BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, April 29, 2010

Surat Peserta Bengkel

Encik Razali Rahmat ialah seorang penolong pengurus sumber manusia di Alor Setar, Kedah. Beliau salah seorang peserta Bengkel Penulisan Yayasan PAKSI-Galeri Ilmu yang diadakan di sana baru-baru ini.

Sebagai satu cara memotivasikan dirinya untuk terus menulis, beliau menulis e-mel kepada rakan-rakan peserta yang salinannya ditujukan kepada kami di Galeri Ilmu. Saya turunkan e-mel beliau di sini tanpa mengubah ayat atau ejaannya.


Assalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh,

Selamat sejahtera kepada para sahabat yang saya kenali melalui bengkel penulisan yang kita sama-sama hadiri pada 9 & 10 April 2010 di WNS Homestay tempoh hari. Selama ini kita hanya mengenal wajah-wajah yang menghadiri kuliah-kuliah anjuran PAKSI sama ada di Menara Zakat ataupun di kediaman Menteri Besar, Mentaloon tanpa dapat berbicara dalam ertikata yang sebenarnya.

Walaupun pada setiap pertemuan yang terbatas kita dapat bersua muka dan sekurang-kurangnya menghadiahkan sedekah senyuman, namun kesempatan berbicara amat payah untuk kita lakukan. Masa-masa yang amat terbatas itu selalunya dicemburui dengan pelbagai aktiviti rutin serta komitmen-komitmen lain yang datangnya bertali arus samada yang memang telah dirancang atau timbul secara tiba-tiba.

Saya amat yakin bahawa kesemua peserta yang menghadiri bengkel penulisan tempoh hari mempunyai matlamat asas yang saya jangkakan serupa iaitu untuk turut sama menyumbang bakti dan tenaga dalam menyebarkan ilmu pengetahuan dan pemahaman yang kita perolehi dari semua sessi kuliah pengajian yang telah kita hadiri. Lantaran dari itu, saya dan isteri saya (Puan Rohaya Man) seperti mana juga para sahabat yang lain telah menyahut seruan menghadiri bengkel penulisan yang diatur atas inisiatif Yayasan Paksi dengan kerjasama dengan pihak Galeri Ilmu.

Terima kasih kepada Cikgu Sukarno merangkap Setiausaha Yayasan Paksi yang mencetuskan idea ini, Jawatankuasa penganjur serta tenaga pengajar dari Galeri Ilmu Tuan Haji Zakaria Sungip dan En Nasri Nasir yang begitu komited memperturunkan petua-petua dalam ilmu penulisan kepada para peserta.

Tulisan saya kali ini adalah antara langkah awal yang saya ambil untuk memberi keyakinan dan dorongan kepada diri sendiri serta meneruskan momentum yang telah diperolehi dari bengkel yang dihadiri tempoh hari. Secara jujurnya saya tidak malu untuk mengakui bahawa perasaan tidak yakin, takut dan rendah diri masih menyelubungi diri saya sehingga ke saat ini.

Mungkin agak terlambat untuk saya menulis kepada para sahabat, namun itu adalah lebih baik daripada tidak melakukannya langsung. Fakta yang tidak boleh diketepikan begitu sahaja bahawa sememangnya agak sedikit payah untuk kita mencari "masa" bagi memulakan penulisan. Memetik kata-kata Cikgu Sukarno dalam perjumpan kita di bilik VIP Dewan Sri Mentaloon tempoh hari, Allah memberi tempoh masa yang sama iaitu 24 jam sehari kepada semua manusia. Tidak ada yang dapat lebih atau kurang. "Lapangkan masa bukan sekadar menunggu masa lapang", catatan nota yang diberikan oleh Tuan Haji Zakaria tempoh hari.

Jadi kini terpulang kepada kita untuk mengurus masa tersebut agar boleh diluangkan untuk kerja-kerja penulisan kita. Semoga kita semua tidak tergolong di kalangan mereka yang rugi seperti maksud kalam Allah dalam surah Al-Ashr.

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar"

Tidak perlu untuk menafikan hakikat bahawa memang ada kepayahan untuk mengubah rutin harian kita pada peringkat permulaan ini.. Namun saya dan isteri saya berkeyakinan bahawa niat murni kita ini akan mendapat pertolongan dari Allah subhanahu ta'ala. Kita perlu yakin dan mesti sentiasa berusaha untuk memperelokkan hubungan kita dengan Allah subhanahu ta'ala dan dengan izin-Nya juga akan dipermudahkan segala urusan kita sebagai hamba-Nya yang hina di dunia ini. Bersihkan niat dan betulkan
tujuan kita. Bak kata pepatah alah bisa tegah biasa.

Memetik antara kata-kata motivasi yang disampaikan oleh Tuan Haji Abu Hassan Morad tempoh hari, kita seharusnya bersyukur kerana kecenderungan untuk menulis itu sebenarnya adalah merupakan rahmat dari Allah subhanahu ta'ala yang amat besar. Hari tersebut adalah permulaan yang sangat cantik untuk meneruskan kecenderungan kita untuk menulis; tambahan pula ianya suatu kerja yang pasti akan diangkat darjatnya oleh Allah subhanahu ta'ala selagi mana ianya dalam landasan taqwa yang digariskan.

Kita mestilah bersedia untuk meninggalkan atau mengurangkan kebiasaan yang kurang nilai atau manafaat pada agama dan mengambil peluang mengisi ruang itu untuk menulis. Memang terlalu sedikit sangat orang di Malaysia ini yang menulis bagi menyambung "lidah" Rasulullah berlandaskan taqwa kepada Allah subhanahu ta'ala. Menulis juga adalah suatu media untuk meneruskan kerja-kerja dakwah Islamiah di bumi Allah ini. "Power of writing will change the history" dan ini memang telah terbukti benar.

Saya pasti para sahabat yang dihormati masih mengingati akan petikan maksud hadith yang disampaikan dalam kuliah Ustaz Zainol Asri bin Ramli di Menara Zakat suatu ketika dulu.

"Sesiapa yang akhirat adalah perkara yang menjadi PERHATIAN, nescaya Allah subhanahu ta'ala akan menjadikan kekayaan di dalam hatinya dan Allah subhanahu ta'ala akan menghimpunkan semua pekerjaan padanya dan dunianya akan datang secara terpaksa yakni dalam keadaan merafak sembah kepadanya. Manakala sesiapa yang paling PEDULI pada dunia, Allah subhanahu ta'ala akan menjadikan kefakiran itu di antara dua matanya dan menyelerakkan pekerjaannya dan dunia akan datang padanya sekadar yang telah ditetapkan oleh Allah subhanahu ta'ala"

Semoga limpahan rahmat dan hidayah dari Allah subhanahu ta'ala akan berterusan menaungi kehidupan kita di dunia dalam menuju perjalanan ke alam akhirat yang kekal abadi serta tiada kesudahannya. Sebagai makhluk yang kerdil lagi hina di sisi Allah subhanahu ta'ala, kita juga sangat-sangat mengharapkan agar taufik ataupun dalam bahasa mudahnya restu dari Allah juga dianugerahkan kepada kita sebagai sumber kekuatan untuk melaksanakan ketaatan dan seterusnya dapat menjadi insan yang bertaqwa.

Mengimbas kembali nota-nota yang diambil dalam bengkel tempoh hari, marilah kita sama-sama bertekad untuk meneruskan kecenderungan untuk menulis ini. Mula menulis untuk menjadi penulis dan jadikan ianya agenda besar dalam hidup kita. Teruskan membaca dalam konteks untuk menulis kerana ianya "cannot be teached but can be learned". Belajar menulis itu seperti belajar berenang dan belajar dari pengalaman tukang jahit.

Umur bukanlah faktor penghalang untuk menjadi penulis. Penulis terkenal Enid Blyton hanya mula menulis buku ketika usianya mencecah empat puluhan. Begitu juga dengan penulis-penulis muda yang tidak kurang hebatnya antaranya Ummu Hani Abu Hassan, Hilal Asyraf yang terbukti mampu menghasilkan tulisan yang telah dibukukan pada usia yang masih muda. Teori yang kita perolehi dari bengkel tempoh hari perlu dipraktikkan dengan mula menulis. Mari kita gabungkan bakat dan kemahiran yang kita ada untuk menjadi penulis. Insya-Allah, kesungguhan kita akan berbaloi dan akhirnya kita akan sampai ke tahap "Unconcious Competence" (kemahiran di luar sedar).

Akhir kata, terima kasih kepada semua yang membaca tulisan saya ini sehingga habis. Masa yang diluangkan untuk membaca tulisan ini amatlah saya hargai. Sekiranya ada yang ingin memberikan teguran kepada tulisan ini, saya persilakan dengan besar hati.

Wassalam.
Razali Rahmat

Wednesday, April 28, 2010

Kesilapan Lazim Dalam Olahan Cerita

Apabila menerima banyak manuskrip novel dari semasa ke semasa, saya mula dapat mengenal pasti beberapa kesilapan lazim dalam olahan cerita atau penyampaian. Ingin saya kongsikan perkara-perkara itu di sini, mudah-mudahan dapat menjadi sedikit panduan.

1. Bab pertama tidak cukup kuat untuk memancing minat pembaca. Ramai penulis belum menyedari kepentingan bab pertama maka ramai yang tidak cuba menjadikan bab pertama itu benar-benar memikat dan 'menyelerakan'. Mereka membiarkan bab pertama itu meleret-leret, lambat sampai kepada cerita dan belum ada bayangan konflik.

Ada penulis yang melonggokkan maklumat tentang watak utama atau latar di bab pertama, menjadikan bab pertama itu 'sesak' dengan maklumat.

2. Tidak cuba membawa kelainan pada cerita, watak, kerangka masa dan latar tempat (lokasi). Contoh kelainan pada latar tempat adalah memusatkan cerita di dalam sebuah bas dalam satu perjalanan jauh. Contoh kelainan pada kerangka masa adalah memusatkan cerita yang berlaku dalam bas itu hanya dalam kerangka masa satu malam.

3. Penceritaan dibiarkan mendatar. Penceritaan mendatar ini disebabkan tiada konflik yang kuat atau konflik yang dicipta tidak diperpanjangkan. Tiba di satu tahap, ia habis begitu saja, menyebabkan graf konflik kembali mendatar atau menurun, tidak lagi mendaki. Tiada halangan-halangan (obstacles) yang boleh mencetuskan situasi-situasi luar biasa. Dengan kata lain, watak tidak diletakkan dalam situasi yang betul-betul mencabar.

4. Tidak memanfaatkan fungsi dialog untuk menghidupkan cerita. Apabila dialog tidak menggerakkan cerita, tidak mengandungi maklumat yang membantu pergerakan cerita dan tidak membantu mencetuskan atau mencorak situasi, dialog itu akan menjadi basa-basi perbualan biasa.

5. Sama ada tidak memberi gambaran latar dengan jelas atau terlalu berlebihan dalam memberikan gambaran latar. Sering dikesan pada karya penulis baru, gambaran latarnya kabur atau tidak ada langsung hingga membuatkan pembaca tidak tahu di mana atau bila sesuatu babak itu berlaku. Sering juga dikesan pada karya penulis baru yang sedar pentingnya gambaran latar tetapi meleret-leret dalam menggambarkannya.

6. Sudut pandangan (point of view, POV) bercelaru.

7. Membiarkan penceritaan meleret. Babak atau dialog dibiarkan meleret dan di luar konteks. Maksudnya, banyak babak dan dialog yang tidak relevan dengan cerita. Hal ini mengganggu pergerakan atau 'flow' cerita kerana ia menghilangkan tumpuan pembaca kepada cerita utama.

8. Tiada sokongan subplot. Ramai penulis baru khususnya tidak menyedari kepentingan subplot untuk menguatkan cerita. Tanpa subplot, cerita menjadi selapis.

9. Tidak berstrategi dalam bercerita atau terlalu lurus dalam bercerita. Misalnya, tidak menyimpan maklumat atau fakta untuk menimbulkan kesan kejutan atau suspens. Tidak bermain dengan 'twist' hingga semua yang akan berlaku sudah boleh dijangka. Tidak menimbulkan kesan "Oh!", sebaliknya menimbulkan kesan "Dah agak".

10. Tidak cuba mencipta elemen 'cliff hanger' di hujung bab atau di hujung satu-satu segmen. Dengan itu, kurang mengundang rasa ingin tahu pembaca.

11. Terlalu banyak 'telling' berbanding 'showing'.

12. Penyudah cerita tidak kuat hingga memberi kesan kurang puas hati kepada pembaca. Misalnya, resolusi kepada konflik terlalu mudah. Mungkin terlalu kebetulan. Juga tidak ada elemen tidak dijangka (unpredictable). Dengan kata lain, ia satu penyudah yang sudah boleh dijangka dan mungkin dianggap antiklimaks.

Tuesday, April 27, 2010

Bengkel Bersama Pahrol Mohd Juoi: Pengisian Sudah Dirangka

Pagi ini saya menyambung perbincangan dengan Saudara Pahrol Mohd Juoi tentang bengkel penulisan Islam yang beliau akan kendalikan pada 29 dan 30 Mei. Perbincangan kali ini memfokus pada pengisian bengkel.

Minda dan jiwanya menakung ilmu-ilmu penulisan yang dihimpun serta dipraktikkan dalam situasi-situasi yang telah teruji selama lebih 20 tahun. Tetapi, semua itu mahu diturunkan dalam bengkel dua hari. Maka kami berbincang tentang kerangka idea yang dapat mengempang takungan ilmu-ilmu itu supaya relevan dan tepat sasarannya.

Alhamdulillah, dalam perkongsian kira-kira setengah jam di meja makan sebuah restoran itu, kami mendapat pencerahan. Saya menyuakan cadangan-cadangan dan beliau memberikan cadangan balas serta melontarkan input-input baru yang saya kira sangat berharga.

Saya sendiri mendapat pencerahan kepada beberapa persoalan asas dalam penulisan, khususnya dalam konteks penulisan sebagai medium dakwah dan tarbiah. Apa yang beliau kongsikan adalah perkara-perkara teras, namun beliau ungkapkan dalam bahasa yang mudah. Itulah antara kelebihan Saudara Pahrol - beliau sentiasa ada jawapan yang mudah kepada satu-satu persoalan yang sukar.

Tarikh dan lokasi bengkel sudah diputuskan. Pengisiannya sudah dirangka.

Saya dan tim di Galeri Ilmu yakin bahawa apa yang para peserta akan dapat daripada bengkel ini nanti adalah sesuatu yang berbaloi. Sesuatu yang mereka mungkin tidak akan perolehi di mana-mana bengkel penulisan yang lain.

Yang paling penting, para peserta yang benar-benar serius mahu menjadikan mata pena sebagai senjata untuk mengalirkan tinta dakwah, akan mendapat pedoman dan tunjuk ajar yang sangat berharga dan praktikal.

Kami akan mengehadkan penyertaan bengkel ini kepada 30 orang peserta. Sudah ada beberapa nama yang mencalonkan diri sebagai peserta dan saya sendiri mempunyai senarai beberapa nama yang akan saya jemput untuk menyertai bengkel ini, khususnya di kalangan calon-calon penulis Galeri Ilmu dan rakan penulis.

Friday, April 23, 2010

Melahirkan Majalah Baru

Untuk melahirkan satu-satu produk penerbitan baru memang bukan mudah. Saya masih ingat pengalaman melahirkan beberapa buah majalah sama ada sewaktu saya sudah berada di Galeri Ilmu atau pengalaman di beberapa syarikat penerbitan lain sebelumnya.

Saya kongsikan di sini proses yang kami (saya dan tim yang terlibat) biasa lalui untuk melahirkan sesebuah majalah baru:

1. Pertama sekali, kami akan menentukan audien sasaran iaitu golongan pembaca untuk majalah itu. Audien sasaran mestilah jelas dan khusus (spesifik). Lebih spesifik lebih bagus. Misalnya, majalah Asuh kami sasarkan untuk kanak-kanak beragama Islam Tahap Dua sekolah rendah. Sasaran ini jelas dan spesifik.

Kami menerima maklum balas, ramai juga kanak-kanak bukan Islam yang membaca dan meminati Asuh walaupun majalah Asuh tidak disasarkan kepada kanak-kanak bukan Islam. Adakah ini bermakna, kami perlu mengubah suai keseluruhan pengisian majalah Asuh untuk memenuhi kehendak dan keperluan kanak-kanak bukan Islam? Tidak. Dalam bisnes, apabila kita sudah berjaya memenangi hati pelanggan sasaran maka strategi bisnes kita sudah berjaya. Jika ramai pelanggan yang tidak kita sasarkan turut menyukai produk kita, maka ia dikira bonus. Prinsip ini tidak bercanggah dengan pendekatan dakwah dan tarbiah.

Majalah Asuh juga tidak disasarkan kepada pelajar sekolah menengah tetapi jika ramai pelajar sekolah menengah rendah yang minat membacanya (berdasarkan maklum balas yang kami terima) maka itu dikira bonus. Andainya majalah Asuh disasarkan kepada kanak-kanak secara umum, maka majalah itu tidak akan menjadi seperti sekarang. Apabila audien sasarannya tidak spesifik, pengisiannya menjadi kurang fokus. Apabila kurang fokus, impaknya kurang menyengat.

2. Selepas benar-benar jelas kepada siapa kami hendak tujukan majalah itu, kami akan tentukan konsep majalah. Misalnya, adakah ia berupa majalah ilmu pengetahuan, adakah berupa majalah humor, adakah berupa majalah komik, adakah berupa majalah pedoman dan tip, dan sebagainya. Adakah ia berupa majalah ringan, sederhana atau berat gaya penyampaiannya? Adakah isinya seimbang antara artikel, gambar dan lukisan, atau adakah ia lebih banyak bermain dengan foto? Adakah ia berupa gabungan artikel, foto dan komik? Berapa peratus artikel, berapa peratus foto dan berapa peratus komik? Berapa peratus pula penulisan nonfiksyen dan berapa peratus fiksyen (cerpen, komik dsb)?

3. Memilih nama majalah. Selalunya kami akan senaraikan bersama sekian banyak nama. Kemudian kami peram, selepas itu kami buat senarai pendek. Akhirnya baru dipilih nama yang muktamad. Nama mesti sesuai dengan konsep majalah dan audien sasaran. Dalam soal ini, kami ambil tahu juga trend dan psikologi di kalangan pembaca sasaran.

4. Seterusnya kami tentukan spesifikiasi majalah - bilangan muka surat, saiz, jenis kertas (kulit dan isi), pecahan muka surat warna dan hitam putih, agihan muka surat untuk iklan, jenis penjilidan (binding) dan sebagainya.

5. Mencari konsep reka bentuk. Biasanya kami akan melonggokkan majalah-majalah dalam dan luar negara yang mempunyai audien sasaran dan konsep yang lebih kurang sama dengan majalah yang kami hendak lahirkan. Dari situ kami mendapat idea dan menemui reka bentuk yang sesuai untuk majalah kami. Kadang-kadang ada reka bentuk tertentu yang sesuai untuk satu-satu ruangan yang telah ditentukan konsepnya.

6. Merancang konsep ruangan. Longgokan majalah-majalah tadi juga sangat membantu untuk membolehkan kami mencetuskan idea-idea baru dalam merangka konsep ruangan. Ada konsep-konsep ruangan yang diubah suai daripada konsep ruangan dalam majalah tertentu. Dengan membelek longgokan majalah dalam dan luar negara itu juga, kami dapat 'membaca' trend dan kesukaan audien sasaran. Gaya penyampaian boleh ditiru, asalkan pendekatannya selari dengan pendekatan Islam yang kami perjuangkan.

7. Dalam merangka konsep ruangan, perkara-perkara berikut diambil kira:

a. Keseimbangan nilai tarbiah. Misalnya, ada ruangan yang menekankan tauhid kepada Allah, ada ruangan yang menekankan soal kejiwaan (tasawuf), ada ruangan yang menekankan soal syariat, ada ruangan yang menjentik minda dan membetulkan persepsi, ada ruangan yang memaparkan syiar Islam.

b. Keseimbangan antara ruangan berbentuk artikel biasa, pojok, ruangan kewartawanan (berita dan interviu), kartun (jika perlu) dan sebagainya.

c. Keseimbangan antara ruangan berat dan ringan.
Kami akan menentukan nisbah (ratio) yang seimbang antara bahan berat dan ringan. Sewaktu bekerja bersama Saudara Pahrol Mohd Juoi untuk melahirkan beberapa buah majalah Islam (sudah bergelar 'arwah') satu ketika dulu, Saudara Pahrol memperkenalkan satu formula untuk mendapatkan nisbah yang seimbang dan angka tunjuk berat-ringan sesuatu majalah. Caranya mudah. Kami akan memberi mata tertentu kepada satu-satu ruangan berdasarkan berat atau ringan isi ruangan itu iaitu 1 (amat ringan), 2 (ringan), 3 (sederhana) dan 4 (berat). Misalnya, untuk ruangan artikel utama yang disasarkan untuk menjentik minda dan membetulkan persepsi, kami beri 4 mata (berat). Untuk ruangan kartun, ruangan foto, kami beri 1 mata (amat ringan). Untuk ruangan pojok, kami beri 3 mata (sederhana). Begitulah seterusnya. Kemudian kami campur semua mata, lalu kami bahagikan dengan bilangan ruangan. Apabila hasilnya adalah 2.5 mata misalnya, maka majalah itu secara keseluruhannya sederhana ringan. Jika angka tunjuknya 3.5 bererti keseluruhan majalah itu agak berat, maka perlu ditambah ruangan ringan atau sederhana dan dikurangkan ruangan berat.

d. Ada ruangan yang kami kategorikan sebagai ruangan 'eye rest'. Biasanya ia adalah ruangan satu muka surat atau dua muka surat yang dihiasi gambar foto memenuhi keseluruhan muka surat. Pada foto itu diisi kata-kata hikmah, terjemahan ayat al-Quran, terjemahan hadis dan sebagainya.

e. Biasanya halaman awal majalah diisi dengan ruangan ringan dan halaman akhir juga diisi dengan ruangan ringan. Oleh itu, sesuatu majalah itu dibuka dengan bahan ringan dan ditutup dengan bahan ringan juga.

f. Kami memastikan bahawa ada ruangan-ruangan teras dan ada ruangan-ruangan yang bersifat rencah bertujuan menarik minat pembaca sasaran. Misalnya, ruangan masakan, dekorasi dan fesyen dalam majalah Anis adalah ruangan rencah, bukan ruangan teras atau ruangan yang dominan. Ruangan seperti ini hanya untuk menarik minat pembaca sasaran. Walaupun sifatnya hanya rencah, seboleh mungkin ada juga pengisian bermanfaat yang boleh dimasukkan dalam ruangan itu.

e. Kami memastikan bahawa ruangan-ruangan yang dirangka itu menjadikan keseluruhan gaya penyampaian majalah itu sesuai dengan trend, minat dan citarasa audien sasaran. Dalam waktu yang sama, kami memastikan gaya penyampaian itu dimanfaatkan untuk menyampaikan nilai-nilai didikan yang diperlukan oleh audien sasaran. Oleh itu, seboleh mungkin tidak ada ruangan atau halaman yang isinya kosong daripada nilai didikan.

8. Selepas merangka konsep ruangan, kami menentukan bilangan muka surat bagi satu-satu ruangan. Kami sediakan juga muka surat untuk iklan dan untuk artikel mendatang yang tidak terikat dengan ruangan.

9. Perkara yang akhir tetapi sangat penting adalah menentukan konsep reka bentuk kulit majalah. Untuk mendapatkan reka bentuk yang sesuai, kami sekali lagi membelek longgokan majalah dalam dan luar negara.

Itulah antara perkara-perkara yang kami bincangkan dalam sesi perah minda (brainstorming) apabila hendak melahirkan majalah baru. Sudah tentu ada perkara-perkara lain yang dibincangkan kemudian seperti penentuan harga yang kompetitif, strategi pemasaran dan promosi, dan sebagainya.

v

Thursday, April 22, 2010

Pahrol Mohd Juoi

Pahrol Mohd Juoi adalah satu nama yang cukup dikenali di kalangan penggemar-penggemar buku, para penulis dan penerbit di Malaysia. Sebagai penulis, Saudara Pahrol adalah antara penulis berbakat besar yang versatil. Tanpa pendidikan formal dalam penulisan atau komunikasi massa, beliau mampu menulis dengan baik dalam pelbagai genre.

Penulis yang versatil seperti Pahrol tidak ramai, lebih-lebih lagi penulis versatil yang mempunyai bakat besar dan fikrah Islam yang jelas. Beliau mampu menulis dengan baik dalam kedua-dua kategori fiksyen dan nonfiksyen. Dan setiap tulisannya mempunyai nafas Islam. Mungkin tidak ramai yang mengenali beliau sebagai cerpenis, tetapi beliau sudah menghasilkan puluhan cerpen. Beliau juga seorang penulis skrip, penulis lirik lagu dan penulis naskhah iklan (copy writer).

Sewaktu kami sama-sama terlibat dalam penerbitan majalah humor Islam satu ketika dulu, Saudara Pahrol juga menulis skrip komik. Beliau bekerjasama dengan kartunis Don (Saadon Ishak) untuk menghasilkan siri komik Islami yang diminati ramai ketika itu, selain merancang pengisian majalah itu dan beberapa majalah lain yang kesemuanya membawa pendekatan Islam. Kini beliau adalah kolumnis majalah dan penulis kepada beberapa judul buku yang telah menggugah khalayak. Beliau juga menerajui dan mengetuai pengisian sebuah majalah Islam yang mempunyai reputasi yang sangat baik; antara majalah Islam yang mempunyai ranking paling tinggi di Malaysia.

Kalau tidak silap saya, Saudara Pahrol sudah membina disiplin sebagai penulis selama lebih 20 tahun. Penulisan sudah sebati dengannya. Sepanjang bekerja dengan beliau, saya banyak mempelajari seni-seni penulisan yang tidak mudah ditemui dalam mana-mana buku atau bengkel. Antara lain, saya belajar tentang:
- menyempurnakan kerja menulis tanpa memikirkan kesempurnaan.
- memulakan kerja menulis tanpa memikirkan intro.
- menulis menggunakan analogi dan metafora.
- menguatkan tulisan dengan kisah.
- menguatkan tulisan dengan contoh-contoh.
- menyampaikan gagasan yang berat dengan pendekatan yang ringan.

Saya dulu banyak terlibat dengan kerja suntingan, iaitu sejak berada di meja penyuntingan di Bernama hinggalah terjun ke dunia penerbitan media Islam. Pada satu ketika sewaktu menulis, saya asyik hendak membetulkan ayat kerana sudah terbiasa dengan tabiat menyunting. Sambil menulis sambil mengedit. Saya buat dua kerja dalam satu masa, hinggalah saya mendapat teguran daripada Saudara Pahrol. "Waktu menulis, tulis saja sampai habis. Sudah habis tulis baru edit," katanya memberi petua bagaimana hendak menulis dengan lancar.

Pengalaman Saudara Pahrol terlalu berharga untuk disimpan sendiri. Apabila kami duduk bersembang baru-baru ini, ternyata beliau mempunyai rasa hati yang sama dengan saya - ilmu-ilmu penulisan itu perlu diturunkan.

Ekoran itu, saya telah merancang satu program dengan Saudara Pahrol untuk melahirkan penulis-penulis yang mampu menghasilkan tulisan yang mempunyai nilai isi (content value) yang baik mengikut pendekatan Islam. Lalu persetujuan dicapai. Saudara Pahrol akan mengendalikan Bengkel Penulisan Islam (Nonfiksyen) di Galeri Ilmu.

Bengkel itu akan diadakan pada 29 dan 30 Mei (Sabtu dan Ahad). Saya akan war-warkan maklumat lengkapnya nanti.

Saudara Pahrol juga seorang trainer. Pengalaman sebagai trainer akan beliau manfaatkan untuk menunjuk ajar bakat-bakat penulis yang boleh menyumbang sesuatu untuk Islam dan ummah.


Monday, April 19, 2010

Panduan Untuk Novelis Menyemak Karya Sendiri

Di Jabatan Buku Galeri Ilmu Sdn. Bhd., apabila satu-satu proposal novel diluluskan, penulis diberi tempoh sekitar tiga bulan untuk menyiapkan manuskrip lengkap novelnya. Apabila manuskrip siap ditulis, penulis akan diberikan panduan untuk menyemak manuskrip.


Panduan itu menyenaraikan proses berikut, yang saya kongsikan di sini kerana boleh juga dijadikan panduan oleh novelis yang mahu mengajukan terus manuskrip lengkap tanpa mendahulukan proposal:


1. Memeram

- Apabila siap draf pertama novel, raikan diri sendiri sambil melupa-lupakan dulu karya itu––tinggalkan atau ‘peram’. Mungkin sehari, mungkin dua hari, mungkin juga seminggu atau dua minggu. Tujuannya supaya apabila penulis melihat semula manuskripnya nanti, dia akan melihatnya dengan fikiran yang lebih segar dan perspektif yang baru atau bird’s-eye view.


2. Menyemak dan Mengedit Secara Makro

- Selepas diperam, cetak dan baca keseluruhan draf pertama itu. Di tempat-tempat tertentu, baca dengan suara jika boleh, supaya kita dapat mendengar bunyi ayat-ayat yang ditulis, terutamanya bagi ayat dialog.

- Sewaktu menyemak secara keseluruhan ini, kita mungkin akan terus membetulkan, memotong atau mencatat di mana-mana bahagian yang perlu ditambah.


- Di peringkat ini, kita akan melihat kekuatan atau kelemahan perkara-perkara berikut:

  • Tiga bab awal – adakah mampu menarik minat dan ‘mengikat’ pembaca? Mengikut psikologi orang membaca buku, jika tiga bab pertama itu menarik, orang akan terus membaca.
  • Bab pertama – Daripada tiga bab awal, bab pertama adalah paling kritikal dan paling penting untuk menarik minat serta ‘mengikat’ pembaca. Pastikan tempo cerita dalam bab pertama itu cepat. Jika terasa perlahan dan boleh membosankan pembaca, bagaimana hendak mencepatkan tempo cerita?

Bab pertama ini mestilah sudah menampakkan halatuju cerita, sudah ada bayangan konflik, sudah diperkenalkan watak-watak utamanya, sudah ada sesuatu yang menarik tentang watak atau yang berlaku pada watak yang pembaca tidak sabar-sabar hendak tahu perkembangan seterusnya.

  • Struktur keseluruhan – jalinan yang kuat-menguat antara plot, latar dan watak. Adakah perjalanan ceritanya ada turun naik atau mendatar saja?
  • Adakah di hujung setiap bab ada elemen ‘cliff hanger’ yang berfungsi menimbulkan tanda tanya atau suspens, lantas memancing pembaca meneruskan bacaan? Adakah di awal setiap bab ada elemen ‘hook’ yang berfungsi mengikat pembaca untuk terus membaca?
  • Nilai-nilai dakwah dan didikan yang diselitkan melalui perkembangan watak, dialog, aksi, naratif dsb. Misalnya:

- Adakah nilai didikannya diselitkan secara berhikmah dan tidak terlalu ‘mengajar’?

- Adakah karya itu mampu memberi impak positif kepada pembaca––membawa pembaca daripada jahil kepada berilmu, dari bersikap negatif kepada positif, daripada cuai akan tanggungjawab kepada sungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab, daripada mengabaikan syariat kepada prihatin soal syariat, daripada suka menyalahkan orang lain kepada suka muhasabah diri, dsb.

- Adakah karya itu dapat membawa pembaca ingat dan bergantung kepada Tuhan? Atau adakah ia kurang menyebut atau kurang dikaitkan dengan Tuhan?

  • Konflik – Cerita menjadi menarik apabila wujudnya konflik, sama ada konflik luaran antara watak-watak atau konflik dalaman watak. Adakah konflik-konflik dalaman atau konflik luaran itu cukup kuat lalu menimbulkan masalah kepada watak utama, atau adakah boleh dikuatkan lagi?

Adakah graf konflik sentiasa menaik hingga ke akhir cerita (puncak) lantas membuatkan pembaca teruja untuk terus membaca, atau adakah graf konflik itu mendatar dan menurun di pertengahan cerita hingga pembaca hilang minat untuk meneruskan bacaan?

  • Apakah berjaya diwujudkan halangan-halangan (obstacles) yang meletakkan watak utama dalam situasi tercabar dan teruji serta menjadikan cerita lebih menarik?
  • Plot – adakah sebab dan akibat yang dipaparkan itu meyakinkan? Adakah plot utama (main plot) disokong atau dikuatkan dengan plot sampingan (subplot)? ‘Cerita dalam cerita’ menjadikan jalan cerita lebih menarik.
  • Latar tempat – adakah latar tempat dapat digambarkan dengan jelas hingga pembaca dapat memvisualkannya dalam kepala? Atau, adakah latarnya kabur hingga pembaca tidak dapat membayangkan di mana berlakunya satu-satu babak atau dialog.
  • Dialog – adakah dialog-dialog yang sopan dan berakhlak lebih dominan atau adakah dialog kasar dan biadap sudah terlebih ‘dos’? Adakah dialog-dialog dapat membantu menggerakkan cerita atau relevan dengan jalan cerita? Adakah dialog cukup kuat atau sekadar basa-basi perbualan (tidak membantu menggerakkan cerita)?
  • Apakah ada ‘the most memorable dialogue/moment/scene’ di mana-mana bahagian novel itu yang akan diingati oleh pembaca dan pembaca suka membacanya berkali-kali? Novel yang baik biasanya ada bahagian yang dapat dianggap ‘the most memorable moment’.
  • Watak – Adakah setiap watak utama mempunyai cerita tersendiri dan masing-masing ada akhiran ceritanya? Sebuah novel yang baik dihidupkan ceritanya oleh watak-watak yang mempunyai cerita tersendiri dan membantu menggerakkan cerita. Setiap watak itu pula ada akhirannya, tidak tenggelam begitu saja.
  • Adakah perkembangan watak (watak utama dan watak sampingan) meyakinkan dan membantu pergerakan cerita? Adakah setiap watak utama yang diketengahkan ada akhiran ceritanya atau apakah ada watak yang tenggelam begitu saja? Adakah kita dapat bina watak dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik untuk dijadikan contoh ikutan?

- Perkemaskan isi dengan melihat mana-mana bahagian yang perlu ditambah, dibetulkan atau diolah semula.

- Padatkan – tengok mana-mana bahagian (paragraf, ayat, dialog) yang perlu dipotong supaya hanya bahagian yang relevan saja yang tinggal. Dalam istilah penyuntingan, ada ungkapan ‘kill your darling’ – buang bahagian yang penulis sayang untuk menjaga ‘flow’ tulisan supaya kemas dan padat.


3. Menggilap

- mengemaskan lagi olahan selepas draf pertama disemak dan diedit.


4. Mengedit Secara Mikro

- selepas diperkemaskan isi, barulah tiba waktunya untuk memperkemaskan bahasa – tatabahasa, ejaan, tanda bacaan, pemerengganan, dsb.

5. Kongsi karya kita dengan orang lain

- beri manuskrip kita kepada pembaca peribadi untuk dibaca dan dikomen secara ‘layman’ (pembaca awam) yang jujur, sebelum diserahkan kepada editor.

6. Menggilap lagi

- daripada maklum balas yang diterima, gilap lagi karya itu dan setelah benar-benar berpuas hati dengan aspek makro (isi) dan mikronya (bahasa), barulah serahkan kepada editor. Penulis mesti berpuas hati dengan karyanya sebelum karya itu sampai ke tangan editor.


Friday, April 16, 2010

BENGKEL ASAS PENULISAN NOVEL ISLAMI

Bengkel ini dikhaskan kepada calon-calon novelis yang berhasrat untuk menghasilkan novel Islami (remaja, awal remaja dan dewasa) tetapi memerlukan ilmu asas penulisan novel. Melalui bengkel asas ini, antara lain calon novelis akan didedahkan kepada:

1. Elemen fiksyen dalam seni bercerita dan kriteria karya fiksyen Islami.

2. Syarat-syarat untuk menjadi penulis novel Islami.

3. Langkah demi langkah menulis novel iaitu bermula daripada persediaan untuk menulis serta proses sebelum, semasa dan selepas menulis.

4. Sepuluh halangan menulis.

5. Format penulisan proposal dan manuskrip novel yang Galeri Ilmu tetapkan.

Saya sendiri akan mengendalikan bengkel asas ini. Ia dihadkan kepada 15 peserta.

Maklumat Bengkel Asas Penulisan Novel Islami yang terdekat adalah seperti berikut:

Tarikh: 8 Mei 2010 (Sabtu)
Waktu: 9 pagi hingga 4 petang
Tempat: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Yuran penyertaan: RM20 seorang (termasuk makan minum)

Untuk menyertainya, tulis nama, nombor telefon dan alamat e-mel di ruangan komen, atau sms ke 013-7656245 (Sdr Nasri).

Wednesday, April 14, 2010

Menulis Buku Kisah Benar

Buku kisah benar (true story book) adalah antara genre penulisan yang menarik untuk dihasilkan. Apabila menulis buku kisah benar, penulis mempunyai banyak ruang untuk meruntun emosi pembaca. Ia boleh membuat pembaca terbawa-bawa dengan perasaan sedih, terharu, hiba, marah, gembira, insaf dan sebagainya. Ini salah satu kelebihan buku kisah benar.

Buku kisah benar juga mampu memberi motivasi dan inspirasi kepada pembaca. Impak motivasi dan inspirasi daripada buku kisah benar mungkin lebih kuat daripada sesetengah buku motivasi biasa. Minda, jiwa dan emosi pembaca dirangsang melalui episod demi episod kisah yang dipaparkan. Ibrah atau pengajaran daripada kisah benar itu mudah melekat di minda dan jiwa, kerana ia bukan lagi berbentuk saranan tetapi berbentuk amali.

Contoh buku-buku kisah benar tempatan adalah Arqam: Tersungkur Di Pintu Syurga dan Maunah: Kebenaran Yang Sebenar oleh Zabidi Mohamed, Air Mata Ibu (Soo Cham) yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris dengan judul A Mother's Tear, Seteguh Tekad (Dr. Sidek Baba), Travelog Haji: Sempadan Iman dan Travelog Dakwah, (Prof. Mohd Kamil), Travelog Seorang Da'i (Abdul Rahman Mohamed) dan Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah (Hasan Suyut).

Menulis buku kisah benar memerlukan kemahiran tersendiri. Buku seperti ini menuntut penulis bermain dengan emosi dan sedikit imaginasi, tetapi dalam masa yang sama cermat dengan fakta dan maklumat.

Menulis buku kisah benar yang berkaitan dengan pengalaman sendiri adalah satu kelebihan. Apabila Saudara Hasan Suyut diminta menulis perjalanan hidup beliau dan isterinya membesarkan seorang anak istimewa dari saat anak itu dilahirkan hingga si anak berumur lapan tahun, beliau mengambil masa tiga bulan untuk menulisnya.

Dalam tempoh tiga bulan itu, beliau mengingat semula perjalanan hidup mereka sekeluarga selama lapan tahun sejak kelahiran anak istimewanya Atiq Wazif - insiden yang berlaku sepanjang tempoh itu, dialog-dialog yang diucapkan, orang-orang yang muncul dalam hidup mereka dan fakta-fakta yang berkaitan. Isterinya Cikgu Dora banyak membantu beliau mengingat semula fakta-fakta.

Menulis kisah benar melibatkan perjalanan hidup orang lain memerlukan siri temubual dengan orang yang kisahnya hendak ditulis. Katalah kita hendak menulis kisah perjalanan hidup seorang isteri yang menempuh kehidupan getir apabila suaminya diserang strok hingga terlantar. Si isteri membawa suaminya mencuba pelbagai kaedah rawatan sehingga akhirnya si suami beransur pulih. Daripada terlantar di katil, kini sudah boleh berjalan. Daripada tidak boleh bercakap, sudah boleh bercakap seperti biasa.

Pilihan terbaik adalah si isteri sendiri yang menulis kisahnya. Tetapi si isteri tidak mampu dan tidak berkelapangan menulis, maka dia memerlukan seorang penulis untuk menuliskan kisahnya. Kita namakan si isteri dalam kisah ini sebagai Puan A. Berikut adalah perkara-perkara yang perlu dilakukan oleh penulis kisah benar seperti ini:

1. Dapatkan persetujuan Puan A untuk membenarkan kisahnya dibukukan.

2. Bincangkan pembahagian royalti yang akan diterima daripada penerbit. Misalnya, royalti akan dibahagi dua dengan kadar 70 peratus untuk penulis, 30 peratus untuk Puan A.

3. Bincangkan isi buku dan rangkakan pecahan bab. Misalnya, bab pertama dimulakan dengan babak Puan A berbincang-bincang dengan suaminya tentang rancangan untuk pergi bercuti bersama anak-anak sebelum si suami diserang strok. Bab kedua menceritakan detik demi detik pada hari si suami kena strok, dari menjelang Subuh dan kesibukan awal pagi ketika anak-anak hendak ke sekolah hinggalah saat diserang strok.

Bagaimanapun, pecahan bab ini tidaklah muktamad. Ia hanya untuk memudahkan Puan A bercerita. Susun pecahan bab ini mengikut kronologi. Tetapi akhirnya nanti, mungkin bab-bab perlu disusun semula. Susunan secara kronologi hanya untuk memudahkan lagi Puan A bercerita kerana beliau dapat memfokuskan ceritanya pada satu-satu insiden mengikut urutan ia berlaku.

4. Rancang kerangka masa untuk mengadakan sesi temubual dan menyiapkan kerja menulis. Misalnya, tiga bulan.

5. Adakan siri temubual dengan Puan A dan juga dengan suaminya. Seperti juga dalam mana-mana temubual, terlebih dahulu penulis mesti mengenali responden. Kenali Puan A dan suaminya lebih dekat. Ketahui latar belakang suami isteri ini, nama dan umur anak-anak mereka, kerjaya mereka dan sebagainya. Perkara-perkara dapat membantu penulis memahami apa yang diceritakan dalam temubual dan juga membantu penulis untuk mencelah dengan pertanyaan. Misalnya, penulis dapat bertanya apa yang Ismail (contoh nama anak Puan A) cakap pada ibunya waktu mengetahui ayahnya diserang strok.

Dalam temubual, Puan A akan bercerita, disokong oleh suaminya. Penulis akan bertanya itu ini untuk memastikan aliran cerita kemas dan jelas, melibatkan apa yang berlaku, dialog, latar tempat dan latar suasananya. Dengan sokongan imaginasinya, penulis akan dapat membayangkan atau memvisualkan apa yang sebenarnya berlaku. Penulis juga akan tahu di mana dia patut mencelah untuk bertanya lanjut supaya cerita menjadi lebih jelas dan lengkap faktanya.

6. Rakaman temubual itu dicatat dan ditulis semula. Selepas ditulis, berikan salinannya kepada Puan A untuk beliau semak dan buat tambahan yang perlu. Penulis juga perlu cadangkan tambahan yang diperlukan. Misalnya, masukkan dialog anak-anak dengan Puan A atau dialog sesama sendiri pada hari ayah mereka diserang strok.

7. Dalam sesi-sesi temubual, biarkan Puan A bercerita tanpa mengikut urutan. Walaupun begitu, pada satu-satu sesi fokuskan pada satu-satu babak dalam kehidupannya yang Puan A rasa lebih senang untuk diceritakan. Jika isi buku yang dirancang mengandungi 14 bab misalnya, biarkan Puan A meluahkan isi cerita untuk mana-mana bab tanpa mengikut urutan.

8. Fakta dan maklumat tambahan boleh ditanyakan saja melalui panggilan telefon, sms atau e-mel. Fakta tentang penyakit strok boleh dicari dengan bantuan Google dan sumber lain, untuk menguatkan cerita.

9. Setelah keseluruhan kerja menulis dapat disiapkan mengikut tempoh yang dirancang, penulis dan Puan A serta suaminya perlu menyemak semula tulisan itu. Pastikan tidak ada perkara yang tertinggal atau terlepas pandang. Anak-anak Puan A yang sudah besar juga boleh dilibatkan dalam kerja menyemak. Mungkin ada fakta yang si anak ingat tetapi Puan A terlupa memasukkannya dalam cerita itu.

10. Pastikan ada nilai positif yang pembaca dapat kongsi dengan membaca kisah benar itu. Misalnya, pastikan kisah itu menyerlahkan nilai pengorbanan, ketaatan, kesetiaan dan ketabahan seorang isteri, serta pergantungan hati suami isteri ini dengan Allah.

Buku kisah benar yang ditulis dengan sepenuh jiwa dan teliti akan ada tempat di hati pembaca. Walaupun kisahnya biasa-biasa dan melibatkan orang biasa-biasa juga, ia mungkin memaparkan sifat-sifat luar biasa yang akan mengocak emosi dan memberi bekas di hati pembaca.

Monday, April 12, 2010

Mengekalkan Momentum Pasca Bengkel Penulisan

Apabila seseorang sudah bersemangat untuk menulis, dia perlu mengekalkan momentum itu. Misalnya, apabila seseorang itu menghadiri bengkel atau kursus penulisan, semangat menulisnya akan membara. Maka semangat menulis ini perlu dikekalkan.

Ibarat pasangan yang memupuk kasih sayang semasa berbulan madu, mereka perlu mengekalkan momentum berkasih sayang itu apabila pulang daripada bulan madu. Kasih sayang itu diterjemahkan dalam tindak-tanduk ketika menjalani rutin harian bersama. Memelihara kasih sayang anugerah Allah dijadikan salah satu agenda besar dalam hidup. Apa saja yang dibuat dalam memenuhi tanggungjawab sebagai isteri atau suami mestilah atas rasa kasih sayang itu. Masing-masing akan memelihara kasih sayang itu agar sentiasa membara dengan menjaga hati dan perasaan pasangannya. Cuma kali ini, mereka berdepan dengan ujian dan halangan, tidak seperti tempoh berbulan madu yang semuanya manis.

Semangat menulis begitu juga. Apabila pulang daripada berbengkel atau berkursus, semangat membara untuk menulis mesti dipelihara dengan cara mula menulis dan terus menulis. Tempoh 'berbulan madu' iaitu ketika semangat menulis dipupuk dan dibakar, sudah berlalu. Momentum itu perlu diteruskan dengan memenuhi tanggungjawab untuk menulis. Ujian dan halangan perlu dihadapi.

Cara untuk mengekalkan momentum itu adalah:
1. Jadikan kerja menulis sebagai salah satu agenda besar dalam hidup. Apabila kerja menulis dianggap besar, penulis akan mampu mengatasi halangan yang mendatang. Tetapi apabila kerja menulis dianggap kerja kecil atau kurang penting, halangan yang biasa-biasa saja pun akan mengganggu dan menghentikan momentum atau semangat untuk menulis. Misalnya, tarikan sebuah rancangan tv saja pun boleh mengganggu momentum untuk menulis!
2. Buat sasaran dalam menulis. Misalnya, sasarkan untuk menyiapkan sebuah buku dalam tempoh enam bulan. Sasaran mesti realistik. Dengan membuat sasaran yang realistik, penulis dapat merancang gerak kerja yang juga realistik untuk mencapai sasaran itu.
3. Bergaul dengan sesama penulis atau yang sama-sama mahu serius menulis. Dengan kata lain, masuk ke dalam komuniti penulis. Seorang pelajar akan bersemangat untuk belajar apabila bergaul dengan sesama pelajar yang serius mahu belajar. Begitu juga penulis, dia akan bersemangat untuk menulis apabila bergaul dengan orang yang sama-sama serius mahu menulis.
4. Baca buku-buku atau makalah yang memuatkan ilmu-ilmu penulisan dan hadiri mana-mana bengkel atau kursus penulisan. (Bengkel dan kursus penulisan juga adalah tempat yang baik untuk bertemu dengan sesama penulis atau calon penulis.)
5. Cari mentor dari kalangan penulis atau pembimbing penulis yang boleh membimbing dan memberi motivasi untuk terus menulis.


Kemahiran Menulis Di Luar Sedar

Ketika memulakan sesi bengkel penulisan untuk ahli-ahli jemaah pengajian Yayasan PAKSI di Alor Setar pada Jumaat dan Sabtu kelmarin, saya berkongsi dengan 30 orang peserta tentang empat tahap pembelajaran. Empat tahap pembelajaran (learning stage) ini merujuk kepada empat tahap yang perlu dilalui oleh seseorang yang hendak menguasai sebarang bentuk kemahiran (skill). Dalam konteks ini, kemahiran menulis.

Empat tahap itu (memetik daripada buku Speak To Influence oleh Susan Berkeley) adalah:

1. Unconscious incompetence

Di tahap ini, seseorang itu tidak tahu apa yang dia tidak tahu. Dalam konteks menguasai kemahiran menulis, dia tidak tahu apa yang dia tidak tahu berkaitan dengan penulisan.

2. Conscious incompetence
Di tahap ini, seseorang calon penulis mula sedar dan tahu apa yang dia tidak tahu. Timbul keinginan untuk mempelajari dengan lebih mendalam ilmu-ilmu penulisan. Peserta-peserta bengkel atau kursus penulisan akan berada di tahap ini.

3. Conscious competence

Apabila sampai ke tahap ini, calon penulis sudah mula menulis dan sudah mula menguasai kerja menulis, tetapi masih di peringkat 'dalam sedar'. Ibarat seorang pelatih memandu, dia sudah boleh memandu tetapi masih melatih-latih diri untuk mengawal pemanduan seperti memastikan kaki kanannya sentiasa bersedia untuk menekan brek jika perlu berhenti mengejut atau memastikan gear berada di posisi yang betul.

Bagi seorang penulis, di tahap ini dia masih melatih-latih diri untuk menjadikan intro tulisannya menarik dan sedap dibaca, untuk memasukkan 'rencah' yang secukupnya dalam tulisannya. seperti memasukkan kisah dan analogi untuk memahamkan pembaca kepada satu-satu saranan atau gagasan, untuk menutup tulisannya dengan penutup yang baik, dan sebagainya. Jika dia menulis novel, dia masih melatih-latih diri untuk memastikan setiap penghujung bab ada elemen 'cliff hanger' atau unsur tanda tanya yang boleh menarik pembaca untuk menyelak ke bab seterusnya, juga untuk memastikan latar cerita memadai, memastikan watak-watak berkembang, dan sebagainya. Semua itu dilakukan dalam sedar atau masih berlatih-latih, belum sebati.

4. Unconscious competence
Di tahap ini, penulis mampu menulis dengan baik 'di luar sedar' (unconsciuos).


Di tahap unconscious competence, penulis tidak lagi 'sedar' dia menulis dengan olahan yang kemas, bahasa yang baik, dan isi yang mantap. Kerja menulis sudah menjadi sebati. Dia sudah benar-benar berkemahiran menulis. Tulisannya mengalir cantik di luar kesedaran. Bahasanya kemas dan indah tanpa dirancang-rancang. Isi tulisannya menarik dan bermanfaat. Ibarat pemandu kereta yang sudah benar-benar mahir, dia mampu mengelak dan membrek secara mengejut apabila berlaku kecemasan. Dia memandu secara santai, malah sambil berbual-bual. Gerak pemanduannya lebih kepada refleks, bukan lagi difikir-fikirkan.

Untuk mencapai tahap unconsciuous competence, seseorang penulis mesti banyak dan konsisten menulis. Untuk mampu menulis dengan baik secara berterusan, penulis mesti banyak membaca, malah mesti lebih banyak membaca daripada menulis. Membaca, membaca, membaca ... dan menulis.

Lama-kelamaan, berlakulah apa yang selalu diungkapkan: Practice makes perfect.

Thursday, April 8, 2010

Menghasilkan Buku Hasil Penulisan Bersama

Ramai orang yang mempunyai buah fikiran yang baik dan bernas tetapi tidak mampu atau tidak berkelapangan menulis. Ramai pula penulis yang kekurangan buah fikiran yang baik dan bernas untuk ditulis atau dibukukan. Maka jika dua orang ini bergabung, mereka dapat menghasilkan tulisan atau buku yang mantap. Penulis dan pemilik buah fikiran dalam kes ini, boleh menjadi penulis bersama untuk sebuah buku.

Perkara ini sudah banyak dilakukan di Barat dan sudah mula banyak buku tempatan yang mengambil konsep penulisan demikian. Malah banyak bahan ceramah dan kuliah yang kemudian dibukukan, dengan kerjasama antara penceramah dan penulis. Namun berbeza dengan di Barat, di Malaysia selalunya nama penulis tidak ditonjolkan. Yang ditonjolkan hanya nama penceramah yang bahan ceramahnya dibukukan itu.

Untuk menulis hasil buah fikiran seseorang, ia memerlukan kerjasama rapat antara pemilik buah fikiran dan penulis, sebagaimana untuk menulis pengalaman seseorang, ia memerlukan kerjasama rapat antara penulis dan orang yang hendak dibukukan pengalamannya itu. Contoh mudah adalah dalam penulisan biografi. Penulis perlu bekerjasama rapat dengan orang yang biografinya hendak ditulis itu.

Untuk menulis buah fikiran seseorang yang tidak diceramahkan, ia memerlukan sesi-sesi temubual tidak rasmi. Penulis perlu berdamping dengan orang yang buah fikirannya hendak dibukukan itu dalam beberapa sesi. Untuk itu, terlebih dahulu penulis dan pemilik buah fikiran mesti membincangkan halatuju tulisan itu dan pecahan bab-bab yang hendak ditulis secara kasar. Apa idea besar yang hendak ditulis mestilah sudah jelas, supaya tidak teraba-raba.

Penulisan bersama seperti ini adalah alternatif bagi penulis yang tidak mempunyai buah fikiran sendiri yang benar-benar bernas untuk dibukukan. Ia juga alternatif bagi orang yang mempunyai buah fikiran yang baik tetapi tidak mampu atau tidak berkelapangan menulis, untuk membukukan buah fikirannya.

Apabila buku yang ditulis bersama ini diterbitkan, kedua-dua penulis bersama ini berhak mendapat bayaran royalti mengikut peratus yang dipersetujui bersama.


Monday, April 5, 2010

Novel Islami Mampu Menggugah

Nurulsham Saidin menulis manuskrip novel pertamanya Dingin Salju Indiana kira-kira 12 tahun lalu, setahun selepas pulang daripada pengajian di Indiana, Amerika Syarikat. Akhirnya manuskrip itu sampai ke meja saya dan, selepas dinilai, Galeri Ilmu pun menerbitkannya. Kini beliau sedang menggilap manuskrip novel keduanya yang baru saja disiapkan. Puan Nurulsham atau nama sebenarnya Nurolshamshi adalah contoh penulis yang memulakan langkah pertama sebagai novelis di Galeri Ilmu.

Nurull Halawati berjinak-jinak dalam penulisan dengan menulis cerpen. Selepas mengalami satu pengalaman yang mengesankan dalam hidupnya, beliau mendapat ilham untuk berkongsi ibrah daripada pengalaman sebenar itu melalui penulisan novel. Lalu lahirlah Stanza Cinta, novel cinta Islami terbitan Galeri Ilmu yang sarat nilai tarbiah.

Siti Munirah A. Rashid mengajukan manuskrip novel pertamanya Perindu Pelangi, sebuah novel Islami untuk bacaan dewasa yang beliau garap dalam usianya 21 tahun. Mantan Minggu Penulis Remaja (MPR) ini menjadi penulis Galeri Ilmu yang kedua termuda selepas Hilal Asyraf, penulis novel VT yang diterbitkan oleh Galeri Ilmu pada 2009 ketika Hilal berusia 20 tahun.

Novelis-novelis ini mula bertatih dan insya-Allah akan 'membesar' di Galeri Ilmu melalui karya-karya Islami yang "menggugah" (meminjam istilah Dato' a. Samad Said).

Rohaida Abd. Rahim (Bukan Sekadar Kawan), Zurinah Ismail (Kasih Nasuha) dan Zayu Hisham (Impian Juara) juga mula bertatih di Galeri Ilmu melalui novel sulung masing-masing untuk bacaan remaja dan awal remaja.

Sebelum itu, beberapa nama telah lebih dulu memulakan langkah pertama di Galeri Ilmu. Mereka bermula dengan menghasilkan novel remaja Islami. Zulina Hassan (Hello, Anak-anak Ayah!), Norehan M. Nooh (Diari Aneesa, Putu Mayam Satu!), Nor Hayati Sapii (Andai Aku Affrina) dan Sayidah Mu'izzah Kamarul Syukri (Janji Miftahul Raudhah) adalah nama-nama baru dalam dunia penulisan novel, khususnya novel Islami.

Alhamdulillah, nama-nama tadi telah bersama-sama Galeri Ilmu menguak tabir pentas novel Islami tanah air dengan kelahiran karya-karya yang mampu "menggugah".

Kemunculan nama-nama baru ini bersama novel masing-masing dalam tempoh setahun ini meyakinkan saya akan kuatnya sokongan para pengarang kepada hasrat melahirkan novel-novel Islami yang bermutu - sedap dibaca, bagus isinya, mengesankan nilai didikannya dan menarik penampilannya.

Sesungguhnya novel Islami mempunyai impak tersendiri dalam mengajak dan menunjuk jalan kepada masyarakat ke arah kebaikan dan perkara makruf. Dengan sokongan novelis-novelis yang berjiwa Islam ini, saya yakin Galeri Ilmu mampu seiring sejalan dengan penerbit-penerbit lain yang mempunyai hasrat yang sama dalam mendidik pembaca dengan didikan Islam yang berkesan melalui novel.

Kefahaman Islam dan kemampuan menterjemahkan Islam ke dalam karya pada diri setiap seorang pengarang itu tidak sama. Maka sudah tentulah 'dos' nilai Islam yang mampu diterapkan dalam karya masing-masing berbeza-beza. Walaupun 'dos'nya berbeza-beza, impaknya kepada pembaca tetap ada, insya-Allah.