BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, March 24, 2011

Motivasi 'Hidup' Daripada Kisah Benar

Buku kisah benar atau buku berbentuk travelog adalah antara jenis buku yang dapat memberi impak yang baik kepada pembaca. Membaca kisah-kisah yang mempunyai nilai motivasi dan nilai tarbiah dapat merangsang naluri pembaca kepada kebaikan, sama halnya ketika membaca sirah para nabi, para sahabat dan orang-orang soleh.

Walaupun nilai tarbiahnya mungkin tidak setinggi nilai tarbiah yang ada pada kisah-kisah orang bertakwa dan orang soleh dahulu, kisah-kisah begini adalah 'motivasi hidup' yang tetap mempunyai impak tersendiri.

Menulis kisah benar memang memerlukan sedikit asas kewartawanan, tetapi tidak semestinya penulis seorang wartawan atau ada latar belakang kewartawanan. Asalkan penulis seorang yang teliti dan tahu kepentingan fakta dan maklumat dalam penceritaan, dia boleh menulis buku kisah benar yang meyakinkan dan mengesankan.

Di tangan saya ada sebuah manuskrip buku kisah benar tulisan Isyah Radhiah, seorang guru yang mempunyai ijazah dari sebuah universiti di Timur Tengah. Beliau tiada asas kewartawanan tetapi terangsang untuk menulis kisah beliau sendiri selepas membaca buku kisah benar, Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah (Hasan Suyut, Galeri Ilmu Sdn Bhd, 2008). Isyah mampu menulis dengan baik kisah beliau bersama suami (Che Amran 'Raihan') menangani seorang anak yang menghidap ketumbuhan otak.

Ada nilai motivasi dan nilai tarbiah yang tinggi yang disuntikkan pada kisah yang dipaparkan, agar kisah itu bukan sekadar cerita biasa tetapi cerita yang mampu memberikan maklumat, motivasi, kesedaran dan pengajaran berguna kepada pembaca.

Di tangan saya juga ada sebuah manuskrip buku kisah benar yang menyayat hati dan juga mempunyai nilai tarbiah yang tinggi. Ia mengisahkan seorang wanita Inggeris yang datang daripada keluarga Kristian bermasalah, pernah bergelar banduan juvana dan satu ketika dulu tidak percaya kepada Tuhan. "I don't believe in God, I don't believe in Jesus, I don't believe in anything," ungkapnya, sebelum dia mengenal Islam.

Apabila wanita yang dilahirkan sebagai Kathryn Bennett ini jatuh cinta kepada Islam, dia pula diuji dengan ujian yang sangat berat, bermula dengan ujian rumah tangga yang menyaksikan perjalanan sukar untuk menjejaki tiga anak yang dilarikan bekas suami hingga menjadi kes polis, dan kemudian diuji dengan kanser kronik. Semua ujian berat daripada Allah dihadapi dengan sikap yang luar biasa kerana dia melihat semua itu hakikatnya daripada Allah yang pastinya ada kebaikan di sebaliknya. Dengan jiwa tauhid yang tinggi ini, dia boleh menceritakan semula rentetan peristiwa itu sambil tersenyum, seolah-olah semua itu hanya ujian kecil daripada Allah.

Kisah insan biasa yang luar biasa seperti ini akan menjadi sumber motivasi dan sumber tarbiah (didikan) yang sangat mengesankan.

Thursday, March 17, 2011

Sekali Lagi, Kenapa Perlu Menjadi Penulis

Setiap penulis harus mempunyai tujuan yang jelas mengapa dia hendak menjadi penulis atau mengapa dia hendak menulis tentang sesuatu, tidak kira sama ada dia hendak menulis artikel, skrip atau manuskrip buku.

Baik, mari kita fikirkan beberapa sebab mengapa kita mahu menjadi penulis.

1. Meneruskan tradisi ulama
Ramai ulama dahulu yang menulis kitab, walaupun lebih ramai lagi yang tidak menulis tetapi mampu mendidik umat dengan berkesan. Ulama-ulama yang menulis kitab itu mahu menyampaikan ilmu dan tarbiah secara lebih tersusun melalui kitab-kitab mereka. Mereka tahu kitab-kitab mereka akan dibaca bukan saja oleh orang-orang sezaman dengan mereka tetapi selepas ketiadaan mereka.

Imam al-Ghazali misalnya, mula mengarang kitab sewaktu berumur sekitar 40 tahun hingga ke akhir usianya sekitar 54 tahun. Dalam tempoh sekitar 14 tahun itu beliau mengarang ratusan kitab yang tebal-tebal (sekitar 300 buah) termasuk Ihya Ulumuddin, kitab tasawuf yang hingga sekarang dicetak berjilid-jilid disebabkan tebalnya. Ulama-ulama seperti Imam al-Ghazali mengarang kitab tanpa memikirkan sama sekali ganjaran duniawi. Kitab pada zaman mereka tidak dijual sebagai produk komersial.

2. Menghurai, menjelaskan, memadatkan, meringkaskan, menyusun semula, dan memudahkan isi buku/kitab tinggalan ulama
Dalam sejarah silam misalnya, ada usaha di kalangan ulama untuk meringkaskan kitab-kitab ulama sebelumnya seperti yang dilakukan oleh Imam al-Muzani yang meringkaskan kitab al-Umm tulisan Imam Syafi'i. Kitab yang diringkaskan itu bertajuk Mukhtashar al-Muzani. Malah, menurut satu catatan yang saya temui, kira-kira 200 tahun kemudian kitab Mukhtashar al-Muzani ini disyarahkan Imam al-Haramain al-Juwaini dalam kitab yang diberi nama Nihayatul Mathlab fi Dirayah al-Madzhab. Kemudian murid beliau iaitu Imam al-Ghazali meringkaskan kitab gurunya itu dan setelah itu ada pula ulama lain yang meringkaskan kitab Imam al-Ghazali hingga kepada beberapa versi ringkasan. Semuanya bertujuan untuk memudahkan lagi penyampaian kitab terdahulu. Kalaulah ulama-ulama itu hidup sezaman, mereka sebenarnya telah melakukan usaha kolaborasi dalam menghasilkan kitab untuk rujukan umat.

3. Menyampaikan ilmu dan tarbiah mengikut kesesuaian zaman.
Penulis sebagai agen pencetus perubahan, perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk menunjuk ajar dan mendidik umat mengikut situasi, masalah dan kerosakan masyarakat yang berlaku pada zamannya. Penulis juga perlu menggunakan pendekatan atau gaya olahan yang sesuai dengan trend semasa pada zamannya. Misalnya, untuk menarik generasi muda menghayati sirah Nabi dan sejarah para ulama atau tokoh Islam, pendekatan kreatif sesuai digunakan pada hari ini. Penulis yang berkemampuan mengolah tulisan secara kreatif, boleh menulis novel sejarah atau novel sirah.

Untuk mengajak masyarakat memahami adab-adab dan akhlak Islam, pendekatan komik mungkin sesuai. Melalui komik bercorak pendidikan, kanak-kanak dan remaja juga dapat diterapkan dengan penghayatan tauhid dan difahamkan tentang syariat. Animasi juga sesuai digunakan untuk tujuan yang sama. Semua ini memerlukan sumbangan penulis, dengan sokongan kepakaran pelukis serta kepakaran lain.

4. Meninggalkan legasi
Legasi adalah tinggalan untuk generasi kemudian. Penulis boleh meninggalkan legasi dalam pelbagai bentuk - artikel, buku, komik, skrip animasi, skrip drama, skrip filem. Legasi ini adalah 'hayat maknawi' seseorang penulis yang akan terus hidup walaupun setelah si penulis meninggal dunia. Kitab-kitab ulama dahulu adalah 'hayat maknawi' ulama-ulama itu setelah ratusan tahun hayat fizikal mereka berakhir.

5. Mendapatkan sedikit ganjaran
Menulis adalah juga aktiviti yang mendatangkan ganjaran dalam bentuk wang. Mungkin sukar untuk menemui penulis pada hari ini yang menulis tanpa mengharapkan sedikit wang dalam bentuk royalti atau honorarium. Walaupun seseorang penulis itu berusaha untuk tidak memikirkan sangat soal wang, tidak dapat tidak jauh di sudut hatinya pasti mengharapkan sedikit imbuhan daripada hasil kerja menulisnya. Hal ini disebabkan bahan tulisannya telah dijadikan produk yang dikomersialkan. Kalau syarikat yang menerbitkan bahan tulisan itu mendapat untung daripada tulisannya, mengapa pula penulis tidak dapat apa-apa.

Walaupun situasinya begitu, sebaik-baiknya seseorang penulis itu tidak menjadikan sebab kelima ini sebagai sebab utama dia menulis. Saya meletakkannya dalam senarai terakhir kerana selalunya apabila sebab kelima ini menjadi pendorong utama seseorang itu menulis, dia tidak akan dapat menghasilkan karya yang nilai tarbiah atau nilai didikannya benar-benar mengesankan atau berbekas di hati pembaca. Ataupun dia tidak dapat menulis secara istiqamah kalau imbuhan daripada tulisannya tersekat atau dianggap tidak berbaloi.

Bagaimanapun, dalam dunia penerbitan hari ini, penulis memang mempunyai hak untuk dibayar setimpal dengan hasil kerjayanya dan dengan kadar untung yang diperolehi oleh syarikat penerbitan yang menerbitkan karyanya. Sekiranya penulis dibayar royalti, bukannya dibayar honorarium atau secara lumpsum, imbuhan daripada hasil tulisan ini akan berpanjangan selagi karya itu diulang cetak dan dijual. Ini yang dikatakan 'passive income' atau pendapatan pasif.

Dalam kaedah pembayaran secara royalti, selagi syarikat yang menerbitkan karyanya masih mendapat untung daripada penerbitan karya itu, selagi itu penulis akan mendapat bahagiannya. Ia berkonsepkan 'menang-menang'. Jika karyanya sudah beberapa buah yang diterbitkan, royalti yang akan diterimanya secara kolektif tentulah lebih banyak. Royalti ini pula boleh diwariskan kepada waris sekiranya penulis meninggal dunia dan hasil tulisannya masih diedar dan dijual.

Oleh itu, kerja menulis boleh menghasilkan kedua-dua imbuhan pahala dan imbuhan wang. Kadar yang penulis akan dapat bergantung pada kadar niatnya. Apa yang penulis niatkan, itulah yang dia akan dapat, insya-Allah. Mudah-mudahan kita tidak hanya mendapat satu imbuhan dan kehilangan imbuhan yang satu lagi. Biarlah dapat kedua-duanya.

Tuesday, March 15, 2011

Masa Depan Buku Melayu

Sepuluh tahun lalu, buku-buku berbahasa Melayu ibarat melukut di tepi gantang untuk masuk ke kedai-kedai buku elit seperti MPH, Popular dan Kinokuniya. Hari ini, rangkaian kedai-kedai buku ini sudah membuka pinta kepada buku-buku berbahasa Melayu. Terima kasih kepada Puan Ainon Mohd, Pengerusi PTS, dan tim marketing beliau yang telah meneroka laluan untuk mengangkat martabat buku-buku berbahasa Melayu ini lebih 10 tahun lalu.

Pagi ini, dalam perbincangan di meja kopi dengan wakil rangkaian kedai buku MPH di pusat membeli-belah Alamanda, Putrajaya, kami daripada GISB dimaklumkan bahawa dalam suku terakhir 2010, buku-buku berbahasa Melayu menyumbang lebih 10% daripada pendapatan MPH - satu peningkatan yang besar jika dibandingkan dengan tahun-tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 31% adalah daripada jualan buku-buku agama Islam.

Ketika berkongsikan maklumat ini, Encik Zaffri Hassan, orang yang bertanggungjawab mengembangkan seksyen Mutiara Minda iaitu seksyen buku-buku berbahasa Melayu di MPH, mengakui bahawa rangkaian kedai buku itu sudah membuka pintu luas-luas kepada buku-buku berbahasa Melayu.

"Dulu orang segan untuk pegang buku-buku Melayu. Sekarang tidak lagi," kata Encik Zaffri.

Menurut beliau, banyak buku berbahasa Melayu pada hari ini yang berkualiti dan memenuhi standard yang dikehendaki oleh pasaran, khususnya untuk dibariskan di rangkaian kedai buku besar seperti MPH.

GISB komited untuk menerbitkan buku-buku yang berkualiti bukan sahaja pada reka bentuk kulitnya yang menarik tetapi juga pada nilai isi (content value) buku-buku itu, termasuk novel-novel tarbiah/Islami yang semakin mendapat tempat di pasaran.

Pasaran yang sedang naik dengan kadar yang sangat memberangsangkan sekarang adalah untuk novel-novel remaja dan awal remaja/kanak-kanak. Di sini GISB melihat ruang yang terbuka luas untuk memperbanyak novel-novel tarbiah yang disasarkan kepada kanak-kanak dan remaja.

Bengkel Asas Penulisan Novel Tarbiah Remaja yang akan saya kendalikan pada 26 Mac ini adalah antara wadah untuk mengundang lebih ramai calon novelis berjiwa da'i yang mahu menghasilkan karya mendidik.

Friday, March 11, 2011

Kolaborasi Dalam Penulisan Novel

Kolaborasi merujuk pada usahasama untuk menghasilkan satu-satu perkara. Dalam penulisan novel di Malaysia, kolaborasi melibatkan dua orang penulis jarang berlaku tetapi ia merupakan perkongsian pintar yang sudah pun diterokai oleh beberapa orang penulis. Kalau tidak silap saya, novelis Ahadiat Akashah pernah berkolaborasi dengan seorang novelis wanita untuk menghasilakan salah sebuah novelnya.

Di GISB sendiri, kolaborasi dalam menghasilkan novel mula dilakukan oleh Nurulsham Saidin menerusi novel trilogi awal remaja dalam Siri Pengembaraan Sains Tiga Beradik. Beliau berkolaborasi dengan suaminya Mohamad Samsuri. Dalam kes ini, Nurulsham berkongsi idea pengembangan jalan cerita dengan suaminya yang mahir dalam selok-belok 'jungle survival' dan mempunyai pengetahuan luas tentang herba hutan.

Melalui kolaborasi ini, mereka mengetengahkan fiksyen sains yang memfokus pada penemuan-penemuan sains di persekitaran semulajadi, khususnya di tengah belantara.

Nurulsham tidak berhenti di situ. Beliau meneruskan kolaborasi untuk novel dewasa beliau yang terbaru, Andai Bavaria Takdirku. Kali ini beliau berkolaborasi dengan rakan beliau, Nieda Lienke, Muslimah rakyat Malaysia yang berkahwin dengan seorang warga Jerman dan berhijrah ke kampung asal suaminya. Pengalaman Nieda hidup di tengah masyarakat bukan Islam di Obermichelbach, Bavaria, Jerman dimanfaatkan sebagai latar untuk sebuah kisah meruntun emosi.

Terbaru, Nurulsham berkolaborasi dengan Zabidi Mohamed, penulis skrip drama bersiri Hani untuk projek novel adaptasi drama itu. Drama bersiri Hani yang mendapat rating tinggi sepanjang 13 episod tayangannya di TV3, dengan catatan 2.55 juta dalam episod terakhirnya, diilhamkan daripada sebuah kisah benar.

Dalam menghasilkan karya secara kolaborasi begini, pembahagian peratus royalti antara dua orang penulis dibuat atas perbincangan dan persetujuan kedua-dua penulis.

Saturday, March 5, 2011

Mengatasi Kehilangan Momentum: Pengalaman Seorang Novelis


Puan Nurul Arsyiah Halim yang menggunakan nama pena Ummu Itqan, menyerahkan proposal sebuah novel tarbiah selepas menyertai taklimat penulisan novel yang saya sampaikan di pejabat lama GISB di Taman Tun Dr Ismail sekitar pertengahan 2008.

Ekoran daripada maklum balas saya, beliau menambah baik sinopsis novelnya. Selepas itu, kami mengeluarkan surat tawaran yang menyatakan kesediaan GISB untuk menerbitkan karyanya dengan memberi tempoh beliau menyiapkan novelnya. Seperti lazimnya, tempoh yang diberikan adalah tiga bulan yang fleksibel.

Pada satu ketika, proses berkarya beliau terbantut, termasuk kali terakhir apabila beliau bercuti bersalin. Menariknya, guru aliran sains di sebuah sekolah Islam ini akhirnya dapat memberi noktah akhir kepada novel sulungnya selepas kehilangan momentum sekian lama. Di bawah ini saya kongsikan pengalaman beliau:

Cabaran
1. Seperti biasa, kesibukan dan komitmen sebagai isteri, ibu dan guru menjadi cabaran utama untuk saya hasilkan Kasih Terpilih (KT). Tambah pula saya mengajar kelas peperiksaan tingkatan tiga dan lima, justeru banyak tenaga dan usaha dicurahkan kepada pelajar-pelajar saya untuk memastikan kecemerlangan mereka.

2. Pada awal saya menghantar sinopsis, ketika itu saya sedang hamil anak ketiga. Cabaran ibu hamil terlalu banyak; antaranya keletihan selepas waktu kerja, alahan, angin dan macam-macam lagi. Saya merancang masa berpantang dua bulan (selepas bersalin) akan digunakan untuk selesaikan manuskrip KT, tetapi saya diduga pula dengan anak yang terkena jaundis dan kami satu keluarga dijangkiti virus pada mata. Semasa di wad, saya banyak habiskan masa berehat kerana keadaan mata yang bengkak teruk tidak mengizinkan saya menatap komputer dengan lebih lama.

3. Ada satu kes, pen drive saya diserang virus setelah dipinjam oleh seorang kawan. Habis semua fail di dalamnya termasuklah manuskrip KT musnah. Nasib baik setiap bab yang saya buat, saya ada simpan backup dalam e-mel. Cuma, satu bab penuh terpaksa ditaip semula.

4. Ada masa-masa tertentu saya kekeringan idea sampai rasa macam tak boleh teruskan. Tapi saya selalu motivasikan diri saya dengan meletakkan sasaran. Walaupun banyak bab tak siap, saya cuba meletakkan komitmen dengan memberitahu editor, manuskrip akan siap dalam bulan sekian-sekian. Jadi saya akan paksa diri untuk kotakan komitmen yang saya telah berikan pada editor. Cuma cara ini kurang berkesan, sebab itu beberapa kali saya melanggar deadline.

5. Dulu, saya terpaksa berkongsi laptop dengan suami untuk mengarang. Awal tahun ini (2010) saya telah membeli laptop sendiri, jadi tidak timbul soal berebut laptop lagi. Saya boleh berkarya di mana-mana pun sekarang ini dengan laptop mini saya.

Cara Atasi
1. Selalu tanam dalam minda luar sedar supaya dapat menghasilkan buku sebelum umur 30 tahun.

2. Setiap kali kekeringan idea, saya akan cari novel-novel bermutu untuk memulihkan semangat dan mengasah idea. Selama menulis manuskrip KT, saya sudah menghabiskan lebih empat buah novel yang sebelum ini susah untuk saya tamatkan walau satu novel pun untuk tempoh sebulan. Novel-novel yang saya baca seperti Advencer Si Peniup Ney (Faisal Tehrani), Enrique (Tuah Iskandar), Memoir Seorang Guru (Azizi Abdullah), Sangheeta (Azizi Abdullah), Tunggu Teduh Dulu (Faisal Tehrani), Laskar Pelangi (Andre Herata) ... (rekod bacaan novel tahunan sepanjang hidup!)

3. Saya selalu kongsikan perkembangan penulisan saya dengan anak murid dan sahabat. Selalu jadikan motivasi daripada pelajar-pelajar untuk siapkan manuskrip. Pelajar-pelajar selalu bertanya, “Bila novel cikgu nak keluar? Kami tak sabar nak baca.”

4. Dorongan daripada kawan-kawan dan suami supaya teruskan.

5. Juga takut menjadi orang yang mungkir janji. Banyak kali saya melangkaui deadline. Rasa bersalah tu sentiasa ada setiapkali dapat e-mel daripada editor bertanyakan perkembangan penulisan ... jadi saya usahakan juga menghabiskannya.

6. Semangat meluap-luap apabila tengok novel Stanza Cinta berjaya diterbitkan. Saya anggap itu cabaran yang perlu disahut kerana Nurull Halawati (penulis Stanza Cinta) memulakan penulisan agak lambat daripada saya, tetapi beliau siap dulu. Itu antara faktor saya menambah momentum sehingga selesai manuskrip KT.
- Nurul Arsyiah Halim (Ummu Itqan)

Thursday, March 3, 2011

10 HALANGAN MENULIS

(NOTA: Catatan ini saya kongsikan dengan peserta bengkel penulisan novel, tetapi ia boleh diguna pakai untuk penulisan buku.)

Jika anda merasakan ada-ada saja perkara yang menghalang anda untuk menulis novel yang anda hajatkan, maka ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan. Bagi mana-mana calon novelis umumnya mereka berkongsi bentuk-bentuk halangan yang serupa.

Sepuluh halangan lazim yang dihadapi oleh calon-calon novelis adalah:

1. Tidak ada keyakinan diri untuk menulis.
“Aku pernah menulis cerpen, tetapi mampukah aku menulis novel?”

Ini antara persoalan yang bermain di fikiran calon novelis yang belum ada keyakinan diri untuk menulis. Keyakinan diri ini boleh ditanam dan dipupuk dengan beberapa cara. Pertama, dengan mula menulis dan kongsikan hasil penulisan itu dengan orang lain yang dapat memberi pandangan dan teguran secara jujur. Kedua, masuk ke dalam komuniti novelis atau berkenal-kenal dengan novelis. Dari situ datang semangat dan keyakinan diri untuk menulis, kerana sudah rasa dekat dengan dunia penulisan. Ketiga, dapatkan bimbingan daripada novelis atau mentor yang sudi membimbing.

Satu lagi cara untuk membina keyakinan diri dalam menulis novel adalah dengan membaca dan mengkaji novel-novel orang lain. Dengan membaca banyak novel, seorang novelis akan berasa bahawa dia juga mampu menulis novel. Dengan membaca banyak novel juga, seorang novelis dapat mempelajari cara novelis lain mengembangkan cerita, membina watak, menggambarkan latar, menulis dialog, memulakan bab pertama, mencipta insiden, dan aspek-aspek lain dalam penulisan novel.

Membaca banyak novel orang lain, terutama novel yang bagus-bagus, adalah cara untuk “belajar tanpa diajar”. Ini adalah cara semulajadi seseorang itu belajar dalam hidup. Secara beransur-ansur, keyakinan diri akan terbina kerana banyak ‘rahsia’ menulis novel yang sudah diketahui tanpa tunjuk ajar secara langsung.

2. Tidak ada masa untuk menulis.
Setiap orang dikurniakan masa 24 jam sehari. Apa yang membezakan seorang novelis dan bukan novelis adalah, novelis memperuntukkan satu segmen daripada masa 24 jam itu untuk menulis, manakala bukan novelis memperuntukkan segmen masa itu untuk perkara lain. Novelis menjadikan kerja menulis novel sebagai salah satu agenda besar dalam hidupnya, manakala bukan novelis tidak. Kerja menulis ada dalam jadual 24 jam seorang novelis, tetapi tidak ada dalam jadual bukan novelis.

Selalu disarankan agar kita tidak menunggu masa lapang, tetapi melapangkan masa untuk satu-satu perkara yang kita anggap penting. Satu-satunya cara untuk melapangkan masa menulis adalah dengan memasukkan kerja menulis di dalam jadual. Cari segmen masa yang boleh ‘dikorbankan’ untuk aktiviti menulis, termasuk segmen masa yang digunakan untuk tidur, menonton tv, window shopping, dsb. Kalaupun sangat sibuk, mungkin masih ada sedikit segmen masa yang boleh ‘dicuri’ untuk menulis. Misalnya, sejam dua sebelum Subuh.

3. Malas.
Malas selalu dikaitkan dengan tiadanya disiplin diri. Apabila seseorang itu telah memilih untuk menjadi novelis, dia mesti melawan rasa malas dan cuba mendisiplinkan diri untuk menulis. Rasa malas juga berpunca daripada tiadanya sasaran atau halatuju dalam menulis. Apabila seseorang itu mensasarkan untuk menyiapkan sebuah novel pada kerangka waktu sekian-sekian, barulah dia akan lebih bersemangat untuk menulis dan mudah melawan rasa malas. Oleh itu, adalah penting bagi calon novelis untuk mensasarkan tarikh siapnya manuskrip novel pertamanya.

Malas juga disebabkan terlalu mengikut mood dan tiadanya jadual menulis. Novelis Kusyi Hirdan menyarankan agar seseorang penulis itu jangan menulis mengikut mood, tetapi mengikut jadual. Apabila sudah ada jadual menulis, penulis perlu mematuhi jadual dan melawan rasa malas dan mengetepikan soal mood.

4. Tidak tahu mahu tulis apa. Dengan kata lain, tiada idea.
Idea cerita adalah aset seorang novelis. Penulis yang berasa tidak ada idea atau kekurangan idea, tidak mampu untuk menulis. Ramai calon novelis yang menyangka bahawa idea hanya ‘datang’, bukan ‘dicari’. Oleh itu ramai yang hanya menunggu datangnya idea atau dengan kata lain, menunggu datangnya ilham untuk menulis. Berdasarkan pengalaman ramai novelis, idea perlu dicari atau diusahakan. Idea juga perlu dikembangkan. Malah idea juga perlu disokong oleh penyelidikan.

Bagi seorang calon novelis yang berjiwa pendidik, jiwanya pasti tersentuh dengan bermacam-macam ‘cerita’ yang berlaku di sekelilingnya, sama ada yang didengar, dibaca atau dilihat. Semua ‘cerita’ yang berlaku di alam realiti adalah bahan yang boleh diolah menjadi cerita dalam novel dan dijadikan bahan pendidikan. Watak-watak realiti yang ditemui dalam pelbagai ‘cerita’ kehidupan, adalah watak-watak yang boleh diadaptasi ke dalam cerita rekaan, khususnya novel. Apa yang perlu adalah mempertajamkan naluri seorang novelis, supaya semua cerita yang didengar, dibaca dan dilihat di sekeliling dapat diolah menjadi cerita dalam novel dan sebagai bahan mendidik pembaca. Semua itu merangsang seorang novelis untuk menulis, kerana ada bahan cerita dan bahan didikan untuk disampaikan.

5. Tidak tahu bagaimana mahu bermula.
Hal ini disebabkan belum ada pengalaman dan kemahiran menulis novel. Sekali lagi, dengan membaca dan mengkaji banyak novel lain, novelis akan mendapat gambaran bagaimana untuk memulakan penulisan novelnya sendiri. Asalkan dia mula menulis. Sebagai panduan mudah, untuk menulis sebuah cerita yang panjang (sebuah novel), seseorang novelis perlu melakarkan dulu matan ceritanya. Buat sinopsis cerita berserta gagasan atau mesejnya. Selepas menyediakan sinopsis keseluruhan, kembangkan menjadi sinopsis bab ke bab.

Satu cara boleh dicuba. Dapatkan sebuah novel yang baik dan buatkan sinopsis bab ke bab novel itu. Ia memang satu kerja yang susah, tetapi ada sesuatu yang dapat dipelajari dengan membuat ringkasan begitu. Apabila kita dapat meringkaskan jalan cerita setiap bab novel itu, nanti kita akan dapat rasakan bahawa bukanlah susah sangat untuk mengembangkan cerita menjadi sebuah novel. Kuncinya adalah memecah-mecahkan atau membahagikan cerita itu kepada segmen-segmen (bab) dan menulis dari segmen ke segmen.

Umpama sebuah bangunan pencakar langit, walaupun pembinaannya nampak komplikated, kerja membinanya akan nampak lebih mudah apabila dilihat secara segmen – ada kerja menanam cerucuk, ada kerja menuang konkrit, ada kerja memasang jubin, ada kerja mengecat, dan sebagainya. Apabila semua kerja itu dicantum-cantum, terbinalah sebuah bangunan. Begitu juga dalam menulis novel, apabila ia dilihat secara terpecah-pecah mengikut bab, ia akan kelihatan lebih mudah untuk ditulis dan tidak nampak terlalu komplikated.

6. Tidak ada dorongan menulis.
Ramai calon novelis berasa keseorangan. Dia tidak mendapat dorongan daripada sesiapa dan tidak juga mendapat bimbingan sesiapa. Di sini perlunya calon novelis bergaul dengan novelis, atau mendekati mentor untuk mendapatkan dorongan menulis. Menghadiri bengkel dan kursus penulisan adalah antara cara untuk mendapatkan dorongan menulis. Apabila telah mendapat dorongan, langkah seterusnya adalah mula menulis.

7. Terhenti menulis disebabkan buntu.
Buntu mungkin disebabkan tidak ada perancangan dalam menulis. Tidak ada lakaran jalan cerita dari A sampai Z dan perjalanan watak-watak dari awal sampai akhir cerita. Maka idea untuk mengembangkan cerita dan mengembangkan watak-watak mungkin terputus di tengah jalan. Apabila tidak jelas ke mana cerita akan bergerak dan apa akan berlaku akhirnya kepada watak-wataknya, penulis mungkin tiba ke titik buntu.

Buntu juga mungkin disebabkan terikat dengan cara menulis mengikut urutan bab. Apabila idea tersangkut di bab tiga misalnya, progres menulis terhenti kerana selagi bab tiga itu belum selesai, penulisan tidak dapat disambung. Cara berfikir ‘linear’ atau lurus begini perlu diubah kepada cara berfikir ‘non-linear’. Dengan berfikir secara ‘non-linear’, penulis boleh melompat ke bab lain sebelum menyiapkan bab tiga tadi.

Di sini kelebihan bagi penulis yang telah menyiapkan sinopsis bab ke bab novelnya. Apabila terhenti di satu-satu bab, dia boleh melompat ke mana-mana bab seterusnya berdasarkan sinopsis yang telah disediakan.

8. Kehilangan momentum menulis.
Ada penulis yang sudah menyiapkan sebahagian manuskrip novelnya, tetapi kehilangan momentum di pertengahan jalan. Misalnya, bagi novelis wanita, momentum menulis terhenti apabila bersalin. Halangan ini pernah dihadapi oleh tiga orang penulis Galeri Ilmu. Untuk memulakan semula momentum yang terhenti memang sukar, tetapi bukan mustahil kerana sudah ada buktinya. Novel Kasih Terpilih terbitan Galeri Ilmu adalah contoh novel yang proses menulisnya terhenti lama apabila penulisnya cuti bersalin. Penulisan manuskrip novel E-mel Untuk Damia (bakal diterbitkan oleh Galeri Ilmu) juga mengalami perkara yang sama, tetapi ia akhirnya dapat disiapkan.

Sekiranya penulis terus berhubung dengan editor novelnya, lazimnya editor akan memberi dorongan kepadanya untuk meneruskan penulisan yang terhenti. Selain editor, orang-orang terdekat mungkin akan turut memberikan dorongan. Oleh itu, penting bagi penulis untuk berkongsi dengan seseorang perihal aktiviti menulisnya. Apabila dia terhalang untuk menulis, ada orang yang akan memberikan dorongan hingga dia berjaya mengatasi halangan itu.

Untuk memulakan semula momentum menulis manuskrip novel yang terhenti, apa yang perlu dilakukan oleh penulis adalah menghayati semula watak-watak dan perjalanan cerita novelnya. Dia perlu membaca semula sinopsis yang pernah disediakan dan bahagian yang sudah ditulis. Dengan cara itu dia dapat menghayati semula watak-watak yang sudah ditinggalkan lama, latar tempat yang sudah hilang dari skrin ingatan, perjalanan cerita yang entah sudah sampai di mana, dan apa yang akan berlaku seterusnya. Seperti orang yang sudah lama tidak bawa kereta, maka apabila mahu memandu semula, dia perlu membiasakan diri dengan setereng, dengan gear, dengan pedal minyak dan sebagainya.

9. Tidak ada peralatan menulis, seperti komputer.
Mendapatkan peralatan menulis merupakan kemestian bagi penulis yang mahu serius menulis. Oleh itu, bagi calon penulis, memiliki komputer yang baik perlu dijadikan prioriti, kerana lazimnya penerbit menolak proposal mahupun manuskrip penuh yang bertulis tangan. Penting juga bagi penulis untuk memiliki akses internet kerana kebanyakan penerbit sekarang ini selesa untuk berhubung dengan penulis melalui e-mel.

10. Tidak tahu mahu menghantar karya ke mana.
Apabila manuskrip siap ditulis, penulis tidak ada saluran untuk menghantar karyanya untuk diterbitkan. Penulis tidak tahu mahu menghantar manuskripnya ke penerbit mana. Penulis novel Dingin Salju Indiana memerap manuskripnya selama sembilan tahun sebelum menghantarkannya kepada Galeri Ilmu Sdn Bhd untuk diterbitkan.

Bagi penulis yang sedari awal mahu menerbitkan novelnya bersama Galeri Ilmu, persoalan seperti ini tidak akan timbul. Hal ini kerana Galeri Ilmu mensyaratkan penulis mengajukan proposal terlebih dahulu. Apabila proposal diluluskan, syarikat akan mengeluarkan surat tawaran. Dalam surat tawaran ini dinyatakan kesediaan Galeri Ilmu untuk menerbitkan karya itu apabila ia disiapkan dalam tempoh yang dipersetujui.

Ada juga penulis yang menghantarkan terus manuskrip yang sudah siap tanpa didahului dengan proposal. Galeri Ilmu akan tetap menerimanya sekiranya manuskrip itu baik dan memenuhi kriteria novel tarbiah yang ditetapkan. Galeri Ilmu membuka pintu kepada mana-mana penulis tanpa mengira penulis lama atau baru, asalkan karya yang dikirimkan memenuhi kriteria dan mengikut format yang ditetapkan.



Kembali Berblog

Alhamdulillah, setelah berbulan-bulan lamanya saya tinggalkan blog ini tanpa apa-apa perkongsian, hari ini saya mendapat semangat baru untuk kembali menulis di sini.

Terima kasih kepada sahabat-sahabat di bahagian promosi GISB yang membantu memulihkan blog ini daripada keadaannya yang lari 'setting' sebelum ini akibat kesilapan sendiri. Ibarat tikus membaiki labu, hasrat membuat sedikit ubah suai pada wajah blog bertukar haru. Entah apa hikmahnya.


Apa pun, syukurlah ... saya dapat menyambung perkongsian hari ini. Baru-baru ini rakan seperjuangan yang juga ketua pejabat saya, Encik Wan Azmin, meneliti koleksi panduan-panduan penulisan yang saya sediakan sejak beberapa waktu dulu untuk pelbagai tujuan, termasuk untuk mengendalikan bengkel-bengkel penulisan. Katanya, panduan-panduan itu elok dikongsikan dengan para pengunjung blog saya.

Saya akan melihat semula bahan-bahan itu dan membuat posting mana-mana panduan yang belum saya kongsikan dalam entri-entri sebelum ini, insya-Allah. Moga ada manfaatnya.

Mohon doa daripada sahabat-sahabat.

Untuk hari ini, saya akan kongsikan '10 Halangan Menulis', bahan yang saya suka kongsikan dengan peserta-peserta bengkel saya.