BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, May 29, 2009

Belajar Menulis Melalui ‘Model’

Seseorang yang hendak ‘terjun’ secara langsung ke dunia penulisan mesti kenal nama-nama penulis lain. Apabila dia hendak menekuni satu-satu genre penulisan, dia mestilah tahu ‘who’s who’ dalam genre penulisan itu.

Misalnya jika dia hendak menekuni kerja menulis novel, dia mestilah terlebih dahulu kenal nama-nama novelis lain, terutama novelis-novelis yang telah menghasilkan novel-novel yang baik, sama ada novelis tanahair atau luar negara. Bukan saja kenal orangnya tetapi juga kenal karya-karyanya.

Dalam penulisan novel pula ada genre novel kanak-kanak, remaja, misteri, advencer dan sebagainya. Maka seorang yang hendak menulis dalam satu-satu genre yang khusus – misalnya novel remaja – mesti kenal novelis-novelis yang sudah berjaya menghasilkan novel-novel remaja yang baik dan diterima umum.

Manusia cepat belajar dengan melihat model. Dengan membaca karya orang lain, seseorang penulis akan mendapat banyak perkara yang dapat membantunya menulis dengan baik. Karya orang lain itu adalah ‘model’ untuk ditiru (bukan diciplak) dan dicontohi.

Keadaannya lebih kurang sama dengan seorang peninju yang hendak terjun secara serius ke dunia tinju. Apabila dia kenal nama-nama peninju lain dan melihat pertarungan mereka, dia akan menadah banyak perkara yang akan membantunya bertinju dengan baik. Peninju-peninju lain itu adalah ‘model’ untuk ditiru.

Mengikut teori psikolinguistik pula, apabila seseorang banyak membaca buku dalam satu-satu genre, ayat-ayat yang biasa digunakan dalam genre penulisan itu akan tersimpan di setoran mindanya secara di bawah sedar. Misalnya dengan membaca banyak novel orang lain, ayat-ayat novel itu akan tersimpan dalam mindanya. Ayat-ayat itu akan mengalir dengan mudah apabila dia duduk menulis.

Oleh itu, memilih buku atau karya untuk dibaca adalah penting bagi penulis. Untuk mengambil mana-mana penulis lain sebagai ‘model’, karya-karya penulis itu perlu dibaca. Ini ialah jalan biasa bagi seseorang yang hendak serius menulis.

Hendak menulis karya yang 'bestseller'? Kita perlu ada 'model'. Tidak dapat tidak, kita harus kenal penulis-penulis 'bestseller' dan membaca karya-karya mereka.


Monday, May 25, 2009

Memetakan Isi Tulisan

Ingat lagi analogi yang saya kaitkan dengan proses menulis? Menulis seperti membina rumah. Seperti membina rumah, kerja menulis perlu didahului dengan proses melakar pelan. Istilah yang biasa digunakan adalah pemetaan (mapping).

Saya belajar memetakan isi tulisan ini daripada sifu penulisan saya Pahrol Mohd Juoi. Saya tidak pasti sama ada saya pernah bertemu mana-mana penulis berpengalaman yang mampu menulis terus di komputer tanpa membuat pemetaan isi tulisannya. Saya hanya kenal ramai penulis yang membuat pemetaan terlebih dahulu sebelum mula menulis, khususnya untuk menulis artikel berat, buku atau novel.

Dalam Bengkel Penulisan Novel Islami di IKIM baru-baru ini pun, Saudara Faisal Tehrani menekankan perlunya pemetaan ini. Ertinya, sama ada menulis karya fiksyen atau bukan fiksyen, penulis harus membuat pemetaan. Ia proses ‘sebelum’ menulis yang perlu dianggap penting.

Membuat pemetaan isi tulisan sama fungsinya dengan menyediakan lukisan pelan dalam membina rumah. Sebelum menulis, kita mencatat atau melakar isi-isi penting tulisan terlebih dahulu. Kerja ini adalah kerja mencatat perancangan. Berdasarkan pengalaman saya, kadang-kadang kita mengubah lakaran beberapa kali untuk menyiapkan ‘pelan’ yang boleh dianggap muktamad. Sambil mencatat perancangan isi tulisan itu, otak akan berjalan kerana dirangsang untuk bekerja. Waktu itu idea untuk mengembangkan isi tulisan sudah mengalir.

Hal yang sama berlaku apabila seseorang itu hendak berucap di khalayak ramai. Pemidato yang berpengalaman selalunya membuat pemetaan isi ucapannya sebelum naik ke pentas. Pemetaan itu mungkin hanya berupa kata-kata kunci yang dicatat mengikut urutan, yang dia sendiri faham.

Ketika melakar isi-isi tulisan, kita juga mencatatnya mengikut urutan dengan gaya lakaran yang memudahkan kita faham. Ada pendahuluan, ada isi di tengah-tengah dan ada penutup. Melalui lakaran itu, kita nampak jelas halatuju tulisan kita. Bagaimana hendak memulakannya dan bagaimana menutupnya.

Apabila hendak menulis buku atau novel, tentulah pemetaannya lebih kompleks. Mudah atau kompleks, pemetaan adalah kerja yang mesti dibuat.

Selepas siap pemetaan, kita hanya perlu melapangkan masa untuk memulakan momentum menulis. Benar-benar duduk menulis.

Kebuntuan sewaktu menulis iaitu apa yang disebut-sebut sebagai ‘writer’s block’ selalunya berlaku apabila penulis tidak membuat pemetaan. Penulis berpengalaman mungkin jarang menghadapi hal ini kerana dia sudah terbiasa membuat pemetaan sebelum duduk menulis. Penulis baru sering menghadapi gejala ini kerana dia tidak menganggap membuat pemetaan itu sebahagian daripada kerja menulis.

Wednesday, May 20, 2009

Lagi Tentang Membaca

“Baca, baca, baca, baca, baca … Kalau tak membaca, tenggelam,” tutur Tan Sri Sanusi Junid, arkitek di belakang projek Kampung Buku (book village) di Langkawi. Kampung Buku Langkawi pernah satu ketika diiktiraf sebagai Kampung Buku tercantik di dunia namun kini hampir dilupakan.

Beliau dikenali sangat ghairah dengan dunia buku sejak zaman kanak-kanaknya. Membaca 30 buku dalam satu-satu masa adalah amalan biasanya. Beliau biasa menghabiskan bacaan sepuluh buku serentak, yang dibacanya secara ‘speed reading’.

Malam tadi saya bersama Tuan Haji Abu Hassan Morad dan seorang rakan bahagian pemasaran GISB, berkesempatan duduk di dalam majlis Wacana Intelektual di DBP bersama Tan Sri Sanusi yang diundang sebagai ahli panel. Lebih 30 orang hadir dalam majlis yang dipengerusikan dengan begitu baik oleh Tuan Syed Munawwar itu. Mereka termasuk rakan-rakan penerbit, penggiat industri buku dan tokoh sastera.

Dua jam bersama Tan Sri Sanusi di Sanggar Zaaba, DBP, masa bergerak begitu cepat. Dalam usia 66 tahun, beliau mempunyai stamina yang cukup tinggi untuk berbicara tentang dunia buku dan dunia membaca.

Menarik untuk dikongsi adalah kisah bagaimana beliau mula berminat membaca. Waktu zaman kanak-kanaknya, Sanusi sering menemani ayahnya membawa lori ikan. Sambil memandu, ayahnya sering bercerita kisah nabi-nabi dan kisah-kisah lain. Tiba di destinasi tempat memunggah ikan, ayahnya akan meminta Sanusi menceritakan semula kisah yang diceritakannya. Dia akan memanggil rakan-rakan pemandu lori untuk mendengar cerita Sanusi. Selepas Sanusi bercerita, timbul soal jawab. Untuk mengelak daripada malu jika tidak dapat menjawab soalan yang ditanya, Sanusi mula minat membaca. Dengan membaca, dia mengetahui banyak perkara.

Maka bagi Tan Sri Sanusi, “Malu gagal adalah modal paling besar untuk menggalakkan orang membaca.”

Beliau tidak menyebut nama-nama penulis tertentu yang beliau sarankan supaya dibaca buku-bukunya. Beliau cuma menyebut bidang-bidang yang beliau baca.

Beliau membaca banyak buku agama Islam. Beliau membaca buku tentang kuasa. Beliau membaca buku tentang wang. Beliau membaca biografi hampir kesemua pemimpin dunia. Beliau mempunyai lebih 2,000 naskhah buku tentang kepimpinan. Beliau juga membaca buku-buku tentang pengurusan dan buku-buku sejarah.

“Bangsa kita jika hendak suruh dia survive, dengan ilmu. Untuk ada ilmu, perlu membaca,” ungkap beliau. “Penyelesaian kepada masalah Melayu ini, membaca.”

Hal ini juga benar dalam konteks penulis. Penulis jika mahu menyumbang kepada usaha menyelesaikan masalah masyarakat melalui tulisan, tidak dapat tidak, mesti banyak membaca.

Tuesday, May 19, 2009

Jawatan Kosong di GISB

Sesuai dengan perkembangan pesat dalam penerbitan majalah dan buku, Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (GISB) mempelawa calon-calon yang berkelayakan untuk mengisi jawatan-jawatan berikut:
1. Editor Perolehan (Buku)
2. Editor (Buku)
3. Wartawan/Pembantu Editor (Majalah)
4. Jurufoto
5. Artis DTP/Grafik
6. Eksekutif Jualan Iklan
7. Receptionist/Pembantu Tadbir
8. Pegawai/Eksekutif Pemasaran & Pengedaran

Tarikh Tutup Permohonan bagi semua jawatan: 29 Mei 2009

Bagi yang berminat dan mahukan maklumat lanjut, klik di sini.


Kriteria Menjadi Penyunting

“Apakah kriteria untuk menjadi seorang penyunting?” soal seorang calon penyunting.

Pertama, calon penyunting mestilah mampu menulis dengan baik. Oleh itu, jika seseorang itu ada pengalaman menulis, dia boleh menjadi penyunting. Ini kriteria paling asas. Apabila mampu menulis dengan baik, penyunting akan lebih berkeyakinan untuk membantu membaiki tulisan orang lain.

Kedua, calon penyunting mesti ada ilmu tentang satu-satu genre penulisan. Jika dia mahu menyunting novel misalnya, dia mesti ada ilmu tentang asas-asas menulis novel. Ada ilmu tentang plot, watak, latar dan sebagainya. Begitu juga jika dia mahu menyunting cerpen, buku motivasi dan lain-lain. Untuk itu, dia mesti membaca banyak buku dalam satu-satu genre itu. Adalah satu bonus jika penyunting menguasai banyak genre penulisan kerana dia akan mampu menyunting apa saja bahan dalam mana-mana genre.

Ketiga, calon penyunting mesti ada ilmu pengetahuan am yang baik. Ini dapat membantunya mengesan fakta yang silap dan tidak tepat. Untuk menyunting bahan berunsur Islam, penyunting harus ada pengetahuan asas Islam yang baik.

Keempat, calon penyunting harus memiliki atau ada kemahuan untuk membina sifat-sifat asas yang perlu ada pada seorang penyunting iaitu:

a. Berlapang dada
Penyunting harus boleh menerima kelemahan penulis dan hasil tulisannya, tidak menjatuhkan (condemn) hasil tulisan dan lebih-lebih lagi tidak menjaja kelemahan penulis.

b. Memahami dan menghormati hak integriti penulis
Penyunting harus seboleh mungkin menghormati hak integriti ini dengan menjaga gaya penulisan penulis dan tidak mengubah hasil kerja penulis sesuka hati.

c. Sanggup dipertanggungjawabkan ke atas bahan suntingan
Penyunting harus bertanggungjawab ke atas fakta yang dimuatkan dalam tulisan yang disuntingnya dan harus bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pandangan yang terkandung dalam sesebuah tulisan.

Di GISB, penerbit bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap tulisan yang disiarkan di dalam majalah atau diterbitkan dalam bentuk buku atau novel. Setiap pandangan yang termuat di dalam majalah atau buku GISB adalah mewakili pandangan penerbit. Penyunting harus memahami hal ini supaya dapat menyaring pandangan yang tidak selari dengan pandangan dan pendirian penerbit.

d. Tinggi rasa tanggungjawab
Penyunting harus memiliki rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu mencantikkan hasil tulisan walaupun tanpa mendapat apa-apa kredit. Dia juga harus ada rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan tulisan, untuk menjaga maruah atau kredibiliti penulis, dan untuk menjaga maruah dan kredibiliti penerbit.

e. Berani dan berkeyakinan
Penyunting juga harus berani dan berkeyakinan untuk meminda, memotong atau mengolah semula. Malah dalam sesetengah keadaan, penyunting harus berkeyakinan untuk berdepan dengan penulis, memberi cadangan, membuat teguran atau meminta penulis membaiki tulisannya jika perlu, biar siapa pun penulis itu. Di sini perlunya penyunting sendiri mampu menulis dengan baik dan ada ilmu tentang genre penulisan yang ditukanginya.


Saturday, May 16, 2009

‘Bidan’ Di Belakang Kelahiran Karya

Hampir setiap minggu ada manuskrip buku atau novel baru yang diterima, selepas editor perolehan meluluskan sinopsisnya. Ada juga manuskrip yang sampai ke meja editor tanpa didahului dengan sinopsis, malah tanpa salam perkenalan. Senario ini mula berlaku di Jabatan Buku GISB sejak kebelakangan ini.

Untuk menangani manuskrip yang masuk, editor perolehan memerlukan regu kerja yang terdiri daripada penyunting. Beberapa orang penyunting ini adalah tenaga kerja sambilan. Pagi ini, seperti yang dirancang, saya dan rakan editor bertemu dengan mereka. Pengurus Jabatan Buku Encik Wan Azmin turut hadir dalam majlis taklimat untuk penyunting itu.

Di GISB, penyunting atau editor teks ini adalah regu kerja dalam melahirkan wadah Islam yang berkesan dan berkualiti. Wadah Islam yang berkesan adalah yang dapat berkomunikasi (communicate) kepada pembaca dengan jelas dan sampai maksud. Yang dimaksudkan dengan wadah berkualiti pula adalah yang terbaik isinya, terbaik gaya penyampaiannya sebagai hasil seni dan kemahiran, terbaik penggunaan bahasanya dan terbaik penampilannya (pakej kulit dan rupa bentuknya).

Sebahagian daripada tanggungjawab melahirkan wadah Islam yang berkesan dan berkualiti ini terletak di tangan penyunting. Sebagai regu kerja di GISB, penyunting adalah tenaga belakang tabir. Sifu saya menyifatkan penyunting ini seperti bidan yang menyambut kelahiran bayi. Apabila lahir saja bayi yang comel dengan tangisannya yang disambut senyum ria dan hati berbunga, bidan mengundur membersihkan diri. Kegembiraan menyambut cahaya mata menyebabkan tidak ada siapa yang peduli lagi pada si bidan. Begitulah halnya dengan penyunting, dia hanya mampu tersenyum puas di belakang tabir selepas membidani kelahiran sebuah buku.

Di sisi penulis, penyunting ini membawa pelbagai watak. Dia ialah kanselor yang boleh diharapkan untuk membantu penulis dengan memberikan idea dan saranan. Dia juga seorang pembaca aktif, orang yang agresif memberi komen, kritikan, cadangan, malah ‘gatal tangan’ untuk membaiki dan mengemaskan hasil tulisan penulis. Dia juga bertindak sebagai pemudah cara yang membantu memudahkan penulis menyampaikan isi tulisan.

Di satu sisi lain, penyunting juga ialah doktor bahasa yang memberi khidmat bahasa kepada penulis, dan dia juga pakar bedah yang dipercayai untuk membedah hasil tulisan penulis.


Friday, May 15, 2009

Kemahiran Mendengar Bunyi Ayat

Baik ketika menyunting tulisan sendiri atau tulisan orang lain, kadang-kadang kita perlu mendengar bagaimana bunyi ayat yang ditulis. Saya sudah mengamalkan kebiasaan ini sejak sekian lama terlibat dalam dunia penulisan, iaitu membaca apa yang ditulis. Bukan sekadar membaca di dalam hati tetapi membaca dengan suara. Membacanya hingga telinga saya dapat mendengar bunyi ayat itu.

Apabila bertemu dengan ayat atau frasa yang agak tidak kena, saya akan membacanya dengan suara. Dengan cara ini, saya mendengar bunyi ayat atau frasa itu, bukan sekadar memprosesnya di dalam minda. Memang ada penjelasannya kenapa kita perlu mendengar bunyi ayat yang ditulis. Pengkaji sastera, Sharon Schuman berkata “we need to listen for more than logic, because sometimes our minds fail to explain errors that our ears can detect.” Ya, kadang-kadang minda kita gagal mengesan kesilapan yang telinga kita dapat kesan.

Apabila satu-satu ayat itu janggal didengar oleh telinga, kita perlu buat sesuatu, sama ada membuang atau mengolah semula ayat itu. Saya biasa buat begini pada tulisan saya sendiri atau tulisan orang lain yang saya sunting.

Oleh itu, kerja menyemak tulisan atau karya tidak cukup dengan hanya membacanya di dalam hati. Kita perlu membacanya dengan suara yang telinga kita boleh dengar. Ini juga satu kemahiran iaitu kemahiran mendengar bunyi ayat. Sudah tentu penulis tidak akan menguasai kemahiran ini jika dia tidak menyemak langsung tulisannya.


Thursday, May 14, 2009

Pentingnya Proses ‘Sebelum’ dan ‘Selepas’

Jika ada calon penulis yang menganggap kerja menulis itu hanya duduk menulis semata-mata, mari saya bawakan satu analogi. Saya harap dengan analogi ini, kita akan melihat ada proses yang tidak kurang penting yang perlu dilalui, daripada sekadar duduk mengarang.

Apabila kita hendak membina sebuah rumah, kita harus membuat plan. Kemudian kita harus menyiapkan tapak rumah iaitu menebas dan meratakan tanah. Selepas tapaknya sempurna, barulah rumah dibina. Kemudian, apabila rumah siap, bermula pula kerja mencantikkannya – mengecat, membersihkan sisa bahan binaan dan memasang peralatan yang sesuai. Semua proses kerja ini sama penting.

Kerja menulis juga boleh dilihat dalam urutan yang sama seperti membina rumah. Ada kerja ‘sebelum’ dan ‘selepas’ yang perlu diberi perhatian selain kerja menulis itu sendiri. Jika kita mengabaikan proses ‘sebelum’ dan ‘selepas’, hasilnya tidak akan menjadi sebaik yang kita inginkan, khususnya dalam menghasilkan buku atau novel.

Proses ‘sebelum’ dalam menulis adalah membaca, menyelidik, memeram idea dan memeta (mapping) atau merancang isi tulisan. Bagi kerja menulis novel, ia juga melibatkan proses memilih genre (sama ada genre novel remaja, misteri, kembara, percintaan dsb), mencipta watak, memilih latar, memilih sudut pandangan dan sebagainya.

Manakala proses ‘selepas’ melibatkan kerja memeram draf tulisan, kemudian menyemak dan menyunting. Termasuk dalam proses ‘selepas’ juga adalah memberikan draf karya kepada orang lain untuk dibaca dan diminta pandangan. Proses ini perlu ditangani dengan sebaik-baiknya supaya karya dapat digilap cantik dan berkesan. Berdasarkan pengalaman sendiri serta pengalaman penulis dan novelis yang saya tahu, inilah juga proses di mana karya itu mungkin perlu diolah semula (rewrite).

Sewaktu saya giat mengisi ruangan Fokus dalam majalah ANIS dulu, saya pernah mengolah semula artikel yang siap saya tulis. Biasanya, saya akan memberikan artikel ruangan utama ANIS itu kepada seseorang untuk dibaca. Daripada maklum balas yang saya dapat, saya akan baiki tulisan itu atau menambah apa yang patut, malah pernah ke tahap mengolah semula keseluruhan artikel.

Saya rasa, penulis novel perlu lebih bersedia untuk melakukan kerja mengolah semula karyanya, kerana setiap karya yang baru disiapkan harus dianggap sebagai draf awal atau draf pertama. Jika ibarat rumah, ia baru siap didirikan, belum ditampal plaster simen, dibersihkan dan dicat. Cuma berbeza dengan rumah, tulisan yang disiapkan mungkin tidak seratus peratus mengikut apa yang dirangka atau dipeta. Novel tidak sepenuhnya lahir mengikut apa yang dipeta atau dirangka dalam sinopsis. Ia lebih bebas digarap dan lebih bebas untuk diolah semula kemudiannya.

Mungkin inilah sebabnya Ernest Hemingway mengolah semula novela klasiknya The Old Man and the Sea sampai tujuh atau lapan kali sebelum beliau berpuas hati. Malah beliau bukan sekadar mengolah semula, tetapi menulis atau menyalin semula (beliau menulis menggunakan pensel). Agaknya berapa kalikah Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, mengolah semula novel-novelnya? Khabarnya, Hujan Pagi diolah semula beberapa kali.

Sedemikian pentingnya proses mengkritik, menggilap dan mengolah semula karya sendiri ini hingga dikatakan, selagi seorang penulis tidak boleh menjadi pengkritik yang baik kepada karyanya sendiri, karyanya tidak akan menyinar.

“A rewriting is a large part of what writing a novel is all about,” ungkap Susie Henderson.

Jadi, jangan ada calon penulis yang menganggap kerja sebelum dan selepas proses menulis itu sendiri tidak memerlukan tumpuan penting. Mutu tulisan kita sangat bergantung pada proses ‘sebelum’ dan ‘selepas’ ini, sebagaimana hasil binaan sebuah rumah sangat bergantung pada kerja membuat plan, menyiapkan tapak dan mencantikkan rumah yang disiapkan. Wallahu a’lam.


Thursday, May 7, 2009

Sinopsis Novel Mestilah Lengkap A-Z

Apabila penulis menghantar sinopsis novelnya kepada editor untuk dinilai, editor hendak tahu cerita yang terkandung di dalam novel itu dari awal sampai akhir. Walaupun ia sekadar sinopsis atau ringkasan jalan cerita, editor mahu tahu perkembangan cerita secara keseluruhan. Dari situ, barulah editor dapat menilai secara menyeluruh.

Kesilapan yang biasa ditemui pada proposal novel adalah apabila penulis menamatkan sinopsisnya dengan menimbulkan tanda tanya, “Bagaimanakah kesudahan yang berlaku?” atau ayat yang seumpamanya.

Di GISB, sinopsis novel hanya akan diluluskan selepas editor berpuas hati dengan jalan cerita keseluruhan. Oleh itu penulis disyaratkan menghantar sinopsis dari A hingga Z.

Apabila penulis menghantar sinopsis yang tidak lengkap, editor akan beranggapan bahawa penulis masih tidak jelas dengan penutup novelnya. Proses menulis novel akan terganggu malah terbantut sekiranya penulis tidak tahu bagaimana hendak menamatkan ceritanya. Meminjam kata-kata Faisal Tehrani dalam bengkel penulisan novel di IKIM baru-baru ini, “Selalunya cerita tidak habis sebab penulis tidak membuat pemetaan (mapping).” Penulis tidak merangka ceritanya dari awal hingga ke hujung.

Selalunya saya memberi tempoh tiga bulan kepada penulis untuk menyiapkan manuskrip novelnya selepas meluluskan sinopsis yang diajukan. Saya bukan saja meminta penulis mengajukan sinopsis keseluruhan. Saya juga meminta mereka mengajukan sinopsis bab ke bab. Biasanya saya akan memberikan cadangan atau pandangan berpandukan sinopsis yang dirangka itu.

Plot mungkin berubah sedikit daripada yang dirangka apabila penulis sudah mula menulis. Tetapi penulis akan lebih mudah menggarap dan menyudahkan ceritanya apabila sudah menyediakan sinopsis.

Ada juga proposal novel yang saya luluskan walaupun penulisnya tidak mengajukan sinopsis bab ke bab, sekadar memberitahu saya sinopsis keseluruhan. Tetapi ini kes terpencil. Saya harus benar-benar yakin akan kemampuan penulis ini untuk menggarap cerita itu sampai ke hujung berpandukan pemetaan yang dia sudah sediakan sebagai alat (tool) untuk mula bercerita. Sudah merangka watak-watak, latar tempat, latar masa dan plot (sebab dan akibat) ceritanya dengan jelas. Dan yang penting, sudah nampak apa yang hendak disampaikan melalui ceritanya supaya novelnya boleh dikategorikan sebagai novel Islami.

Bagainamapun, kepada penulis baru, saya sarankan supaya merangka sinopsis bab ke bab. Dan sinopsis itu mestilah dari A sampai Z. Sinopsis tergantung hanya sesuai dijadikan 'blurb' di kulit belakang novel untuk menimbulkan tanda tanya kepada pembaca.

Bagaimana Memesan Buku Terbaru GISB

Ramai juga yang bertanya cara untuk mendapatkan buku-buku terbaru GISB yang belum sampai ke kedai-kedai. Kebanyakan buku terbaru GISB yang dilancarkan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini akan mengambil sedikit masa untuk sampai di kedai. Satu cara mudah untuk memesannya melalui pos bagi yang berada di Malaysia adalah dengan mengikut langkah berikut:

1. Pastikan harga pesanan pos untuk sesebuah buku. (Lihat senarai di bawah bagi harga pesanan pos beberapa buku terbaru GISB. Harga tersebut adalah termasuk belanja pos antara RM1 hingga RM4 untuk senaskhah buku.)

2. Buat bayaran ke akaun Maybank berikut (atas nama GALERI ILMU SDN BHD) 564276200265. Simpan slip bayaran itu.

3. Tulis pesanan dengan menyertakan butiran berikut:
- Judul buku yang dipesan dan harganya termasuk belanja pos.
- Nama pemesan
- Alamat pemesan
- No. telefon pemesan

4. Fakskan butiran pesanan dan slip bayaran ke nombor faks: 03-61421611 (U.P. BAHAGIAN LANGGANAN).

5. Untuk pastikan faks itu sampai, sila hubungi nombor ini: 03-61421614 (Encik Elyas atau Encik Khairuddin).

Saya difahamkan, ia mengambil masa antara seminggu ke dua minggu untuk penghantaran pos.

Berikut adalah senarai harga pesanan pos bagi beberapa buku terbaru GISB (harga di sebelah kanan adalah untuk penghantaran ke Sabah dan Sarawak):

BAWA HATIMU KEPADA TUHAN RM23.00/RM24.00*
U-TURN KE JALAN LURUS RM24.00/RM26.00*
LANGIT ILAHI: Tuhan Tidak Lupakan Kita RM23.00/RM25.00*
RINDU BAU POHON TIN RM19.00/RM21.00*
BERCINTA SAMPAI KE SYURGA RM27.00/RM29.00*
I LOVE YOU TOO RM21.00/RM23.00*
BERAPA HARGA SEGULUNG IJAZAH: RM22.00/RM24.00*
KE MANA WANG ANDA? RM22.00/RM24.00*
ANDA DAN INTERNET RM16.00/RM18.00*
VT RM27.00/RM29.00*
DIARI ANEESA RM19.00/RM21.00*
ANDAI AKU AFFRINA RM19.00/RM21.00*
SATU BULAN TIGA BINTANG RM16.00/RM18.00*
JANJI MIFTAHUL RAUDHAH RM16.00/RM18.00*
HELLO, ANAK-ANAK AYAH! RM11.00/RM13.00*

Kadar harga ini hanya untuk penghantaran di dalam negara.

Wednesday, May 6, 2009

RALAT: Buku Bercinta Sampai Ke Syurga

Rancaknya sambutan kepada buku terbaru Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Aku Terima Nikahnya 2: Bercinta Sampai Ke Syurga, di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC baru-baru ini, datang bersama ujian di pihak penerbit. Lima ribu naskhah buku yang kami cetak mengandungi kesilapan teknikal di salah satu halaman.

Sebagai satu penyelesaian, kami menempah stiker-stiker untuk dilekatkan pada setiap halaman buku berkenaan bagi menutup kesilapan yang berlaku. Ini bermakna, setiap naskhah buku perlu diselak helaiannya untuk ditampal stiker pembetulan. Namun, bagi buku-buku yang sudah terjual, kami memohon kerjasama para pembaca untuk mendapatkan sendiri teks pembetulan tersebut dari laman web GISB. Untuk itu, kenyataan berikut dikeluarkan oleh Jabatan Buku GISB:

"Kami memohon berbanyak maaf kepada para pembeli buku terbaru nukilan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Aku Terima Nikahnya 2: Bercinta Sampai Ke Syurga yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB), kerana terdapat kesilapan teknikal yang tidak disengajakan pada buku tersebut.

"Kesilapan itu dikesan pada halaman 61 di mana terdapat ayat dan paragraf yang hilang (tidak tercetak). Kesilapan berlaku sewaktu proses akhir pembetulan di bahagian rekaletak sebelum dihantar ke kilang cetak.

"Bagi baki stok buku berkenaan yang masih ada, stiker yang mengandungi teks pembetulan ditampal pada halaman berkenaan. Bagaimanapun, bagi buku-buku yang sudah terjual - dan hal ini amat dikesali - b
erikut adalah teks pembetulan yang para pembaca boleh ‘copy & paste’, atau terus dicetak dan digunting untuk ditampal pada halaman buku yang dibeli. Sila klik di sini.

"Sekali lagi, kami memohon berbanyak maaf atas kesulitan."
– Wan Mohd Azmin Wan Dolah
Pengurus Jabatan Buku
Galeri Ilmu Sdn Bhd




Para pembeli juga boleh menghubungi terus:
zakaria@galeriilmu.com.my
nasri@galeriilmu.com.my
019-3342642 (Zakaria)
013-7656245 (Nasri)

Tuesday, May 5, 2009

Cabaran Menampilkan Wadah Islam Yang Orang Suka

Penulis dan penerbit sama-sama menggalas cabaran untuk menerbitkan buku-buku berkualiti yang orang suka tengok dan suka baca. Kata Sifu PTS Puan Ainon Mohd, “yang lebih penting daripada menganjurkan kempen membaca adalah menerbitkan buku-buku yang digemari oleh pembaca. Kalau buku-bukunya ada, insya-Allah buku-buku itu akan dibaca.”

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini menyingkap kebenaran perkara ini, khususnya dalam mengetengahkan buku-buku yang menjadi wadah Islam. Pesta buku seperti ini adalah satu bentuk ‘kempen membaca’ yang sangat berkesan. Dalam keadaan ekonomi yang gawat, pengunjung PBAKL kali ini berbelanja lebih besar daripada PBAKL yang lalu.

Pada hari ketiga Pesta Buku lagi, Tuan Fauzul Naim Ishak, Pengurus Besar (Penerbitan) Kumpulan PTS, memberitahu saya bahawa tanda-tanda menunjukkan pengunjung Pesta Buku kali ini “memang datang untuk membeli buku”. Jangkaan itu tepat. PTS sendiri mencatat peningkatan jualan 60% berbanding tahun lepas. Manakala Galeri Ilmu mencatat peningkatan hampir 50%.

Membeli buku mungkin tidak sinonim dengan membaca buku, tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi kayu ukur kepada kesediaan khalayak untuk membaca. Ketika ramai orang berhati-hati untuk membelanjakan duit kepada perkara-perkara ‘kurang perlu’, 1.8 juta pengunjung Pesta Buku ini meletakkan buku-buku dalam senarai ‘perlu’. Sudah tentu mereka tidak akan berbuat demikian kalau membeli buku hanya untuk disimpan di rak, bukan untuk dibaca.

Di gerai Galeri Ilmu (kali ini empat lot berbanding tahun lalu hanya dua lot), kutipan jualan sepanjang sepuluh hari berlangsungnya PBAKL 2009, adalah RM250,000, berbanding RM130,000 dalam penyertaan kali pertama pada 2008. Salah satu faktornya mungkin disebabkan judul buku yang bertambah dan kehadiran novel-novel motivasi remaja Islami – sektor yang baru diterokai oleh Galeri Ilmu. Walaupun baru enam buah novel yang diterbitkan, ia mula menarik perhatian penggemar novel dan pencinta buku Islami.

Seperti tahun lalu, buku tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil terus mengungguli kutipan jualan. Tambahan pula, kali ini dua buah buku terbaru beliau dilancarkan iaitu Aku Terima Nikahnya 2: Bercinta Sampai Ke Syurga dan Travelog Tarbiah: Rindu Bau Pohon Tin. Kedua-dua buku itu memberi penangan yang sama seperti buku Aku Terima Nikahnya yang sudah dicetak sebanyak enam kali dalam tempoh setahun. Dan buku Aku Terima Nikahnya itu pun masih dijual macam goreng pisang panas.

Sambutan kepada buku-buku Ustaz Hasrizal adalah bukti kepada penangan kuasa blog. Apabila kehadiran buku-buku terbarunya diuar-uarkan di SaifulIslam.Com, laman blog yang dikunjungi sekitar 3,000 hingga 4,000 kali sehari, pengunjung-pengunjung setia blog beliau datang ‘menyerbu’ gerai Galeri Ilmu. Terutama apabila beliau muncul pada program Bicara Buku di pentas utama PWTC.

Fenomena yang hampir sama berlaku kepada buku dan novel garapan penulis muda, Hilal Asyraf. Walaupun tidak sama penangannya dengan buku-buku Ustaz Hasrizal, ramai di kalangan pengunjung gerai Galeri Ilmu yang datang mencari novel VT dan buku motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita karangan Hilal, adalah terdiri daripada pengunjung laman blog beliau, LangitIlahi.Com. Namun oleh kerana Hilal tidak berada di sini untuk meraikan pengunjung-pengunjung blognya (beliau sedang menuntut di Jordan), maka sambutan kepada buku-bukunya tidak semeriah sambutan kepada buku-buku Ustaz Hasrizal. Saya yakin jika Hilal turut berada di gerai Galeri Ilmu, keadaan akan jauh berbeza.

Ustaz Hasrizal sempat beberapa kali muncul di gerai untuk membantu mempromosi buku-bukunya, tetapi Hilal hanya mampu memberi sokongan dan ‘menembak’ doa dari jauh. Mereka yang datang mencari buku Hilal termasuklah guru-guru dan anak muridnya (beliau pernah menjadi guru sementara pada awal 2007 sementara menanti keputusan SPM). Turut menjenguk ialah Ustaz Mahadzir Mohamad, warden di MATRI (bekas sekolah Hilal), yang wataknya wujud dalam novel VT.

Buku Langit Ilahi menghimpun 60 tazkirah yang disampaikan dengan gaya penulisan mirip nukilan Dr. ‘Aidh Abdullah al-Qarni dalam buku motivasi ‘bestseller’ La Tahzan (Jangan Bersedih). Ringkas, santai tetapi mantap. Gaya penulisan yang sama juga terdapat pada buku Ustaz Amaluddin Mohd Napiah, Bawa Hatimu Kepada Tuhan, juga buku terbaru terbitan Galeri Ilmu yang turut menghimpun 60 tazkirah. Buku ini juga mendapat sambutan yang baik, terutama apabila Ustaz Amal muncul di gerai sebanyak dua kali bersama-sama Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali. Ustaz Amal dikenali ramai sebagai penasyid dan pendakwah.

Buah tangan Ustaz Zul Ramli, U-Turn Ke Jalan Lurus, mencatat jualan yang agak memberangsangkan. Mungkin kerana keunikan judulnya di samping kekuatan isinya dan faktor penulisnya. Sudah ramai yang mengenali beliau sebagai pembicara slot Durul Hikmah dalam Radio IKIM.fm dan Eksplorasi Masjid dalam Radio Pahang.fm. (Malam Jumaat lalu Ustaz Zul Ramli muncul dalam slot bicara buku di Radio IKIM.fm dan pagi ini bukunya dibicarakan dalam MHI TV3.)

Dari satu aspek, ia satu petanda bahawa buku-buku motivasi berpendekatan Islam mendapat tempat tersendiri di hati khalayak. Buku Satu Rasa Dua Hati buah tangan Pahrol Mohd Juoi, kolumnis majalah Anis, terus mendapat sambutan setelah lebih setahun berada di pasaran. Lebih-lebih lagi kerana menerima sentuhan wajah baru. Buku terbaru seorang lagi kolumnis majalah Anis, Hajah Rohani Dato' Hj Mohd Shahir, Ke Mana Wang Anda, juga disambut baik oleh pengunjung yang mencari-cari tip untuk mengurus kewangan secara Islam dalam keadaan ekonomi gawat.

Faktor penulis saja tentunya tidak memadai. Orang mencari-cari buku nukilan penulis yang mereka kenali kerana mereka sebenarnya sudah jatuh hati dengan sentuhan penulis itu sama ada melalui penulisan di blog, buku terdahulu atau buah fikiran yang dilontarkan melalui kuliah serta kemunculan di radio dan televisyen. Selebihnya adalah faktor pakej kulit buku dan kualiti buku itu sendiri. Kulit dan isi sama penting untuk memberi impak kepada para pencinta ilmu, termasuk khalayak yang mahukan sentuhan Islami.

Berdasarkan pengalaman Galeri Ilmu, Pesta Buku seperti ini adalah gelanggang yang sangat baik untuk menarik minat membaca rakyat Malaysia. Jika kita hendak menggalakkan orang ramai membaca buku yang menjadi wadah Islam khususnya, kita haruslah menerbitkan lebih banyak buku dengan sentuhan Islami yang menarik kulitnya dan baik isinya. Buku-buku yang orang suka tengok dan suka baca. Orang akan beli asalkan mereka melihat buku itu sebagai barang ‘perlu’.
“Terbukti industri buku adalah kebal-gawat, yakni tidak lut serangan krisis kewangan yang sedang berlaku saat ini. Semakin gawat, semakin naik permintaan bagi buku-buku berkualiti,” ulas Puan Ainon Mohd dalam blog UnikaPTS.
Sekali lagi, ini adalah cabaran buat penulis dan penerbit buku, khususnya yang memperjuangkan wadah Islam. Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam, maka ketinggian Islam harus diperlihatkan pada wadahnya.

Monday, May 4, 2009

U-Turn: Mudah Tapi Mantap

Hari ini saya menambah satu lagi pautan untuk para pengunjung iaitu blog beralamat http://zulramli.blogspot.com/ milik Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, guru dan sahabat lama yang baru-baru ini tampil dengan buku U-Turn Ke Jalan Lurus. Ustaz Zul Ramli adalah contoh penulis yang banyak membantu editor dalam memudahkan urusan penerbitan dan promosi bukunya.

Sewaktu beliau mampir di pejabat Galeri Ilmu menyuakan proposal bukunya pada akhir November lalu, saya lantas bersetuju dengan konsep penulisan buku itu. Beliau menampilkan satu kelainan dalam penulisan buku motivasi. Bukan saja lain daripada yang lain, bahkan cukup menarik dan mempunyai kekuatan tersendiri.

Kira-kira sebulan kemudian, Ustaz Zul Ramli menyerahkan manuskrip lengkap bukunya. Sementara manuskrip bukunya diproses, beliau bertindak proaktif dengan berusaha sendiri membantu memudahkan laluan untuk kerja mentashih dan melakukan kerja pra promosi bukunya. Apabila lafaz-lafaz hadis qudsi untuk bukunya siap ditaip oleh editor Sdr Zuraimi Ismail, Ustaz Zul Ramli membawa naskhah bertaip tulisan Arab dan terjemahannya itu kepada sahabatnya, Ustaz Ramdhan Rafflis untuk ditashihkan (disemak dan disahkan betul). Dengan inisiatif ini, beliau sudah memudahkan satu kerja editor!

Tidak cukup dengan itu, apabila manuskrip bukunya siap direkaletak, Ustaz Zul Ramli meminta beberapa salinan untuk diberikan kepada beberapa orang kenalan berprofail tinggi untuk dibaca dan diberikan komen. Sekali lagi, beliau sudah memudahkan satu kerja editor. Aspek promosi ini sepatutnya difikirkan oleh editor, tetapi Ustaz Zul Ramli menawarkan diri untuk membantu, sekali gus sudah memulakan langkah awal untuk mempromosi bukunya sendiri.

Perkara ini jarang dilakukan oleh penulis. Hanya seorang penulis Galeri Ilmu sebelumnya yang melakukan perkara yang sama iaitu Sdr Hilal Asyraf untuk novelnya VT. Hilal berusaha mendapatkan testimoni beberapa pembaca novelnya dan mengemelkannya kepada saya. Oleh sebab itu, pada kulit belakang novel VT, pembaca boleh membelek testimoni atau komen ringkas daripada beberapa orang pembaca awal novel itu. Hanya komen daripada Dr. Amida Abdulhamid datang daripada inisiatif editor (saya sendiri).

Testimoni yang serupa terdapat pada kulit belakang buku U-Turn Ke Jalan Lurus. Dari aspek promosi, testimoni-testimoni ini membantu melancarkan penjualan buku terutama apabila buku diletakkan di rak-rak kedai. Pembaca akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai kekuatan buku apabila membaca testimoni daripada orang-orang yang sudah membacanya. Lebih-lebih lagi ia datang daripada orang-orang yang berkredibiliti seperti Dr. Robiah K.Hamzah, Ir. Ahmad Jais dan beberapa orang tokoh korporat.

Blog Ustaz Zul Ramli lahir secara ‘instant’ sewaktu berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Terima kasih kepada Sdr Nasri Nasir, editor perolehan di Jabatan Buku GISB (seksyen buku motivasi) yang melapangkan masa untuk membantu meluncurkan blog itu di celah-celah kesibukan tugas di gerai. Wajah blog itu memang belum begitu mantap, namun isinya bagi saya, sangat bernilai. Sebagaimana bicaranya dalam kuliah-kuliah dan di corong radio (slot Durul Hikmah di Radio IKIM.fm dan Eksplorasi Masjid di Radio Pahang.fm), begitulah isi tulisan-tulisannya. Sifu saya Sdr Pahrol Mohd Juoi mengulas begini mengenai buku U-Turn Ke Jalan Lurus: “Fokus dan tersirat. Mudah, tapi mesejnya mantap.”