BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, March 31, 2010

Jadual Penerbitan vs Jadual Penulisan

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) adalah juga tempat para pengarang mempersembahkan karya terbaru mereka kepada khalayak pembaca. Penerbit seperti Galeri Ilmu amat menggalakkan para pengarangnya menghasilkan judul buku baru setiap tahun, supaya pada setiap kali berlangsungnya PBAKL, mereka mempunyai judul terbaru.

Selepas tiga kali penyertaan dalam PBAKL, Galeri Ilmu sudah dikenali di kalangan rangkaian kedai-kedai buku besar seperti MPH, Popular dan Badan Cemerlang. Bagaimanapun, rangkaian kedai-kedai buku ini menantikan judul-judul buku baru daripada Galeri Ilmu pada setiap bulan, bukan hanya pada musim pesta buku. Oleh itu, Galeri Ilmu akan lebih serius menghasilkan judul-judul baru secara bulanan, bukan bermusim.

Langkah ini memerlukan sokongan daripada pengarang-pengarang. Alhamdulillah, beberapa orang pengarang Galeri Ilmu sudah mula lebih bersungguh-sungguh menyiapkan karya mereka yang seterusnya sebaik-baik berakhirnya pesta buku. Mereka ini bersikap proaktif dalam berkarya. Mereka tidak menunggu penerbit bertanyakan manuskrip, sebaliknya mengajukan proposal buku mereka lebih dahulu untuk dinilai. Dan apabila saja proposal diluluskan, mereka cuba mematuhi tarikh yang disasarkan untuk menyempurnakan kerja menulis.

Penerbit telah menyusun jadual penerbitan buku-bukunya dari bulan ke bulan. Pengarang perlu mempunyai jadual penulisan sendiri. Selain untuk memenuhi 'deadline' yang diberikan penerbit, jadual penulisan ini membolehkan pengarang membuat sasaran sendiri dalam menulis atau berkarya.

Ini rahsia sesetengah pengarang mampu menulis lebih daripada dua atau tiga buku setahun. Bagi pengarang yang benar-benar mahu menjadikan penulisan sebagai kerjaya atau agenda besar dalam hidup, jadual penulisan ini adalah satu kemestian.

Nota 'Simple' Yang Mengocak Fikir dan Zikir

“Inilah pertama kali saya menulis buku yang simple seperti ini,” beritahu Pahrol Mohd Juoi mengenai buku terbarunya bersama Galeri Ilmu. Buku beliau yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu sebelum ini, Satu Rasa Dua Hati, setebal 224 halaman. Buku terbarunya, Nota Fikir Untuk Zikir, hanya setebal 184 halaman.


Nota Fikir Untuk Zikir memang sebuah buku yang simple dan santai. Idea menerbitkan buku ini bermula dalam sembang-sembang selepas solat Zuhur di serambi sebuah masjid pada satu tengah hari pada akhir Februari lalu. Beberapa minggu kemudian, Saudara Pahrol mengajukan manuskrip buku ini. Itulah kelebihan penulis ini – aliran mata penanya sederas bicara lidahnya yang spontan berisi.


Izinkan saya memetik sedikit bicara Haji Ann Wan Seng dalam kata pengantar untuk buku Nota Fikir Untuk Zikir:


“Saya telah mengenali penulis buku ini sejak hampir dua puluh tahun yang lalu. Beliau merupakan seorang penulis yang serba boleh dan mampu menulis di dalam pelbagai genre penulisan sama ada yang berbentuk serius ataupun yang santai. Kelebihan yang terdapat pada beliau adalah keupayaan mengolah sesuatu persoalan daripada dimensi yang berbeza dan memberikan persepsi baru terhadap perkara yang digarapnya.


“Di dalam buku ini, kita didendangkan semula dengan pelbagai kisah dan cerita yang pernah kita dengar sewaktu masih kecil dahulu. Kisah-kisah seperti Si Tanggang, Arnab dan Kura-Kura, Batu Belah Batu Bertangkup dan sebagainya tidaklah asing bagi masyarakat kita. Di dalam kisah-kisah lama ini sebenarnya banyak iktibar dan pengajaran yang dapat diambil. Namun, ramai yang tidak menyedarinya. Kita hanya melihat yang tersurat tetapi jarang sekali menyelami perkara yang tersirat. Melalui buku ini, penulis bukan sekadar mengajak kita mengambil iktibar daripada kisah-kisah yang dulu tetapi juga melihat nilai-nilai agama, moral dan sosial yang terdapat di dalam setiap kisah itu.


“Apa yang menarik mengenai buku ini adalah setiap paparan itu akan disertai dengan huraian yang agak mendalam sama ada daripada aspek akidah, syariat ataupun akhlak. Sesungguhnya bagi mereka yang membaca Bahagian Pertama buku ini yang mengandungi sepuluh buah cerita dan kisah teladan akan terkesan dengan aspek moral yang dipaparkan. Sekaligus akan menajamkan daya fikir kita supaya memiliki pengamatan yang tajam terhadap setiap pengkisahan yang diwarisi dari masa silam.


“Walaupun sesetengah daripada cerita itu hanya merupakan dongengan dan fantasi semata-mata, ia merupakan manifestasi terhadap akal budi manusia itu sendiri. Ia membuktikan betapa akal yang dikurniakan oleh Tuhan kepada kita semua mampu menerobos dan menjangkau dimensi kehidupan di dunia ini.


“Dalam Bahagian Kedua buku ini, penulis mengajak kita merenungi kejadian di alam ini. Terlalu banyak yang boleh kita pelajari daripada alam, haiwan dan tumbuh-tumbuhan bahkan seluruh isinya termasuk kejadian semulajadi seperti pasang surut air laut, gempa bumi, hujan dan sebagainya.


“Penulis menasihatkan kita supaya menjadi seperti lebah yang walaupun ditakuti kerana sengatnya, hidupnya sentiasa mencurahkan bakti tanpa henti-henti. Apa yang lebih menarik di Bahagian Kedua ini, penulis mengajak kita belajar bersyukur daripada buah tembikai. Lebih menarik lagi, penulis berkongsi rahsia dengan kita tentang keajaiban unta yang menjadi binatang tunggangan Nabi. Membaca buku ini akan membawa kita berkenalan dengan lebih rapat dan akrab dengan pokok, cicak, lalang, pisang, kelapa, padi, rumput, langit dan helang. Lebih menakjubkan, kita didedahkan dengan kisah mengenai masa dan perkara ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.


“Bahagian Ketiga buku ini pula memuatkan mutiara-mutiara kata yang berharga yang menggambarkan kebijaksanaan manusia sepanjang zaman. Menurut penulis, kejayaan yang dicapai hari ini mungkin akan menjadi musuh pada kejayaan esok. Oleh itu, kita perlu sentiasa beringat dan jangan lupa dengan bumi yang dipijak dan langit yang dijunjung. Maka itu, belajarlah merendahkan diri mengikut resmi padi. Makin tunduk makin berisi atau makin berisi semakin tunduk ke bawah.


“Kata-kata hikmat yang paling power di dalam bahagian ini yang benar-benar meninggalkan kesan ke dalam sanubari saya adalah ‘Jangan pulang sebelum berangkat’. Untuk mengetahui lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan kata-kata itu, eloklah membacanya sendiri. Itulah Pahrol Mohd Juoi yang saya kenal, yang memiliki daya nalar yang tajam tetapi sentuhannya cukup lembut sehingga mampu menusuk kalbu dan mengugah akal untuk melihat kebenaran dan kebesaran Ilahi.”


Haji Ann Wan Seng ialah Setiausaha Agung Kehormat MACMA dan merupakan penulis buku bestseller Rahsia Bisnes Orang Cina.

Tuesday, March 30, 2010

PBAKL Menjadi Medan Pertemuan

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2010 yang tamat kelmarin, mempertemukan saya dengan ramai kenalan dan sahabat. Malah, booth Galeri Ilmu di ruang legar PWTC juga menjadi tempat pertemuan ramai penulis.

"Terima kasih kerana mempertemukan ana (saya) dengan Pak Nora. Sedih, antara ana dan dia siapalah yang dijemput Allah dulu," luah sahabat saya Pahrol Mohd Juoi yang menulis kata pengantar untuk buku Di Tengah Kota: Memoir Sasterawan Nora dan hanya berkesempatan bertemu kembali dengan sasterawan itu di pesta buku sejak sekian tahun.

Saya berbesar hati dengan kehadiran penulis-penulis dan novelis-novelis Galeri Ilmu yang membantu mempromosi buku masing-masing. Saya juga berbesar hati dengan kunjungan rakan penulis seperti Ustaz Mohd Ghazali Ibrahim, Nisah Haron, Zaid Akhtar dan ramai lagi. Malah saya sangat berbesar hati dengan kehadiran beberapa orang calon penulis Galeri Ilmu, termasuk yang selama ini saya hanya temui di ruang maya (melalui e-mel).

Cuma dua orang penulis Galeri Ilmu yang belum sempat meramaikan booth Galeri Ilmu dalam PBAKL, iaitu Sdr Hilal Asyraf dan Sdr Hasan Suyut, penulis buku Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah. Sdr Hilal (penulis siri buku tarbiah rohani Langit Ilahi, novel VT, Remaja Mulia dan Sinergi) sedang menuntut di Universiti Yarmouk, Jordan, manakala sahabat saya Sdr Hasan berada di Amerika Syarikat sejak 2007.

Hilal Asyraf dan Hasan Suyut belum berkesempatan balik ke Malaysia sejak manuskrip buku mereka mula diusahakan hinggalah ke saat buku masing-masing diterbitkan dan dipamerkan di pesta buku. Malah, saya dan rakan-rakan di Galeri Ilmu belum pernah bersua muka dengan Hilal Asyraf walaupun sering berhubung melalui e-mel dan beberapa kali bercakap melalui telefon dengan beliau di Jordan. Hasrat untuk melihat Sdr Hilal dan Sdr Hasan muncul di PBAKL belum kesampaian.

Mentor penulisan/penerbitan buku Tuan Fauzul Na'im Ishak (Pengurus Besar Editorial PTS) turut menjengah booth Galeri Ilmu, dan saya hanya sempat membalas kunjungan ke booth PTS bertemu dengan beliau, Puan Ainon Mohd dan Prof. Abdullah Hassan pada detik-detik akhir sebelum tirai PBAKL dilabuhkan. Kami di Galeri Ilmu pernah menjemput Puan Ainon memberikan ceramah penerbitan buku dua tahun lalu. Saya juga pernah beberapa kali menghadiri bengkel kendalian Puan Ainon dan bengkel Tuan Fauzul Na'im. Maka saya berbesar hati dapat menghadiahkan buku terbaru saya, Secubit Halwa Penawar Jiwa: 100 Kisah Kehidupan kepada Puan Ainon dan Tuan Fauzul Na'im.

Saya mendapat lebih pencerahan untuk menulis buku itu selepas menghadiri bengkel Tuan Fauzul di DBP. Dalam sesi PDK bengkel itu, saya membentangkan cadangan penulisan buku itu bersama kumpulan saya. Dan pada PBAKL kali ini, buku itu menjadi realiti. Alhamdulillah.

Pada detik-detik akhir sebelum tamatnya PBAKL 2010 juga, barulah saya sempat 'berkejar dengan masa' membeli sejumlah buku, termasuk di booth PTS. Main sambar-sambar saja.

"Jumpa lagi tahun hadapan," sapa petugas di kaunter bayaran booth PTS.

"Insya-Allah jumpa lagi, mudah-mudahan," sahut saya.

Jika panjang umur, PBAKL 2011 akan menjadi medan pertemuan seterusnya dengan sahabat dan kenalan yang dekat dengan dunia buku. Insya-Allah.




Friday, March 19, 2010

Pesta Buku Terbesar Bermula Hari Ini


Hari ini, 19 Mac 2010, pesta buku terbesar di Malaysia iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di PWTC, bermula.

Mulai 10 pagi hari ini, buat kali ketiganya Galeri Ilmu Sdn. Bhd. menemui khalayak pembaca secara langsung di pesta buku yang bakal berlangsung selama 10 hari (berakhir Ahad, 28 Mac).

Penampilan pertama Galeri Ilmu di PBAKL pada 2008 menyuntik semangat baru kepada seluruh tenaga kerja syarikat ini apabila bahan-bahan bacaan berunsur Islam yang Galeri Ilmu terbitkan mendapat sambutan menggalakkan. Sambutan yang tambah memberangsangkan dapat dilihat di PBAKL 2009 walaupun penulis-penulis Galeri Ilmu bukan nama besar dalam dunia penulisan tanah air dan ekonomi sedang gawat.

Kali ini Galeri Ilmu tampil dengan sajian lebih banyak judul baru. Salah satu sektor yang Galeri Ilmu ceburi secara serius adalah penerbitan novel-novel Islami. Dalam masa setahun ini, Galeri Ilmu menampilkan 12 novel iaitu empat novel dewasa dan selebihnya novel remaja serta awal remaja. Ini menjadikan kesemuanya 20 novel diterbitkan dalam masa dua tahun.

Alhamdulillah, khalayak sudah mula mengenali Galeri Ilmu sebagai penerbit novel-novel Islami. Maklum balas yang diterima daripada para pembaca novel-novel Galeri Ilmu tidak mengecewakan.

Sesungguhnya para pembacalah yang akan menilai, manakala di pihak kami, kami berusaha memenuhi hasrat untuk melahirkan novel-novel Islami yang sedap dibaca, menggunakan bahasa Melayu yang baik dan betul atau disebut sebagai Bahasa Melayu Tinggi, istimewa penampilannya dan berkesan nilai didikannya.

Jumpa anda di booth Galeri Ilmu, insya-Allah. Seperti tahun-tahun sebelumnya, Galeri Ilmu mendapat tapak booth di ruang legar (satu aras dengan pentas).

Oh ya, jangan lupa dapatkan buku saya, Secubit Halwa Penawar Jiwa: 100 Kisah Kehidupan. Saya jangka, pada 24 atau 25hb, buku saya akan mula dijual. Buku setebal 332 halaman ini berharga RM20.

Saya juga bekerjasama dengan sasterawan Haji Ali Haji Ahmad (Nora) menghasilkan buku Di Tengah Kota: Memoir Sasterawan Nora, yang diberi kata pengantar oleh Pahrol Mohd Juoi, manakala saya sendiri menulis nota-nota pinggir. Buku ini juga dijual dengan harga RM20. Baca coretan Pahrol dalam Memori Untuk Kakek di genta-rasa.com.

Wednesday, March 17, 2010

Kisah-kisah Tarbiah


Saya sangat terkesan dengan kisah-kisah yang dimuatkan dalam buku Chicken Soup for the Soul. Kisah-kisah itu mempunyai nilai kemanusiaan yang universal. Ia mampu menyuburkan fitrah, mencerahkan minda dan menjernihkan jiwa.

Buku 'bestseller' itu sudah dibukukan secara bersiri dengan puluhan judul. Disebabkan kuatnya kuasa cerita, buku itu memberi impak yang besar kepada khalayak pembaca. Ia menghimpun kisah-kisah yang merupakan terjemahan 'skrip kehidupan' daripada Tuhan, yang sarat hikmah dan ibrah untuk manusia.

Sukar untuk ditemui buku-buku yang menghimpun kisah-kisah kehidupan yang diberi nafas Islam. Kalau ada pun, ia tidak setebal himpunan kisah-kisah dalam siri Chicken Soup. Maka saya berasa terpanggil untuk menghasilkan buku ala Chicken Soup, yang disuntik sedikit nilai tarbiah.

Sebagai usaha awal, saya menginisiatifkan himpunan kisah-kisah yang ditulis oleh rakan editor, Hajah Jalilah Abdullah, Editor majalah Anis. Saya bekerjasama dengan beliau melahirkan buku Alahai Pengantin Baru (Galeri Ilmu Sdn Bhd, 2008) yang menghimpun 111 kisah kehidupan yang mempunyai nilai tarbiah. Saya sendiri terkesan dengan banyak kisah yang dimuatkan dalam buku itu.

Saya juga sangat terkesan dengan kisah-kisah yang dimuatkan dalam buku U-Turn Ke Jalan Lurus (Galeri Ilmu, 2009). Melalui buku itu, penulisnya Ustaz Zul Ramli M. Razali menyulam kisah kehidupan yang sangat mengesankan dan sangat tinggi nilai tarbiahnya, di samping menghubungkaitkan ibrah daripada kisah-kisah itu dengan maksud hadis-hadis himpunan Imam al-Ghazali.

Baik dalam Alahai Pengantin Baru mahupun U-Turn Ke Jalan Lurus, setiap kisah yang dimuatkan mengandungi hikmah yang Allah datangkan sebagai bahan pembelajaran di universiti kehidupan.

Dalam masa yang sama, saya melihat satu kekuatan pada siri buku Chicken Soup yang menjadikan ia istimewa dan impaknya besar kepada pembaca, iaitu himpunan kisah-kisah di dalamnya disumbangkan oleh ramai pencerita. Hal ini menjadikan kisah-kisah itu tidak 'monotonous' -- senada atau seragam, sebaliknya lebih pelbagai.

Maka ini akhirnya mendorong saya menghasilkan buku Secubit Halwa Penawar Jiwa: 100 Kisah Kehidupan, yang memuatkan 100 kisah bernilai tarbiah yang disumbangkan oleh ramai pencerita. Selain kisah-kisah yang saya sendiri tulis, saya memuatkan kisah daripada Hajah Jalilah dan Ustaz Zul Ramli, Haji Abu Hassan Morad, Hajah Aliyah Sijari, sahabat saya Pahrol Mohd Juoi, blogger Hilal Asyraf, rakan editor Zuraimi Ismail, Norhashimah Abd. Rahman, rakan penulis Ummu Hani Abu Hassan, Mohd Rusdi Abdullah, dan ramai lagi. Malah isteri saya Fauziah Ghazali, anak gadis saya Raihanah dan Rabiatul Adawiyah, turut menyumbang kisah masing-masing.

Saya memilih kisah-kisah 'halwa jiwa' yang mudah-mudahan dapat menjadi penawar kepada keluh-kesah, kekeliruan dan tekanan hidup seharian. Kisah-kisah itu bercerita tentang kesyukuran, kesabaran, ketabahan, pengorbanan, kasih sayang dan sifat-sifat lain yang Allah redhai.

Sesungguhnya cerita mempunyai impak tersendiri dalam proses pentarbiahan manusia. Saya mengharapkan buku ini mampu menyumbang sesuatu.


Wednesday, March 10, 2010

Proposal Bertulis Tangan

Saya menerima sebuah proposal novel bertulis tangan. Penulisnya, seorang suri rumah dari Kedah, menelefon saya beberapa hari sebelum ini memaklumkan kesulitannya untuk mengirimkan naskhah yang bertaip. Lalu, dia meminta saya menilai proposalnya – sinopsis dan bab contoh sebuah novel awal remaja – yang ditulis dengan tulisan yang kemas pada helaian-helaian kertas kajang.


Saya menganggapnya sebagai kes terpencil. Seperti juga ramai editor lain, saya tidak menggalakkan penulis mengirimkan karya bertulis tangan.


Sebelum ini, sepanjang saya menjadi editor, saya hanya mengenali seorang penulis yang menghantarkan artikel-artikelnya yang bertulis tangan untuk siaran dalam majalah setiap bulan. Tulisan-tulisannya bagus dan berisi.


Tidak ramai penulis yang mampu menulis sebuah artikel, apatah lebih lagi novel, dengan tulisan tangan. Saya ada rasa kagum kepada penulis yang mampu berbuat demikian. Penulis ini tentu mempunyai cara berfikir yang jelas. Dia mampu menulis dengan baik tanpa membuat banyak pembetulan.


Saya tidak pasti apakah penulis yang baru saya terima proposalnya itu telah menulis semula karyanya sebelum dikirimkan kepada saya. Yakni, apakah dia sudah menulis draf dan kemudian menyalin semula karya itu pada helaian-helaian kertas lain. Saya tidak menemui banyak contengan atau pembetulan pada naskhah itu.


Saya teringat beberapa orang penulis novel yang memang gemar menulis karyanya dengan tulisan tangan. Mereka termasuklah Ernest Hemingway. Beberapa orang novelis kontemporari di Barat pun ada yang menulis dengan tangan. Tetapi saya yakin, mereka menaip karya mereka sebelum mengirimkannya kepada penerbit. Lebih-lebih lagi di negara seperti Amerika di mana penulis novel biasanya berurusan dengan agen manuskrip, tidak berurusan terus dengan penerbit. Sudah tentu tidak ada agen manuskrip yang mahu menerima manuskrip bertulis tangan.


Berbalik kepada penulis yang baru saya terima proposalnya tadi, saya sanggup membaca proposalnya walaupun hanya bertulis tangan kerana dia menelefon dulu memaklumkan kesulitannya menaip karyanya. Bersama proposal yang dihantarnya juga, dia mengepilkan surat iringan yang ditulis dengan nada lembut, tidak mendesak.


Saya sama sekali tidak menggalakkan mana-mana penulis lain menghantarkan karya bertulis tangan untuk dinilai. Apa yang ingin saya tekankan di sini adalah perlunya penulis menjalin hubungan langsung dengan editor.


Editor sebagai manusia biasa, berasa selesa untuk berhubung dengan penulis yang mahu berinteraksi secara langsung, bukan sekadar mewakilkan karyanya.