BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Saturday, June 26, 2010

Menulis Untuk Apa

Apa yang kita mahu sampaikan dalam tulisan kita dan ke mana kita hendak bawa pembaca melalui tulisan itu?

Ini soalan paling asas yang patut ditanyakan oleh seorang penulis Islam pada dirinya sebelum mula menulis. Persoalan ini adalah antara yang dikongsi oleh Sdr Hilal Asyraf dalam bengkelnya di GISB pagi ini, ketika menekankan perlunya penulis Islam berbeza daripada penulis bukan Islam.

Bagi Sdr Hilal Asyraf, fiksyen Islami bukan dilihat pada karya itu saja tetapi juga pada diri penulisnya, kerana diri penulis dan hasil karyanya mestilah selari. Apabila menulis, seorang penulis Islam mestilah berusaha mematuhi segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya sebagaimana yang disarankan dalam tulisannya. Oleh itu, selain tulisan itu diniatkan untuk mengubah pembaca ke arah kebaikan, diri penulis juga ikut berusaha ke arah itu.

Menurutnya, fiksyen Islami bukan sekadar karya yang banyak menyebut nama Allah dan mengajak kepada kebaikan, tetapi juga karya yang lahir hasil daripada usaha penulisnya mengamalkan ajaran Islam secara keseluruhan.

Seorang Islam mesti menjadikan seluruh kehidupannya sebagai ibadah. Maka beliau menyarankan agar penulis Islam sentiasa mengajak pembaca kepada Allah dan syariat-Nya melalui tulisannya, kerana di situlah nilai ibadah pada kerja menulis.

Bagi beliau, adalah rugi bagi seorang penulis Islam yang menghasilkan karya 'Islami' tetapi niatnya menulis hanya untuk mendapatkan ganjaran wang. "Memang duit itu perlu, tetapi jangan jadikan duit matlamat utama dalam menulis. Kalau kita tidak niatkan untuk duit pun, kita akan dapat duit apabila kita dibayar royalti. Tetapi kalau niat kita memang untuk duit, hanya duitlah yang kita dapat," katanya.

Dalam menghadapi cabaran untuk menulis, penulis Islam dan penulis bukan Islam sama-sama akan menghadapi cabaran. Tetapi, katanya, mungkin bagi penulis Islam, cabarannya lebih lagi. Bagaimanapun, jika seorang penulis itu sudah murni niatnya, dia akan mampu menghadapi cabaran itu. Misalnya, dia tidak akan putus asa dalam menulis walaupun tulisannya dikritik atau dirasakan tidak akan mendapat ganjaran wang yang banyak, kerana dia jelas akan niatnya menulis. Beliau memberi contoh Habiburrahman El-Shrazy, yang telah menghasilkan 200 cerpen sebelum menulis novel Ayat-ayat Cinta yang menjulang namanya.

"Kalau dia putus asa setelah menulis 199 cerpen kerana namanya tidak dikenali, sudah tentu tidak akan lahir Ayat-ayat Cinta."

Bengkel dihadiri oleh 14 orang peserta. Bengkel ini adalah bengkel Sdr Hilal yang kedua bersama GISB. Bengkel selepas ini akan diadakan di Alor Setar pada 22 dan 23 Julai, insya-Allah.


Monday, June 14, 2010

Bengkel Yang Membuka Minda

"Mudah difahami, realistik dan membuka minda. Memuaskan bagi peserta baru!" komen seorang peserta Bengkel Ekspres Penulisan Fiksyen Islami Bersama Hilal Asyraf yang diadakan Sabtu lepas.

"Memang terbaik! Moga Allah memberi hikmah dan dijadikan ibadah," komen seorang peserta lain.

Sdr Hilal Asyraf, antara lain, berkongsi tentang kaedah mudah dalam menghasilkan plot novel yang signifikan, yang telah beliau gunakan untuk menghasilkan lebih daripada lima buah novel setakat ini.

Beliau kongsikan juga sedikit tentang cara menghasilkan laman blog yang baik dan berkesan.

"Dalam menulis, soal duit jangan risau. Redha Allah yang perlu dicari. Bayangkan kita bersusah payah menulis novel, mungkin sampai setahun, tetapi Allah tidak kira. Rugi," kata beliau dalam bengkel sehari yang diadakan di Galeri Ilmu Sdn Bhd.

Beliau mengaitkan perkara itu dengan maksud surah Al-'Asr: "Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian kecuali mereka yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan berpesan-pesan supaya mentaati kebenaran dan berpesan-pesan supaya menetapi kesabaran."
"Kalau empat benda ini tidak ada dalam diri kita (sebagai penulis) dan tidak ada dalam novel kita, rugilah."

Antara panduan dan tip lain yang beliau kongsi:

1. Ramai penulis tidak berjaya kerana mereka ada bakat dan ada ilmu, tetapi tidak ada disiplin menulis. "Paling penting disiplin masa. Adakah kita masukkan menulis dalam jadual harian? Jadual saya, lepas Subuh mesti menulis untuk kemaskini blog. Untuk novel, saya tetapkan jadual untuk sebulan. Prioriti adalah menulis satu bab sehari. Waktu belajar, kita belajar. Waktu menulis, kita menulis," ujarnya.

2. Penulis mesti berusaha untuk berubah ke arah kebaikan, sebagaimana yang diajaknya di dalam penulisan. "Kita perlu menjaga diri kita daripada dosa. Dosa menyebabkan bintik hitam di hati."

3. Penulis yang baik adalah penulis yang ada rujukan. Rujukan menjadikan cerita yang dikarangnya lebih hidup dan memberi kesan kepada pembaca, juga menjadikan seorang penulis dihormati. "Usaha untuk membuat rujukan mesti sungguh-sungguh. Rujukan juga mesti sahih," terang Sdr Hilal.

4. Apabila menulis cerpen atau novel, mesej biar sampai dan cerita biar habis. Sekiranya menulis novel trilogi yang ceritanya tidak habis kerana ada sambungan, pastikan setiap satu novel itu dapat berdiri sendiri dari segi penyampaian mesejnya. "Setiap satu, selesai mesejnya walaupun cerita tidak habis." Beliau sendiri memastikan setiap bab novelnya mempunyai mesej.

5. Untuk menghasilkan novel tarbiah, penulis mesti menghasilkan penyelesaian yang positif dan tidak membiarkan penyelesaian atau mesej cerita itu tergantung atau tiada penjelasan. "Jangan biarkan pembaca tertanya-tanya apa mesej dalam cerita itu walaupun mereka mungkin tertanya-tanya kesudahan jalan ceritanya. Jangan biarkan pembaca terkial-kial mencari mesej, walaupun boleh biarkan mereka terkial-kial dengan jalan cerita."

6. Cerpen atau novel perlu mengangkat masalah yang dihadapi masyarakat sebagai permasalahan utama. Masalah yang diangkat itu pula mesti disesuaikan dengan sasaran pembaca supaya ia terasa dekat dan pembaca mendapat manfaat daripada penyelesaian masalah yang dipaparkan melalui cerita.

7. Teknik penghuraian masalah dalam novel mesti jelas. Untuk itu, ia perlu diulang-ulang sepanjang perjalanan cerita. Sdr Hilal memberi contoh, dalam novel VT, beliau mengulang-ulang huraian tentang sukan sebagai ibadah, manakala dalam novel Sinergi, beliau mengulang-ulang penekanan pada soal keimanan.

8. Untuk menjadikan watak dalam novel itu 'hidup', penulis perlu memberi ciri-ciri khas pada satu-satu watak. Misalnya, cara berjalan dan cara bercakap watak itu. Penulis juga mesti memastikan setiap watak rekaannya ada kisah silam (back story). Kisah silam ini menjadikan satu-satu watak itu menarik. "Tetapi kisah silam satu-satu watak ini tidak didedahkan terus (sekali gus) tetapi sedikit demi sedikit."

9. Untuk memastikan penulis dapat mengawal watak yang ramai dalam novel, dokumentasikan setiap watak. "Buat kertas watak dengan mencatat pengenalan setiap watak, termasuk kisah silam watak itu. Kertas watak ini seolah-olah Surat Beranak satu-satu watak."

10. Blog sangat penting bagi seorang penulis. Melalui blog, penulis dapat mempromosi bukunya. "Untuk menarik ramai datang ke blog kita, blog kita mesti mesra pelawat."

11. Antara cara untuk menjadikan blog 'mesra pelawat', gunakan latar putih untuk ruang teks, letak pengenalan diri yang sempurna dan lengkap di sidebar, manfaatkan shoutbox untuk berinteraksi dengan pelawat, letakkan foto yang menarik dan buat paparan untuk beberapa paragraf awal saja di ruang entri supaya pembaca dapat klik ke 'baca seterusnya' untuk membaca entri penuh.

Bengkel Sdr Hilal Asyraf yang seterusnya adalah pada 26-27 Jun dan 22-23 Julai. Pendaftaran masih dibuka untuk kedua-dua bengkel itu. Kepada yang berminat, hubungi Cik Suriati atau Sdr Nasri -- 03-61421614.



Thursday, June 10, 2010

Pengisian Bengkel Bersama Hilal Asyraf

Hilal Asyraf, penulis muda yang baru pulang dari Jordan kerana bercuti selama lebih tiga bulan, akan mengendalikan bengkel pertamanya bersama Galeri Ilmu Sdn Bhd pada Sabtu ini, 12 Jun.

Dalam Bengkel Ekspres Penulisan Fiksyen Islami Bersama Hilal Asyraf itu, para peserta akan mengikuti lima segmen penyampaian, bermula dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Saya kongsikan sekilas tentang pengisian lima segmen itu di sini.

Segmen 1: 8.30 pagi - 9.30 pagi:

Mukaddimah – Sebelum Turun Ke Medan Perang

· Penulis Islami di mataku

Menerangkan akan ciri-ciri penulis Islami. Iaitu penulis Islami hakikatnya adalah seorang da’i. Bukanlah penulis Islami ini adalah mereka yang menulis karya Islami. Tetapi penulis Islami adalah mereka yang membawa Islam dan menyebarkannya dalam segenap kehidupan mereka.

Maka perlulah seorang penulis itu, jika ingin menjadi penulis Islami, memerhatikan dirinya, dan siap untuk melaksanakan perubahan serta peningkatan. Hal ini kerana, penulis Islami lebih daripada sekadar seorang penulis.

· Keajaiban di hujung tanganmu

Semua orang memandang tinggi penulis. Kadangkala, kelihatan seperti penulis ini adalah makhluk ajaib yang datangnya dari planet lain. Seakan-akan penulisan itu adalah satu perkara yang sukar untuk dilakukan.

Tetapi hakikatnya, penulisan ini telah kita lakukan semenjak kita tadika lagi. Dari tadika kita telah menulis. Ditambah pula ketika tingkatan tiga dan tingkatan lima, kita ada pelajaran Bahasa Melayu yang memerlukan kita mengarang. Dan kita telah melaluinya. Tidakkah kita memerhatikan?

Sungguh sebenarnya, keajaiban itu adalah di tangan kita. Bantuan Allah adalah di hujung usaha kita. Justeru, siapa yang ingin menjadi penulis, maka dia perlukan usaha.

Adakah menulis ini memerlukan bakat, atau latihan?

Jawapan saya – minat.

· Yang kamu perlu lihat dan fahami

Perlulah kita melihat apakah hakikatnya medan penulisan itu. Satu medan untuk mengejar populariti, atau medan menambah amal serta membina ideologi?

Perlu kembali melihat sejauh manakah maknanya penulisan itu sendiri kepada kita. Merupakan matlamat atau wasilah?

Apakah kita memahami betapa kebolehan dalam penulisan hakikatnya adalah satu tanggungjawab yang besar?


Segmen 2: 10.00 pagi - 11.00 pagi:

Gerak Tanganmu Itu

· Genre

Pemilihan genre. Kita perlu memahami genre yang sesuai dengan jiwa kita. Seterusnya, perlu diperhatikan pula apakah genre yang sesuai untuk diketengahkan kepada masyarakat. Kita perlu bijak memanipulasikan genre untuk menarik perhatian masyarakat membaca hasil penulisan kita.

· Plot

Pembahagian plot. Awal, tengah dan akhir. Ia merupakan kerangka perjalanan cerita. Bagaimana hendak mengisi ketiga-tiga jenis plot tersebut. Bagaimana menyuntik konflik di dalamnya.

Pergerakan plot:

1. Perkenalan

2. Pemaparan Masalah

3. Kilmaks

4. Anti Klimaks (permasalahan cerita mula menunjukkan penyelesaian)

5. Penyelesaian Masalah

· Rekaan watak

Bagaimana hendak mereka watak?

Apakah disiplin yang diperlukan untuk mereka watak dengan baik?

Mencipta watak yang hidup.

Rahsia yang menjadikan satu-satu watak itu menarik.

· Penyelesaian

Penulis Islami yang baik, akan memberikan penyelesaian yang positif, membina dan menghidupkan. Tidak meninggalkan pembaca terkial-kial dengan persoalan. Solusi yang diberikan juga jelas dan realistik agar mampu dibumikan.

Seorang penulis Islami perlu memandang bahawa karyanya adalah untuk mendidik dan membimbing.

· Masalah

Permasalahan yang kita angkat di dalam penulisan kita, mestilah permasalahan yang dihadapi masyarakat. Baik secara langsung ataupun secara tidak langsung. Seorang penulis perlu bijak untuk memilih permasalahan yang hendak diangkat. Juga memikirkan bagaimana dia hendak mengangkat permasalahan itu agar kelihatan lebih menusuk penyelesaiannya apabila diterangkan.

Masalah juga kita bahagikan kepada dua.

Masalah utama, dan juga sub masalah.

· Rujukan

Untuk menjadikan penulisan itu lebih realistik, maka rujukan yang kukuh itu diperlukan. Justeru, adalah lebih baik bagi seorang penulis itu melakukan beberapa kajian terlebih dahulu sebelum merangka penulisannya.


Segmen 3: 11.30 pagi – 12.30 tengah hari:

Menjemput Ilham

· Ilham semula jadi.

Datang tanpa dijemput. Tidak boleh terlalu bergantung kepadanya. Namun harganya yang mahal membuatkan kita perlu sentiasa bersedia. Maka nota dan pen perlu sentiasa bersama kita.

· Ilham Rekaan Sendiri

Dituntut. Dicari. Diambil.

· Sumber-sumber ilham

Banyak. Mudah ceritanya, seluruh kehidupan boleh dijadikan sebagai sumber ilham.


Segmen 4: 2.00 petang – 3.30 petang:

Membumikan Idea

· Tulislah kamu

Penulis akan menulis karya mereka secara spontan.

· Perhatikan karya dia

Baca karya rakan.

· Apa yang kamu rasa?

Muhasabah bersama dan ungkit akan kebolehan menulis.


Segmen 5: 3.30 petang-4.45 petang:

Melangkahlah, dan Ini Wasiatku

· Muhasabah

Kembali memperbaiki niat, dan melihat semula matlamat.

· Tip-tip menjadi penulis Islami

Perkongsian melihat kembali tip-tip penulis Islam yang telah diberikan.

· Hikayat Langit Ilahi

Menceritakan sedikit hal pengurusan blog/website.

· Tumbesaran kita

Berkenaan perjalanan menjadi seorang penulis. Apabila sudah mencapai populariti, atau nanti tidak mendapat sambutan. Berkenaan latihan. Istiqamah dan konsisten. Tawazun dan tamayyuz.

· Melangkahlah

Wasiat untuk penulis.

Selain daripada itu, para peserta juga akan dibekalkan dengan hands out Lima Tip Untuk Menjadi Penulis Islami Yang Baik.


Tuesday, June 8, 2010

Tentang Royalti

Antara pertanyaan yang sering ditanyakan oleh calon penulis kepada penerbit adalah tentang kadar bayaran royalti kepada penulis.

Royalti adalah kaedah bayaran berdasarkan peratus jualan dan berkonsepkan perkongsian keuntungan. Selagi buku terjual, selagi itu penulis akan menerima royalati daripada jualan bukunya. Ia berbeza dengan bayaran secara honorarium iaitu saguhati yang dibayar sekali sahaja (lump sum).

Penerbit-penerbit buku menetapkan kadar bayaran royalti yang berbeza-beza. Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB) menetapkan kadar royalti 10 peratus daripada harga runcit jualan, seperti yang tertera di kulit belakang buku. Bermakna, jika harga yang tertera adalahRM10, kadar royaltinya adalah RM1 bagi setiap unit buku yang terjual.

GISB juga menetapkan tempoh matang enam bulan untuk layak dibuat kiraan royalti bagi satu-satu buku yang diterbitkan, dan kiraan dibuat dua kali setahun iaitu berdasarkan tarikh akaun ditutup pada 30 Jun dan 31 Disember.

Katalah buku A diterbitkan (dicetak) pada bulan Mac 2010, maka untuk kiraan royalti pada tarikh akaun ditutup 30 Jun 2010, kiraan royalti untuk buku A tidak akan dibuat kerana belum cukup enam bulan ia diterbitkan. Kiraan royalti untuk buku A hanya akan dibuat mengikut tarikh akaun ditutup 31 Disember 2010.

Bayaran royalti akan dikira berdasarkan jumlah kutipan jualan, bukan berdasarkan jumlah cetakan, untuk sesebuah buku pada tarikh akaun ditutup. Katalah sesebuah buku dicetak tiga ribu naskhah, tetapi jumlah kutipan jualannya pada tarikh akaun ditutup adalah 1,200 naskhah, maka bayaran royalti akan dikira berdasarkan jumlah 1,200 itu.

Selepas kiraan dibuat, biasanya GISB akan membuat bayaran dalam tempoh tiga bulan dari tarikh akaun ditutup.

Wednesday, June 2, 2010

Menjadikan Penulisan Sebagai Perjuangan

"Mudah-mudahan selepas ini, setiap orang memaksa dirinya untuk menulis. Mula-mula rasa susah. Apabila sudah dipaksa, ia akan sampai ke tahap biasa, seterusnya ke tahap rasa manis. Akhirnya, sampai ke peringkat menjadikan penulisan sebagai perjuangan."

Demikian kata-kata pembakar semangat daripada Sdr Pahrol Mohd Juoi dalam Bengkel Penulisan Islam anjuran Galeri Ilmu Sdn Bhd yang beliau kendalikan pada Sabtu dan Ahad lepas. Bengkel yang diadakan di Akademi Tahfiz Darul Huffaz, Seksyen 3, Kota Damansara itu dihadiri 20 orang peserta.

Sdr Pahrol menekankan perlunya penulis menyuburkan keinginan untuk mengubah diri, mengubah keluarga dan mengubah masyarakat, atas dasar sayangkan umat. Beliau mengaitkannya dengan kata-kata asy-Syahid Hassan al-Banna: "Kemanisan beragama hanya dapat dirasai oleh orang yang memperjuangkannya."

"Kita mesti ada burning desire (keinginan yang membara) untuk selamatkan orang yang disayang. Apabila rasa sayang, kita akan berusaha menarik orang lain kepada kebenaran atau kebaikan," ujarnya.

Penulis yang benar-benar berjiwa da'i dan berwatak murabbi akan sentiasa bersemangat untuk menulis. Semangat yang membara akan mengusir ketiadaan mood.

Di sini pentingnya penulis mempunyai jiwa yang besar. Kerana, walaupun sekadar menulis sebuah artikel, dia melakukannya dengan jiwa besar - jiwa untuk mengubah orang lain kepada kebaikan melalui tulisannya. "Manakala penulis yang berjiwa kecil hanya menulis untuk royalti atau memenuhi deadline."

Antara panduan dan tip yang beliau kongsi:

1. Menulis untuk tujuan dakwah mestilah dengan gaya dan bahasa yang mudah. Gaya penyampaian mesti realistik supaya pembaca nampak dengan jelas apa yang disarankan dan mudah untuk mengamalkannya.

2. Penulis Islam mesti berjiwa da'i, berwatak murabbi dan pemimpin tak rasmi.

3. Setiap orang ada bidang yang dia mahiri. Dalam menulis, pilih subjek yang dekat dengan kita.

4. Hiasilah kebenaran dengan kata-kata yang indah, bukan menghiasi kata-kata yang indah dengan kebenaran. Utamakan kebenaran dalam menulis, bukan keindahan.

5. Tulislah dengan pendekatan yang mudah walaupun membawa mesej yang berat. Gunakan istilah yang senang difahami, bahasa yang dekat dengan sasaran dan contoh-contoh yang berlaku dalam lingkungan sasaran. "Tugas kita sebagai penulis adalah untuk menjelaskan satu-satu perkara yang susah," katanya.

6. Kita tidak tahu sama ada kita ikhlas atau tidak semasa menulis. Oleh itu, teruskan menulis, mudah-mudahan Allah campakkan keikhlasan ke dalam hati kita.

7. Penulis Islam mesti yakin dengan kebenaran, barulah dia dapat meyakinkan pembaca melalui tulisannya. Dengan kata lain, penulis Islam menulis dirinya - keyakinannya, tujuan hidupnya, pegangannya, sistem nilainya, sikap dan perjuangan hidupnya. "Be the message."

8. Penulis sebenar menulis kerana membaca. Sementara penulis palsu membaca kerana mahu menulis. Kaedah yang salah adalah apabila hendak menulis, baru membaca. Penulis mesti lebih banyak membaca daripada menulis. Apa yang ditulisnya hari ini mungkin hasil daripada bacaannya lima tahun lalu. Membaca satu keperluan, bukan satu hobi.

9. Baca secara selektif dan menjiwai apa yang dibaca, bukan secara 'fast reading'. Baca secara aktif - buat nota, tandakan bahagian yang penting.

10. Penulis mesti sentiasa bermujahadah dan tekun bermuhasabah. Tidak semestinya dia menulis apa yang sudah mampu dia amalkan, tetapi sekurang-kurangnya dia menulis apa yang dia sendiri sedang bermujahadah untuk amalkan.