BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, August 23, 2010

Hilang Tumpuan Sewaktu Menulis?

Puan Nurulsham Saidin atau nama sebenarnya Nurolshamshi Saidin adalah antara novelis Galeri Ilmu Sdn. Bhd. yang giat menulis sejak kebelakangan ini. Beliau telah mempunyai dua novel yang diterbitkan oleh GISB, manakala dua novel lagi sedang diproses untuk diterbitkan tahun ini (2010). Beliau mempunyai sasaran untuk menerbitkan lima novel pada tahun ini.

Novel pertama beliau bersama GISB ialah Dingin Salju Indiana, novel yang beliau siapkan 13 tahun lalu! Ikuti perkongsian menarik beliau dalam blognya:

Tersenyum saya membaca blog adik saya, Fatimah Saidin. Di dalam tulisannya itu, beliau menceritakan bagaimana beliau menulis masterpiece beliau 'KORBAN KASIH' kira-kira 20 tahun dahulu! Waktu itu, adik saya masih belajar di USM. Novel Korban Kasih keluaran DBP telah diulang cetak empat kali, dan sehingga kini masih dicari oleh mereka yang pernah membacanya. Cerita sedih... Saya hampir menangis di kala menghabiskan bab terakhir novel tersebut.

Hm... mengapa saya berkata yang saya tersenyum pula tadi? Rupa-rupanya, sewaktu adik saya di dalam proses menulis, yang mengambil masa sebulan sahaja, kisahnya, waktu itu beliau telah berada di dunianya sendiri. Waktu itu kepalanya penuh dengan idea dan perancangan tentang bagaimana untuk menghabiskan novel tersebut. Ceritanya lagi, ketika itu, setiap kerja lain yang cuba dilakukan, semuanya tidak menjadi. Goreng ikan pun boleh hangit!

Sebenarnya, perkara yang sama terjadi juga pada saya. Begitulah cara saya menulis pertama kalinya- novel 'Dingin Salju Indiana. Waktu itu, saya tidak dapat buat kerja lain, kerana tumpuan saya hanya pada mencari idea dan menulis. Itulah pengalaman saya sebagai penulis amatur kira-kira 13 tahun dahulu. Selepas novel tersebut, saya berhenti menulis kerana sibuk dengan kerja dan tidak sanggup menghadapi situasi hilang tumpuan terhadap kerja lain seperti yang pernah berlaku itu.

Tetapi, keadaan telahpun menjadi berbeza sekarang. Tahun lalu, saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menumpukan perhatian pada menulis. Pada mulanya, saya menghadapi masalah yang sama juga, di mana saya tidak sempat ambil peduli rumah dan anak-anak saya. Kata suami saya, saya seorang yang jenis menumpu hanya satu-satu pekerjaan pada satu-satu masa. Saya akui ianya benar. Seorang kawan saya, Mahani Kamis, yang sedang cuba menulis novel memberitahu saya, dia juga menghadapai situasi yang sama.

Saya terfikir-fikir juga, bagaimana seorang penulis novel professional menghadapi situasi ini? Tentu ada cara dan jadualnya. Oleh sebab saya mempunyai target untuk menghasilkan lima buah novel tahun ini, saya perlu belajar dari penulis profesional ini.

Setelah siap tiga novel tahun ini, barulah saya belajar sedikit sebanyak caranya. Maklumlah, dengan anak yang ramai dan bekerja di samping mereka yang berbagai telatahnya itu, tentulah saya perlu belajar membahagikan tumpuan.

Rupa-rupanya, jadual sangat penting. Saya telah cuba kaedah ini, saya akan menulis 2 jam di awal pagi atau sebelum subuh, satu jam selepas solat asar, dua jam selepas Isya. Saya mengajar diri saya untuk berfikir tentang idea di dalam masa yang dijadualkan itu sahaja. Di luar dari waktu itu, saya terus lupakan tentangnya. Setiap kali idea datang, saya akan terus menulisnya di satu tempat, samada buku catatan atau dalam rangka cerita yang saya buat dalam microsoft word. Dari situ, saya tidaklah terfikir-fikirkannya sehingga hangit ikan yang digoreng =) . Habis mencatat, saya terus lupakannya sehinggalah tiba masa untuk memasukkannya di dalam bab yang sepatutnya.

Banyak lagi tip yang saya cuba, tetapi untuk mengatasi masalah tumpuan, inilah tips yang paling berkesan setakat ini. Maklumlah, sebagai suri rumah, hidupnya di kelilingi berbagai perkara remeh temeh harian yang perlu diselesaikan dan tidak pernah ada penyudahnya!

Semoga rakan penulis mendapat manfaat dari artikel ini. Untuk cerita lanjut tentang penulis novel Korban Kasih, klik http://saidinfatimah.blogspot.com/


Begitulah catatan Puan Nurulsham. Dapatkan panduan-panduan dan tip menulis novel yang dikongsi oleh Puan Nurulsham di dalam blognya. Klik http://nurulsham-saidin.blogspot.com/

Jom Ke Seminar Penulisan Kreatif Islami

Penulis muda Hilal Asyraf digandingkan dengan penulis mapan Faisal Tehrani sebagai ahli panel Seminar Penulisan Kreatif Islami: Asimilasi Dakwah Dalam Fiksyen yang akan diadakan di Universiti Islam Antarabangsa, Gombak pada 25 September depan.

Kedua-dua penulis prolifik generasi baru itu akan mengisi sesi seminar dari 9 pagi hingga 1.30 petang.

Saudara Faisal Tehrani akan bercakap tentang Asimilasi Dakwah dalam Penulis Kreatif: Tungguh Teduh Dulu, Satu Refleksi, manakala Saudara Hilal Asyraf akan memperkatakan topik Membina Momentum Dakwah dalam Diri Penulis Soleh.

Seminar akan diadakan di Auditorium B, Kuliyyah Engineering, UIAM Gombak.

Penyertaan dibuka sekarang. Peserta dikenakan yuran RM30 (pelajar) dan RM50 (bekerja). Untuk menyertainya, hubungan Puan Arash (012-3687172) atau Encik Wan Am (012-6615745). Daftar sebelum 15 September 2010.

Monday, August 16, 2010

Maaf Gangguan Sementara

Mohon maaf kepada rakan pengunjung, blog saya sedang bercelaru.

Nampaknya saya terpaksa meminta bantuan seseorang untuk membaiki 'setting' blog yang sudah lari.