BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Sunday, February 28, 2010

Penulis Mencari Keyakinan Diri

Penulis seperti tukang masak. Bagi seorang tukang masak yang baru hendak mengembangkan bakat memasaknya, dia akan mempunyai keyakinan diri yang tinggi apabila ada orang makan hasil masakannya dan memberi komen.

Bagi seorang penulis baru, komen yang membina daripada orang yang membaca tulisannya akan menyuntik keyakinan diri. Dia akan yakin bahawa dia memang mampu menulis atau ada bakat menulis.

Oleh sebab itu, mencari seseorang yang dapat memberi komen kepada tulisan sendiri perlu diusahakan dan sang penulis yang baru hendak serius menulis itu perlu bersedia untuk menerima apa jua komen. Salah satu daripada caranya adalah dengan menghadiri bengkel penulisan. Bengkel penulisan pula ada yang berbentuk teori iaitu memberi pengetahuan tentang teknik penulisan serta langkah-langkah menulis, dan ada yang berbentuk praktikal.

Bengkel Lanjutan Penulisan Novel Islami Bersama Nisah Haron yang diadakan di Galeri Ilmu Sdn Bhd pada Sabtu lepas adalah bengkel yang berbentuk praktikal. Pesertanya hanya tujuh orang (had maksimum ditetapkan lapan orang). Kesemuanya datang membawa proposal novel masing-masing iaitu sinopsis dan bab contoh karya mereka.

Para peserta itu datang untuk mendengar komen Nisah Haron tentang karya mereka. Mereka mahukan komen itu untuk membina keyakinan diri bahawa mereka memang mampu atau ada bakat menulis novel. Salah seorang peserta memberitahu saya ketika mengajukan proposalnya, "Saya hanya ingin mendapat sedikit pandangan (banyak pun tak apa) adakah saya mempunyai bakat sebagai penulis. Kalau tidak, saya berhenti takat ini saja. Harap dapat memberi komen dan kritikan ikhlas dan membina."

Dalam sesi pertama bengkel, Nisah antara lain menekankan kepentingan bab pertama bagi sebuah novel. Dalam sesi kedua, beliau memperkatakan proposal yang diajukan satu persatu. Setiap orang teruja untuk mendengar karya mereka dibicarakan.

Alhamdulillah, di hujung bengkel, saya dapat melihat kepuasan di wajah para peserta. Sebelum bengkel bermula, Nisah berbisik kepada saya, "Ada dua proposal yang okey, boleh teruskan menulis."

Dua proposal yang "okey" itu adalah daripada penulis yang novelnya sudah diterbitkan. Komen Nisah meningkatkan keyakinan diri mereka. Lima proposal lain mempunyai jalan cerita yang baik, cuma perlu diperkemaskan. Dan melalui bengkel seperti ini, penulisnya nampak dengan jelas kekuatan karya mereka, serta kelemahan yang perlu dibaiki dan apa yang perlu dibuat untuk memperkemaskannya.


Tuesday, February 9, 2010

BENGKEL LANJUTAN PENULISAN NOVEL ISLAMI

Bengkel ini akan diadakan di Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB) pada Sabtu, 27 Februari 2010, dari 10 pagi hingga 2 petang. Moderatornya ialah novelis yang tidak asing lagi, Puan Nisah Haron.

Para peserta terdiri daripada bekas peserta bengkel penulisan novel Islami/novel remaja Islami anjuran GISB dan telah mengajukan sinopsis dan bab contoh untuk novel masing-masing. Mereka yang belum mengajukannya, boleh berbuat demikian sebelum/pada 20 Februari, seminggu sebelum berlangsungnya bengkel.

Bengkel ini adalah bengkel praktikal. Penulis yang sinopsis dan bab contohnya 'lulus' dalam bengkel ini akan terus diberikan surat tawaran penerbitan yang menyatakan kesediaan GISB untuk menerbitkan karyanya.

Bayaran penyertaan adalah RM130 untuk empat jam bengkel, termasuk makan minum dan ruang solat yang selesa. Peserta dihadkan kepada lapan orang sahaja.

Peserta yang telah mengesahkan kehadiran:
1. Zayu Hisham (BNR DIS09)
2. Fadhilah Yaacob (BNR OKT09)
3. Nurull Halawati
4. Maszuraini
5. Zaihanim Zainal Abidin (BNR OKT09)
6. Dissa Azmin (BNR OKT09)
7. Siti Azlina Mohd Ali


Tuesday, February 2, 2010

Lahirnya Seorang Novelis

Pengalaman novelis Zayu Hisham menarik untuk dikongsi kerana ia membuktikan bagaimana seorang yang sebelumnya tidak pernah membaca dan membeli novel pun, boleh muncul sebagai novelis. Beliau menulis begini di dalam blognya http://ilhamwan.blogspot.com:

Impian Juara adalah sebuah tajuk novel awal remaja yang bertitik-tolak daripada hasrat saya pada bulan April 2009 lepas.

"Saya ingin berjumpa dengan tuan petang ini," saya memulakan perbualan melalui telefon dengan Editor Kanan Galeri Ilmu Sdn Bhd, Encik Zakaria Sungib.

"Saya mahu jadi penulis," ujar saya terus terang.

"Boleh, insya-Allah."

"Tapi saya tidak tahu apa yang mahu saya tulis," balas saya lagi.

"Tulislah sesuatu yang dekat dengan saudara," jawab Encik Zakaria.

"Kebetulan pada bulan depan, pihak kami akan mengadakan Bengkel Penulisan Novel Remaja Islami, saya rasa bagus untuk saudara datang," Encik Zakaria memberi cadangan.

"Tapi …" saya mula risau.

"Kenapa?"


"Saya tidak pernah beli atau baca novel sebelum ini."

"Itu bukan suatu halangan, saudara boleh mulakan dari sekarang," pujuk Encik Zakaria.

Bulan Mei 2009, saya mula mengenali dunia penulisan. Apa itu tema, watak dan perwatakan, plot, gaya bahasa dan sebagainya. Walaupun semasa belajar di tingkatan lima dan enam dahulu, mata pelajaran sastera sudah diterokai, ia masih belum cukup untuk bekal berkecimpung dalam bidang ini.

Selepas itu saya terus berdayung dalam arus penulisan ini. Alhamdulillah, pada bulan Jun 2009, sinopsis novel awal remaja siap. Namun bukan suatu usaha mudah, apabila ia berulang kali keluar masuk dari kotak e-mel. Beberapa kali Encik Zakaria meminta saya mengubahnya. Akhirnya pada bulan Julai 2009, sinopsis diluluskan seperti mana ditulis dalam Impian Juara.

Di dalam proses penulisan manuskrip itu, saya mula semakin dekat dan cinta terhadap dunia penulisan. Bengkel Penulisan Novel Kusyi Hirdan saya kunjungi selepas itu dan diikuti pula Bengkel Penulisan Cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulisan Zaharah Nawawi) yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lebih kurang sebulan selepas itu, seingat saya dalam bulan September 2009, manuskrip siap dan dihantar ke meja Encik Zakaria. Cuma agak kelakar juga kerana saya begitu ghairah sehinggakan proses pengeraman tidak dilakukan sebaik mungkin. Siap sahaja ayat terakhir, saya katakan kepada Encik Zakaria, "Manuskrip sudah siap."

Selepas itu saya mula sibuk berhubung dengan penyunting novel ini, Puan Zulina Hassan, salah seorang novelis dan bekas wartawan yang saya hormati. Dia banyak mengajar dan memberi bimbingan serta teguran kepada saya. Kalau tidak, Impian Juara tidak akan diterbitkan seperti mana hari ini. Terima kasih.

Barulah saya tahu, bukan senang rupanya menjadi seorang penulis walaupun ia sebuah naskhah setebal 114 muka surat. Tapi cabaran ini telah memberikan saya suatu kepuasan tidak terhingga. Daripada impian saya mahu menulis pada bulan April 2009, dan pada bulan Disember 2009novel Impian Juara berada di toko-toko buku. Bagai mimpi apabila sebuah buku tertera nama Zayu Hisham sebagai penulisnya. Itulah Keazaman Membara menjadi suatu realiti. Syukur ke hadarat Ilahi di atas keizinan-Nya.
*Terima kasih kepada Saudara Nimoiz TY, penulis buku 'Menjadi Penulis Jutawan' yang memberikan saya inspirasi untuk menulis sebelum ini. Walaupun saya telah miliki buku ini pada April 2007, saya tidak jangka selepas 2 tahun ia baru direalisasikan.
*Terima kasih Galeri Ilmu Sdn Bhd kerana beri ruang dan peluang untuk saya belajar dan menulis.