BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, October 10, 2008

Salam Perkenalan


Assalamualaikum wr. wb.

Nama saya Zakaria Sungib, anak bongsu daripada 12 adik-beradik, lahir di Johor Bahru pada 17 Oktober 1960. (Nota: Saya tidak sempat mengenali lapan adik-beradik yang lain kerana masing-masing meninggal sewaktu kecil, manakala seorang kakak dan abang sulung saya meninggal beberapa tahun lalu. Kini, saya sendiri telah menjadi ayah kepada 12 orang anak yang kesemuanya sihat walafiat, alhamdulillah.)

Melalui blog ini, saya ingin berkongsi tip dan pengalaman dalam bidang penulisan, penyuntingan dan kewartawanan. Boleh dikatakan agak lama juga saya ceburi bidang ini, iaitu lebih 20 tahun. Sebenarnya, sebahagian besar pengalaman ini saya timba setelah menceburi dunia penulisan berunsur Islam sejak 1990.

Semasa berkhidmat di Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) antara 1984-1990 selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya (UM), saya lebih terdedah kepada kerja sebagai pemberita dan penyunting. Sekali-sekala saya menulis cerpen dan artikel untuk majalah, khususnya Dewan Masyarakat dan Dewan Budaya.

Apabila menceburi dunia penerbitan berunsur Islam, saya mengasah kemahiran dalam pelbagai bidang kerja (multi tasking). Selain menulis, saya buat kerja menyunting, membaca pruf, menjadi wartawan, menjadi jurufoto dan sedikit sebanyak menulis naskhah iklan (copywriting). Kerja-kerja editor juga saya buat, melibatkan tugas ‘gate keeping’, menjaga hubungan dengan kolumnis dan responden, merangka konsep majalah baru dan konsep-konsep ruangan di dalamnya, juga merancang isi dan gaya persembahan untuk memberi ‘wajah baru’ kepada penerbitan sedia ada.

Satu ketika saya pernah turun naik pejabat KDN untuk urusan memohon permit untuk beberapa judul penerbitan berkala. (Nota: Kesemua penerbitan berkala itu kini hanya tinggal kenangan.) Ada juga saya berurusan dengan Perpustakaan Negara Malaysia untuk mendaftar ISBN bagi buku, serta berurusan dengan pejabat Pendaftar Perniagaan.

Malah pada satu ketika, saya adakalanya turut membantu melakar rekabentuk halaman majalah untuk ruangan tertentu. Bukan apa, sekadar hendak membantu memudahkan kerja rakan di bahagian rekaletak. Oh ya, pernah juga saya gatalkan tangan melukis kartun dan karikatur! (Sebab cita-cita saya dulu ada dua, sama ada menjadi penulis atau pelukis.)

Jadi boleh dikatakan dalam bidang penerbitan ini, Allah telah izinkan saya mencuba banyak bidang kerja. Mungkin inilah yang boleh saya kongsi, dengan izin-Nya. Sudah tentulah bukan semua bidang kerja saya boleh kongsi. Saya akan lebih memfokus pada bidang-bidang yang saya lebih berkemahiran iaitu penulisan, kewartawanan dan penyuntingan.

Dalam penulisan skrip tv, pengalaman menulis skrip untuk sitcom Rumah Ayah dan Ayah Kami (RTM) adalah antara pengalaman berkarya yang memberi kepuasan tersendiri. Di situ saya belajar menghayati watak-watak dan merangka perjalanan cerita serta dialog. Saya juga belajar untuk menjadi ‘funny writer’ walaupun saya bukan seorang ‘funny person’. Mungkin pengalaman ini juga boleh saya kongsikan.

Saya juga ada menyimpan (memerap sebenarnya) sebuah skrip filem yang saya hasilkan pada tahun akhir pengajian di UM (1983-84). Di UM, saya tidaklah belajar secara mendalam tentang filem, sekadar mengambil satu ‘paper’ di bawah tunjuk ajar guru perfileman saya, Dr. Anuar Nor Arai.

Jadi, walaupun saya tidak terjun secara serius menulis karya kreatif, sekurang-kurangnya saya faham mengenai beberapa aspek penting dalam proses mencipta karya sebegini. Antara lain, aspek perwatakan, jalinan plot, membina konflik, juga tentang keseimbangan antara dialog dan visual dalam karya fiksyen untuk tv dan layar perak. Yang lebih penting, saya ada sedikit ilmu dan pengalaman tentang bagaimana menyelitkan nilai-nilai Islam dalam karya.

Pada pertengahan 2008, saya diberi amanah sebagai editor kanan/editor perolehan di Jabatan Buku yang baru ditubuhkan di Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB), syarikat tempat saya berkhidmat sejak 1997.

Walaupun belasan tahun lamanya saya berada bersama tim majalah, saya sama sekali tidaklah kekok untuk melakukan kerja-kerja menerbitkan buku kerana saya pernah terlibat dalam dunia penerbitan buku. Dengan sokongan bos saya Tuan Hj Abu Hassan Morad dan ketua jabatan saya sekarang, Encik Wan Azmin Wan Dolah, saya cuba belajar tentang banyak perkara untuk memenuhi tanggungjawab membina judul-judul buku yang baru dan membina penulis.

Pengalaman dan tip-tip yang tidak lokek dikongsikan oleh Sifu PTS, Puan Ainon Mohd, banyak membantu. Malah saya memaksa diri membaca novel-novel remaja yang laris di pasaran semata-mata untuk memahami ciri-ciri novel yang digemari oleh remaja masakini.

Moga apa yang saya kongsi melalui blog ini ada manfaatnya dan lebih dari itu, moga dapat menjadi ibadah yang ada nilainya di sisi Allah. Jika ada pahala dari sumbangan kecil ini, moga Allah perpanjangkan pahala itu kepada kedua-dua arwah ibu bapa saya, juga kepada guru-guru saya sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal dunia, baik guru dalam pentas kehidupan atau guru dalam bidang penulisan yang terlalu ramai untuk saya sebut satu persatu.

Wassalam.
10 Syawal 1429

12 comments:

SMM said...

Assalamualaikum,
Saya menjengah ke blog tuan daripada blog saifulislam.com. Alhamdulillah, satu lagi blog bakal jadi bahan bacaan dan sumber ilmu berguna buat saya, terima kasih. Saya merupakan pembaca setia majalah Anis, saifulislam.com dan universitipts.com antara lain.

ady said...

Salam,
Saya juga menjengah ke laman blog ini drp blog saifulislam.com.Ternyata, pengisian blog ini sangat bertepatan dgn hasrat saya untuk belajar menulis dan juga kerja2 penerbitan buku/majalah.Terima kasih atas kesudian berkongsi ilmu.Moga-moga kita sama-sama mampu menjadi bangsa yang pandai.

Anonymous said...

Waalaikumussalam,
Terima kasih atas kunjungan dan juga kerana setia mengikuti majalah Anis, moga sedikit sebanyak ada manfaatnya. mynie dan ady nampak ada 'skill' menulis. Bahasa kemas. Teruskan menulis dengan membiasakan bahasa yang baik dan betul untuk menyampaikan isi yang juga baik dan betul.

abuyon said...

Salam En. Zakaria. Dulu, saya peminat Anis, dari edisi perdana. Tetapi, sudah agak lama juga saya tidak mengikuti perkembangan Anis, barangkali kerana pada saya, bahan atau gaya penulisan Anis sudah agak berbeza. Jadi, sekarang saya rasa saya akan jadi peminat Solusi pula, Insya-Allah. Barangkali, isi dan gayanya macam Anis dulu-dulu. Satu lagi, Pak Nora masih lagikah bersama Anis, masih menulis lagikah TOL.

Qurratul 'Ain said...

salam alaik en zakaria..
sy merupakan slh sorg dr pggemar tulisan2 hilal asyraf. maaf klu cara sy kurang sopan mgajukan hal ini di sini, scra peribadi sy kurang berkenan dgn cover novel VT beliau yg rs sy kurang sesuai. sy ykin dan spt jg kata hilal, pihak GISB dah buat yg terbaik tp mnrut sy cover yg direka oleh hilal sendiri lbh sesuai. kalau ada rzki hilal utk bukunya dicetak buat kali kdua dan kami pggemar karya2 beliau mndoakan yg demikian, blh tidak dipertimbangkan cover novel tu ditukar?maaf atas kelancangan sy mengomen cover novel tu..trima kasih atas perhtian en zakaria :-)

Zakaria said...

Waalaikumussalam Qurratul 'Ain,

Kami dengar dan akan memberi pertimbangan kepada komen-komen. Saya telah pun maklumkan hal ini kepada Sdr Hilal, kita akan pertimbangkan wajah baru untuk cetakan VT seterusnya jika ia dirasakan sesuai, insya-Allah.

IlhamWan said...

salam...terima kasih banyak-banyak atas penghasilan blog yang sangat bermanafaat ini.semoga tuan akan sentiasa kemaskini dengan info-info ilmiah terutama berkaitan dunia penulisan ini.

Terima kasih.

Zakaria said...

Wkmslm,
Semoga dapat diambil manfaat dan doakan saya ya, moga Allah mudahkan saya untuk terus istiqamah dan memurnikan niat.

Rozlan Mohamed Noor (RMN) said...

Assalamualaikum... masyaAllah, saya boleh terlepas blog tuan ini. Seperti tidak percaya pula. Akan saya ikuti selepas ini tanpa putus. Teruskan usaha... dan saya melihat jalur kerjaya tuan ini seperti juga jalur yg sedang saya rintih. Saya mohon mahu belajar dari tuan, kalau tidak mmpu bersua, lontarkan yang enak2 dan yg ranum2 di blog ya.

lihat saya di www.celikhuruf.blogspot.com

Mr April said...

Saalam Perkenalan saya buat Tuanb dan rakan-rakan blog.

Anonymous said...

assalam, ya, pa khabar para pejuang tinta.Tentunya semuanya dilimpahi rahmat dan redha ilahi.Agak lama tidak bersua sejak sama-sama di group sebuah penerbitan terdahulu.Saya merasakan dah banyak perkembangan dan perubahan.Tentunya ini semua adalah fakta.Sejarah kehidupan.Biarpun kita semua melalui kehidupan tersendiri, namun tidak lari daripada lingkungan kemurahanNya juga.Marilah sama-sama teruskan perjuangan dalam alliran tinta.Moga bertambah redha ilahi.Ameen.

naurah musyahidah said...

Assalamualaikum...
Saya merupakan salah seorang penulis yg buat pertama kalinya diselia oleh Encik Zakaria Sungib. Kalau encik masih ingat, novel remaja Bukan Sekadar Kawan :) Banyak perkara baru yg saya pelajari sebenarnya ketika berusaha menghasilkan karya pertama saya. Syukran 'alal kull :)
-Rohaida Abd Rahim