BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, October 10, 2008

Menadah Resipi Dari Sifu (1)

Susah kita jumpa penjual makanan yang mahu berkongsi resipi setiap masakannya dengan orang lain. Ada, tetapi tidak ramai. Maklumlah, ia melibatkan soal periuk nasi. Begitulah umumnya dalam bisnes. Sebab itu ada rakan yang sedikit skeptik apabila berkunjung ke universiti maya PTS (universitipts.com), kerana Sifu PTS Puan Ainon Mohd nampak sangat telus dalam memberikan tip dan maklumat tentang selok-belok dunia penerbitan berdasarkan pengalaman PTS.

Saya sendiri tertanya-tanya juga rahsia di sebalik sikap pemurah Puan Ainon dalam mendedahkan maklumat dalaman PTS yang sudah tentu boleh diambil manfaat oleh penerbit-penerbit lain sebagai senjata untuk menyaingi PTS sendiri.

Persoalan ini terjawab jua akhirnya apabila Puan Ainon sendiri muncul di Galeri Ilmu untuk berkongsi tip-tip mengenai potensi penerbitan buku pada 11 Jun lalu. Beliau dengan senang hati memenuhi jemputan Pengarah Urusan kami Tuan Haji Abu Hassan Morad untuk sesi wacana ilmu ini.

Sikap Kooperatif
Seperti juga dalam tulisan-tulisannya di universitipts.com, Puan Ainon sangat telus dalam perkongsian ilmu dan pengalamannya selama hampir dua jam itu.

Malah di awal ceramah atau sembang ilmunya lagi, beliau sudah menyampaikan mesej yang jelas:

“Mengapa saya berada di sini hari ini? Bukankah saya pesaing Galeri Ilmu? Ye ke tidak? Orang akan hairan kenapa saya bersikap sangat kooperatif, sangat mahu membantu penerbit buku Melayu.

“Pertama-tama, bersaing itu bukan ajaran Nabi Muhammad. Kita tidak boleh bersaing. Kita mesti tolong-menolong, bantu-membantu. Kita mesti membesar bersama-sama. Industri buku Melayu tidak boleh besar jikalau tidak banyak penerbit besar. Industri itu kalau hendak besar, mesti banyak penerbitnya besar. Itu sangat penting. Orang kaya tidak boleh kaya kalau jiran-jirannya miskin. PTS tidak boleh menjadi syarikat besar jikalau penerbit-penerbit Melayu lain tidak besar. Jadi kita mesti membesarkan penerbit-penerbit Melayu lain.”

Tidak hairanlah, ada penerbit-penerbit baru yang merupakan anak didik PTS. Beliau menyebut dua nama penerbitan yang merupakan ‘mentee’ PTS.

“Kita memang mentori mereka bukan dari segi editorial saja, malah dari segi bisnesnya pun. Kalau X (beliau menyebut nama sebuah penerbitan) ada masalah pemasaran, masalah jual buku, mereka akan telefon bahagian jualan dan pemasaran kita minta nasihat.”

“Pergilah berguru”
Dalam mukadimahnya itu juga, beliau awal-awal lagi sudah menyarankan agar bahagian jualan Galeri Ilmu pergi menemui Pengurus Jabatan Jualan dan Khidmat Pelanggan PTS untuk berguru dengan mereka mengenai strategi pemasaran.

“Tanyalah mereka, buku apa laku, buku apa tak laku dan sebagainya. Nanti kita akan beritahu macam mana nak tagih hutang dan macam-macam lagi pengalaman.”

Puan Ainon juga sarankan bahagian editorial GISB menimba ilmu dan pengalaman dari jabatan editorial PTS.

“Kita ambil sikap menjaga rakan-rakan yang masih belajar supaya dapat dikurangi kesilapannya.”

Lebih dari itu, beliau sarankan wakil GISB mengikuti rombongan PTS ke Jakarta untuk belajar selok-belok penerbitan buku khususnya dari Encik Fauzul Naim Ishak, dan menjalin perhubungan dengan rakan niaga di Indonesia melalui Encik Fauzul. Pengurus Kanan PTS ini bertanggungjawab mengembangkan dan menjaga hubungan bisnes antara PTS dengan semua penerbit Indonesia. Encik Fauzul selalu dijadikan reference oleh penerbit-penerbit di Indonesia yang hendak berurusan dengan rakan niaga di Malaysia.

Kaya Hikmah
Puan Ainon kaya dengan hikmah sebagai ahli perniagaan. Wataknya suka berterus-terang dan sekali-sekala nampak garang dengan kenyataannya.Ya, tidak banyak berubah daripada Puan Ainon yang saya kenali 20 tahun lalu sewaktu sekali-sekala bertemu beliau waktu tugasan (sebagai wartawan Bernama) di DBP. (Puan Ainon berkhidmat 15 tahun di DBP sebelum menubuhkan syarikat sendiri.)

Memang dalam penerbitan majalah, kami ada pengalaman lebih 10 tahun, tapi dalam penerbitan buku, kami adalah orang baru (new player). Jadi, tentulah kami sangat berbesar hati jika dapat belajar daripada syarikat besar seperti PTS.

Kami membawa wadah kosong dan Puan Ainon pula tidak lokek mengisinya. Beliau berikan ‘resipi’ yang telah diuji cuba oleh PTS tanpa nampak sikit pun dikurangkan ramuannya.

Berdasarkan pengalaman menerbitkan lebih seribu judul dalam tempoh lapan tahun, beliau bermurah hati untuk berkongsi segala maklumat “supaya kawan-kawan tak buat kesilapan.”

Apa yang beliau kongsikan dengan kami bukan teori atau retorik bisnes, tapi tip, maklumat dan nasihat dari pengalaman sebenar.

“PTS memang berusaha betul untuk tolong penerbit buku Melayu,” katanya.

No comments: