BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, July 1, 2010

Bengkel Terakhir Hilal Asyraf

Setelah mengendalikan dua bengkel penulisan fiksyen Islami sebelum ini, novelis muda Hilal Asyraf akan berkongsi ilmu dan tip-tip berharga dalam penulisan fiksyen, khususnya penulisan novel Islami, dalam bengkel ketiga dan terakhir sepanjang percutian musim panasnya di Malaysia.

Bengkel itu akan diadakan di Alor Setar, khusus untuk novelis dan calon novelis di utara tanah air. Tarikhnya 22 & 23 Julai (Sabtu & Ahad). Tidak kurang daripada 20 orang dijangka menghadiri bengkel ini.

Dalam bengkel sebelum ini, Sdr Hilal Asyraf berkongsi perkara-perkara yang saya yakin tidak akan diperolehi dalam mana-mana bengkel penulisan novel yang lain. Modul bengkel ini adalah asli daripada beliau, berdasarkan pengalaman menulis beberapa buah novel. Dalam usia 21 tahun, beliau sudah mempunyai lima buah novel Islami yang diterbitkan termasuk VT, Sinergi dan Remaja Mulia. Ada ura-ura untuk mengadaptasi novel-novelnya kepada drama bersiri.

Peserta akan diajak berkongsi rahsia bagaimana novel-novel beliau mampu 'menyihir' pembaca (meminjam istilah Kang Abik). Beliau akan mendedahkan kaedah yang mudah dan jelas bagaimana merangka jalan cerita yang sentiasa mengundang rasa ingin tahu pembaca, di samping memasukkan nilai tarbiah secara bertahap-tahap, dari bab ke bab, dan bagaimana memanfaatkan 'kertas watak' untuk menggerakkan watak-watak yang hidup serta berkesan.

Bengkel ini mempunyai slot latihan, yang memberi peluang kepada peserta melatih kemahiran mengarang. Dan ada satu slot yang tidak kurang menarik dalam bengkel ini. Slot yang hanya mampu diisi dengan baik oleh pengendali blog yang blognya dikunjungi ribuan pelawat setiap hari.

Slot itu adalah tentang pengurusan blog. Sdr Hilal akan berkongsi tip-tip mengurus blog dengan berkesan dan 'mesra pelawat', berdasarkan pengalaman beliau mengendalikan laman blog langitilahi.com yang kini dikunjungi lebih 3,000 hingga 4,000 pelawat sehari dan pernah mencapai hit 10,000 sehari. Tip-tip yang beliau berikan dalam pengurusan blog ini juga mudah dan jelas, berserta contoh-contoh paparan laman blog sebenar.

Apa hubung kait blog dengan novel atau cerpen? Juga akan dikongsi oleh Sdr Hilal.

Saya menjangkakan bengkel dua hari yang diadakan pada 26 & 27 Jun lepas lebih longgar daripada bengkel ekspres sehari pada 12 Jun. Rupanya jangkaan saya silap. Bengkel dua hari itu lebih padat dan lebih mantap. Insya-Allah bengkel seterusnya akan semakin mantap dan semakin berkesan.

Selepas bengkel terakhir di Alor Setar, mungkin dua atau tiga tahun lagi baru Sdr Hilal Asyraf akan berpeluang mengendalikan bengkel seumpamanya di Malaysia. Ini peluang bagi calon-calon novelis untuk mendapatkan panduan yang jelas dan praktikal dalam menghasilkan novel Islami, atau saya lebih suka menamakannya 'novel tarbiah'.

Sdr Hilal, seperti juga Sdr Pahrol Mohamad Juoi, komited untuk membantu melahirkan penulis dan novelis berjiwa da'i dan murabbi. Sdr Hilal Asyraf berpegang pada prinsip yang jelas dalam menghasilkan karya fiksyen Islami yang mampu menjernihkan dan menyuburkan jiwa.

Nota: Sekurang-kurangnya tiga novel terbaru Hilal Asyraf akan muncul di gerai Galeri Ilmu pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 di PWTC pada Mac tahun hadapan, insya-Allah. Ini belum termasuk kumpulan cerpen yang manuskripnya sudah berada di tangan editor. Bagaimana beliau dapat menulis novel-novel dan cerpen-cerpen tarbiah yang sedap dibaca dalam tempoh yang singkat? 'Kunci'nya mudah saja dan akan turut beliau kongsikan dengan peserta bengkel beliau.


No comments: