BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, October 19, 2011

'Halangan' Menulis Kesebelas

Selepas menyenaraikan 10 'halangan' menulis dalam entri sebelum ini, saya suka menekankan bahawa masih ada satu 'halangan' atau kekangan untuk lancar menulis, iaitu terlalu memikirkan kesempurnaan. Terlalu mahukan hasil yang ideal.

Sebelum duduk menulis, penulis perlu merancang penulisan dan hala tuju tulisannya. Bagaimanapun, apabila hendak mula duduk menulis, penulis tidak boleh terlalu memikirkan kesempurnaan atau tidak boleh terlalu ideal.

Salah satu pengalaman unik ramai penulis (dan karyawan dalam bidang lain yang memerlukan kreativiti) adalah betapa lancarnya kerja menulis apabila berada di hujung 'deadline' atau di hujung sasaran tarikh siap. Waktu itu kreativiti dikerah untuk bekerja tanpa memikirkan kesempurnaan. Apa yang berlaku adalah, 'mode' kreatif sedang bekerja.

Sebaliknya, apabila penulis terlalu memikirkan kesempurnaan, waktu itu 'mode' kritiklah yang sedang bekerja, bukan lagi 'mode' kreatif.

'Mode' kritik hanya perlu dikerah bekerja apabila tulisan sudah siap sepenuhnya.

Saturday, October 15, 2011

Menulis Pada Waktu Puncak

Setiap penulis mempunyai waktu yang dirasakan serasi untuk aktiviti menulis. Waktu yang serasi ini bukan hanya melibatkan waktu yang dapat dilapangkan untuk menulis, tetapi juga waktu yang mana kreativiti dirasakan mengalir lancar. Ia adalah waktu 'puncak' bagi sang penulis untuk kerja yang melibatkan kreativiti - kerja menulis.

Ramai penulis yang menulis pada waktu malam sebelum tidur. Ada yang selesa menulis selepas solat Maghrib. Ramai pula yang memilih waktu dinihari, sekitar pukul tiga atau empat pagi menjelang fajar. Saya sendiri suka memilih waktu dinihari apabila terlibat dalam projek penulisan yang serius.

Saya juga menemui ramai penulis yang suka memulakan kerja menulis selepas solat Subuh.

Awal pagi, sama ada dinihari menjelang fajar atau selepas subuh, adalah waktu puncak (prime time) untuk kreativiti, untuk tenaga fizikal, untuk tumpuan fikiran dan lain-lain. Oleh itu, memetik kata-kata Sdr Pahrol Mohamad Juoi, "Prime time (waktu puncak) untuk prime work (kerja di tahap puncak)."

Nabi SAW menyebut bahawa berpagi-pagi itu berkat. Awal pagi adalah waktu turunnya rezeki dari langit. Pendek kata, waktu awal pagi mempunyai kebaikan yang banyak.

Tidak kurang penting adalah bagaimana seseorang itu memulakan awal paginya. Dan juga, bagaimana seseorang itu menyediakan dirinya beberapa minit sebelum tidur supaya dia dapat bangkit pada awal pagi dengan jiwa dan fikiran yang segar serta dengan keadaan fizikal yang bertenaga.

Bayu pada fajar menyinsing mempunyai rahsia untuk diberitahu pada kalian. Jangan tidur semula,” ungkap Jalaluddin ar-Rumi.

Nabi SAW melarang umatnya makan sejurus sebelum tidur. Selepas makan, jangan terus tidur. Ini berkait dengan kesihatan tubuh, juga mempengaruhi keadaan minda dan jiwa. Makan sejurus sebelum tidur melemahkan badan dan merencatkan sistem penghadaman. Ada penulis yang tidak mengambil makanan berat waktu malam supaya tidak mudah mengantuk untuk berjaga sampai lewat malam. Amalan yang sama juga memudahkan seseorang itu bangkit awal pagi dalam keadaan lebih segar.

Tidak kira waktu bila pun yang penulis pilih untuk memberi tumpuan pada kerja menulis, ia adalah segmen waktu yang perlu dikorbankan untuk rutin harian yang sudah dijadikan agenda besar dalam hidup.


Wednesday, October 12, 2011

Ubat Pahit Bersalut Manisan

Perhatikan bagaimana seorang doktor kanak-kanak yang bijaksana mempreskipsikan ubat kepada pesakitnya. Dia akan memahami simptom yang dialami oleh kanak-kanak yang menjadi pesakitnya. Selepas itu dia akan memberikan ubat yang diperlukan oleh pesakitnya.

Ubat itu mungkin pahit di dalam, tetapi bersalut manisan dan diberi warna yang memikat di luar. Ubat itu memang diperlukan oleh kanak-kanak yang sakit tadi, tetapi datang dalam bentuk yang si kanak-kanak mahu dan suka.

Penulis dan penerbit buku juga perlu begitu. Berikan pembaca apa yang mereka perlukan, tetapi dengan gaya penyampaian dan gaya persembahan yang mereka mahu dan mereka suka.

Kadang-kadang isi tulisan yang baik tidak mampu menarik minat pembaca. Pembaca bukan menolak, tetapi tidak tertarik. Penulisnya tidak menguasai teknik dan gaya penyampaian yang boleh membuatkan orang tertarik untuk membaca tulisannya.

Kadang-kadang isi dan gaya penyampaiannya bagus dan menarik, tetapi masih tidak dapat memikat pembaca. Pembaca tidak tertarik kerana gaya persembahan buku itu (konsep reka letak, reka bentuk, jenis font, gambar hiasan dsb) tidak memenuhi citarasa mereka. Penerbit dan editor menampilkan gaya persembahan yang tidak mengikut trend.

Trend gaya membaca di kalangan pembaca buku hari ini turut dipengaruhi bahan-bahan yang mereka tonton, baca dan dengar di media lain. Apabila membaca novel misalnya, pembaca suka novel yang disulam banyak dialog dan ceritanya bergerak pantas. Pembaca tidak kisah dirinya diajar, dipujuk dan dipengaruhi sekalipun, kerana tunjuk ajar, pujukan dan pendekatan mempengaruhi itu mereka suka.

Pergerakan cerita yang pantas sesuai dengan kesukaan pembaca sekarang, kerana mereka sudah sering terdedah dengan filem dan produksi tv yang bermain dengan 'cut' dan perpindahan babak (scene) yang pantas. Sebab itu, pembaca suka novel-novel yang mengandungi beberapa babak dalam satu bab, berbanding novel yang setiap satu bab hanya terdiri daripada satu babak yang panjang.

Perkara yang sama relevan juga untuk penulisan karya non-fiksyen. Pembaca suka membaca tulisan yang disegmen-segmenkan babnya. Kalau satu-satu tulisan itu panjang, penulis menyelang-nyelikannya dengan kisah, dengan dialog, dengan case study, dengan analogi, dengan kata-kata berima, dengan petikan kata-kata hikmah dan sebagainya. Subtajuk juga membantu menjadikan tulisan itu ringan dibaca. Begitu juga ilustrasi dan kartun.

Apabila melibatkan gaya penyampaian dan gaya persembahan, ia soal teknik. Perhatikan buku La Tahzan (Jangan Bersedih). Panjang pendek artikel di dalam buku itu tidak sekata. Ada yang ringkas-ringkas, ada yang agak panjang. Artikel-artikel itu disulam dengan kisah, kata-kata hikmah, serta dalil al-Quran dan hadis. Ia menjadikan lebih 250 artikel di dalam buku itu terasa ringan dibaca. Isinya mungkin berat tetapi gaya penyampaiannya ringan dan mudah.

Teknik boleh dipelajari walaupun tanpa diajar.


Thursday, October 6, 2011

Bukan Sekadar Kemahiran Menulis

Seorang peninju memerlukan lebih daripada sekadar kemahiran bertinju.

Seorang peninju memerlukan kemahiran-kemahiran sokongan untuk dapat bertinju dengan baik. Dia memerlukan kemahiran membaca gerakan lawan. Dia memerlukan kemahiran memanipulasi lawan. Dia juga memerlukan kemahiran mengatur strategi untuk menang.

Seperti peninju, penulis juga memerlukan lebih daripada sekadar kemahiran menulis.

Penulis memerlukan kemahiran bercerita. Penulis memerlukan kemahiran mempengaruhi orang. Penulis memerlukan kemahiran psikologi. Penulis memerlukan juga kemahiran sosiologi. Penulis memerlukan kemahiran memujuk dan mengajak. Penulis memerlukan kemahiran berdakwah dan mendidik. Lebih penting, penulis memerlukan kemahiran berfikir dan menyusun fikiran.

Dengan kemahiran menulis dan kemahiran-kemahiran sokongan yang dia ada, seseorang itu akan dapat menulis dengan baik dan berkesan. Kalau dengan hanya kemahiran menulis (menyusun dan mengolah ayat), sukar untuk penulis pergi jauh dalam penulisan. Sukar untuk penulis menyeru, mempengaruhi, mengajak dan mendidik masyarakat. Sukar untuk penulis 'mencapai' pelbagai golongan dalam masyarakat, khususnya golongan yang menjadi sasaran utama penulisannya.

Untuk membina kemahiran-kemahiran sokongan itu, penulis perlu banyak membaca pelbagai bentuk dan genre bahan bacaan. Penulis juga perlu terjun ke tengah masyarakat. Penulis perlu beramal dan menghayati Islam dalam kehidupannya.

Penulis juga perlu dekat dengan Tuhan, kerana apabila penulis dekat dengan-Nya, Dia akan dekat dengan penulis untuk membantu kerja-kerja penulis.

Tuesday, October 4, 2011

Menulis Dari Hati Di Bengkel Realiti

Ramai calon penulis yang ada sesuatu yang unik dan istimewa untuk dikongsi dengan pembaca. Namun, ramai pula yang tidak tahu atau masih kabur bagaimana hendak bermula.

Bengkel Realiti Penulisan Islami yang saya kendalikan bersama sahabat-sahabat penulis pada Sabtu dan Ahad baru-baru ini, berusaha menarik keluar calon-calon penulis ini daripada situasi 'kabur' itu. Melalui modul-modul yang disusun, 21 orang penulis dan calon penulis telah memanfaatkan bengkel dua hari satu malam itu untuk mendapat pencerahan dan mula menulis.

Sesuai dengan namanya bengkel 'realiti', para peserta membentangkan proposal buku sebenar yang akan mereka tulis untuk diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dalam masa tiga bulan selepas berakhirnya bengkel.

Empat peserta membentangkan proposal masing-masing pada sesi pembentangan yang pertama pada sebelah malam, hari pertama bengkel. Pada hari kedua bengkel, peserta-peserta lain membentangkan proposal mereka dalam dua sesi. Juri-juri atau barisan panel penilainya adalah pengarah-pengarah jabatan di GISB, diketuai Tuan Hj Abu Hassan Morad (Pengarah Urusan dan Ketua Pengarang Kumpulan).Di penghujung bengkel, tujuh peserta menerima surat yang menyatakan kesediaan GISB untuk menerbitkan buku mereka. Mereka diminta menge-melkan proposal lengkap (berserta dua bab contoh) dalam masa seminggu kepada editor. Sembilan peserta lagi menerima surat yang menyatakan bahawa GISB berminat dengan proposal buku mereka tetapi meminta mereka mengemas kini proposal masing-masing dan menge-melkannya kepada editor dalam masa seminggu. Baki proposal yang lain tidak menepati konsep buku yang GISB mahu terbitkan buat masa ini. Oleh itu, penulisnya diminta menghantar proposal lain untuk dinilai.

Dengan menyediakan proposal, para peserta telah memulakan proses menulis buku masing-masing sewaktu berbengkel lagi. Bagi peserta yang proposalnya diluluskan, mereka cuma perlu menulis bab-bab contoh buku mereka sebagai 'kerja rumah' apabila pulang daripada bengkel.

Para peserta yang proposalnya tidak diluluskan diberi ruang mengemas kini atau mengajukan proposal yang lain.

Kami mengajak setiap peserta meletakkan April 2012 sebagai sasaran terbitnya buku masing-masing. Tarikh itu dipilih kerana kami mahu memotivasi setiap peserta supaya memastikan buku mereka dipamerkan di rak-rak pesta buku terbesar yang akan berlangsung di PWTC pada tarikh itu, iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012.

Untuk itu, calon-calon penulis perlu menyiapkan manuskrip buku masing-masing selewat-lewatnya Disember 2011. Ini bermakna, mereka mempunyai masa 90 hari untuk menulis.
Saya sempat berkunjung ke blog calon-calon penulis ini. Setiap seorang yang blognya saya kunjungi mempunyai keunikan dalam bidang masing-masing. Kebanyakannya sudah ada kemahiran menulis dan hanya perlu digilap. Seorang dua sudah pun menghasilkan buku dan novel, termasuk peserta termuda, Shakira Izzati, seorang pelajar Tingkatan Empat yang 'tersesat' ke bengkel ini kerana menyangka ia bengkel penulisan novel.

Dalam usia 16 tahun, Shakira Izzati sudah menghasilkan sebuah novel bersama sebuah penerbit besar. Walaupun hadir di bengkel ini kerana tersilap maklumat, beliau diatur oleh Allah untuk menulis buku motivasi Islami tanpa dirancang. Proposalnya diluluskan oleh juri. Penulisan dalam blognya menggunakan bahasa slanga dan ejaan ala SMS, tetapi susunan ayatnya betul dan cantik; menggambarkan fikiran yang tersusun.
Shakira Izzati mempunyai potensi yang sama besar dengan Muhammad Ajwad, pelajar Tingkatan Lima yang akan menghadapi SPM pada November depan. Ajwad mendapat dorongan menulis daripada ayahnya, Ustaz Amaluddin Mohd Napiah (Ustaz Amal) yang sedang menghasilkan buku keempatnya bersama GISB. Ajwad hadir di bengkel bersama ayahnya. Membaca tulisan-tulisan Ajwad di blognya, saya dapat melihat pemikirannya yang jelas tersusun dan jiwa da'i yang diwarisi daripada Ustaz Amal. Saya percaya anak muda ini akan pergi jauh dalam penulisan dan dunia motivasi.
Alhamdulillah, Allah mengizinkan kami menghimpun calon-calon penulis berpotensi dalam bengkel ini. Sejak diamanahkan tugas di bahagian penerbitan buku kira-kira tiga tahun lalu, saya sentiasa teruja dengan cabaran membina penulis-penulis baharu yang bukan nama besar dalam industri. Beberapa nama telah 'membesar' bersama GISB.

Saya yakin, melalui bengkel ini beberapa nama lagi akan mewarnai dunia penerbitan buku Islami untuk mendidik dan memimpin umat. Mereka akan menulis 'dari hati' untuk mengajak manusia membesarkan syiar agama Allah. Buku-buku mereka akan mencari pemilik-pemilik hati yang menginginkan ilmu dan didikan rohani apabila PBAKL 2012 membuka tirainya di PWTC pada April 2012 nanti, insya-Allah.