalkan tangan melukis kartun dan karikatur! (Sebab cita-cita saya dulu ada dua, sama ada menjadi penulis atau pelukis.)

Jadi boleh dikatakan dalam bidang penerbitan ini, Allah telah izinkan saya mencuba banyak bidang kerja. Mungkin inilah yang boleh saya kongsi, dengan izin-Nya. Sudah tentulah bukan semua bidang kerja saya boleh kongsi. Saya akan lebih memfokus pada bidang-bidang yang saya lebih berkemahiran iaitu penulisan, kewartawanan dan penyuntingan.

Dalam penulisan skrip tv, pengalaman menulis skrip untuk sitcom Rumah Ayah dan Ayah Kami (RTM) adalah antara pengalaman berkarya yang memberi kepuasan tersendiri. Di situ saya belajar menghayati watak-watak dan merangka perjalanan cerita serta dialog. Saya juga belajar untuk menjadi ‘funny writer’ walaupun saya bukan seorang ‘funny person’. Mungkin pengalaman ini juga boleh saya kongsikan.

Saya juga ada menyimpan (memerap sebenarnya) sebuah skrip filem yang saya hasilkan pada tahun akhir pengajian di UM (1983-84). Di UM, saya tidaklah belajar secara mendalam tentang filem, sekadar mengambil satu ‘paper’ di bawah tunjuk ajar guru perfileman saya, Dr. Anuar Nor Arai.

Jadi, walaupun saya tidak terjun secara serius menulis karya kreatif, sekurang-kurangnya saya faham mengenai beberapa aspek penting dalam proses mencipta karya sebegini. Antara lain, aspek perwatakan, jalinan plot, membina konflik, juga tentang keseimbangan antara dialog dan visual dalam karya fiksyen untuk tv dan layar perak. Yang lebih penting, saya ada sedikit ilmu dan pengalaman tentang bagaimana menyelitkan nilai-nilai Islam dalam karya.

Pada pertengahan 2008, saya diberi amanah sebagai editor kanan/editor perolehan di Jabatan Buku yang baru ditubuhkan di Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB), syarikat tempat saya berkhidmat sejak 1997.

Walaupun belasan tahun lamanya saya berada bersama tim majalah, saya sama sekali tidaklah kekok untuk melakukan kerja-kerja menerbitkan buku kerana saya pernah terlibat dalam dunia penerbitan buku. Dengan sokongan bos saya Tuan Hj Abu Hassan Morad dan ketua jabatan saya sekarang, Encik Wan Azmin Wan Dolah, saya cuba belajar tentang banyak perkara untuk memenuhi tanggungjawab membina judul-judul buku yang baru dan membina penulis.

Pengalaman dan tip-tip yang tidak lokek dikongsikan oleh Sifu PTS, Puan Ainon Mohd, banyak membantu. Malah saya memaksa diri membaca novel-novel remaja yang laris di pasaran semata-mata untuk memahami ciri-ciri novel yang digemari oleh remaja masakini.

Moga apa yang saya kongsi melalui blog ini ada manfaatnya dan lebih dari itu, moga dapat menjadi ibadah yang ada nilainya di sisi Allah. Jika ada pahala dari sumbangan kecil ini, moga Allah perpanjangkan pahala itu kepada kedua-dua arwah ibu bapa saya, juga kepada guru-guru saya sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia, baik guru dalam pentas kehidupan atau guru dalam bidang penulisan yang terlalu ramai untuk saya sebut satu persatu.

Wassalam.
10 Syawal 1429

Menadah Resipi Dari Sifu (2)

“Dulu mereka tak buka pintu pada buku-buku Melayu. Sekarang pintu dah terbuka, ikut saja mana ruang yang PTS dah buka. Penuhi rak-rak itu,” kata Puan Ainon Mohd ketika menceritakan penerokaan PTS yang beliau terajui, untuk mewujudkan 'supermarket' buku Melayu.

Apa yang beliau maksudkan dengan ‘supermarket’ buku Melayu adalah ruang yang besar untuk buku berbahasa Melayu di rangkaian kedai-kedai buku elit sedia ada seperti MPH, Popular, Times, Borders dan Kinokuniya.

Apabila ada ‘supermarket’ buku Melayu ini, pembeli akan berbelanja lebih di situ kerana banyak pilihan.

“Mesti ada banyak pilihan buku Melayu, baru orang ada dorongan untuk membelok ke seksyen buku Melayu. Mesti ada harapan yang ditanam di hati pembaca – pengharapan untuk dapatkan apa yang nak dicari. Pengharapan inilah yang mendorong orang masuk ke seksyen buku Melayu. Kalau tidak dapat pun buku yang dicari, dia akan beli buku lain. Ini psikologi orang beli buku. Sebab itu PTS mahu banyak penerbit buku Melayu besar-besar supaya kita dapat pasarkan banyak judul buku Melayu. Sentiasa ada new arrival. Barulah pembeli buku akan datang berulang kali.”

PTS telah ‘meneroka’ dengan susah payah selama lapan tahun sebelum akhirnya diberi rak buku khas di rangkaian kedai buku yang besar seperti MPH misalnya.

Industri Buku Akan Berkembang Baik
PTS meramalkan industri buku Melayu akan terus berkembang dengan baik.

“Ada dua faktor. Pertama, rakyat Malaysia bertambah pandai. Kelulusan bertambah baik. pendidikan bertambah bagus. Buku adalah produk untuk orang pandai. Hanya orang pandai saja beli buku. Lebih banyak orang pandai, lebih banyaklah buku akan laku. Kita mesti ingat, kita berniaga dengan orang pandai. Jadi, sebagai contoh, buku kita jangan membodoh-bodohkan pembaca kita.

“Kedua, ekonomi berkembang. Ekonomi Malaysia bertambah baik, bermakna wang lebihan akan bertambah banyak. Buku dibeli menggunakan wang lebihan. Orang dah bayar sewa, dah bayar kereta, beli beras dan sebagainya, kalau ada lebihan, baru orang beli buku. Siapa yang sekarang mampu beli satu buku, mereka lama-kelamaan mampu beli dua buku. Mereka yang sekarang membeli buku murah, nanti lama-kelamaan mereka hendak buku mahal. Sebab itu buku hardcover bahasa Melayu di kedai-kedai makin banyak,” kata Puan Ainon.
PTS menguji pasaran dengan menerbitkan buku dalam dua bentuk, versi kulit lembut dan kulit keras. Atau versi kulit lembut dan versi paperback. Didapati kedua-duanya laku dijual.

“Bermakna, ada orang yang memang dia hendak buku yang lebih besar. Ada orang dia tak banyak duit, dia beli buku paperback. Begitu juga buku kulit lembut dan kulit keras. Misalnya buku biografi Nabi Muhammad, dua-dua laju.”

Mesti Fleksibel
Saran beliau, penerbit harus fleksibil. Beliau memberi contoh, dengan kenaikan harga minyak yang diikuti kenaikan harga barang, wang lebihan di tangan pembeli akan jatuh merudum. Dalam menghadapi situasi ini, PTS menyusun semula jadual penerbitannya. Ada buku-buku tertentu terutama buku harga mahal ditarik balik dari jadual cetak. Tumpuan diberi pada menerbitkan buku-buku berharga RM20 ke bawah.

“Itu juga memerlukan kita mempunyai stok manuskrip yang banyak. Kalau tidak ada stok manuskrip, apa kita nak ganti bila ditarik balik buku yang nak dicetak. Kita tidak dapat menyusun strategi bisnes kita,” beritahu Puan Ainon.

Menadah Resipi Dari Sifu (1)

Susah kita jumpa penjual makanan yang mahu berkongsi resipi setiap masakannya dengan orang lain. Ada, tetapi tidak ramai. Maklumlah, ia melibatkan soal periuk nasi. Begitulah umumnya dalam bisnes. Sebab itu ada rakan yang sedikit skeptik apabila berkunjung ke universiti maya PTS (universitipts.com), kerana Sifu PTS Puan Ainon Mohd nampak sangat telus dalam memberikan tip dan maklumat tentang selok-belok dunia penerbitan berdasarkan pengalaman PTS.

Saya sendiri tertanya-tanya juga rahsia di sebalik sikap pemurah Puan Ainon dalam mendedahkan maklumat dalaman PTS yang sudah tentu boleh diambil manfaat oleh penerbit-penerbit lain sebagai senjata untuk menyaingi PTS sendiri.

Persoalan ini terjawab jua akhirnya apabila Puan Ainon sendiri muncul di Galeri Ilmu untuk berkongsi tip-tip mengenai potensi penerbitan buku pada 11 Jun lalu. Beliau dengan senang hati memenuhi jemputan Pengarah Urusan kami Tuan Haji Abu Hassan Morad untuk sesi wacana ilmu ini.

Sikap Kooperatif
Seperti juga dalam tulisan-tulisannya di universitipts.com, Puan Ainon sangat telus dalam perkongsian ilmu dan pengalamannya selama hampir dua jam itu.

Malah di awal ceramah atau sembang ilmunya lagi, beliau sudah menyampaikan mesej yang jelas:

“Mengapa saya berada di sini hari ini? Bukankah saya pesaing Galeri Ilmu? Ye ke tidak? Orang akan hairan kenapa saya bersikap sangat kooperatif, sangat mahu membantu penerbit buku Melayu.

“Pertama-tama, bersaing itu bukan ajaran Nabi Muhammad. Kita tidak boleh bersaing. Kita mesti tolong-menolong, bantu-membantu. Kita mesti membesar bersama-sama. Industri buku Melayu tidak boleh besar jikalau tidak banyak penerbit besar. Industri itu kalau hendak besar, mesti banyak penerbitnya besar. Itu sangat penting. Orang kaya tidak boleh kaya kalau jiran-jirannya miskin. PTS tidak boleh menjadi syarikat besar jikalau penerbit-penerbit Melayu lain tidak besar. Jadi kita mesti membesarkan penerbit-penerbit Melayu lain.”

Tidak hairanlah, ada penerbit-penerbit baru yang merupakan anak didik PTS. Beliau menyebut dua nama penerbitan yang merupakan ‘mentee’ PTS.

“Kita memang mentori mereka bukan dari segi editorial saja, malah dari segi bisnesnya pun. Kalau X (beliau menyebut nama sebuah penerbitan) ada masalah pemasaran, masalah jual buku, mereka akan telefon bahagian jualan dan pemasaran kita minta nasihat.”

“Pergilah berguru”
Dalam mukadimahnya itu juga, beliau awal-awal lagi sudah menyarankan agar bahagian jualan Galeri Ilmu pergi menemui Pengurus Jabatan Jualan dan Khidmat Pelanggan PTS untuk berguru dengan mereka mengenai strategi pemasaran.

“Tanyalah mereka, buku apa laku, buku apa tak laku dan sebagainya. Nanti kita akan beritahu macam mana nak tagih hutang dan macam-macam lagi pengalaman.”

Puan Ainon juga sarankan bahagian editorial GISB menimba ilmu dan pengalaman dari jabatan editorial PTS.

“Kita ambil sikap menjaga rakan-rakan yang masih belajar supaya dapat dikurangi kesilapannya.”

Lebih dari itu, beliau sarankan wakil GISB mengikuti rombongan PTS ke Jakarta untuk belajar selok-belok penerbitan buku khususnya dari Encik Fauzul Naim Ishak, dan menjalin perhubungan dengan rakan niaga di Indonesia melalui Encik Fauzul. Pengurus Kanan PTS ini bertanggungjawab mengembangkan dan menjaga hubungan bisnes antara PTS dengan semua penerbit Indonesia. Encik Fauzul selalu dijadikan reference oleh penerbit-penerbit di Indonesia yang hendak berurusan dengan rakan niaga di Malaysia.

Kaya Hikmah
Puan Ainon kaya dengan hikmah sebagai ahli perniagaan. Wataknya suka berterus-terang dan sekali-sekala nampak garang dengan kenyataannya.Ya, tidak banyak berubah daripada Puan Ainon yang saya kenali 20 tahun lalu sewaktu sekali-sekala bertemu beliau waktu tugasan (sebagai wartawan Bernama) di DBP. (Puan Ainon berkhidmat 15 tahun di DBP sebelum menubuhkan syarikat sendiri.)

Memang dalam penerbitan majalah, kami ada pengalaman lebih 10 tahun, tapi dalam penerbitan buku, kami adalah orang baru (new player). Jadi, tentulah kami sangat berbesar hati jika dapat belajar daripada syarikat besar seperti PTS.

Kami membawa wadah kosong dan Puan Ainon pula tidak lokek mengisinya. Beliau berikan ‘resipi’ yang telah diuji cuba oleh PTS tanpa nampak sikit pun dikurangkan ramuannya.

Berdasarkan pengalaman menerbitkan lebih seribu judul dalam tempoh lapan tahun, beliau bermurah hati untuk berkongsi segala maklumat “supaya kawan-kawan tak buat kesilapan.”

Apa yang beliau kongsikan dengan kami bukan teori atau retorik bisnes, tapi tip, maklumat dan nasihat dari pengalaman sebenar.

“PTS memang berusaha betul untuk tolong penerbit buku Melayu,” katanya.

Hubungan Maya Penulis-Editor

Saya pernah terbaca pengalaman seorang editor ‘mengejar’ penulis sampai ke rumahnya semata-mata untuk ‘menggesa’ sang penulis menyiapkan tulisannya yang hendak diterbitkan.
Tapi bak kata-kata dalam satu iklan televisyen, “Dunia sudah maju. Zaman sudah berubah.”

Sekarang banyak urusan antara penulis dan editor yang berlangsung melalui dunia maya – internet. Ketika saya menulis artikel ini, saya sedang berurusan dengan dua orang penulis rakyat Malaysia yang berada nun jauh di seberang laut. Saya tidak langsung melihat hal ini sebagai satu masalah. Sebabnya, saya ada pengalaman berurusan dengan penulis buku yang bermastautin di Amerika Syarikat. Walaupun sudah saling mengenal semasa di tanahair, kami tidak bertemu muka dari peringkat saya mencadangkan kepadanya idea menulis hinggalah buku itu siap dicetak.



Penulis yang saya maksudkan adalah Hasan Suyut, penulis buku kisah benar, Atiq Wazif: Satu Anugerah. Hasan kini bermastautin di Orlando, Florida, AS.

Saya kenal Hasan sewaktu sama-sama buat umrah pada Jun 2006. Semasa ikut rombongan ke Tanah Suci itu, kami taklah kenal rapat, cuma sekadar bertegur sapa dan bertanya mengenai anak istimewanya, Atiq Wazif. Waktu itu Hasan bersama isterinya Cikgu Dora bawa Atiq Wazif ke Tanah Suci. Mereka sudah bernazar jika Wazif ditakdirkan boleh berjalan, mereka akan bawa dia ke sana. Wazif boleh berjalan selepas beberapa kali menjalani sesi rawatan di Erkang Hospital, Beijing.

Balik dari Tanah Suci, saya dapat emel Hasan, meminta jasa baik saya untuk siarkan kisah Wazif dalam majalah ANIS. Hasan kemudian mengunjungi pejabat ANIS (Galeri Ilmu Sdn Bhd) di Taman Tun Dr. Ismail. Waktu itu saya masih Editor Kanan di majalah Anis. Rupanya Hasan sedang usaha kumpul dana untuk Tabung Perubatan Wazif. Hasan hendak menghantar Wazif dapatkan rawatan di AS.

Atas permintaan Hasan, saya siarkan kisah beliau dengan anak istimewanya Wazif di dalam Anis. Banyak juga pembaca memberi respons yang baik. Hasan juga mendapat kerjasama bekas Datuk Bandar KL, Datuk Mohmad Shaid Taufek untuk anjurkan pertandingan Golf Amal. Saya turut hadir di majlis penutup Golf Amal itu di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara.

Beberapa bulan selepas itu, Hasan bawa Wazif ke Florida selepas dapat mengumpul kira-kira RM100,000. Wang sebanyak itu adalah untuk sekali sesi rawatan saja di pusat yang dikenali sebagai Therapies4kids, kerana tidak mencapai sasaran mengumpul RM400,000. Bagaimanapun, Hasan bersyukur. Rawatan di AS itu memberi kesan yang baik pada Wazif.

Pada pertengahan 2007, saya terkejut apabila Hasan beritahu dia akan membawa keluarganya ke AS dan menetap di sana buat beberapa lama. Tujuannya semata-mata untuk membolehkan Wazif menjalani rawatan lanjut. Setelah lama tidak dapat khabar beritanya, pada 27 November 2007, saya bertanya perkembangan Hasan di AS melalui emel.

“Kalau ada cadang bukukan kisah Wazif nanti, bolehlah kita kerjasama. Atau apa-apa buku yang saudara rasa nak tulis, tulislah sebab berdasarkan laman web Wazif, saya tengok saudara ada skill,” kata saya.

Hasan memberi respons yang baik. “Untuk April nanti saya insya-Allah akan cuba drafkan satu buku,” katanya apabila saya nyatakan bahawa Galeri Ilmu Sdn Bhd hendak menerbitkan sejumlah judul buku untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC awal April 2008. Dia bertanya dan meminta pandangan mengenai beberapa perkara untuk memulakan projek penulisan buku itu.

Ekoran dari itu, kami kerap berbalas emel. Saya memberi input-input dan tip-tip kepada Hasan untuk membantunya menulis. Antara lain, saya nyatakan bahawa buku yang nak ditulis mengenai anak istimewanya itu nanti biarlah berbentuk penceritaan (naratif), ada gaya macam novel, dan boleh ditulis secara kronologi atau boleh juga guna teknik imbas kembali. Saya beri contoh, dia boleh mulakan bukunya dengan penceritaan kehidupan di AS sekarang, kemudian baru mengimbau rentetan kejadian yang melibatkan Wazif yang menjadi penyebab mereka sekeluarga merantau ke AS. Apa pun, fokusnya pada Wazif.

“Jangan lupa masukkan dialog di sana sini supaya penceritaan lebih 'hidup' dan menarik,” kata saya, sambil mencadangkan beliau melayari saifulislam.com untuk melihat contoh penulisan berbentuk pengkisahan yang baik.

Saya juga syorkan dia menceritakan latar tempat dan latar masa sesuatu insiden yang berlaku. Misalnya, gambarkan latar hospital di Beijing tempat dia dapatkan rawatan untuk Wazif – gambarkan suasana, fasiliti yang ada, tentang warga hospital dan sebagainya.

“Selitkan unsur perasaan – apa saudara rasa, apa Cikgu Dora rasa pada detik-detik tertentu. Selitkan juga unsur tauhid – pergantungan hati dengan Allah waktu hadapi saat-saat cemas, ketidakpastian, saat menunggu dan sebagainya. Di tempat-tempat tertentu boleh selitkan doa yang dipanjatkan kepada Allah waktu itu,” beritahu saya lagi.

Saya juga mencadangkan beliau menulis sekitar 200 halaman (single spacing) dan masukkan gambar-gambar yang relevan untuk hasilkan buku setebal kira-kira 250 halaman. (Buku ini akhirnya setebal 263 halaman.)

Hasan memberi respons yang sungguh cepat kepada setiap saranan saya. Dia juga cepat belajar. Dia sentiasa menanyakan dan meminta penjelasan beberapa perkara yang dia ragu. Pernah dia bertanya, “Dalam penceritaan saya ada banyak nama-nama orang yang terlibat like the doctors, ramai orang yang tolong Wazif masa fund raising, etc. Is it ok to use their real name, or do I have to get their permission to include their name. If so, do I have to get their permission? Satu persatu, ramai pulak...”

Pada awal Januari, Hasan emelkan kepada saya draf awal dua bab yang beliau berjaya siapkan untuk saya beri komen. Bukan bab pertama dan bab kedua, tapi bab pertama dan bab akhir. Beliau mulakan penceritaannya dengan mengimbas kembali saat mereka sekeluarga bersiap-siap untuk ke AS dan kemudian bertolak dari KLIA dengan dihantar oleh sanak-saudara dan sahabat-handai. Dalam bab akhir pula, beliau menceritakan kehidupan dia sekeluarga di AS sekarang.

Dari situ saya beri beberapa komen untuk beliau baiki. Saya beritahu beliau, secara keseluruhan buku ini ada daya tarikan untuk orang baca dari awal sampai habis. Dan lebih penting, pembaca akan dapat mesej yang boleh dikongsi sebagai bahan motivasi dan iktibar di sebalik kisah yang dipaparkan.

“Ada unsur tauhid yang berjaya diselitkan seperti dalam bab 1. Nilai-nilai kekeluargaannya juga tinggi. Begit juga nilai pengorbanan. Bab akhir merupakan satu penutup yang baik. Nilai kekeluargaan sangat terserlah di situ,” beritahu saya.

“Cuma,” kata saya, “ada beberapa kelemahan yang saya rasa saudara akan perasan dan boleh baiki waktu buat self-editing nanti.”

Saya pun menyebut beberapa contoh kelemahan yang saya kenal pasti. Apa pun, saya sarankan beliau meneruskan momentum yang ada.

Hasan seterusnya mengemelkan bab 2 bukunya. Saya menyarankan di tempat-tempat tertentu diperkuatkan lagi dengan unsur tauhid. Hasan memberi perhatian pada setiap saranan saya. Ini saya dapat lihat apabila dia mengemelkan semula draf yang sudah dibaiki.

Selain ramuan kisah kehidupan bagaimana dia membesarkan anak istimewanya, Hasan juga mahu memberi nilai tambah kepada bukunya. Beliau ingin berkongsi segala yang dilalui dan segala yang dipelajari melalui beberapa penulisan dan beberapa insan yang ditemuinya sepanjang menelusuri kembara anaknya Wazif, yang memberi impak besar dalam kehidupan seharian mereka sekeluarga. Antaranya, maklumat tentang kaedah mendidik bayi di dalam kandungan atau dipanggil In Utero Development yang diamalkannya waktu isterinya hamil anak kelima (adik Wazif).

Beliau bertanya kesesuaiannya kalau tulisan mengenai In Utera Development itu dikekalkan dalam bahasa Inggeris. Respons saya, “Mengekalkan fakta tentang In Utero Development dalam bahasa Inggeris, pun ok juga. Cuma sebab ia makan banyak halaman, saya rasa elok kalau dimelayukan dan diolah mengikut gaya bahasa saudara sendiri… saudara ceritakan semula mengikut apa yang saudara faham. Cara ini juga dapat elakkan buku ini jadi berat. Kalau boleh, kita kekalkan kadar readability buku ini.”

Untuk tidak mengganggu flow dan mood cerita secara keseluruhan, saya cadangkan supaya tulisan-tulisan berbentuk fakta itu diasingkan. Hasilnya, Hasan menyusun beberapa tajuk yang disertakan sebagai Bacaan Bonus di bahagian kedua buku ini, menjadikan buku ini boleh dijadikan sumber rujukan yang sangat berguna untuk ibu bapa. Malah ada satu bab mengenai hubungan suami isteri, kerana kata Hasan, “saya fikir hanya dengan persekitaran suami isteri yang harmoni, anak-anak dapat berkembang menjadi cemerlang.”

Bagaimanapun, kekuatan utama buku ini tentulah pada Bahagian 1 iaitu kisah-kisah menarik, mencuit hati, mengerikan, mencemaskan dan meruntun emosi yang dilalui sepanjang membesarkan Wazif.

Akhirnya, penghujung Februari 2008, setelah kira-kira 3 bulan kami berurusan melalui alam maya, Hasan mengemelkan keseluruhan draf akhir manuskrip bukunya. “Sebenarnya kalau nak ikutkan, saya sendiri masih belum berpuas hati dengan beberapa topik, namun kalau diteruskan mungkin tak ada kesudahannya sedangkan kita mengejar masa,” katanya.

“Banyak juga rintangan yang dilalui sepanjang 3 bulan lepas,” kenangnya kemudian. “Bila dah concentrate menulis, sampai rambut dan misai pun tak terbela! Isteri sampai perli, nak jadi penulis kena serupa dengan A.Samad Said ke?”

Selepas Hasan, rupanya Allah takdirkan ada lagi penulis Malaysia yang sedang berada di luar negara yang berminat untuk menerbitkan buku bersama Galeri Ilmu. Kedua-dua penulis ini sudah dikenali ramai, cuma saya secara peribadi belum berkenalan dengan mereka. Tapi, dengan kemudahan kini, internet dapat membantu mendekatkan yang jauh.

Penulis dan editor dapat saling berasa dekat walaupun terpisah di benua yang berbeza.