Kelmarin saya menghadiri bengkel penulisan novel Islami yang Saudara Faisal kendalikan di Dewan Besar IKIM. Dalam bengkel itu, Saudara Faisal bercerita tentang jawapan Pak Samad ketika beliau bertanya kepadanya tentang syarat untuk menjadi seorang pengarang kreatif.
“Pertama, mesti membaca,” begitu jawapan Pak Samad.
“Yang kedua?” soal Saudara Faisal.
“Membaca.”
“Yang ketiga?”
“Syarat keempat?”
“Yang kelima?”
“Menulis.”
“Bagaimana kalau yang kelima itu juga membaca?”
Maka jawab Pak Samad, “Ya, tidak akan jadi penulis.”
Berpegang kepada kata-kata Pak Samad ini, Saudara Faisal berpesan kepada peserta-peserta bengkel, “Membaca syarat penting untuk menjadi pengarang. Kalau saudara bukan pembaca, saudara selalunya tidak boleh menjadi pengarang. Tidak boleh menulis. Tidak boleh menurunkan apa-apa pun di atas kertas.”
Sepanjang pengalaman saya, saya belum pernah bertemu dengan penulis yang tidak suka membaca.
Apakah yang kita dapat apabila membaca? Sudah tentu, ilmu pengetahuan kita bertambah dan horizon pemikiran kita lebih luas. Dengan banyak membaca bahan yang baik dan bermutu, ia membantu fikiran menjadi lebih matang. Kita dapat menyelami cara berfikir, pengalaman dan perasaan orang lain. Kita dapat berguru sewaktu membaca, walaupun secara sehala. Dan banyak lagi kelebihan membaca yang boleh disenaraikan.
Tetapi yang paling penting bagi penulis, membaca adalah aktiviti yang dapat merangsang keinginan menulis dan menguatkan daya untuk menulis.
Keinginan menulis datang daripada naluri untuk berbuat sesuatu seperti yang orang lain buat. Kalau orang lain boleh menulis, maka kita juga boleh menulis. Ini rangsangan.
Daya untuk menulis pula datang daripada pemikiran bawah sedar apabila otak memproses data dan tulisan, yang dengan sendirinya meningkatkan kemahiran bahasa. Kemahiran bahasa ini adalah aset yang sangat penting bagi penulis. Kemahiran bahasa berkait rapat dengan kemahiran menyampaikan isi tulisan. Hanya dengan adanya kemahiran bahasa, penulis dapat menulis dengan baik. Dapat menyampaikan apa yang hendak disampaikan dengan berkesan. Dapat memujuk, menegaskan sesuatu, meruntun emosi, menghidupkan fitrah, membelai jiwa dan mengisi rohani dengan bahasa yang sampai maksud.
Kemahiran bahasa ini melibatkan kemahiran membina ayat, membina perenggan, menggunakan perkataan yang sesuai, menggunakan tatabahasa yang betul, membuat tajuk yang menarik, menulis dialog, dan menguasai perkara sekecil-kecilnya seperti ejaan dan tanda bacaan.
Maka untuk menjadi penulis yang baik, kita harus menjadi pembaca yang baik. Jangan hanya rajin menulis tetapi tidak rajin membaca karya orang lain. Novelis prolifik Azmah Nordin menyarankan, “bacalah sebanyak mungkin karya-karya sastera yang hebat seperti karya A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Chekhov, Raymond Carver, Azizi Hj Abdullah, Ernest Hemingway, Alice Munro, Tobias Wolff dan ramai lagi. Ini boleh membantu anda dalam dunia penulisan, lebih daripada apa-apa yang mampu diajar oleh seorang sifu mana-mana bengkel penulisan kreatif.”
Berbalik kepada pesan Buya Hamka dan kata-kata A.Samad Said, kita harus membaca, membaca, membaca, membaca dan kemudian menulis.