BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, November 27, 2008

Pentingkah Bakat?

Menulis memang memerlukan bakat. Apabila ada bakat, selalunya lahirlah minat. Dari situ barulah timbul dorongan untuk mengasah bakat yang sedia ada itu. Barulah seseorang itu akan mula menulis.

Aktiviti menulis adalah aktiviti mengasah bakat yang sedia ada itu. Semakin diasah bakat menulis itu, semakin bercambah minat untuk menulis dan terus menulis.

Bagaimanapun, selalu juga bakat itu terpendam. Empunya diri sendiri tidak sedar dia ada bakat. Ada banyak juga kes seseorang itu menjadi penulis secara ‘kebetulan’. Walaupun nampak macam kebetulan, kadang-kadang itulah cara Allah mengatur takdir seorang penulis. Mula-mula timbul dorongan atau rangsangan untuk menulis selepas satu-satu insiden atau situasi. Dia pun bertindak melayan dorongan atau rangsangan itu, lalu mula menulis. Ramai yang ada pengalaman ini.

Seorang rakan penulis dulunya hanya menjadi pembantu kepada seorang penulis. Kerjanya membantu menaip dan menyusun bab-bab untuk manuskrip buku penulis tadi. Akhirnya dia sendiri terdorong untuk menulis. Apabila sudah menulis, dia rasa dia ada bakat menulis. Orang-orang yang rapat dengannya memberi maklum balas yang baik kepada tulisannya. Mereka suka membaca tulisannya. Hal inilah yang menambah lagi minat untuk dia terus menulis.

Bakat (talent) tadi akhirnya bertukar menjadi kemahiran (skill). Lama-kelamaan, selepas diasah terus-menerus, kemahiran menulis bertambah tajam. Apabila si penulis duduk menulis, ‘cair’ sahaja tulisannya mengalir. Mudah sahaja dia mengarang ayat.

Namun, ‘cair’ tulisan itu juga banyak bergantung pada idea. Idea adalah bahan mentah untuk menulis. Idea pula tidak semuanya datang begitu saja. Idea juga perlu diusahakan. Malah dalam banyak keadaan, idea juga perlu disokong. Idea perlu disokong untuk berkembang dan bercambah. Ini memerlukan ramas otak (brainstorming). Idea juga perlu disokong dengan fakta dan maklumat. Ini memerlukan penyelidikan.

Apabila tidak ada sokongan ramas otak dan penyelidikan, penulis mungkin masih mampu menulis dengan ‘cair’ tetapi tulisannya akan tandus. Nilai isi (content value) tulisannya kurang kerana idea yang dimuatkan di dalam tulisnya tidak berkembang, tidak bercambah serta tidak disokong dengan fakta dan maklumat.

Apabila dinisbahkan bakat dengan usaha ikhtiar untuk mengasah dan mengembangkannya menjadi kemahiran, maka tinggallah bakat itu menjadi sekitar 20 peratus saja. Manakala 80 peratus lagi terletak pada usaha mengasah dan mengembangkannya. Barulah seseorang itu dapat menjadi penulis yang baik berbekalkan bakat yang dia ada.

Razzi Armansur berkata, “Bukan semua orang boleh menjadi penulis -- sama dengan bukan semua orang boleh menjadi doktor, guru, penjenayah dan lain-lain lagi.”

Cukuplah Menjadi ‘Coach’ Dulu

“Sekarang sedang menulis buku apa?” soal rakan penulis yang sudah menghasilkan beberapa judul buku dan sering mengadakan bengkel untuk penulis.

Saya menung sesaat lalu berkata, “Belum ada buku. Saya sedang membina penulis.”

Sebenarnya saya ada merancang beberapa judul buku yang saya mahu tulis sendiri. Tetapi entah kenapa, apabila ditanya, saya tidak teringat menjawab begitu. Buat masa ini, saya lebih memikirkan untuk melahirkan penulis. Memang ini tanggungjawab yang diamanahkan kepada saya sejak kira-kira lima bulan lalu. Membina judul-judul buku baru dan melahirkan penulis/novelis.

Ada di kalangan calon penulis yang meminta izin untuk memanggil saya ‘cikgu’. Untuk menjadi guru dalam penulisan, saya rasa macam belum layak kerana saya belum menulis buku. Ada, tetapi buku yang terlalu ringan. Nama saya diletakkan sebagai penulis bersama.

Bagaimanapun, saya berpegang kepada satu keyakinan. Saya yakin dengan sedikit bakat, kemahiran menulis dan pengalaman yang saya ada, saya mampu membimbing calon-calon penulis.

Walaupun saya bukan ‘player’ di gelanggang menulis buku, saya yakin saya boleh menjadi ‘coach’ untuk membantu penulis menghasilkan buku atau novel yang dapat memberi impak tersendiri. Bukankah dalam sukan bolasepak misalnya, ada jurulatih yang bukan tertaraf pemain? Walaupun tidak pernah menjadi pemain yang disegani, dia mampu menjadi jurulatih yang baik. Dia tahu cara dan teknik bermain serta mampu menunjuk ajar pemain. Di bawah bimbingannya lahir pemain-pemain yang baik.

Tun Daim Zainuddin pernah berkata, "Usahawan yang berjaya ialah usahawan yang melahirkan usahawan berjaya." Kang Razzi Armansur, penulis bestseller tanahair, mengaitkan kata-kata itu dengan penulis. Beliau menukar ayat itu begini, "Penulis yang berjaya ialah penulis yang mampu melahirkan penulis yang berjaya."
Lima bulan sudah berlalu. Beberapa manuskrip buku dan novel sudah mula tiba di meja saya, hasil garapan penulis-penulis yang saya bimbing. Saya mula tidak menang tangan. Beberapa manuskrip lagi sedang dalam pembikinan. Beberapa penulis baru bakal lahir dan bakal mencorak persada dunia penerbitan buku kita, insya-Allah. Mudah-mudahan ada saham saya di situ.


Tuesday, November 25, 2008

Apa Kaitan Kelapa Dengan Nyamuk?

Salah satu kemahiran yang harus ada pada penulis adalah kemahiran mengaitkan satu perkara dengan satu perkara yang lain. Misalnya, mengaitkan satu ayat Quran dengan satu kisah, atau sebaliknya mengaitkan satu kisah dengan ayat Quran, hadis, syair dan sebagainya. Atau mengaitkan satu hadis dengan satu analogi atau peribahasa.
Satu ilmu dapat dikaitkan dengan satu ilmu yang lain. Satu ilmu juga dapat dikaitkan dengan satu situasi, atau sebaliknya satu situasi dapat dikaitkan dengan satu ilmu. Satu kisah dapat dikaitkan dengan satu rumusan.
Apabila mengupas satu-satu isu misalnya, kita dapat mengaitkannya dengan satu kisah yang relevan atau dengan satu kata-kata hukamak. Untuk meringankan satu perbahasan yang agak berat, kita boleh menggunakan gaya pengkisahan. Mulakan tulisan dengan kisah yang relevan dan kemudian kaitkan kisah itu dengan perkara utama yang hendak dibicarakan.

Mengaitkan satu perkara dengan satu perkara yang lain ini memerlukan sedikit kreativiti. Namun kreativiti bukan semata-mata soal bakat tapi adalah kemahiran yang dapat dikuasai melalui latihan.

Dalam satu bengkel penulisan yang saya sertai, peserta diminta menyebut kaitan antara penyangkut baju dengan 20 benda yang disenaraikan termasuk bendera, bola golf dan sebagainya. Apa kaitan penyangkut baju dengan bendera? Apa kaitannya pula dengan bola golf? Sekali pandang memang nampak tidak ada kait-mengait. Tetapi dengan sedikit kreativiti, benda-benda itu boleh dikaitkan. Bendera boleh dikaitkan dengan penyangkut baju apabila bendera itu disangkut. Bola golf juga boleh dikaitkan dengan penyangkut baju apabila penyangkut baju itu digunakan untuk meleretkan bola golf. Ini merupakan latihan kreativiti yang dapat mengasah kemahiran mengaitkan satu perkara dengan perkara yang lain.
Apabila menulis karya fiksyen, seperti novel, penulis akan berasa terbantu apabila memiliki kemahiran mengaitkan satu perkara dengan satu perkara lain. Penulis dapat mengaitkan satu subplot dengan subplot yang lain atau dengan plot utama. Atau mengaitkan satu kisah silam dengan kisah yang digarap dalam karyanya. Inilah yang membolehkan Habiburrahman El Shirazy memasukkan adaptasi kisah Zulaikha dengan Nabi Yusuf ke dalam salah satu konflik dalam novelnya Ayat-ayat Cinta.
Penulis juga dapat mengaitkan konflik dengan watak-watak atau plot, mengaitkan satu watak dengan satu watak yang lain, mengaitkan satu bab dengan bab yang lain, mengaitkan permulaan cerita dengan penutup cerita, dan sebagainya.

Selain memerlukan kreativiti, kemahiran mengaitkan satu perkara dengan satu perkara yang lain ini juga memerlukan ilmu pengetahuan. Penulis perlu banyak membaca dan menambah ilmu. Barulah dia tahu hendak mengaitkan apa dengan apa. Misalnya, untuk mengaitkan kelapa dengan nyamuk, penulis mesti tahu banyak perkara mengenai kelapa dan kegunaan batang, buah, sabut, tempurung dan umbut kelapa. Penulis juga harus ada pengetahuan mengenai nyamuk seperti tabiat, habitat dan kelemahannya.

Sebab itulah penulis harus memiliki beberapa ilmu bantu. Kemahiran menulis itu sendiri boleh dikuasai melalui latihan demi latihan. Tetapi dalam masa yang sama, penulis tidak harus meremehkan keperluan kepada ilmu bantu.

Ilmu kejuruteraan adalah ilmu bantu bagi seorang penulis. Ilmu guaman juga adalah ilmu bantu bagi seorang penulis. Begitu juga ilmu memasak, ilmu tentang enjin, ilmu sains, ilmu matematik, ilmu perakaunan, ilmu bisnes, ilmu bercucuk tanam, ilmu tentang komputer, ilmu tentang masyarakat dan sebagainya. Atau ilmu hadis, ilmu al-Quran, ilmu tauhid, ilmu tasawuf dan lain-lain. Dengan memiliki ilmu-ilmu bantu ini, penulis akan lebih cekap dan mahir untuk mengaitkan satu perkara dengan satu perkara yang lain.


Monday, November 24, 2008

“Bacalah karya-karya Kang Abik!”

“Saya sangat menyarankan calon-calon novelis Galeri Ilmu membaca karya-karya Kang Abik,” beritahu saya kepada novelis Ummu Hani Abu Hassan. Ummu Hani pernah bertemu Kang Abik (Habiburrahman El Shirazy, penulis novel Ayat-ayat Cinta) dan turut mengikuti bengkel penulisan novel yang dikendalikan oleh Kang Abik minggu lalu.

Ummu Hani baru menyiapkan manuskrip sebuah novel remaja (novel ketiganya) untuk diterbitkan oleh Galeri Ilmu. Kami berbincang tentang novelnya itu di meja saya.

“Salah satu yang menguatkan novel-novel Kang Abik sebagai wadah Islami, dia menampilkan watak-watak soleh dan solehah yang pembaca boleh salin pada diri mereka. Dalam novel Kak Ummu (panggilan mesra saya kepada Ummu Hani), watak ini ada pada diri Kak Eka,” kata saya. Eka Norviyanti adalah salah satu watak penting dalam novel Ummu Hani itu. Watak wanita muda yang solehah, bijaksana dan berwajah cantik yang berasal dari Indonesia.
Di dalam novel-novel Kang Abik yang sempat saya baca (Ayat-Ayat Cinta dan dwilogi Ketika Cinta Bertasbih), watak-watak protagonisnya mampu membahagiakan dan membanggakan pembaca. Watak-watak itu menjadi watak yang pembaca suka untuk salin pada diri mereka. Watak soleh dan solehah itu dipertemukan pula dengan banyak watak lain yang juga mempunyai ciri-ciri kesolehan.

Kang Abik juga memaparkan watak-watak rosak akhlak yang beliau 'bantu' untuk menggapai cahaya hidayah. Yang ditugaskan ‘membantu’ watak rosak akhlak itu untuk kembali ke jalan yang lurus adalah watak-watak soleh dan solehah tadi.

Cara Kang Abik mengetengahkan watak rosak akhlak itu adalah secara yang bijaksana. Beliau lebih banyak memaparkan natijah atau akibat daripada kerosakan akhlak itu, bukan memaparkan perilaku-perilaku rosak akhlak tersebut. Oleh itu, perilaku rosak akhlak tidak dominan dalam novel beliau. Yang dominan adalah perilaku soleh, tabiat soleh dan tutur kata soleh yang mengesankan pembaca. Mirip dengan pendekatan yang digunakan dalam karya-karya Buya Hamka.

Pemaparan watak-watak dengan pendekatan begini selalu saya tekankan kepada calon-calon novelis yang saya bimbing. Apabila membaca novel-novel Kang Abik, saya rasa sangat terbantu kerana saya ada model yang boleh ditiru oleh calon-calon novelis itu. Sebab itulah saya menyarankan kepada mereka agar membaca karya-karya Kang Abik.

Saya kerap juga membaca novel-novel Melayu sendiri, yang ditulis oleh karyawan Muslim, yang tidak peka dengan sensitiviti pembaca Muslim dalam memaparkan perilaku-perilaku negatif watak-wataknya. Watak-watak yang tidak boleh dijadikan contoh dari sudut agama dan akhlak, diangkat menjadi watak utama dan dominan. Perilaku-perilaku dan tutur kata yang tidak sesuai, dimuatkan begitu saja tanpa ditapis. Yang dititikberatkan hanya menampilkan perilaku dan tutur kata yang relevan dengan plot serta perkembangan watak. Yang dipentingkan hanya memindahkan realiti seadanya ke dalam fiksyen tanpa bersikap selektif. Yang ditekankan hanya untuk menjadikan cerita sedap dibaca dan ada elemen dramatik.

Penulis karya Islami harus mampu mencorak pembacanya dengan nilai-nilai Islam. Salah satu pendekatan yang boleh digunakan adalah dengan menampilkan watak-watak yang membawa idealisme penulis sendiri. Melalui watak-watak ciptaan yang soleh dan solehah ini, penulis mampu membangunkan keperibadian pembaca dan memaparkan keindahan Islam kepada mereka.

Saya tidak hairan dengan penonjolan watak-watak ‘baik’ yang kaki maksiat (minum arak, bersekedudukan dan sebagainya) di dalam sebahagian novel (atau filem) Barat. Dengan siapa para penulis itu banyak bergaul dan berinteraksi, itulah yang tumpah di dalam karya mereka. Diri mereka (penulis) adalah apa yang mereka tulis. Jika penulis biasa bergaul dengan orang yang kaki perempuan, apalagi jika penulis sendiri kaki perempuan, watak begitu akan mudah terbentuk di dalam karyanya.

Bagaimanapun, karyawan Muslim harus mampu mengetengahkan watak-watak ideal versi Islam yang membawa fungsi serampang dua mata. Selain untuk menggerakkan dan menghidupkan cerita, watak-watak itu harus menunjukkan contoh kehidupan, perilaku dan tutur kata yang baik menurut ukuran Islam. Watak yang para pembaca terangsang untuk menyalin kesolehannya pada diri mereka secara di bawah sedar.

Oleh itu, dengan siapa penulis banyak bergaul, itulah yang akan mengayakan ramuan di dalam karyanya. Apabila banyak bergaul dengan orang yang mempunyai banyak ciri kesolehan, perilaku-perilaku soleh lebih mudah diserapkan ke dalam karya melalui watak-watak yang direka. Watak-watak rekaan itu dan perilaku mereka akan ‘hidup’, tidak terasa dibuat-buat. Penulis tidak hanya mengkhayalkan perilaku-perilaku soleh itu tetapi memindahkan apa yang biasa dilihatnya dalam kehidupan seharian.

Novel Islami harus dapat menimbulkan kesan bahawa masih ramai orang baik-baik di dunia ini!


Sunday, November 23, 2008

Selidik dan Buat Pemerhatian

Sewaktu saya menunaikan ibadah umrah bersama rombongan Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd pada 2006, saya dibawa oleh Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Ustaz Dauh Che Ngah menziarahi bapa saudaranya di Rumah Kupang iaitu apartment lama yang terletak di Shiib Amir, di pertengahan bukit Jabal Abi Qubaish, Makkah.

“Anta boleh tulis tentang Rumah Kupang ini untuk majalah Anis,” beritahu beliau.

Di sana beliau memperkenalkan saya kepada Pak Su Hj. Salleh Abdullah. Daripada perbualan dengan Pak Su Salleh, tahulah saya beliau berasal dari mukim Kupang, Baling, Kedah dan bermastautin di Makkah lebih 50 tahun. Saya juga mendapat maklumat bahawa Rumah Kupang merupakan asrama bagi pelajar-pelajar dari Baling yang menuntut di Makkah satu ketika dulu. Oleh kerana ia diwakafkan dan dibangunkan oleh anak-anak mukim Kupang, ia terkenal dengan nama itu. Jemaah haji dari Baling juga menjadikan Rumah Kupang sebagai rumah persinggahan ketika berada di Makkah.

Kebetulan, dua hari sebelumnya, Dato’ Ustaz Daud membawa saya menziarahi keluarga Pak Su Hj. Abdul Latif Hj. Mohd Zain di Kakkiah di luar kota Makkah. Pak Su Latif juga bekas ‘graduan’ Rumah Kupang seperti Pak Su Salleh. .Saya sangat terkesan dengan kunjungan singkat ke Rumah Kupang dan bercadang menulis artikel mengenainya. Bagaimanapun, dengan maklumat yang sedia ada, saya belum yakin untuk menulisnya.


Apabila pulang ke Malaysia, saya membuat sedikit penyelidikan. Saya menemui ahli-ahli keluarga Pak Su Salleh dan Pak Su Latif di tanahair.

Alhamdulillah, banyak maklumat yang saya perolehi mengenai Rumah Kupang daripada Dato’ Hj. Najmi Hj. Ahmad. Lebih banyak maklumat lagi saya perolehi daripada ayah saudara beliau, Dato’ Prof. Dr. Haji Marzuki Haji Mahmood, yang merupakan sepupu Pak Su Latif. Dato’ Prof. Dr. Haji Marzuki mewarisi amanah penjagaan Rumah Kupang daripada abangnya Allahyarham Hj. Mohd Rushdi Mahmood, penama tunggal pada geran pemilikan premis tersebut. Beliau malah menunjukkan salinan geran itu kepada saya.

Barulah saya mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai sejarah dan kedudukan Rumah Kupang. Barulah saya berpuas hati dan berani menulis artikel mengenainya.

Penulis mesti mengetahui banyak perkara mengenai subjek yang hendak ditulis walaupun apa yang diketahuinya mungkin tidak sampai 50 peratus yang dimasukkan di dalam tulisannya. Di sini perlunya penyelidikan. Selepas membuat penyelidikan, penulis selalunya akan lebih arif daripada pembaca mengenai satu-satu subjek itu.

Menulis novel sekalipun memerlukan penyelidikan. Misalnya penulis harus menyelidiki lokasi-lokasi yang dipilih untuk melatari kisah di dalam novelnya. Habiburrahman El Shirazy, penulis novel bestseller Ayat-ayat Cinta, menggunakan istilah ‘penelitian’.

Kadang-kadang penelitian ini dibuat dengan memperuntukkan masa sekian-sekian lama di satu-satu tempat dan menajamkan daya penelitian terhadap suasana, nama-nama jalan, nama dan bentuk bangunan, keadaan cuaca dan tingkah laku manusia di tempat itu.

Habiburrahman tidak akan dapat menggambarkan suasana di Mesir sedemikian baik dalam novelnya Ayat-ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih (dwilogi) jika beliau tidak membuat penelitian ini sewaktu belajar di Mesir. Ernest Hemingmay tidak akan dapat menulis kisah pertarungan seorang nelayan tua dengan ikan marlin besar dalam novelanya The Old Man and The Sea dengan begitu baik jika beliau tidak mempunyai kegemaran belayar dan memancing di laut dalam.

Kadang-kadang penyelidikan dibuat untuk mengangkat adat atau budaya dalam karya. Buya Hamka tidak mungkin dapat mengangkat adat Minangkabau sebagai latar cerita novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck jika beliau tidak mengkaji dengan mendalam adat Minangkabau.

Ini satu kelebihan apabila menulis tentang subjek yang dekat dengan penulis sendiri, seperti dekatnya Habiburrahman El Shirazy dengan bumi Mesir, dekatnya Buya Hamka dengan adat Minangkabau dan dekatnya Ernest Hemingway dengan laut. Bagaimanapun, dekat ini mesti disertai daya pemerhatian yang kuat. Dengan daya pemerhatian yang kuat ini juga, novelis Abu Hassan Morad mampu melahirkan novel Cinta Madinah (diadaptasi kepada drama bersiri) selepas beberapa minggu mendekati keluarga Melayu di Madinah. Begitu juga sewaktu melahirkan novel Julia selepas beberapa kali beliau ke Australia dan novel Suu Phea selepas pulang dari Myanmar beberapa tahun lalu.

Selain daripada pemerhatian atau penelitian, penulis perlu membuat penyelidikan untuk bahan tulisannya melalui sumber internet dan bahan bacaan lain. Yang penting, penulis tidak harus cepat berpuas hati untuk menulis tentang sesuatu subjek mahupun isu jika belum cukup bersedia dengan maklumat dan pengetahuan mengenainya. Budaya membuat penyelidikan ini selalunya menjadikan penulis beberapa tahap lebih berpengetahuan daripada pembaca.

Thursday, November 20, 2008

Menghadapi Sesi Interviu (3)

Apabila saya membuat temujanji untuk menemubual seseorang tokoh untuk siaran majalah Anis, soalan-soalan yang disediakan biasanya difokuskan untuk mencungkil pandangan tokoh tersebut mengenai satu-satu isu atau topik. Isu atau topik itu pula sudah dibincangkan dalam sesi ramas otak (brainstorming) bersama editor dan ketua pengarang. Biasanya interviu dirancang adalah untuk menguatkan atau menyokong artikel utama yang membicarakan topik pilihan tersebut.

Apa yang hendak dicungkil daripada tokoh itu mestilah menjurus kepada skop yang berbeza daripada apa yang sudah disentuh di dalam artikel utama. Topiknya sama tapi daripada skop atau ‘angle’ berbeza. Atau membicarakan lebih mendalam satu-satu perkara yang sudah disentuh di dalam artikel utama tadi.

Oleh kerana fokusnya pada satu topik perbincangan, saya biasanya sudah membuat sedikit penyelidikan mengenai topik itu. Dengan cara ini, saya bolehlah menjadi regu berbincang dengan tokoh yang hendak ditemubual, bukan sekadar menjadi tukang soal. Saya juga tidak akan terikat dengan soalan-soalan yang sudah dirangkakan, sebaliknya lebih bebas mencipta soalan-soalan spontan. Walaupun namanya spontan, ia tidak lari daripada skop perbincangan. Saya perlu memandu responden kepada topik asal jika perbincangan agak sudah melencong.

Apabila mula menemubual responden, wartawan perlu mahir dalam mencatat perkara-perkara yang relevan dengan topik. Kemahiran mencatat ini akan mempengaruhi penulisan artikel hasil interviu itu nanti.

Pertama sekali yang perlu dicatat adalah nama penuh (dengan ejaan yang betul) dan jawatan orang yang kita interviu. Maklumat itu elok dicatat dahulu. Minta responden pastikan ejaan nama dan jawatan dia betul. Minta ‘call card’ dia (jika ada). Selalunya apabila saya menemubual seseorang untuk ruangan berbentuk profil keluarga, saya akan meminta salah seorang ahli keluarga itu menulis nama ahli-ahli keluarganya satu persatu, lengkap dengan umur.

Seterusnya, apabila kita sudah menghadam betul apa yang kita mahu cungkil daripada responden, kita sebenarnya boleh membayang-bayangkan rangka kasar artikel sewaktu sesi interviu berlangsung. Paling kurang, sambil mendengar dan mencatat input-input daripada responden, kita boleh mengenal pasti perkara yang kita boleh angkat sebagai intro artikel.

Untuk itu, kita boleh cuba membina kemahiran mencatat supaya catatan kita jelas dan tersusun. Kita harus mampu menimbang-nimbang, apa yang perlu dicatat dan apa yang tidak perlu.

Perkara-perkara yang perlu dicatat adalah yang menjurus kepada topik. Perkara yang tidak menjurus kepada topik yang dibincangkan, kita tinggalkan saja. Jika perkara yang tidak relevan dengan topik itu ternyata bermanfaat, ambillah manfaat itu untuk diri sendiri atau dikongsi dengan orang yang dekat dengan kita, bukan dengan pembaca. Untuk pembaca, kita hanya kongsikan apa yang relevan dengan topik saja.

Kadang-kadang sambil mencatat, kita juga sudah boleh mengenal pasti ungkapan menarik yang kita boleh petik sebagai cakap ajuk. Saya biasanya akan buat siap-siap tanda petikan “….” pada ungkapan yang menarik itu. Ini memudahkan saya apabila menulis artikel nanti.

Ketika mencatat input-input daripada responden yang membincangkan topik yang agak panjang lebar, saya mempunyai cara saya sendiri untuk menjadikan catatan saya lebih tersusun. Saya biasanya menggunakan halaman sebelah saja untuk mencatat (halaman sebelah kanan atau kiri buku nota). Saya biarkan kosong sebelah halaman buku nota saya. Tujuannya supaya kalau ada fakta atau input yang ada kesinambungan dengan ‘point’ yang telah disebut sebelumnya, saya boleh masukkan saja input itu ke halaman kosong di sebelah ‘point’ awal tadi.

Cara ini memudahkan saya untuk merujuk pada ‘point’ itu waktu membuat artikel nanti. Bagaimanapun, saya tidak menyarankan semua orang mengikut cara ini kerana lain orang, lain caranya. Yang penting, catatan biar jelas dan tersusun. Yang paling penting lagi, kita tahu apa yang kita tulis.

Ya, kita hendaklah mencatat apa yang kita faham saja. Sekiranya responden menerangkan sesuatu yang kita kurang faham, kita tidak harus segan untuk meminta penjelasan lanjut. Kita harus mendapatkan penjelasan ‘on the spot’, selesai waktu itu juga. Tidak wajar kita berasa bodoh untuk bertanya lanjut dan tidak perlu menunggu sudah balik ke pejabat baru hendak memikir-mikirkan perkara yang kita tidak faham itu. Apabila tidak jelas atau ragu-ragu waktu mencatat, kita akan membawa keraguan itu waktu menulis artikel nanti. Ini mengganggu proses menulis.

Dalam menerima input daripada responden, wartawan tidak harus menerima bulat-bulat tetapi mesti kritis dan peka. Kritis terhadap maklumat yang mungkin tidak tepat, atau fakta yang mungkin silap. Misalnya kalau seorang tokoh agama menyebut satu hadis yang setahu kita ia hanya kata-kata hukamak, kita boleh menanyakan balik untuk meminta kepastian. Begitu juga fakta tentang tarikh dan sebagainya. Yang namanya manusia memang kadang-kadang buat silap. Kita harus meminta kepastian, jangan hanya mencatat begitu saja.

Di hujung interviu, jangan lupa berpesan kepada responden bahawa kita mungkin akan menghubungi beliau semula kalau memerlukan input tambahan. Pastikan kita menyimpan nombor telefonnya. Tanyakan juga waktu bila beliau biasanya ‘available’ untuk dihubungi.

Sebahagian tugas sudah pun selesai dengan selesainya catatan pada sesi interviu, kita hanya tinggal menyempurnakan sebahagiannya lagi apabila pulang ke pejabat atau ke rumah. Tidak kurang penting adalah memelihara silaturrahim yang berterusan dengan responden. Terus berhubung dengannya dari semasa ke semasa walaupun sekadar melalui sms ucapan selamat hari raya misalnya.

Wednesday, November 19, 2008

Menghadapi Sesi Interviu (2)

Sewaktu bersama majalah Anis, saya banyak menemubual tokoh agama, pakar motivasi atau pensyarah universiti. Doa saya hingga kini, mudah-mudahan saya mendapat tempias daripada ilmu dan hikmah yang mereka kongsi dalam setiap sesi interviu itu. Ilmu dan hikmah itu sudah saya kongsi dengan para pembaca majalah Anis dalam setiap bulan keluarannya sejak sekian lama. Rugilah saya jika saya sendiri tidak dapat menjadikannya sebagai panduan hidup.

Selalunya apabila hendak keluar dari pejabat untuk sesi interviu, saya akan mencatat perkara-perkara yang saya akan tanyakan di atas sekeping kad bersaiz poket. Kad itu mudah dimasukkan ke poket baju. Tetapi sebelum itu, saya biasanya sudah hadam dulu soalan-soalan itu dalam kepala.
Sudah menjadi amalan biasa seorang wartawan, dia akan menyediakan soalan-soalan kasar. Amalan kami di majalah Anis, sidang editor akan mengadakan sesi ramas otak (brainstorming) untuk mendapatkan halatuju ruangan utama iaitu ruangan yang memaparkan isu tumpuan untuk satu-satu keluaran. Dari situ baru dirangka soalan-soalan untuk ditanyakan kepada responden yang dipilih. Sudah tentu perlu dicari sedikit maklumat mengenai calon responden supaya soalan yang akan diajukan itu sesuai dengan latar belakangnya, minatnya dan bidang yang dia arif.

Pertama sekali, kita harus mulakan soalan yang sekira-kira seronok untuk dijawab oleh responden itu, sesuai dengan apa yang dia minat atau tahu. Soalan-soalan itu boleh dirangka mengikut urutan walaupun waktu menyoalnya nanti tidak perlu terikat dengan urutan itu. Elakkan soalan bertindih – misalnya dua soalan hampir serupa yang membuat responden terpaksa mengulang perkara yang sama.
Daripada pengalaman saya, sering juga kita menyoal perkara yang kita sendiri sudah boleh mengagak bentuk jawapannya. Kita menyoal hanya untuk mendapatkan kupasan perkara itu daripada orang yang ada autoriti untuk bercakap mengenainya. Atau kita memerlukan input-input tambahan untuk menguatkan input yang kita ada.
Dalam keadaan ini, wartawan harus tahu tentang perkara yang ditanyakan. Kita harus mewakili rasa ingin tahu pembaca. Tanyakan pada diri, “Apa agak-agak yang pembaca hendak tahu atau perlu tahu yang saya boleh cungkil daripada tokoh ini?”
Siapa yang biasa menonton rancangan forum di tv yang dikendalikan oleh tokoh-tokoh agama seperti Ustaz Ahmad Shukri Yusof dan Ustaz Fauzi Mustaffa akan faham maksud saya. Mereka selaku moderator rancangan itu, arif ilmu agama. Selalunya mereka mengajukan soalan-soalan yang mewakili rasa ingin tahu penonton. Mereka menanyakannya bagi pihak penonton walaupun mereka sendiri mungkin arif akan jawapannya.
Menghadam soalan yang sudah dirangka di atas kertas ada kelebihannya. Kita tidak akan sibuk menengok kertas sewaktu sesi interviu berlangsung kerana soalan-soalan itu sudah ada dalam kepala. Kita juga tidak akan terikat dengan soalan yang kita rangka, atau terikat dengan urutan soalan. Soalan itu cuma sebagai panduan.

Sewaktu Interviu Berlangsung
Bukan semua orang boleh bercerita habis. Pakar motivasi yang banyak pandangan bernas sekalipun, perlu dibantu untuk mengeluarkan apa yang dia ada. Kerja wartawan adalah mencungkilnya atau merangsang responden itu meluahkannya.
Sesetengah responden hanya perlu diterangkan secara sepintas lalu apa kita mahukan daripada dia dan selepas itu dia akan terus bercakap atau bercerita secara tersusun. Tetapi tidak semua orang begini. Kebanyakan orang perlu dicungkil untuk merangsang dia bercerita atau meluahkan pandangan.
Ketika saya kongsikan perkara ini dengan perunding motivasi, Dr. Robiah K.Hamzah, dia mengiyakannya. Katanya, “Kalau duduk memikir sorang-sorang, susah nak keluar. Kalau dirangsang, baru keluar.” Beliau yang sudah ada pengalaman menulis banyak buku dan bercakap dalam banyak program motivasi, masih merasakan lebih mudah untuk melontarkan input-input apabila dirangsang atau dicungkil.

Meniti Atas Jawapan
Selalunya, pada jawapan responden sudah ada ‘clue’ untuk soalan seterusnya. Kita hanya perlu ‘meniti’ atas jawapannya. Kebolehan meniti atas jawapan ini penting supaya wartawan tidak terlalu terikat dengan soalan atas kertas. Yang lebih penting, kita dapat menghalakan interviu kepada perkara-perkara yang relevan dengan tajuk. Tidak banyak menyimpang kepada perkara lain.
Sebab itu, kita harus ‘masak’ dengan perkara yang kita hendak tanyakan. Ini memudahkan kita untuk respons atas jawapan responden dengan soalan susulan yang lain.
Sering juga berlaku, soalan berikut yang kita rangka atas kertas sudah pun terjawab waktu seseorang responden itu menjawab soalan sebelumnya. Jadi, kita hanya bersedia dengan soalan susulan dengan cara meniti atas jawapan responden. Saya biasa mengalami perkara ini, lebih-lebih apabila menemubual tokoh yang mempunyai gagasan fikiran yang mantap.

(Dalam entri selepas ini, saya akan berkongsi tentang kemahiran mencatat sewaktu sesi interviu, insya-Allah. Ya, wartawan perlu juga ada kebolehan mencatat dengan cara yang akan memudahkannya menulis artikel hasil daripada interviu itu.)

Tuesday, November 18, 2008

Menghadapi Sesi Interviu (1)

Satu pagi saya berada di ibu pejabat Lembaga Tabung Haji untuk satu sesi interviu majalah Anis. Sementara menunggu orang yang saya hendak interviu itu datang, saya mundar-mandir di ruang legar pejabat di tingkat 11 itu. Tidak lama kemudian, sepasang suami isteri separuh umur keluar dari lif dan bertanya kepada saya mengenai seseorang yang mereka hendak temui. Si suami memakai kopiah manakala isterinya bertudung labuh.

“Minta maaf, saya pun tidak biasa di sini,” kata saya kepada pasangan tersebut. Saya lalu mengunjuk ke arah pejabat di mana mereka boleh berurusan.

Pihak Tabung Haji yang mengaturkan interviu sudah menyediakan sebuah bilik mesyuarat untuk sesi itu. Tidak lama kemudian pegawai Tabung Haji memberitahu saya, orang berkenaan akan tiba sebentar lagi. Namanya Ustazah Maznah Daud. Beliau menggantikan seseorang lain yang tidak dapat hadir kerana ada urusan penting di tempat lain.
Seorang wanita muncul di muka pintu bilik mesyuarat. Dia adalah wanita bertudung labuh yang keluar dari lif sebentar tadi bersama suaminya. Pegawai Tabung Haji memaklumkan, dialah Ustazah Maznah Daud. Saya jadi malu sendiri kerana tidak mengenalinya. Syukurlah, walaupun juru interviu dan orang yang hendak diinterviu tidak saling kenal-mengenali, interviu itu berlangsung dengan lancar.

Kes seperti ini jarang saya hadapi. Selalunya saya akan membuat sedikit ‘homework’ untuk mengetahui latar belakang orang yang hendak saya interviu. Dalam disiplin kewartawanan, memang begitu sepatutnya. Wartawan mesti kenal siapa tokoh yang hendak diinterviu, kecuali apabila menemubual ‘layman’ atau orang awam. Perlu ambil tahu sikit sebanyak latar belakang orang berkenaan dan bidang yang dia tahu, minat atau mahir.

Untuk mencungkil kisah keluarga misalnya, wartawan harus mendapatkan latar belakang keluarga respondan. Sekarang mudah untuk mencari semua fakta atau maklumat dengan menggunakan internet.

Kita perlu mengetahui latar belakang orang yang hendak diinterviu supaya kita tidak perlu menanyakan soalan-soalan remeh yang kita boleh dapatkan jawapannya melalui sumber lain termasuk internet. Seperkara lagi, kita akan lebih seronok berjumpa dengan orang itu dan dia juga seronok berbual dengan kita apabila dia tahu yang kita sudah kenal dia secara dekat.

Pada satu ketika saya menemubual seorang tokoh korporat untuk mencungkil kisah beliau menerokai dunia bisnes. Sebelum itu saya sudah mendapatkan maklumat mengenai beliau melalui internet. Tokoh ini agak terkejut apabila saya menyebut nama anak-anaknya dan tahu beberapa perkara mengenai dirinya – asal dari mana, dulu belajar di mana, anaknya berapa orang, dan sebagainya.

Dengan mengetahui sedikit latar belakang tokoh berkenaan, ruang bersilaturrahim lebih terbuka. Dia lebih mudah bercerita atau meluahkan pandangan.

Bagaimanapun, dalam kes awal tadi di mana wartawan tidak tahu langsung atau tidak berapa tahu latar belakang respondan, perlulah ada sedikit takruf melalui sembang ringan supaya ada suasana mesra. Break the ice. Dia kenal kita dan kita kenal dia. Waktu sembang ringan itu juga kita dapat mengenal pasti minat atau kecenderungannya.

Daripada sekadar pertemuan biasa, wartawan boleh menjadikan sesi interviu sebagai perkongsian pengalaman dan pandangan untuk manfaat diri dan pembaca.

Monday, November 17, 2008

Komitmen Penulis Untuk ‘Menjual’ Diri Sendiri

Tengah hari ini Saudara Zabidi Mohamed menjamu rakan-rakan di Galeri Ilmu Sdn Bhd makan sate dan bihun goreng. Beliau bersama isterinya dan anak-anak datang menghantar juadah istimewa itu ke pejabat Galeri Ilmu di Kota Damansara sebagai tanda kesyukuran selepas memenangi Anugerah Media Islam Negara (AMIN) untuk skrip terbaik bagi telemovie Mencari Nur Khadijah. Zabidi adalah penulis skripnya manakala Anugerah Media Network (syarikat bersekutu Galeri Ilmu) adalah penerbitnya.

Selepas makan, saya dan rakan-rakan sempat bersembang-sembang tentang penulisan dengan Sdr Zabidi.

Bekas majistret ini menceritakan pengalamannya mempromosikan dua buah bukunya, Tersungkur Di Pintu Syurga dan Maunah: Kebenaran Yang Sebenar. Beliau sendiri yang berusaha ke sana ke mari untuk memperkenalkan dan mengedar buku-buku itu. Malah beliau turut mempromosikan dirinya sebagai penulis yang harus bertanggungjawab sepenuhnya atas penulisannya.

“Penulis tidak boleh mengharapkan penerbit semata-mata untuk mempromosikan bukunya. Penulis sendiri perlu ‘menjual’ dirinya. Tidak perlu malu,” ungkapnya.

“Penulis yang berlatar belakang Islami perlu berani menempuh perkara ini. Berani mempromosi diri sendiri,” katanya.

Siapa yang mengenali SH Alattas pasti tahu apa yang dimaksudkan oleh Zabidi. SH Alattas atau Pak Habib adalah penulis buku-buku politik yang cukup dikenali. Setiap kali sebelum buku terbarunya diterbitkan, Pak Habib akan menjaja kulit buku itu terutamanya ke kedai-kedai buku Indie atau kedai-kedai buku mamak. Daripada maklum balas pekedai-pekedai itu, beliau akan tahu berapa jumlah buku yang patut beliau cetak.

Penulis seperti Pak Habib bukan saja mempunyai otak penulis tapi juga otak peniaga. Sekarang buku-buku beliau sudah ada dijual di rangkaian kedai buku elit seperti MPH.

Pak Habib juga biasa dilihat menjual sendiri buku-bukunya di perhimpunan agung UMNO. Di gerai jualannya, beliau berdepan sendiri dengan pembeli buku-bukunya.

Buku adalah hasil kreativiti dan hasil perahan minda penulis sendiri. Buku itu harus diperkenalkan kepada seramai mungkin orang supaya lebih ramai mendapat manfaat daripadanya. Oleh itu tidak ada sebab mengapa penulis buku harus malu mempromosi bukunya sendiri. Sama seperti seorang pembuat kek, dia tidak harus malu mempromosi kek-kek buatannya.

Syarikat-syarikat penerbitan yang berwibawa selalunya memberi diskaun kepada penulis-penulis buku untuk membeli dan menjual sendiri buku-buku mereka. Ini merupakan insentif yang harus digunakan oleh penulis untuk mempromosi buku-bukunya, sekaligus membantu menaikkan jualan buku itu.
Apabila penulis menghasilkan buku yang ada unsur dakwah dan didikan, langkah promosi itu juga sebahagian daripada usaha dakwah dan usaha mendidik. Bukankah menonjolkan diri atau men'selebriti'kan diri itu perlu untuk melancarkan dakwah dan didikan?
Pendakwah (dalam konteks ini penulis) harus dikenali ramai supaya dakwahnya mudah diterima oleh seramai mungkin mad'u (sasaran dakwah). Apabila penulis yang membawa gagasan dakwah dan didikan tidak berbuat demikian, jangan salahkan orang ramai apabila mereka lebih kenal kepada penulis yang memperjuangkan karya picisan, lucah dan merosakkan.

Sedikit Tip Untuk Mendapatkan Foto Kandid


Pada akhir tahun 2005, saya memegang amanah menjadi jurufoto bagi satu majlis yang dirasmikan oleh Tuanku Permaisuri Siti Aisyah. Hari itu beliau muncul pertama kali di dalam majlis rasmi selepas beberapa tahun menyepi. Beliau merasmikan Kem Hafazan al-Quran anjuran majalah Asuh dengan kerjasama Institut Al-Quran Kuala Lumpur. Kemunculan beliau menjadi tajuk berita utama beberapa akhbar arus perdana.


Selesai merasmikan majlis, Tuanku Permaisuri Siti Aisyah bersama ibu dan bapanya diraikan di meja makan. Kesempatan itu saya gunakan untuk mengambil banyak gambar kandid beliau. Saya mencuba dari beberapa sudut untuk mendapatkan gambar terbaik. Saya memilih posisi di mana saya dapat memotretkan gambar beliau dengan jelas. Setiap beberapa detik, saya halakan lensa dan merakamkan potret beliau. Sekali-sekala beliau memandang kamera. Daripada berbelas-belas 'shot' yang saya ambil, salah satu gambar itu, dengan izin Tuanku Permaisuri Siti Aisyah, dijadikan gambar hiasan kulit majalah Anis keluaran Januari 2006.



Kebolehan mengambil gambar foto adalah satu bonus bagi penulis mahupun editor, terutama dalam penerbitan majalah. Dengan kebolehan ini, penulis dan editor tidak akan terlalu bergantung kepada jurufoto. Hal ini sangat terasa apabila timbul keperluan untuk mendapatkan gambar-gambar kandid untuk hiasan majalah.



Oleh kerana namanya ‘kandid’, gambar-gambar ini memang bukan gambar yang dirancang. Bagi media berunsur Islam, gambar-gambar itu haruslah ‘shariah-compliant’ dan memaparkan aksi yang berakhlak. Selalunya pandai-pandai wartawan atau jurufotolah untuk menangkap gambar kandid ini. Editor biasanya lebih peka dengan gambar-gambar kandid yang diperlukan untuk menghiasi halaman-halaman majalah yang dikendalikannya.



Berdasarkan sedikit pengalaman, saya ingin berkongsi beberapa tip untuk mendapatkan gambar kandid.

1. Ikut naluri atau rasa hati
Kadang-kadang kita dapat nilai sesuatu aksi atau suasana itu berharga ataupun tidak untuk dirakamkan hanya dengan berpandukan rasa hati. Waktu datangnya saat itu, kita harus bertindak cepat. Apabila dirasakan momen itu memang ada nilai, halakan lensa, baca selawat atau basmalah, dan rakamkanlah.



2. Jadi sebahagian daripada latar
Untuk mendapatkan aksi-aksi yang natural dan bersahaja, ada masanya kita perlu menyerap masuk atau menjadi sebahagian daripada latar subjek yang kita hendak ambil. Contohnya, jika dalam majlis keramaian, kita menjadi sebahagian daripada orang ramai. Buat apa yang mereka buat (selagi tidak melanggar syariat dan akhlak) – sama-sama menikmati suasana, duduk-duduk macam orang lain dan sebagainya. Sambil itu, budayakan senyum dan bersilaturrahim. Apabila ada kesempatan, kita halakan lensa untuk merakamkan suasana atau aksi.



3. Pilih aksi terbaik/ada nilai
Dalam masa yang sama, kita harus juga peka dan selektif. Pilih aksi-aksi yang kita rasa ada nilai untuk disiarkan sebagai gambar hiasan, rencana bergambar dan sebagainya. Mungkin ada gambar yang ada nilai berita, nilai cerita, nilai mendidik atau nilai simbolik.



Nilai berita maksudnya, ia satu benda baru. Nilai cerita bermaksud, aksi itu menceritakan sesuatu. Misalnya menceritakan kehidupan sebuah keluarga nelayan. Nilai mendidik bermaksud, aksi itu boleh mendidik hati. Misalnya, gambar anak mencium tangan bapa – gambar ini mendidik hati dengan unsur kasih sayang dan hormat kepada bapa. Contoh nilai simbolik pula, gambar air menitis dari anggota wuduk – simbolik kepada dosa-dosa yang gugur.



Pastikan tidak ada aksi yang boleh mengaibkan orang yang diambil gambarnya. Apabila membelek gambar itu kemudian, timbulkan soalan: Adakah orang ini akan suka jika gambarnya dalam posisi ini tersiar?



4. Cari orang sedang buat sesuatu
Orang yang sedang buat kerja biasanya tidak perasan kehadiran kita. Oleh itu, kita boleh mendapatkan shots yang benar-benar kandid. Jika kita mahu mereka melihat kamera, kita boleh menegur sapa, menanyakan sesuatu atau cuma berkata, “Boleh tengok sini?” Boleh juga halakan lensa dan tunggu dia melihat kita sebelum petik. Lepas itu senyumlah seikhlasnya.



5. Dekati mereka
Ada masanya kita harus mendekati orang yang kita hendak jadikan subjek gambar. Asalkan orang itu bukan jenis yang segan dengan kamera (camera-shy). Jika orangnya jenis sporting, dia boleh memberikan aksi yang kita kehendaki dan kita boleh memintanya berlakon.



6. Buat eksperimen
Apabila kamera sudah ada di tangan, elok juga kita mencuba mengambil gambar dari pelbagai sudut dan platform – dari atas bas, dari dalam kereta, dari atas jambatan, dari balik pokok, dari anak tangga dan lain-lain. Pelbagai gambar kandid boleh dirakamkan dari sudut-sudut yang berbeza itu.



7. Jangan fikir kesempurnaan
Kadang-kadang jangan fikirkan sangat soal angle yang tidak berapa kena, gambar yang mungkin kabur atau mungkin lari dari frame dan sebagainya. Setiap kali ada kesempatan yang baik untuk menangkap aksi atau suasana yang dirasakan ada nilai yang kita hendak, kita wajar mengambil peluang merakamkannya.

Wednesday, November 12, 2008

Penulisan Adalah Satu Seni, Penerbitan Adalah Bisnes

Petikan artikel Encik Fauzul Na’im Ishak dalam http://www.mentorpenulis.com

Para pengarang selalu merasakan penulisan adalah satu kesenian. Ia adalah gabungan inspirasi dan pengetahuan yang diterjemahkan ke dalam bentuk bertulis. Apabila begitu ramai yang merasakan ia perlukan bakat semulajadi, sesiapa yang tidak berbakat tidak mampu merasakan naluri seni itu.

Pada pandangan peribadi saya, saya bersetuju dengan pandangan penulisan sebagai seni itu. Namun begitu saya tidak bersetuju bahawa penulisan itu semata-mata bakat semulajadi. Bakat itu boleh dilatih. Ia bergantung kepada seseorang individu, ingin berubah ataupun tidak.

Satu ketika dahulu, kita sendiri tidak tahu apa itu huruf A, B, C hinggalah ke Z. Kemudian kesan daripada itu kita tidak tahu menulis angka-angka tersebut. Namun begitu selepas proses pembelajaran di taman asuhan kanak-kanak ataupun di rumah, kita sudah mengenalinya. Seterusnya kita tahu mengaplikasikannya dalam menulis setiap hari.

Menulis juga begitu.

Pada mulanya ramai pengarang yang tidak tahu bagaimanakah menghasilkan karya yang baik. Ramai yang mempunyai mitos-mitos dan falas-falasi pelik-pelik dalam minda masing-masing. Kemudian mereka datang ke bengkel, mengetahui teknik-teknik menulis. Bertanya-tanya dan bertukar-tukar pandangan dengan pengarang lain. Mendengar saranan mentor ataupun sifu penulisan. Kemudian berusaha menghasilkan karya pertama. Itu memang sangat susah.

Kemudian apabila karya pertama sudah keluar, kepuasan diri datang. Terus menulis karya kedua, karya ketiga dan seterusnya. Ini adalah satu keadaan yang boleh kita lihat berlaku kepada pengarang semasa. Asalnya mereka ada ketakutan, apabila sempadan ketakutan itu dipecahkan maka ia terus berlari dengan baik.

Penerbitan pula adalah bisnes. Apabila satu-satu karya sudah siap ditulis, dikirimkan kepada mana-mana penerbit. Persoalan bisnes pula diambil kira. Adakah karya ini boleh dijual ataupun tidak? Bagaimanakah untuk melakukan program pemasaran? Siapakah sasaran pembelinya? Siapakah yang ingin menjualnya? Apakah pakejnya? Kesemua ini diambil kira pula.

Jadi dalam perkara ini, pada pandangan saya, pengarang seharusnya menggabungkan kedua-dua unsur ini dalam minda mereka. Pengarang seharusnya menjadi pengarang yang mempunyai minda ahli pemasaran. Ia bukan sahaja menulis untuk inspirasi, tetapi untuk pembacanya. Apabila pengarang mempunyai minda begini, dengan sendirinya buku yang ditulis bersesuaian dengan citarasa pembaca.

Gabungan penulisan sebagai satu seni dan penerbitan sebagai satu bisnes menghasilkan inovasi dan kreativiti. Kreatif dalam mengeluarkan idea yang segar dan berinovasi dalam menyediakan pakej bersesuaian. Pengarang selalunya selepas mengirimkan naskhah kepada para penerbit, yang ditanya adalah bila royalti hendak dibayar. Mentaliti sebegini seharusnya diubah. Saya tertarik dengan satu email yang dikirimkan kepada saya.

Fundamental atau tujuan menulis yang meletakkan wang sebagai force, sesuatu yang amat menakutkan. Ia boleh merosakkan penulis-penulis yang berbakat. Kita kena tekankan soal sebenar sebab kita menulis…. Sangat bahaya cara saudara meletakkan wang sebagai faktor utama…. Betulkan balik….

Ini adalah mentaliti pengarang berfikir cara lama. Mereka merasakan kepengarangan adalah soal bakat semata-mata. Cara berfikir sebegini perlu diubah. Saya sebagai seorang pengamal penerbitan tahu bagaimana sesebuah karya itu dilayan. Apakah kerenah pengarang.

Apabila sesebuah karya itu boleh dijual dengan baik, lebih ramai yang dapat membelinya. Lebih ramai orang membeli, lebih banyak ilmu dimanfaatkan. Insya-Allah di akhirat kelak ada bahagiannya. Cuba kita lihat sebaliknya. Karya yang tidak dibeli dan boleh dijual, sedikit orang membelinya. Maka tidak banyak ilmu bermanfaat disebarkan atas muka bumi.

Kita fikirkanlah.

Sesiapa yang berminat untuk menghadiri program pembangunan penulis Akademi Penulis, sila lawati http://www.janawangdenganmenulis.com

*Encik Fauzul Na'im Ishak adalah pengarah eksekutif dan pengurus di PTS Millennia Sdn. Bhd., salah sebuah anak syarikat Kumpulan PTS (www.pts.com.my). Memiliki beberapa bisnes berkaitan buku dan terlibat secara langsung dalam mengendalikan bengkel, ceramah dan seminar penerbitan di seluruh Malaysia. Sudah 7 tahun berkecimpung dalam dunia penerbitan dan pembangunan penulis. Sering dijemput oleh organisasi kerajaan, bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi memberikan input mengenai dunia penerbitan dan penulisan.

Tuesday, November 11, 2008

Membiasakan Bahasa Yang Betul

Pada akhir tahun lalu, saya bertemu dengan guru bahasa saya, Prof. Dr. Awang Sariyan, dalam satu seminar penataran bahasa yang dikhususkan untuk wakil-wakil media. Prof. Dr. Awang adalah tutor saya sewaktu pengajian saya di Universiti Malaya (ketika beliau belum bergelar profesor). Pertemuan akhir tahun lalu begitu istimewa bagi saya kerana saya kembali berguru dengan beliau selepas 20 tahun! Dr. Awang mengendalikan seminar itu dari awal sampai akhir.

Kini Prof. Dr. Awang sudah pun berada Beijing kerana memenuhi tanggungjawab sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu selama dua tahun sejak bulan Mei lalu. Bagaimanapun, satu pesanan beliau yang masih saya ingat dan saya pegang adalah perlunya pengguna-pengguna bahasa “membiasakan yang betul dan membetulkan yang biasa”.

Kata-kata azimat ini sebenarnya kata-kata Pendeta Zaaba dan sering diulang oleh Prof. Dr. Awang.

Membiasakan menggunakan bahasa yang betul adalah penting bagi penulis. Betul susunan bahasanya, betul tatabahasanya, betul ejaannya dan betul tanda bacaannya. Penting juga bagi penulis untuk membetulkan kebiasaan menggunakan bahasa yang salah.

Dengan kata lain, penulis harus membiasakan menggunakan bahasa standard. Ia juga diistilahkan sebagai bahasa tinggi, lawan kepada bahasa rendah. Oleh itu, bahasa Melayu standard adalah bahasa Melayu tinggi.

Walaupun namanya bahasa Melayu tinggi, ia bukanlah bahasa yang sukar atau rumit. Sebaliknya, bahasa Melayu tinggi adalah bahasa yang mudah difahami. Mudah dan betul mengikut ukuran standard.

Kelebihan menggunakan bahasa standard, ia menjadikan hasil penulisan kita sesuai dibaca sepanjang zaman. Jika menulis buku, buku itu mempunyai ciri ‘evergreen’. Puluhan tahun akan datang, buku kita masih boleh difahami dan masih sedap dibaca.

Oleh kerana buku akan menjadi warisan, wajarlah penulis menghasilkan tulisan yang terus ‘evergreen’ sampai bila-bila. Untuk memelihara sifat ‘evergreen’ sesebuah buku, mahu tidak mahu, penulis harus menjaga penggunaan bahasanya.

Penulis harus belajar menulis dengan bahasa standard, bukan bahasa pasar atau bahasa rojak.
Walaupun penulis mungkin menulis karya yang ringan untuk bacaan remaja, tidak wajar penulis menggunakan bahasa ala karya picisan. Menulis untuk remaja bukan ‘tiket’ untuk menggunakan bahasa slanga, bahasa pasar atau bahasa rojak.

Remaja kita mungkin sudah terbiasa bercakap menggunakan bahasa yang caca-marba, tetapi penulis harus mampu mengubah kebiasaan budaya rendah itu. Anak-anak remaja kita harus diajar membiasakan menggunakan bahasa yang betul serta membetulkan cara berbahasa yang salah.

Kalau kita dapat menulis buku dengan bahasa yang standard, buku kita bukan saja dapat memenangi hati pembaca sasaran tetapi juga dapat memenangi hati orang yang prihatin pada isu bahasa, terutama guru-guru. Buku kita dapat dijual di sekolah-sekolah atau dijual kepada golongan pelajar dengan sokongan guru-guru.

Oleh itu, penulis yang mahukan tulisan atau karyanya ‘evergreen’ harus menggunakan bahasa yang standard. Bahasa al-Quran dan hadis adalah contoh bahasa standard yang akan terus 'evergreen' sampai bila-bila.

Apabila kita menulis buku khususnya, jangan fikir buku kita hanya akan dibaca oleh orang-orang sezaman dengan kita. Buku itu mungkin akan menjadi harta intelek yang terus diulang cetak. Paling kurang, ia akan tersimpan di rak-rak perpustakaan untuk berdekad-dekad lamanya. Buku itu mungkin akan menjadi warisan atau ‘legacy’ kita, seperti novel-novel Enid Blyton yang sampai sekarang masih terus dijual dan boleh ditemui di perpustakaan walaupun penulisnya sudah berdekad lamanya meninggal dunia.

Monday, November 10, 2008

Menyusun Idea Secara Lompat-lompat


Hasan Suyut seorang jurutera. Beliau tidak mengetahui tentang KJ Methode dan aplikasinya dalam penulisan. Tetapi beliau secara tidak sedar sudah mempraktikkan kaedah ini sewaktu menulis buku kisah benarnya Atiq Wazif: Satu Anugerah yang saya selenggarakan sebagai editor.


Beliau berfikir menggunakan logik non-linear. Itulah sebabnya beliau menyiapkan bab pertama dan bab terakhir bukunya terlebih dahulu. Jika beliau berfikir mengikut logik linear, beliau akan menulis bab satu, diikuti bab dua, bab tiga dan seterusnya. Tetapi dengan berfikir secara non-linear, beliau menyusun dan menggarap idea penulisannya secara melompat-lompat, tidak mengikut urutan.


Berfikir secara non-linear ini adalah ciri utama kaedah yang dipanggil KJ Methode.


Kaedah ini diperkenalkan oleh Kawakita Jiro, seorang ahli antrolopogi Jepun, dan diaplikasi dalam teknik pengurusan.


Puan Ainon Mohd, sifuPTS, mempelajari kaedah ini dalam satu seminar di Singapura lama dahulu. Dalam seminar itu, kaedah ini diajar untuk kegunaan menulis laporan pengurusan yang panjang-panjang. Dengan menggunakan kaedah ini, laporan yang panjang berjela itu dapat disiapkan dalam masa yang singkat.


Puan Ainon menggunakan kaedah ini untuk menulis buku-buku umum. Hasilnya, beliau mampu menulis buku dalam tempoh yang singkat. Malah beliau mampu menulis beberapa buah buku dalam satu-satu masa. Rahsianya adalah pada cara berfikir non-linear.


Logik linear dalam penulisan buku adalah menulis bab satu terlebih dahulu, kemudian diikuti bab dua dan seterusnya. Mengikut logik linear, adalah tidak betul untuk menulis sebuah buku dengan dimulakan dari bab tiga dahulu misalnya. Apatah lagi jika dimulakan dari bab terakhir!


Logik non-linear pula membolehkan cara penulisan yang melompat-lompat. Mengikut logik non-linear, boleh saja ditulis mana-mana bab dahulu.


Saya teringat kepada seorang calon penulis novel. Dia sudah menyiapkan novelnya hingga ke bab tujuh tetapi buntu untuk meneruskan garapannya. Selain disebabkan dia tidak melakarkan plot novelnya bab ke bab hingga ke bab terakhir, dia juga terikat dengan cara penulisan mengikut urutan. Selagi tidak selesai satu-satu bab, dia tidak berani atau tidak terfikir untuk melangkau ke beberapa bab di hadapan.


Seorang editor pernah menceritakan kes yang hampir sama mengenai seorang pengarang yang sudah menyiapkan bukunya hingga ke bab enam tetapi mengalami ‘writer’s block’ di situ. Dia bermasalah untuk meneruskan ke bab tujuh.


“Saya buntu, tak tahu bagaimana hendak meneruskan penulisan buku saya,” adu pengarang itu kepada sang editor.


Lalu editor ini menyarankan kepada pengarang itu supaya menggunakan pemikiran non-linear.
“Tinggalkan dulu bab tujuh itu. Tulis dulu bab-bab berikutnya,” beritahu editor.


Pengarang ini mengikut saranan editornya dan tidak lama kemudian dia berjaya menyiapkan manuskrip bukunya.


Menyusun idea mengikut urutan adalah ciri utama pemikiran linear, manakala menyusun idea tanpa terikat dengan urutan adalah ciri utama pemikiran non-linear. Oleh itu, penulis yang menggunakan pemikiran non-linear lebih bebas menurunkan ideanya di atas kertas walaupun secara melompat-lompat.


Hasan Suyut mungkin sudah terlatih berfikir secara non-linear maka beliau dapat menulis menggunakan salah satu aplikasi KJ Methode iaitu menyusun isi bukunya tanpa mengikut urutan, sebaliknya boleh secara melompat-lompat.


Dalam tulisan seterusnya, saya akan cuba berkongsi dengan para pembaca satu lagi aplikasi penting KJ Methode insya-Allah.


Wednesday, November 5, 2008

Apa Yang Hendak Ditulis? (KEMAS KINI)

“Sekiranya saya berminat menulis untuk diterbitkan oleh Galeri Ilmu, bentuk penulisan bagaimanakah yang sesuai?” soal seorang pengunjung blog ini, yang juga konsisten menulis di dalam blog miliknya.

“Masih buntu mencari genre penulisan yang benar-benar dapat membantu diri dan manusia lain untuk mencari jalan kepada Pencipta. Minta pandangan dan komen saudara,” luah pula sahabat lama yang pernah aktif menulis dan kini mencari-cari bentuk penulisan yang benar-benar serasi untuk dia tekuni.

Secara mudah, apa yang menjadi persoalannya di sini adalah: Apa yang hendak ditulis?


Sewaktu saya giat menulis untuk majalah, persoalan ini tidak begitu sukar dijawab. Saya hanya menulis tentang subjek yang memang menjadi halatuju dan skop tumpuan majalah berkenaan. Subjek itu dekat dengan diri saya iaitu tentang hal-hal yang berkaitan dengan kekeluargaan.

Bagaimanapun, apabila memasuki dunia buku, situasinya berbeza. Saya sendiri masih mencari-cari jawapan kepada persoalan memilih subjek yang hendak ditulis. Alhamdulillah, pencarian saya tidak lama. Allah pertemukan saya dengan jawapannya dan inilah yang hendak saya kongsi.

Sebelum itu, saya ingin mengimbau pengalaman sewaktu hendak meneroka alam blog ini. Saya tercari-cari sebab yang kuat mengapa saya harus mempunyai blog sendiri. Saya cuba memikir-mikirkan dan merangka-rangka tujuan sebenar saya hendak terjun ke dunia blog. Lama juga saya terawang-awang mencari dan cuba memurnikan niat. Apa yang sebenarnya hendak saya sampaikan melalui blog?

Alhamdulillah, akhirnya niat dan tujuan itu tersingkap jua. Syukur kepada Allah yang telah menemukan saya dengan tujuan yang jelas dalam membangunkan dan mengisi blog ini. Saya mahu jadikan blog ini tempat untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu dan pengalaman dalam bidang media, khususnya media yang membawa pendekatan Islam. Saya sudah ceburi bidang ini agak lama dan tentulah ada orang lain di luar sana yang mungkin mendapat manfaat daripada perkongsian ilmu dan pengalaman ini dengan izin Allah.

Saya rasa setiap penulis harus mempunyai tujuan yang jelas mengapa dia hendak menjadi penulis. Penulis juga harus mempunyai tujuan yang jelas mengapa dia hendak menulis tentang sesuatu, tidak kira sama ada dia hendak menulis artikel, skrip atau manuskrip buku.

Di tempat yang lebih tinggi daripada segala-galanya adalah niat untuk mendapatkan keredhaan Allah. Niat kerana Allah ini adalah niat yang sebenar-benar murni dan bersih. Apabila niatnya bersih dan tujuannya jelas, mudah-mudahan penulis tidak akan mudah goyah. Bukan saja tidak goyah dengan prinsip tetapi juga tidak mudah goyah dengan hal-hal yang menghalang aktiviti menulis.

Berbalik kepada persoalan memilih subjek yang hendak ditulis, saya mendapat jawapannya apabila bertemu dengan Tuan Fauzul Naim Ishak (gambar) beberapa hari lalu. Saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menghadiri satu bengkel penulisan selama tiga hari. Tidak sangka pula Tuan Fauzul Naim yang mengendalikan bengkel itu dari awal sampai akhir.

Latar belakang beliau adalah dalam bidang kejuruteraan tetapi ditakdirkan yang beliau lebih berjaya menjuruterai dan mementori penulis sepanjang lapan tahun menceburi dunia penerbitan buku. Di bawah bimbingan beliau selaku editor dan pengurus penerbitan, lahir ramai penulis termasuk penulis-penulis ‘bestseller’.

Beliau mengajak para peserta bengkelnya melakukan ‘self discovery’. Mencari kekuatan diri. Dari situ nanti seseorang itu akan tahu kekuatan sebenarnya dan mengetahui apakah ‘ada buku’ dalam dirinya. Apa subjek penulisan yang sesuai untuknya dan mampukah dia menulis tentang subjek itu. Foto ihsan: B Pro Management & Training

Beliau menyarankan lima langkah penerokaan yang perlu dibuat ke arah penemuan dalam diri. Saya sudah pun mencuba langkah-langkah mudah itu. Saya kongsikan penerokaan saya itu di sini supaya para pembaca blog ini nampak dengan lebih jelas aplikasinya.

Langkah pertama, senaraikan beberapa kesukaan masa lapang.
Saya menyenaraikan beberapa perkara yang saya suka lakukan pada masa lapang:

1. Saya suka bermusafir dan sentiasa bersemangat setiap kali berpeluang untuk berjalan jauh. Sewaktu bersekolah menengah dahulu, saya gemar melakukan ‘hitch-hiking’ (aktiviti yang sekarang sudah pupus) pada musim cuti sekolah.

2. Saya juga suka bercerita dengan menulis surat atau emel yang panjang-panjang. Pernah sewaktu baru mula bekerja di Kuala Lumpur dulu, saya menulis surat berhalaman-halaman kertas kajang kepada arwah emak saya dan kawan baik saya di Johor Bahru. Saya bercerita tentang wajah-wajah Kuala Lumpur dan kehidupan saya di ibu kota. Ada kata-kata kawan baik saya itu yang saya masih ingat. Katanya, “Engkau sangat pandai bercerita.”

3. Saya juga suka membaca buku motivasi, buku agama, novel, buku tentang bisnes dan buku kisah kehidupan. Saya masih ingat sewaktu di tingkatan dua lagi saya sudah melanggan Reader’s Digest kerana majalah ini penuh dengan kisah kehidupan. Dan saya juga suka menonton filem dan dokumentari.

Langkah kedua, senaraikan kemahiran-kemahiran yang dimiliki setelah sekian tahun bekerja.
Saya menyenaraikan beberapa kemahiran iaitu kemahiran mengarang kisah, menyunting, mengambil gambar foto dan menemuramah responden.

Langkah ketiga, kenal pasti ruang atau seksyen buku yang selalu dilawati sewaktu masuk ke mana-mana kedai buku.
Apabila masuk ke kedai buku atau perpustakaan, saya suka ke seksyen buku motivasi, buku tentang bisnes, buku kisah kehidupan dan travelog kerana saya mencari sumber motivasi dari buku-buku ini. Saya juga suka ke seksyen buku agama kerana berminat mendalami agama dan terasa mendapat hidayah dari buku-buku itu. Seterusnya saya suka menjengah ke seksyen novel kerana memang berminat membaca novel, malah bercita-cita menulis novel. Sewaktu di sekolah menengah, saya gemar membaca novel-novel Hamka dan Pramoedya Ananta Toer.

Langkah keempat, kenal pasti beberapa keghairahan yang tidak dapat dipenuhi dalam tempoh lima tahun lalu.
Saya menyenaraikan seperti berikut: Menulis novel, menulis skrip filem, menulis kisah kehidupan dan menjalankan bisnes sendiri.

Langkah kelima, senaraikan lima kebolehan semulajadi dan kemahiran yang ada, kemudian kenal pasti apa yang patut ditulis dengan adanya setiap kebolehan semulajadi dan kemahiran itu.
Dengan langkah ini, kita sudah semakin hampir dengan ‘self discovery’.
Setelah merenung-renung sendirian, saya rasa saya mempunyai kebolehan semulajadi bercerita. Saya juga memiliki kemahiran mengarang cerita. Oleh itu, dengan menggabungkan kebolehan semulajadi dan kemahiran saya itu, saya patut menulis buku tentang kisah-kisah kehidupan dan buku kisah benar (true account story) seperti yang ditulis oleh sahabat saya Hasan Suyut dan Zabidi Mohamed.

Dengan kebolehan bercerita dan kemahiran mengarang cerita juga, saya patut menulis buku biografi ataupun memoir. Dengan kebolehan bercerita dan kemahiran mengarang cerita juga, saya patut menulis novel. Bukankah memang itu yang saya cita-citakan?

Kemudian dengan kebolehan semulajadi bercerita dan kemahiran mengarang cerita, saya juga patut menulis buku travelog. Seterusnya dengan kebolehan semulajadi bercerita dan kemahiran menulis itu sendiri, saya patut menulis buku tentang penulisan dengan pendekatan bercerita.

Penemuan Diri
Setelah mencuba lima langkah tadi dan mencatatkan ‘penemuan’nya di atas kertas, saya telah menemui di mana letaknya kekuatan saya dalam penulisan. Saya dapati yang saya sesuai dan mampu menulis buku tentang kisah kehidupan, riwayat hidup, travelog, fiksyen dan tentang kemahiran menulis itu sendiri.

Setelah menemui kekuatan diri dalam bidang penulisan ini, saya hanya perlu membersihkan niat dan membetulkan tujuan supaya setiap hasil penulisan saya ada nilai di sisi Allah. Dengan itu barulah penulisan saya akan benar-benar bermakna.

Saya ingin mengajak rakan-rakan penulis dan calon-calon penulis untuk mencuba lima langkah ‘self discovery’ ini. Setiap orang mempunyai kekuatan tetapi kekuatan itu akan kekal tersembunyi jika tidak cuba dicungkil. Langkah-langkah yang disarankan di atas adalah antara cara praktikal untuk meneroka dan mencungkil kekuatan diri.

Saya berpeluang berada dalam sesi perkongsian pengalaman bersama Tuan Ahmad Fazli Yusof, pakar motivasi muda dan penulis buku-buku motivasi yang laris. Saya bertanya kepada beliau, “Kenapa tuan memilih untuk menulis subjek pembangunan diri?”

Ketika menjawab soalan itu, beliau mengimbau latar belakang beliau sebagai peguam. Satu ketika beliau menyedari bahawa minat dan kebolehan sebenar beliau adalah dalam bidang pembangunan diri. Dengan kebolehan semulajadi memberi motivasi kepada orang lain dan kemahiran bercakap yang diperolehi sewaktu menjadi peguam, beliau merasakan yang beliau patut menulis buku tentang pembangunan diri.

Beliau tidak sekadar memberitahu dirinya, “Saya mahu menulis buku tahun ini” atau “Okey juga kalau saya menulis buku tahun ini”. Sebaliknya, beliau berkata kepada dirinya, “Saya mesti menulis dan menerbitkan buku tahun ini.” Dengan kata-kata itu bererti beliau sudah memutuskan untuk menulis buku tahun ini juga, bukan sekadar menimbang-nimbangkannya.

“Saya mendapat kepuasan daripada sumbangan untuk pembangunan diri seseorang,” katanya.

Oleh itu, langkah seterusnya setelah membersihkan niat, membetulkan tujuan dan mengenal pasti apa yang hendak ditulis, adalah membuat keputusan untuk menulisnya. Ramai yang hanya menimbang-nimbang untuk menulis, belum benar-benar membuat keputusan untuk menulis.

Tuesday, November 4, 2008

Blog dan Bahasa Standard

Apabila mempunyai masa terluang, saya gemar juga merayau dan singgah di blog-blog. Sewaktu singgah di mana-mana blog, saya biasanya akan memerhatikan dua perkara iaitu isi dan bahasa yang digunakan.

Banyak blog yang diisi dengan tulisan-tulisan yang kemas dan berisi. Bukan saja nilai isinya baik, malah bahasa yang digunakan juga kemas dan terjaga. Blog-blog yang baik ini menggunakan bahasa persuratan yang standard. Sekiranya pemilik blog itu hendak membukukan tulisannya satu hari nanti, ia akan menjadi mudah. Tidak banyak ubah suai yang perlu dibuat kerana tulisan-tulisan itu mempunyai kualiti ‘sedia terbit’.

Oleh itu saya sangat bersetuju dengan kata-kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di dalam blognya, saifulislam.com, bahawa setiap penulis blog harus menanam cita-cita untuk membukukan tulisan-tulisannya.

Kata beliau, “Setiap yang menulis di blog, harus menanam cita-cita ini. Asas utamanya ialah terus mengasah isi, namun disampaikan dengan bahasa yang baik. Sebuah tulisan yang dijaga bahasanya, akan kekal segar di sepanjang zaman.”

Blog memang wadah yang sesuai untuk membiasakan diri menulis. Tetapi penulis yang mahu mengasah kemahiran menulis melalui blog mestilah sedar satu perkara. Dia mestilah membiasakan menulis dengan bahasa yang baik.

Ada juga blog yang mempunyai nilai isi (content value) yang tinggi dan bahasa yang baik tetapi masih agak lemah dalam aspek ejaan dan tanda bacaan. Penulisnya seperti tidak melakukan ‘self editing’ kepada tulisannya sebelum tulisan itu di’posting’ ke blognya. Memang ini satu kelemahan yang ketara di mata orang yang prihatin akan aspek bahasa, tetapi kelemahan ejaan dan tanda bacaan itu masih boleh dianggap kecil.

Kelemahan yang lebih besar adalah kelemahan tatabahasa, khususnya susunan ayat yang tidak kemas dan tidak betul. Gaya olahan ayat-ayatnya terlalu terikut-ikut dengan bahasa percakapan hingga mendekati bahasa pasar. Kelemahan begini menjejaskan nilai ‘kesegaran’ tulisan-tulisan itu.

Hanya apabila penulis menulis menggunakan bahasa standard atau bahasa sekolah, barulah tulisannya akan sedap dibaca dan mampu kekal segar sepanjang zaman.

Monday, November 3, 2008

Berkenalan Dengan Novel Chicklit

Dalam tulisan kali ini, saya hanya mahu mengajak khalayak pembaca blog ini berkenalan dengan satu genre penulisan yang popular iaitu novel chicklit. Ia satu genre buku remaja yang semakin popular. Seperti juga genre-genre lain, novel chicklit adalah salah satu wadah yang boleh dimanfaatkan untuk berdakwah dan mendidik.

Di Barat, beberapa novel chicklit sudah dibawa ke layar perak atau tv. Antaranya Princess Diaries, PS I Love You, Devils Wear Prada dan Sex and The City.

Genre ini mula popular selepas novel Bridget Jones’s Diary karya Helen Fielding meletup di pasaran pada 1998. (Novel ini asalnya satu ruangan bersiri dalam The Independent, suratkhabar harian yang terbit di London.)

Selepas itu ramai penulis meniru gaya penulisan novel ini. Banyak novel chicklit kemudiannya menduduki senarai buku-buku bestseller.

Apakah yang dimaksudkan novel chicklit atau Chick Lit?

Chick adalah bahasa slanga Amerika yang merujuk pada wanita, manakala lit adalah singkatan daripada literature (sastera).

Novel chicklit adalah novel popular yang memaparkan warna-warni kehidupan wanita muda dalam suasana moden di bandar (metropolitan). Ia merupakan bacaan ringan yang disasarkan kepada pembaca remaja atau golongan muda (remaja menengah atas hingga akhir 20-an).

Berbeza dengan novel remaja biasa atau novel-novel roman, novel chicklit tidak bergantung pada tema tertentu tetapi berkisar tentang apa-apa saja yang berlaku dalam kehidupan wanita atau lelaki muda di bandar.

Ciri-ciri yang jelas pada novel chicklit:

• Watak utamanya adalah remaja atau orang muda dalam lingkungan umur 18-30 tahun. Kebanyakan novel chicklit menggunakan watak utama wanita dan memang kebanyakannya ditulis oleh penulis wanita. Jadi, umumnya ia adalah novel wanita untuk wanita. Tapi ada juga novel chicklit yang watak utamanya lelaki, seperti Dunia Ini Sederhana Kecil (PTS One) yang penulisnya juga lelaki.

• Memfokuskan cerita pada watak dan kehidupan di bandar.

• Plotnya mudah, menyentuh kehidupan seharian yang biasa-biasa.

• Pengolahannya sangat ringan, straight to the point dan cerita bergerak laju. Lebih berupa selang seli antara aksi dan dialog. Tidak banyak bunga-bunga dan tidak banyak perlukisan latar tempat dan suasana.

• Mempunyai unsur lucu (sense of humor), yang biasanya diselitkan secara bersahaja.

• Rekabentuk kulitnya juga biasanya simple, berbeza daripada kulit novel remaja biasa atau novel roman. Biasanya diberi latar belakang ‘plain’ (warna datar).

Pada Jun 2008, saya menghadiri satu majlis taklimat penulisan novel chicklit yang dihadiri sekitar 20 orang calon penulis. Editor PTS One, Sdr Nazri M.Annuar cuba memahamkan calon-calon penulis ini bagaimana bentuk novel chicklit yang pihaknya mahukan. Sifu PTS, Puan Ainon Mohd, turut hadir memberi sokongan di samping sekali-sekala memberi input, termasuk tentang penggunaan bahasa Melayu tinggi yang tidak harus dikesampingkan dalam penulisan novel begini.

Dalam majlis itu, sebahagian nama penulis chicklit antarabangsa disebut satu persatu, termasuk Sophie Kinsella (dengan siri Sophaholicnya), Candace Bushnell (Sex and The City), Meg Cabot (Princess Diaries), Lauren Weisberger (Devils Wear Prada), Lecilia Ahern (PS, I Love You), Marian Keyes, dan Jennifer Weinner.

Dalam perbincangan dengan peserta, beberapa cadangan plot dan tema ditimbulkan; antaranya:

• Persahabatan (seperti dalam Sex and the City)
• Kisah roomates
• Masalah berat badan (seperti dalam Bridget Jones’s Diary)
• Masalah ketagihan (seperti dalam Sophaholic)
• Kehidupan alam korporat dari sudut yang dekat dengan perempuan
• Wanita kerjaya yang takut bawa kereta
• Wanita yang baru mula bekerja
• Seorang adik yang termotivasi dengan sifat cemburu atas kejayaan abangnya
• Anak tukang masak yang tak tahu memasak
• Penyanyi nasyid yang dalam dilema kerana belum menjiwai agama
• Guru perempuan jadi guru disiplin
• Guru baru perempuan mengajar di sekolah lelaki
• Jururawat lelaki yang dibuli jururawat wanita
• Dilema lelaki lembut

Cadangan-cadangan plot dan tema ini menggambarkan salah satu ciri novel chicklit iaitu memaparkan kisah seharian yang biasa-biasa dan mempunyai unsur lucu.

Bagaimanapun, jangan kerana ia membawa kisah yang biasa-biasa maka genre ini dianggap karya picisan. Novel chicklit bukan novel picisan. Novel begini juga menyediakan banyak ruang untuk diselitkan nilai didikan dan moral untuk mendidik golongan remaja. Ini bergantung pada niat dan kreativiti penulis.

Setiap buku adalah medium untuk menyampaikan mesej, walau apa pun genrenya. Marian Keyes, seorang penulis chicklit bestseller, yang merupakan pemegang ijazah undang-undang, ditanya apakah karya chicklit mempunyai apa-apa nilai selain daripada sekadar untuk ‘escapism’ dan hiburan. Katanya:

“I tackle serious topical issues in my books – from addiction to depression to infertility. The Chick Lit format (accessible, comic) makes it possible to thoroughly examine these painful subjects without scaring away or depressing the reader.”

Seorang penulis yang kreatif dan ada jiwa untuk mendidik masyarakat, apatah lagi yang ada jiwa dakwah, pasti akan melihat ruang ini sebagai cabaran untuk menghasilkan novel chicklit yang kaya nilai didikan. Bukan nilai didikan yang dipaksakan dalam dialog berbau khutbah, tapi nilai didikan yang diselitkan secara begitu halus dan berhikmah.

Oleh itu, jangan fikir melalui karya besar saja kita boleh menyalurkan dakwah dan didikan. Dan jangan fikir karya besar saja yang boleh menjadi harta intelek yang ‘evergreen’.

Mengajak Ustaz Menulis Buku

“Malam ini Abang Ya mailah. Insya-Allah ana ada. Ni tengah dok goreng-goreng ni,” beritahu Ustaz Amal.

Maka malam itu bertandanglah saya ke rumah sahabat saya, Ustaz Amaluddin Mohd Napiah, di Saujana Utama, Sg Buloh. Kebetulan waktu saya sampai, Ustaz Amal sedang meraikan tetamunya Ustaz Rizuan dan isteri dari blok apartment berhampiran.

Kami bersembang mengenai penulisan buku kerana kebetulan antara tujuan saya menemui Ustaz Amal malam itu adalah untuk membincangkan manuskrip buku beliau. Ustaz Rizuan pula nampak berminat.

Ada orang berkata, ustaz-ustaz di Malaysia tidak produktif menulis berbanding ustaz-ustaz di Indonesia. Memang ada kebenarannya. Tetapi keadaannya mungkin berubah sedikit masa lagi.

Saya memberitahu Ustaz Rizuan, “Sebenarnya saya rasa bukan ustaz-ustaz tidak mahu menulis tapi mungkin sebab tidak dibukakan ruang untuk mereka menulis.”

Ustaz Rizuan teruja. Beliau segera teringat kepada tesis yang pernah disiapkannya mengenai satu topik yang jarang disentuh.

“Bolehkah tesis dijadikan buku?” soal beliau.

“Tesis memang boleh dijadikan buku tetapi biasanya perlu diubah suai dan diolah semula,” kata saya.

Topik tesis beliau menarik dan sesuai dibukukan. Beliau hanya perlu keluar dari disiplin akademik untuk menukar tesis itu menjadi sebuah buku yang sesuai dipasarkan. Saya harap pertemuan dan perbincangan dengan Ustaz Rizuan pada malam itu tidak berakhir di situ saja.

Sejak saya diamanahkan menerajui tim editorial di Jabatan Buku Galeri Ilmu, saya turut diberi tanggungjawab untuk mengajak ustaz-ustaz menulis. Saya dan pengurus jabatan, Encik Wan Azmin, telah menemui beberapa orang ustaz dan pakar motivasi untuk melamar mereka menulis.

Sebenarnya sejak saya masih bersama tim majalah lagi saya sudah merisik sebahagian daripada mereka. Alhamdulillah, mereka nampak bersedia untuk menulis. Salah seorang daripada mereka adalah Ustaz Amal sendiri, yang memang telah mempunyai asas menulis. Beliau banyak menyumbangkan tulisannya kepada Anis dan Asuh. Sesetengah tulisan itu adalah untuk kolum tetap, termasuk satu dua kolum yang beliau isi tetapi menggunakan nama pena.

Selepas beliau semakin sibuk dengan aktiviti tarbiah dan taklim, terutama setelah menubuhkan Pusat Motivasi Jom Amal di kawasan kediamannya, Ustaz Amal sudah kurang berkesempatan menulis secara produktif seperti dulu, kecuali menulis di dalam blognya.

Ustaz Amal pernah menghasilkan sebuah buku berbentuk info beberapa tahun lalu. Buku berjudul Taman Ilmu: 300 Soaljawab Pengetahuan Islam itu beliau terbitkan sendiri dan edarannya sangat terhad. Kini beliau sudah bersedia untuk kembali aktif menulis dan melahirkan lebih banyak ‘harta’ dalam bentuk buku-buku.

Ustaz-ustaz yang belum ada disiplin menulis mungkin berasa agak sukar untuk mula menulis. Maklumlah, tidak biasa menulis untuk khalayak pembaca yang ramai, lebih-lebih lagi menulis sebuah buku.

Ustaz-ustaz yang ada pemikiran dan ada jiwa mendidik itu sebenarnya boleh menulis dan boleh memilih untuk menjadi penulis. Mereka cuma perlu memulakan dan membiasakannya. Ia akan menjadi mudah apabila sudah dibiasakan.

Jika ustaz-ustaz (dan ustazah-ustazah) tidak menulis buku dan hanya memberi tumpuan kepada aktiviti memberi kuliah serta berceramah, mereka tidak dapat meninggalkan ‘harta’ yang ‘evergreen’. Khalayak pendengar atau penonton kuliah mereka tidak dapat merujuk semula isi kuliah atau ceramah mereka. Khalayak itu sekadar mendengarnya sekali dan hanya dapat ingat tidak sampai 10 peratus daripada perkara-perkara yang disampaikan.

Sembilan puluh peratus lagi hanya akan diingat apabila ia dibukukan!