BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, July 28, 2010

Jawatan Kosong

Sesuai dengan perkembangan pesat dalam pengeluaran buku di Galeri Ilmu Sdn. Bhd., (GISB) GISB mempelawa calon-calon yang berkelayakan untuk mengisi jawatan sebagai Editor Buku Agama.

Kelayakan
1. Memiliki minimum kelayakan Diploma dalam bidang yang berkaitan.
2. Mempunyai minat dan komitmen yang tinggi terhadap tugas.
3. Memiliki pengalaman dan ilmu bantu dalam bidang yang berkaitan.
4. Memiliki syahsiah Islamiah yang jelas dan komited dengan hasrat untuk membantu mendidik masyarakat melalui saluran media.

Tugasan

1. Menguruskan buku bermula daripada suntingan, susun atur sehingga masuk stor.
2. Berurusan dengan penyunting, pelukis atau pakar rujuk yang berkaitan.
3. Membuat semakan pruf (layout akhir) bahan dan rekabentuk kulit buku.
4. Menghubungi penulis mengenai hal-hal berkaitan dengan buku yang dikendalikan sekiranya terdapat masalah.
5. Menghadiri /membantu bengkel penulisan dan yang berkaitan yang dikendalikan oleh syarikat.
6. Memberi maklum balas kepada penulis berkaitan proposal dan manuskrip yang diterima.

CARA MEMOHON
1. Surat
Sila tulis jawatan yang dipohon di sebelah kiri atas sampul surat anda. Semua permohonan boleh dihantar kepada alamat:

PENGARAH JABATAN PENTADBIRAN
Galeri Ilmu Sdn Bhd
No 44, Astana Karya, Jalan Pekaka 8/3
Seksyen 8, Kota Damansara
47810 Petaling Jaya,
Selangor

2. E-mel

Nyatakan jawatan yang dipohon di tajuk e-mel anda. E-mel permohonan ke alamat info@galeiilmu.com.my.

Semua permohonan perlu disertakan dengan:
Surat permohonan
Resume pemohon
Gambar terkini pemohon.

Tarikh Tutup Permohonan: 10 Ogos 2010

Wednesday, July 7, 2010

Gate Keeper

Salah satu daripada tugas editor perolehan adalah memberikan maklum balas kepada proposal atau manuskrip yang sampai di mejanya. Setiap minggu ada proposal dan manuskrip baru yang menjengah peti masuk e-melnya atau singgah di mejanya. Semua itu perlu dinilai dan diberikan maklum balas.

Ketika saya mula-mula duduk di meja editor perolehan Seksyen Novel, belum begitu banyak proposal dan manuskrip yang sampai. Saya dapat menanganinya satu persatu. Tetapi sekarang saya sudah tidak menang tangan. Untuk membaca proposal pun kadang-kadang sudah kesuntukan waktu. Mujurlah rakan editor Puan Suraiya Pauzi membantu menilai proposal dan manuskrip. Beliau mencatatkan ulasannya. Dari situ, saya memberikan maklum balas kepada penulis dengan membuat tambahan di sana sini berdasarkan penilaian saya sendiri.

Itu pun, masih bersusun proposal dan manuskrip yang belum sempat dilayan. Saya semakin merasakan perlunya seorang editor menggalas tugas ini, manakala saya memantaunya saja.

Dalam memberikan maklum balas ke atas proposal dan manuskrip yang diterima, editor harus bersikap adil dan saksama, dan dalam masa yang sama tidak mematahkan semangat penulis. Tetapi, kadang-kadang itulah yang berlaku - ada penulis yang patah semangat apabila proposalnya diulas. Mungkin ini sangkaan saya saja, tetapi mungkin juga sangkaan itu betul. Saya anggap penulis itu patah semangat apabila dia tidak membalas lagi e-mel saya selepas saya memberikan maklum balas.

Saya tertanya-tanya, adakah penulis sudah kongsikan karyanya dengan pembaca kedua sebelum dilayangkan kepada editor. Ramai penulis hebat yang mengamalkan kebiasaan ini, iaitu memberikan karya mereka kepada pembaca kedua yang mampu berterus-terang memberikan ulasan. Daripada ulasan itu, penulis dapat melihat kekuatan dan kelemahan karyanya serta dapat membaikinya.

Cara ini membantu penulis memperkemas karyanya hingga dia sendiri berpuas hati.

Penulis perlu berpuas hati dahulu dengan karyanya sebelum menyerahkannya kepada editor, melainkan dia bersedia mendengar ulasan-ulasan daripada editor yang mungkin menggugat ketahanan jiwanya.

Apabila penulis tidak cuba memperkemas karyanya hingga dia sendiri berpuas hati, lalu menyerahkannya kepada editor dalam keadaan dia tahu karyanya itu masih banyak kelemahan, bermakna dia membuka ruang kepada editor untuk membuat ulasan yang mungkin dia tidak sanggup dengar atau terima. Hal ini yang kadang-kadang membuatkan penulis patah semangat, melainkan dia memang bersedia untuk menerima apa pun ulasan editor dan meletakkan dirinya sebagai pelajar yang bersedia ditegur.

Mungkin juga patah semangat itu disebabkan cara editor yang salah dalam memberikan maklum balas atau ulasan kepada karya penulis.

Sebaik-baiknya, editor menyenaraikan dahulu kekuatan karya, sebelum menyenaraikan kelemahannya. Tetapi mungkin disebabkan kekuatan karya itu hanya disebut sedikit saja, manakala kelemahan disenaraikan satu persatu, penulis merasakan seolah-olah karyanya memang sangat lemah di mata editor dan tidak ada potensi untuk diterbitkan oleh syarikat penerbitan berkenaan.

Amalan biasa saya, dalam menilai proposal atau manuskrip, saya melihat nilai isinya dahulu sebelum melihat gaya penyampaian. Saya mencari-cari kekuatan nilai tarbiah atau mesej Islamnya. Apabila nilai tarbiahnya bagus dan kuat, ia perlu diperkuat oleh gaya penyampaian yang kemas dan teknik bercerita yang betul. Kedua-dua aspek perlu seimbang.

Bagi penulis yang gaya penyampaiannya baik dan kemas, dia mungkin sukar menerima ulasan yang dikaitkan dengan nilai tarbiah yang kurang menyerlah. Penulisannya kemas, tetapi mungkin suntikan nilai tarbiahnya kurang. Maka kepada penulis ini, saya akan menyarankan supaya dia menguatkan atau menyuntik lebih nilai tarbiah dalam aliran cerita novelnya.

Saya dan rakan-rakan editor di Galeri Ilmu komited melahirkan karya-karya yang mempunyai nilai tarbiah atau nilai didikan Islam yang jelas dan baik. Bagi kami, cerita yang bagus, gaya penyampaian yang kemas dan teknik penceritaan yang menarik, adalah 'alat' untuk menyampaikan nilai tarbiah atau nilai didikan. Tanpa nilai tarbiah, sesebuah karya itu kekurangan nilai isi (content value), kerana nilai tarbiah adalah 'tujuan' sebenar sesebuah karya Islami itu diterbitkan.

Sebagai editor yang peranannya adalah juga sebagai 'gate keeper', karya-karya yang kekurangan nilai isi ini akan ditahan di 'pintu pagar'. Hanya apabila penulisnya bersedia untuk memantapkan nilai isinya, barulah karya itu akan dilepaskan masuk.

Ada juga karya yang nilai isinya bagus tetapi gaya penyampaiannya kurang menyerlah. Karya ini juga ditahan di 'pintu pagar' dan editor akan menyenaraikan cadangan-cadangan kepada penulis untuk memperkemas gaya penyampaiannya
.

Tuesday, July 6, 2010

Testimoni Bengkel Hilal Asyraf

Bagi anda di luar sana yang berminat untuk mengikuti Bengkel Penulisan Fiksyen Islami Bersama Hilal Asyraf tetapi masih teragak-agak untuk menempah tempat, saya turunkan di sini beberapa testimoni daripada beberapa orang calon novelis/cerpenis yang mengikuti bengkel Sdr Hilal sebelum ini (12 Jun dan 26-27 Jun):
  • "Berbaloi! Anda tidak akan jumpa tip penulis Islami di bengkel yang lain, seumpama tip yang diberikan oleh Akhi Hilal Asyraf. Saya tidak menyesal datang ke bengkel ini."
  • "Alhamdulillah, ada rangsangan untuk menulis. Dahulu rasa menulis satu fantasi tapi sekarang satu realiti. Rasanya berpijak di bumi nyata."
  • "Saudara Hilal banyak membantu dalam memberi kefahaman tentang siapa itu 'penulis Islami'. Garis panduan yang jelas dan boleh dijadikan pegangan."
  • "Memang terbaik! Moga Allah memberi hikmah dan dijadikan ibadah."
  • "Memuaskan dan santai."
  • "Tahniah. Moga-moga akan diteruskan usaha sedemikian. Saya berdoa agar Allah redha."
  • "Mudah difahami, realistik dan membuka minda!"
  • "Penuh manfaat. Perkongsian yang bagus."
Testimoni ini sedikit sebanyak menggambarkan keberkesanan bengkel.

Bagaimanapun, saya merasakan masih ada satu dua perkara yang perlu diperkemaskan lagi dalam bengkel terakhir nanti. Dan Sdr Hilal menyuarakan perkara yang sama. Saya harap, bengkel di Alor Setar itu akan mengekalkan momentum dan kekuatan dua bengkel sebelumnya, dan membaiki sedikit lompong dalam bengkel-bengkel terdahulu berdasarkan maklum balas daripada peserta sebelum ini.

Kami mensasarkan sekurang-kurangnya 20 penyertaan. Alhamdulillah, Yayasan PAKSI Kedah melalui Cikgu Sukarno A.Hamid, memberi sokongan. Beberapa orang bekas peserta bengkel penulisan GISB-Yayasan PAKSI juga akan turut hadir, selain peserta daripada kalangan warga MATRI, sekolah lama Sdr Hilal di Perlis.

Mudah-mudahan Allah lorongkan yang terbaik, dan semoga Allah berkati perjalanan bengkel serta Allah redha kepada semua yang terlibat.

Friday, July 2, 2010

Memasukkan Kerja Menulis Dalam Jadual

Ada penulis yang menjadi penulis tanpa dirancang-rancang. Timbul keinginan yang kuat untuk menulis disebabkan satu-satu insiden dalam hidup. Insiden itu memberi rangsangan untuk menulis atau menimbulkan minat yang mendalam untuk menulis.

Ada yang memang sedari awal membina diri sebagai penulis, iaitu dengan mula menulis dan terus menulis.

Apa pun keadaannya, saya perhatikan mereka yang giat menulis adalah mereka yang mempunyai disiplin menulis yang sudah sebati dengan dirinya. Mereka memaksa diri untuk menulis kerana menganggap kerja menulis itu sebahagian daripada rutin harian. Kerja menulis sudah menjadi agenda besar dalam hidup sehari-hari. Ia ada dalam jadual harian. Bererti, ia ada juga di dalam kepala, dijadikan bahan berfikir.

Kerja menulis sebahagian besarnya melibatkan proses mematangkan bahan tulisan di dalam kepala. Apabila sudah diproses dan 'masak' di dalam kepala, baru ia dituliskan. Sekiranya tidak dijadikan bahan berfikir, tidak dibiarkan bermain-main di dalam kepala, mungkin tulisan yang dihasilkan kurang mantap, kerana ia baru dijadikan bahan berfikir ketika menulis. Melainkan bagi penulis yang fikirannya sudah sedia tersusun, yang mampu menulis secara spontan.

Apabila kerja menulis sudah dijadualkan, atau dengan kata lain ada jadual yang dikhususkan untuk menulis, seseorang penulis akan terbantu untuk menulis secara konsisten. Satu kelebihan bagi penulis yang mempunyai blog dan mengemaskini blognya secara berjadual - misalnya, seminggu sekali - dia akan memaksa diri untuk menulis walaupun jadual hariannya sudah padat. Kerana, kerja menulis itu sendiri ada di dalam jadual hariannya.


Thursday, July 1, 2010

Bengkel Terakhir Hilal Asyraf

Setelah mengendalikan dua bengkel penulisan fiksyen Islami sebelum ini, novelis muda Hilal Asyraf akan berkongsi ilmu dan tip-tip berharga dalam penulisan fiksyen, khususnya penulisan novel Islami, dalam bengkel ketiga dan terakhir sepanjang percutian musim panasnya di Malaysia.

Bengkel itu akan diadakan di Alor Setar, khusus untuk novelis dan calon novelis di utara tanah air. Tarikhnya 22 & 23 Julai (Sabtu & Ahad). Tidak kurang daripada 20 orang dijangka menghadiri bengkel ini.

Dalam bengkel sebelum ini, Sdr Hilal Asyraf berkongsi perkara-perkara yang saya yakin tidak akan diperolehi dalam mana-mana bengkel penulisan novel yang lain. Modul bengkel ini adalah asli daripada beliau, berdasarkan pengalaman menulis beberapa buah novel. Dalam usia 21 tahun, beliau sudah mempunyai lima buah novel Islami yang diterbitkan termasuk VT, Sinergi dan Remaja Mulia. Ada ura-ura untuk mengadaptasi novel-novelnya kepada drama bersiri.

Peserta akan diajak berkongsi rahsia bagaimana novel-novel beliau mampu 'menyihir' pembaca (meminjam istilah Kang Abik). Beliau akan mendedahkan kaedah yang mudah dan jelas bagaimana merangka jalan cerita yang sentiasa mengundang rasa ingin tahu pembaca, di samping memasukkan nilai tarbiah secara bertahap-tahap, dari bab ke bab, dan bagaimana memanfaatkan 'kertas watak' untuk menggerakkan watak-watak yang hidup serta berkesan.

Bengkel ini mempunyai slot latihan, yang memberi peluang kepada peserta melatih kemahiran mengarang. Dan ada satu slot yang tidak kurang menarik dalam bengkel ini. Slot yang hanya mampu diisi dengan baik oleh pengendali blog yang blognya dikunjungi ribuan pelawat setiap hari.

Slot itu adalah tentang pengurusan blog. Sdr Hilal akan berkongsi tip-tip mengurus blog dengan berkesan dan 'mesra pelawat', berdasarkan pengalaman beliau mengendalikan laman blog langitilahi.com yang kini dikunjungi lebih 3,000 hingga 4,000 pelawat sehari dan pernah mencapai hit 10,000 sehari. Tip-tip yang beliau berikan dalam pengurusan blog ini juga mudah dan jelas, berserta contoh-contoh paparan laman blog sebenar.

Apa hubung kait blog dengan novel atau cerpen? Juga akan dikongsi oleh Sdr Hilal.

Saya menjangkakan bengkel dua hari yang diadakan pada 26 & 27 Jun lepas lebih longgar daripada bengkel ekspres sehari pada 12 Jun. Rupanya jangkaan saya silap. Bengkel dua hari itu lebih padat dan lebih mantap. Insya-Allah bengkel seterusnya akan semakin mantap dan semakin berkesan.

Selepas bengkel terakhir di Alor Setar, mungkin dua atau tiga tahun lagi baru Sdr Hilal Asyraf akan berpeluang mengendalikan bengkel seumpamanya di Malaysia. Ini peluang bagi calon-calon novelis untuk mendapatkan panduan yang jelas dan praktikal dalam menghasilkan novel Islami, atau saya lebih suka menamakannya 'novel tarbiah'.

Sdr Hilal, seperti juga Sdr Pahrol Mohamad Juoi, komited untuk membantu melahirkan penulis dan novelis berjiwa da'i dan murabbi. Sdr Hilal Asyraf berpegang pada prinsip yang jelas dalam menghasilkan karya fiksyen Islami yang mampu menjernihkan dan menyuburkan jiwa.

Nota: Sekurang-kurangnya tiga novel terbaru Hilal Asyraf akan muncul di gerai Galeri Ilmu pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 di PWTC pada Mac tahun hadapan, insya-Allah. Ini belum termasuk kumpulan cerpen yang manuskripnya sudah berada di tangan editor. Bagaimana beliau dapat menulis novel-novel dan cerpen-cerpen tarbiah yang sedap dibaca dalam tempoh yang singkat? 'Kunci'nya mudah saja dan akan turut beliau kongsikan dengan peserta bengkel beliau.