BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, August 26, 2009

Perkongsian Dengan Rakan Editor

Beberapa orang rakan editor memberi respons kepada iklan di blog ini dan blog Jabatan Buku GISB tentang keperluan kepada tenaga penyunting sambilan untuk membantu menyunting buku dan novel. Di kalangan mereka yang memberi respons itu, sepuluh orang hadir dalam majlis taklimat di GISB pada pagi Sabtu lepas (1 Ramadan). Mereka ialah rakan-rakan editor dari beberapa organisasi, pensyarah IPTA dan penulis GISB sendiri yang mahu menimba pengalaman dalam penyuntingan.

Majlis berlangsung dalam suasana wujudnya perkongsian ilmu.

Dalam taklimat dua jam itu, saya menerangkan serba sedikit tentang dasar penerbitan GISB dan keperluan kepada tenaga penyunting dalam menghasilkan buku-buku sebagai wadah Islam yang berkualiti dan berkesan. Berkualiti dalam konteks menjadi wadah Islam yang terbaik isinya, terbaik gaya penyampaiannya, terbaik penggunaan bahasanya dan terbaik penampilannya (pakej kulit dan rupa bentuknya).

Manakala sebagai wadah Islam yang berkesan, buku itu dapat berkomunikasi (communicate) dengan jelas, mudah dan mampu menyampaikan maksud atau isi.

Ketika menerangkan aspek bahasa dalam tulisan, saya membuka pintu perbincangan. Maka ramai yang memberi maklum balas dan berkongsi ilmu. Antara yang kami bincangkan adalah ejaan istilah-istilah serapan dari bahasa Arab. Misalnya, nama surah al-Quran. Walaupun saya lebih cenderung kepada ejaan mengikut bunyi atau fonetik seperti asy-Syams, asy-Syu’ara dan an-Naml, beberapa rakan editor mengutarakan pilihan kaedah transliterasi mengikut aksara yang diguna pakai di dalam buku ilmiah (al-Syams, al-Syu’ara, al-Naml).

Dalam taklimat itu juga, saya memaklumkan tentang khidmat runding yang boleh diberikan oleh penyunting kepada penulis apabila perlu, seperti mencadangkan kepada penulis agar membaiki atau menambah isi. Juga tentang kadar bayaran kerja menyunting, kerangka masa menyunting sesebuah buku dan perkara-perkara lain yang berbangkit. Dengan bilangan manuskrip yang semakin banyak diterima di Jabatan Buku GISB, kerjasama daripada rakan editor di luar sana memang dialu-alukan.

Wednesday, August 5, 2009

Memahami Sensitiviti Pembaca

Apabila menulis, satu perkara yang tidak boleh kita abaikan adalah tanggapan pelbagai khalayak pembaca. Walaupun sekadar menulis karya fiksyen (cerpen, novel), kita harus memikirkan sensitiviti pembaca yang mempunyai bermacam-macam latar belakang. Bermacam-macam latar belakang itu menyebabkan setiap orang mempunyai berbagai-bagai tanggapan tentang satu-satu perkara.

Ini pengalaman terbaru saya yang terlepas pandang akan sensitiviti pembaca dalam isu gender. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan bersama.
Saya menghadiri Bengkel Penulisan Cerpen anjuran KEPEZI pada hujung minggu yang lepas (1-2 Ogos). Pembimbing bengkel ialah penulis tersohor Zaharah Nawawi, dibantu oleh penulis mapan Dr. Mawar Shafie. Setiap peserta diminta mengajukan cerpen karya sendiri untuk di’bedah’ dan diulas dalam bengkel. Saya mengajukan cerpen ‘Pengurus Itu Bernama Anis’ yang saya siapkan di saat akhir, selepas hampir kebah daripada demam.

Cerpen saya mengisahkan anak muda bernama Muhammad Anis yang memohon menjadi Pengurus Rumah di banglo milik sepasang suami isteri yang ada dua orang anak kecil yang sudah bersekolah. Si isteri memiliki perniagaan yang berdaya maju dan sangat-sangat jarang berada di rumah. Boleh dibilang dengan jari bilangan hari dia makan di rumah bersama suami dan anak-anak. Si suami yang berjawatan tinggi juga sentiasa sibuk dengan tugas tetapi masih dapat meluangkan sedikit waktu dengan anak-anak di rumah.

Di akhir cerita, Anis ditamatkan perkhidmatannya selepas tempoh percubaan tiga bulan. Bukan kerana gagal berkhidmat dengan baik, malah kerana berkhidmat dengan begitu cemerlang. Lantaran ‘terpukul’ dengan banyaknya tugas rumah tangga yang dibuat oleh Anis, yang sepatutnya diberi sentuhan peribadi oleh si isteri sendiri, si isteri ‘pulang’ ke rumah untuk menjadi surirumah sepenuh masa. Si suami meletak jawatan untuk menggantikan tempat isteri mengurus perniagaan, manakala si isteri hanya memberi komitmen sebagai penasihat syarikat. Anis pula, disebabkan khidmat cemerlangnya sebagai pengurus rumah, ditawarkan jawatan pengurus untuk cawangan baru syarikat.

Walaupun mendapat kredit daripada beberapa rakan peserta, cerpen saya ditafsirkan sebagai tidak adil dalam menangani isu gender. Malah saya menerima hukuman berat apabila dicop sebagai ‘male chauvinist’ oleh Bonda Zaharah.

“Apa pandangan pembaca kepada karya kita harus diambil kira. Jadilah penulis yang memartabatkan lelaki tanpa menjatuhkan wanita,” pesan Bonda Zaharah.

Saya akur. Saya silap kerana kurang memahami sensitiviti pembaca. Saya tidak memaksudkan untuk ‘menjatuhkan’ wanita melalui karya saya, tetapi sesetengah pembaca akan menafsir begitu. Isteri saya mungkin tidak, kerana kerjayanya sebagai tukang masak di dapur sebuah Maahad Tahfiz hanya menuntut waktu pagi hingga tengah hari di luar rumah. Oleh itu komennya positif saja kepada cerpen saya. Tetapi ramai wanita kerjaya lain yang mungkin tidak selesa dengan idea cerita saya. Saya harus mengubah sedikit jalan ceritanya.

Watak si isteri dalam cerpen itu mungkin tidak meninggalkan terus perniagaannya, tetapi berehat buat sementara waktu. Mungkin kebetulan dia sakit dan perlu berehat di rumah. Dia akan kembali aktif dalam perniagaan apabila sihat semula. Dia nampak hikmah kenapa Allah 'rehatkan' dia iaitu supaya dia dapat memberi sentuhan peribadi dengan baik kepada tugas asasinya di rumah.

Maka sekali lagi saya pesankan kepada diri saya sendiri dan rakan penulis, lihatlah siapa yang akan membaca tulisan kita. Setiap orang mempunyai sensitiviti yang menyebabkan dia mudah tersinggung. Dengan bersikap lebih berhati-hati dalam memahami dan menjaga sensitiviti itu, kita akan lebih berhemah dan berhikmah dalam menulis. Tulisan kita akan lebih mudah diterima.


Tuesday, August 4, 2009

Baca dan Baiki Berkali-kali

Tugas pengarang belum selesai sewaktu dia meletakkan noktah akhir pada karyanya. Dengan erti kata lain, pengarang tidak boleh cepat puas hati sebaik selesai menyempurnakan kerja menulis. Apabila cepat puas hati, itu petanda tidak baik, khususnya apabila mengarang fiksyen.

Zaharah Nawawi, penerima SEA Write Award 1996 dan penulis novel Malaysia paling tebal, Anugerah, menyarankan agar pengarang membaca semula karyanya berkali-kali. Baca semula dan dalam masa yang sama baiki di sana sini. Karya seperti cerpen atau novel lebih perlu diulang baca berkali-kali.

"Saya sendiri membaca semula sepuluh kali," beritahu Zaharah dalam Bengkel Penulisan Cerpen yang beliau kendalikan di DBP kelmarin (1-2 Ogos). Saya hadir dalam bengkel yang menarik anjuran Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) itu. Bonda Zaharah bergandingan dengan Dr. Mawar Shafie membimbing lebih 20 peserta.

Disiplin membaca karya yang baru disiapkan berkali-kali ini menjadi disiplin ramai sasterawan dan penulis. Untuk melihat karya sendiri dalam nafas yang lebih segar, ramai penulis melupakan dulu karya yang baru disiapkannya buat beberapa lama. Lalu timbul istilah 'memeram' karya.

Tinggalkan dulu karya itu untuk seminggu dua (walaupun ada yang memeramnya hanya untuk sejam dua, seperti yang dibuat oleh Faisal Tehrani), kemudian baru dicetak dan dibaca semula. Kita akan melihat sebuah karya yang ‘lain’. Tidak hairanlah, SN Dato’ A. Samad Said membaca manuskrip novelnya sampai 30 kali!

Baca dan baiki. Baca semula dan baiki lagi. Ini adalah proses pra menulis yang normal bagi penulis yang sangat mementingkan kualiti. Pada setiap kali ulang baca, akan ada kesilapan dan kelewahan yang dikesan. Yang silap, dibaiki. Yang lewah, dipadatkan.

Lebih baik penulis sendiri membaiki kesilapan dan mengatasi kelewahan pada karyanya, daripada membiarkannya terlepas ke tangan editor. Editor akan sangat berterima kasih kepada penulis yang bersungguh-sungguh 'menjernihkan' karyanya sebelum diserahkan kepada editor, sebagaimana dia bersungguh-sungguh menghasilkannya sebelum itu.

Surat Pilihan

Assalamualaikumwarahmatullah,
Tuan Zakaria,
Alhamdulillah, hari ini, setelah membayar harga sebuah pertemuan bersama Kang Abik, setelah 'ditarik' dan 'disentak' oleh Faisal Tehrani, setelah direndam dan dibasuh dengan ilmu-ilmu di sebuah tempat bernama 'galeri', kepudaran dunia penulisan saya itu hendak saya warnai kembali.

Amat besarlah hati ini sekiranya pihak Tuan sudi menumpahkan barang setitis ajaran agar dapat saya jadikan panduan. Sejujurnya, semakin banyak bengkel yang saya hadiri, serasa semakin kerdilnya diri ini! Saya tidak pernah tahu adakah saya memiliki sebarang bakat menulis yang wajar untuk diperkembangkan? Komen ikhlas dari Tuan amatlah saya hargai.

Saya difahamkan, menulis itu perlu ada nawaitu. Menulis juga perlu ada landasan (ilmu) dan perlu ada pengorbanan.

Baiklah, dalam novel ini (novel yang diajukan untuk dinilai – ZS), nawaitu saya adalah untuk menerapkan kepentingan berjihad bagi mempertahankan kemuliaan Islam. Jihad itu akan lebih berjaya jika ia dilaksanakan dalam keadaan beristiqamah dan memelihara perpaduan sesama ummah.

Keduanya, saya cuba membersihkan (beberapa isu yang tercapai dek kajian dan jari saya) tanggapan yang mencemarkan keagungan Islam sebagai agama yang menjadi obor penyuluh jalan. (Islam bukan disesuaikan mengikut zaman). Contohnya sikap skeptisme tentang ajaran Islam oleh pihak liberalis dan kepercayaan bahawa Islam itu agama pemunduran.

Ketiganya, saya cuba untuk memperlihatkan keindahan dunia Islam melalui 'percikan-percikan' sejarah tamadun Islam di Andalusia bagi pembaca yang bukan Islam serta yang tidak 'mahu menyentuh/ambil tahu' tentang kegemilangan tamadun ini. Dari penyelidikan saya, ramai pembaca novel hanya teruja untuk membaca segmen-segmen cinta manusiawi yang bertemakan Islam lebih daripada mencintai ajaran Islam itu sendiri. Oleh itu cinta yang ingin saya garap ini adalah cinta yang 'luar dari kebiasaan'.

Namun demikian, saya harus juga berpijak pada realiti bahawa pembaca remaja memang suka elemen cinta. Untuk meraikan keinginan mereka itu, saya tampilkan watak Leyla Zulaikha. Watak ini nanti mempunyai 'fungsinya' yang tersendiri. Tuan yang dihormati,

Pada pandangan peribadi saya, masalah umat Islam dari segi global dan glokal tidak banyak bezanya. Masjid yang kita bina sebagai tempat beribadat sebenarnya mempunyai peranan yang amat besar. Di situ ada kekuatan. Di situ juga boleh melahirkan perpecahan. Saya tidak bisa menulis senario di Malaysia kerana bimbang dikatakan saya menulis tentang si polan dan si polan. Terjunnya saya ke bidang kepengarangan ini adalah untuk merawati, bukan melukai! Untuk itu, latar belakang Granada saya lakarkan. Tentu Tuan maklum kini, mengapa saya bertanya kepada Tuan Haji Abu, adakah perlu seseorang itu menjejaki latar kepada novelnya?

Benar, sudahlah saya ini mentah metah, tidak pernah seumur hidup memijak tanah Andalusia, kini berangan-angan pula hendak mengangkat Granada sebagai latar novel saya!

Inilah antara punca mengapa sinopsis novel ini kelewatan. Saya hampir 'masak' dengan kajian sehingga pernah bersuara pada suami: "Jika abang letak saya kat tengah-tengah Albaicin, insya-Allah saya boleh balik sendiri!" Tetapi apabila memikirkan manuskrip novel ini bakal ditertawakan, saya hampir sahaja berputus asa! Jika Tuan Zakaria mahu saya menulis 'sesuatu' yang lain, saya terlebih dahulu memohon maaf kerana buat masa ini, inilah ilham yang Allah kurniakan kepada saya. Buat masa ini saya tidak mampu menulis yang lain. Kadang kala, ilham dan bahan kajian yang datang bagaikan disusun-susun urutannya.

Maka saya pasrah dengan keadaan dan mengetepikan segala rasa yang berkecamuk di dalam diri. Sudah sampai masa agaknya saya perlu keluar dari kepompong dan menge-melkan manuskrip ini untuk penilaian Tuan. Insya-Allah saya tidak akan berkecil hati jika manuskrip novel ini Tuan tolak. Saya memang masih 'hingusan' dan masih memerlukan bimbingan.

Dengan berbekalkan formula 'What if' yang Tuan ajarkan dan dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya persembahkan manuskrip novel Lantera Cinta Albaicin. Sekian, terima kasih.
MMR


Kempen 'Ramadhan Zero Defect'


Akan datang. Yang dirindu.


TULIS TEKS SETERUSNYA DI SINI