BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Monday, December 14, 2009

Bengkel Penulis Super

Tuan Fauzul Na’im Ishak adalah antara ‘coach’ penulisan yang paling berjaya di Malaysia. Sejak sembilan tahun lalu, beliau berjaya membimbing ramai penulis baru menerbitkan buku dalam pelbagai bidang. Beliau berpengalaman melatih lebih 1,000 orang pengarang seluruh Malaysia.

Di bawah bimbingan beliau, beberapa nama muncul sebagai penulis bestseller yang karya-karya mereka memberi impak yang besar kepada khalayak pembaca. Salah satu nama yang tidak asing lagi ialah Dr. Danial Zainal Abidin.

“Encik Fauzul banyak membantu saya mengubah suai karya saya dan hasilnya buku-buku tersebut menjadi bestseller sekarang,” kata Dr. Danial.

Melalui Akademi Penulis Sdn. Bhd. yang beliau kendalikan, Tuan Fauzul mengadakan Bengkel Penulis Super untuk melatih calon-calon penulis tentang kaedah mempersembahkan penulisan yang memenuhi kehendak pasaran dan industri.

Bengkel itu juga akan memberi tunjuk ajar tentang teknik terkini penulisan buku dan artikel, rahsia para penulis bestseller yang tidak pernah diceritakan di mana-mana seminar ataupun bengkel, malah menjamin setiap peserta akan dapat menghasilkan proposal penulisan buku pertama masing-masing.

Turut mengendalikan bengkel itu adalah Tuan Zamri Mohamad, jurulatih bengkel penulisan dan pengarang prolifik. Beliau banyak menghasilkan buku dalam bidang pembangunan diri dan cinta .

Bengkel Penulis Super akan diadakan pada 29 hingga 31 Januari 2010. Untuk maklumat lanjut, klik di sini.

Saya pernah mengikuti siri bengkel yang dikendalikan oleh Tuan Fauzul. Bagi calon-calon penulis yang mahu serius menulis atau mahu menjadikan bidang penulisan sebagai kerjaya, bengkel Tuan Fauzul ini adalah salah satu bengkel yang mesti dihadiri.

Thursday, December 10, 2009

Kemahiran Menulis & Kemahiran Bercerita

Penulis yang mahu bergiat aktif dalam penulisan karya fiksyen (novel, cerpen, skrip drama/filem/teater) perlu mempunyai kemahiran bercerita. Selain mahir dalam teknik-teknik menulis, dia mesti mahir dalam teknik bercerita. Apabila kedua-dua kemahiran ini dapat dikuasai, dia dapat menjadi penulis karya fiksyen yang baik.

Setiap kemahiran dapat dikuasai dengan cara belajar dan praktik. Bagi penulis yang bakatnya besar, dia lebih mudah belajar dan menguasai kemahiran menulis serta kemahiran bercerita. Penulis berbakat besar ini adalah ‘fast learner’ dalam bidang penulisan. Dia mampu belajar tanpa diajar. Kadang-kadang dia hanya belajar secara memerhati dan mempraktik. Dia banyak membaca karya orang lain, lalu dia sudah menemui kunci-kunci untuk melahirkan karya yang baik. Apabila mendapat pendedahan dan bimbingan yang lebih baik, lebih cepat bakatnya berkembang.

Bagi penulis yang bakatnya sederhana tetapi ada minat dan kesungguhan untuk belajar, dia juga akan dapat menguasai kemahiran-kemahiran itu, dengan izin Allah. Dia perlu lebih bersungguh-sungguh belajar dan praktik – membaca buku-buku tentang teknik penulisan dan teknik bercerita, menghadiri bengkel dan kursus, kemudian terus menulis.

Saya menerima banyak proposal novel daripada penulis yang hanya ada kemahiran menulis tetapi kurang menguasai kemahiran bercerita. Penulis ini mengolah ceritanya dengan agak baik dan kemas, tetapi kurang pandai mengembangkan cerita menjadi lebih menarik. Dia kurang tahu tentang struktur cerita (story structure), tentang plot dan subplot, tentang pembinaan watak, tentang unsur-unsur penguat cerita.

Ada juga penulis yang ada kemahiran bercerita tetapi kurang menguasai kemahiran menulis – mampu mengetengahkan jalan cerita yang agak baik tetapi dengan gaya olahan yang lemah. Dia kurang tahu bagaimana membina paragraf, bagaimana membina ayat dialog yang betul, bagaimana memecahkan bab-bab dalam novel, bagaimana membahagikan babak-babak untuk skrip drama/filem, dan lain-lain teknik penulisan.

Namun, ada penulis yang menguasai kedua-dua kemahiran – kemahiran menulis dan kemahiran bercerita. Beberapa orang daripadanya memang berbakat besar, manakala yang lain mempunyai bakat sederhana tetapi ada minat dan kesungguhan, membolehkan mereka menyerlah sebagai penulis novel yang baik. Sesetengahnya menyerlah selepas diberi bimbingan melalui bengkel dan perbincangan.

Apabila dua kemahiran ini ditambah pula dengan kemahiran dalam teknik menyampaikan dakwah dan nilai didikan Islam secara berhikmah (sesuai dengan medium yang digunakan), maka seseorang penulis itu akan mampu menyerlah sebagai penulis karya fiksyen Islami – novel Islami, cerpen Islami, skrip drama Islami, filem Islami dan teater Islami.


Thursday, December 3, 2009

Novel Triler Islami?

Ada yang bertanya tentang novel triler Islami. Seorang bekas peserta bengkel saya baru-baru ini juga terangsang untuk menulis novel triler selepas mengikuti bengkel penulisan yang dikendalikan oleh Ramlee Awang Murshid (RAM), penulis tanah air yang paling banyak melahirkan novel triler.

Novel triler Islami? Mengapa tidak. Novel thriler juga boleh diberi sentuhan Islam.

Nama ‘thriller’ itu timbul daripada perkataan ‘thrill’ – sesuatu yang merangsang naluri ingin tahu, menimbulkan rasa teruja, kesan kejutan dan suspens. Untuk lebih jelas apa yang dimaksudkan dengan karya fiksyen bercorak triler, saya turunkan definisi yang diberi oleh Steve Bennett dalam www.findmeanauthor.com:

“Here we take a brief look at what exactly is the definition of the thriller genre? There's no narrow definition. According to International Thriller Writers, a thriller is characterized by "the sudden rush of emotions, the excitement, sense of suspense, apprehension, and exhilaration that drive the narrative, sometimes subtly with peaks and lulls, sometimes at a constant, breakneck pace." In short, a thriller thrills. How? Mostly through skillful plotting.

“Thriller is a genre of fiction in which tough, resourceful, but essentially ordinary heroes are pitted against villains determined to destroy them, their country, or the stability of the free world. Part of the allure of thrillers comes from not only what their stories are about, but also how they are told. High stakes, non-stop action, plot twists that both surprise and excite, settings that are both vibrant and exotic, and an intense pace that never lets up until the adrenalin packed climax.”

Bagi novelis dan calon novelis yang mahu melahirkan karya-karya Islami, genre triler adalah salah satu genre yang boleh dicuba. Karya-karya RAM patut dibaca sebagai bahan rujukan dan inspirasi.

Saya kebetulan bersua dengan Tuan Ramlee baru-baru ini apabila menemani rakan penulis yang muncul dalam slot resensi buku di RTM. Tuan Ramlee berkata, dia pada mulanya hanya menulis skrip-skrip drama radio sewaktu bertugas di RTM Sabah (beliau berasal dari Sabah). Apabila berpindah ke RTM Kuala Lumpur, beliau mula berminat untuk menulis novel. Novel yang beliau tulis sama coraknya seperti skrip-skrip drama radio beliau. Beliau sendiri tidak tahu pada awalnya bahawa karya-karya itu disebut-sebut sebagai fiksyen triler hinggalah setelah novelnya mula diterima dan penerbit mewar-warkan nama beliau sebagai penulis novel triler.

Beliau memang cenderung menghasilkan novel begitu. Hingga sekarang beliau sudah menghasilkan 18 buah novel.

Selaku editor, saya menunggu-nunggu manuskrip novel triler Islami sampai ke meja saya. Saya ada menulis tentang kriteria novel Islami dalam entri sebelum ini. Kriteria yang sama boleh diguna pakai dalam menulis novel triler.