BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, February 27, 2009

Fungsi Bengkel dan Sesi Taklimat

Esok, Sabtu, saya akan mengendalikan satu bengkel, insya-Allah. Ini sesi bertemu calon-calon penulis kali keempat yang saya kendalikan sejak Jabatan Buku GISB ditubuhkan pada pertengahan 2008. Sesi-sesi yang lepas saya namakan sesi taklimat walaupun saya ada berkongsi tip dan panduan menulis novel, khususnya novel remaja Islami.
Dalam sesi kali ini, saya akan berkongsi elemen-elemen yang perlu ada dalam sebuah novel Islami. Dijangkakan tidak lebih 15 orang yang akan hadir (berdasarkan senarai nama yang mendaftar). Mereka termasuklah penulis yang sudah menghasilkan novel sulung masing-masing untuk diterbitkan oleh Galeri Ilmu.
Dalam sesi-sesi sebelum ini, penyertaan dihadkan kepada 10 orang. Saya mengambil kaedah Puan Ainon dalam melahirkan penulis. Sesi seperti ini adalah kaedah praktikal yang telah dibuat oleh Puan Ainon, maka atas saranan beliau juga, saya meredah liku yang sama. Bukan semua yang datang itu akan benar-benar menulis, tetapi sesi seperti ini memang berjaya melahirkan calon penulis yang akhirnya dapat menghasilkan manuskrip novel yang mencapai standard boleh terbit.

Ada di kalangan yang hadir itu memang sudah mempunyai idea cerita atau sinopsis. Mereka mengambil peluang daripada sesi seperti ini untuk mengajukan idea cerita itu untuk dinilai. Selepas dinilai, mereka berasa lebih yakin untuk mula menulis. Mereka menjadikan maklum balas dan cadangan-cadangan yang diberikan oleh editor sebagai pembakar semangat. Akhirnya, mereka berjaya menyempurnakan kerja menulis novel sulung mereka.

Sesi taklimat dan bengkel mencapai matlamatnya apabila berlaku hubungan saling percaya antara editor dan penulis. Penulis percaya kepada editor dalam mendapatkan bimbingan menulis. Editor percaya kepada kemampuan penulis untuk menulis.

Ikatan saling percaya ini perlu dikekalkan. Ikatan ini akan lebih kukuh apabila penulis dan editor berkongsi misi yang sama. Sama-sama mahu mendapat keredhaan Allah. Sama-sama mahu menjadikan kerja menulis dan kerja membimbing penulis sebagai ibadah.

Ilustrator Novel


Kanak-kanak dan anak remaja sukakan lukisan karikatur, animasi dan kartun. Apabila Galeri Ilmu mula serius menerbitkan novel-novel remaja Islami, trend ini turut diambil kira. Novel-novel remaja GISB dihias dengan lukisan watak, komik dan sketsa.

Jabatan Buku Galeri Ilmu mengalu-alukan ilustrator yang berbakat untuk memeriahkan novel-novel remaja dan novel awal remajanya dengan lukisan watak-watak yang keletah.

Sekarang novel-novel remaja Galeri Ilmu di bawah siri Novel Motivasi Remaja hanya mempunyai seorang pelukis sambilan untuk menyediakan lukisan bahagian dalam dan seorang pelukis tetap untuk lukisan kulit (siapa lagi kalau bukan Hj. Bad, pengarah rekabentuk yang popular dengan komik Godaan Syaitannya dalam Asuh). Abu Bakar Yatim, sahabat dari kumpulan Raihan, selaku juru warnanya.

Pelukis untuk novel remaja ini akan diberikan manuskrip novel untuk dibaca sepintas lalu. Editor akan memberikan senarai watak-watak dan perwatakan untuk diteliti serta dihayati. Editor juga akan memberikan sedikit garis panduan. Umumnya, watak-watak utama perempuan adalah bertudung. Tetapi ada juga watak yang tidak bertudung di awal cerita dan kemudian bertudung di hujung cerita.

Selepas itu, terserah kepada kreativiti pelukis.




Wednesday, February 25, 2009

Apabila Penulis Kehilangan Momentum

Memang sukar apabila kita kehilangan momentum. Bayangkan seorang pemain sukan yang sudah meninggalkan gelanggang buat beberapa minggu, malah beberapa bulan, lalu hendak turun semula ke gelanggang. Perlu ada beberapa sesi ‘warm up’, baru boleh mendapat momentum semula.

Menulis juga begitu. Apabila kita meninggalkan satu-satu projek – penulisan buku, novel atau skrip – buat beberapa minggu, kita akan berasa kehilangan momentum untuk menyambung kerja menulis.

Ini adalah pengalaman benar beberapa orang penulis yang menulis dengan Galeri Ilmu.

“Saya sebenarnya kehilangan momentum. Keletihan...tetapi mahu digagahkan juga untuk SIKIT sahaja lagi bahagian yang berbaki,” beritahu Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, penulis buku Aku Terima Nikahnya yang bakal muncul dengan buku terbarunya dalam siri Travelog Tarbiah.

Dua orang novelis Galeri Ilmu juga menghadapi cabaran yang sama. Seorang daripadanya kehilangan momentum selepas berehat kerana melahirkan cahayamata. Seorang lagi pelajar IPT, yang menghadapi cabaran dengan komitmen dalam program dakwah dan tuntutan pengajian.

Apakah ada cara untuk mengatasi cabaran kehilangan momentum ini?

Saya masih mencari-cari jawapannya.

Apabila penulis sudah meninggalkan satu-satu projek penulisan untuk sekian lama, susah untuk menyambung projek yang sama dalam ‘mood’ yang dulu. Semacam sudah kehabisan stamina untuk memfokus pada projek itu. Tetapi ini tidak bermakna pena sudah tumpul. Seperti Ustaz Hasrizal, beliau cuma keletihan untuk menyambung projek yang tergendala walaupun sudah hampir sampai ke penghujung, namun beliau masih tetap produktif menulis di blognya.

Buat masa ini, saya cuma terfikir satu cara yang boleh dicuba untuk mengatasi cabaran kehilangan momentum menulis: Lapangkan masa untuk membaca dan meneliti semula tulisan-tulisan yang sudah berjaya disiapkan. Jika ia berupa novel yang terdiri daripada 20 bab tetapi terhenti di bab ke-15 maka penulis perlu membaca semula dari bab awal hingga bab 15.

Baca dan hayati semula perjalanan cerita. Hayati semula watak-watak. Mungkin dengan ‘warm up’ cara ini, penulis akan memperolehi semula sentuhan yang dulu, sebelum meninggalkan projek itu. Mungkin akan timbul rangsangan baru untuk menyempurnakan kerja menulis novel itu.

Wallahu a’lam.

Thursday, February 19, 2009

Baik atau Tidak Baik?

Dalam satu pengajian tauhid, guru saya menyoal: “Adakah baik seorang suami yang mengikut sahaja kehendak isterinya?”

Beliau mengajak ahli jemaah pengajian berfikir.

Selalunya ungkapan “mengikut sahaja kehendak isteri” diucapkan dengan konotasi negatif. Maka suami yang ikut saja kemahuan isteri dicap sebagai lemah dan dayus.

Bolehkah kita menghukum semudah itu? Baik atau tidak seorang suami yang mengikut sahaja kehendak isteri? Guru saya menjawab soalannya sendiri dengan berkata, “Baik (suami yang mengikut sahaja kehendak isteri), jika isteri itu solehah, kehendaknya sentiasa mengikut syarak.”

Beliau memberi contoh ini ketika membicarakan hukum akal, satu daripada juzuk ilmu tauhid yang dibahaskan dalam kitab kuning. (Beliau mengajar kitab Sirajul Huda karangan Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi.)

Dalam kitab itu dijelaskan bahawa hukum akal tertakluk pada dalil. Ada dalil, barulah ada hukum.

Dalam contoh tadi, kita tidak boleh mengatakan suami yang mengikut sahaja kehendak isteri sebagai lemah dan dayus melainkan ada dalil bahawa isteri itu bukan isteri yang solehah dan selalu sahaja mempunyai kehendak yang tidak mengikut syarak. Jika sebaliknya, iaitu si isteri itu solehah dan kehendaknya sentiasa sesuai dengan syarak, maka kita tidak boleh mengatakan sikap suami itu tidak baik.

Oleh itu, walaupun umum beranggapan mengikut kehendaki isteri itu tidak baik, dalam kes ini ia adalah baik kerana kehendak isteri yang diikut itu adalah kehendak-kehendak yang sesuai dengan syarak. Misalnya, isteri menyarankan kepada suami agar dikurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Kehendak isteri ini sesuai dengan kehendak syarak maka wajarlah suami bersetuju.

“Sebelum menghukum, sabitkan dulu!” jelas guru saya. Dengan kata lain, jangan menghukumkan sesuatu itu tanpa disabitkan dengan keadaan dan suasana. Orang sekarang menyebutnya, “Jangan pukul borong!”

Dalam menulis, kita harus berpegang kepada hukum akal ini. Untuk menghukum sesuatu, kita patut menyelidiknya dahulu. Dengan menyelidik 'dalil', apa yang kita lihat sebagai baik pada awalnya, mungkin sebenarnya buruk. Sebaliknya, apa yang kita lihat sebagai buruk pada awalnya, mungkin sebenarnya baik.

Wednesday, February 18, 2009

Mengubah Rutin Untuk Menjadi Penulis

Sesiapa yang mahu produktif menulis, dia mesti bersedia mengubah rutin hidupnya. Dia mesti melapangkan satu waktu dalam sehari untuk menulis.

Bilakah waktu yang paling sesuai untuk menulis? Ramai penulis memberi jawapan yang berbeza kerana pengalaman setiap orang tidak sama. Apa yang sama adalah, setiap penulis mesti ada waktu yang khusus untuk menulis. Seorang suriumah yang sibuk dengan urusan anak-anak sekalipun masih boleh menulis apabila dia memperuntukkan waktu yang khusus untuk menulis.

Puan Mazneera Zainal, ibu kepada dua orang anak, berkongsi pengalaman beliau di dalam bukunya yang bakal diterbitkan oleh Galeri Ilmu, Tip Buat Wanita Bekerja Dari Rumah: “… anda mungkin terpaksa bekerja pada saat orang lain sedang nyenyak tidur kerana itulah masa paling aman yang membolehkan anda fokus terhadap kerja anda – seperti saya yang masih berjaga sehingga pukul 4.30 pagi menulis buku ini!”


Polly Williams, seorang penulis chicklit Barat, yang juga ibu kepada dua anak, ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara menulis dan mengurus keluarga. Penulis novel chicklit The Yummy Mummy yang mendapat sambutan hangat itu berkata, “Ada orang yang memang menulis buku dan ada orang yang hanya berfikir untuk menulis buku, dan saya satu ketika dulu salah seorang yang hanya berfikir untuk menulis novel. Perkara paling mudah dalam dunia ini adalah tidak menulis novel. Nasihat paling baik (kepada calon-calon penulis) adalah, duduk menulislah. Anda perlu berkorban untuk berbuat demikian.”

Ada beberapa rakan editor di sebuah syarikat penerbitan besar yang mengorbankan waktu makan tengah hari untuk duduk menulis novel. Novelis dan penulis Hj. Abu Hassan Morad selesa menulis selepas Subuh dan selepas Maghrib.
Ada penulis yang bangkit seawal jam 3 pagi untuk menulis. Sifu saya mempunyai rutin ini dan saya juga kadang-kadang akan berbuat demikian jika ada kerja penulisan yang tidak mungkin dibuat pada waktu pejabat. Tidur awal dan bangkit awal. Dr. Tuah Iskandar, Prof. Muhd Kamil Ibrahim (Travelog Haji) dan beberapa penulis lain, juga memanfaatkan waktu qiamullail ini untuk menulis. Sudah tentu, setelah menyempatkan dulu berqiamullail dan menulis dalam keadaan berwuduk.

Mengubah rutin harian memang perkara yang sukar dilakukan. Tetapi jika mahu menjadi penulis yang produktif, ini adalah perkara pertama yang perlu dilakukan. Kita harus m memaksa diri untuk berubah.

Waktu yang dulunya kita gunakan untuk berehat atau tidur, itulah sekarang menjadi waktu untuk menulis. Begitu juga waktu yang dulunya kita gunakan untuk menonton tv, bersembang kosong, makan di luar, window shopping, melayari internet tanpa halatuju dan sebagainya, semua itu adalah waktu yang boleh dikhususkan untuk menulis. Malah waktu menunggu (di klinik, di hentian bas, di stesen LRT dan sebagainya) juga adalah waktu yang boleh dilapangkan untuk menulis. Paling kurang, untuk mencatat idea.

Dengarkan nasihat sifu saya:
“Untuk mencapai apa yang kita inginkan, kita mesti melakukan perubahan. Kita perlu lebih berusaha, menambah ilmu dan berani melakukan langkah-langkah baru dalam kehidupan. Ringkasnya, kita perlu berubah. Tetapi perubahan itu ‘awkward’ - yakni canggung, kekok dan tidak selesa sifatnya.
“Oleh sebab itulah ramai yang tidak mahu berubah. Mereka ingin terus selesa di zon selesa walaupun terpaksa menerima nasib atau menanggung keadaan yang sama...

“Berlakulah apa yang sering diungkapkan: “Orang yang berjaya ialah orang yang memaksa dirinya berubah manakala orang yang gagal berubah hanya apabila terpaksa!””

Tuesday, February 17, 2009

Menulis Menggunakan Analogi

Satu daripada sekian banyak ilmu penulisan yang saya perolehi daripada sifu saya adalah kaedah menulis menggunakan analogi atau perumpamaan.

“Gunakan analogi untuk memberi kesan yang lebih,” katanya. Dia sendiri suka bermain dengan analogi dalam tulisan-tulisannya dari dulu sampai sekarang.

Dalam al-Quran, Allah menggunakan banyak analogi atau perumpamaan untuk memahamkan manusia tentang sesuatu. Allah mengumpamakan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Allah menggunakan analogi sarang labah-labah yang lemah tapaknya, pohon yang teguh akarnya, fatamorgana di tengah padang pasir, buih yang mengembang, dan banyak lagi.


Dalam surah Ibrahim ayat 24-25 misalnya, Allah mengumpamakan kalimah yang baik (kalimah toyyibah) seperti “pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya menjulang ke langit; pohon itu menghasilkan buah pada setiap musim dengan izin Tuhannya”.

Firman Allah bermaksud: “… Demikianlah Allah membuat perumpamaan-perumpamaan.” (Ar-Ra’d: 17)

Rasulullah SAW juga suka berbicara menggunakan analogi.

Perhatikan maksud hadis ini misalnya:
“Perumpamaan orang Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti buah urujah (limau); baunya harum dan rasanya manis (enak). Dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca al-Quran seperti buah kurma yang tidak berbau tetapi rasanya manis (enak). Dan perumpamaan orang munafik yang membaca al-Quran seperi minyak wangi; baunya harum tetapi rasanya pahit. Dan perumpamaan orang munafik yang tidak membaca al-Quran seperti buah hanzalah (buah yang pahit), tidak mempunyai bau dan rasanya pun pahit.” (Riwayat Bukhari dan Muslim melalui Abu Musa r.a.)

Apabila kita menulis menggunakan analogi yang sesuai, pembaca akan terangsang untuk menghidupkan suis visual di dalam mindanya. Pembaca akan membayangkan sesuatu yang dekat dengan dirinya dan mengaitkannya dengan perkara yang ditulis. Cara ini sangat berkesan untuk memahamkan pembaca kepada satu-satu saranan atau idea.

Menulis ibarat memandu kereta. Semakin lama kita memandu, semakin banyak perkara seni dalam ilmu memandu yang kita dapat. Menulis menggunakan analogi adalah satu daripada seni-seni penulisan yang boleh kita kuasai melalui pengalaman.


Friday, February 13, 2009

Mengesan 'Warm Up' Dalam Tulisan

Apabila ada atlet yang hendak turun ke trek, gelanggang atau padang, selalunya dia akan melakukan aktiviti memanaskan badan. Warm up. Dalam permainan sebenar, 'warm up' itu tidak akan dikira atau dinilai dengan nilaian mata. Hal ini juga kadang-kadang berlaku apabila kita menulis.

Berdasarkan pengalaman saya menyemak tulisan orang lain, saya sering menemui dua atau tiga paragraf awal yang hanya berupa 'warm up'. Dua atau tiga paragraf awal itu jika dipotong, tidak akan menjejaskan sesebuah tulisan, kerana isi atau halatuju sebenar tulisan itu hanya bermula di paragraf berikutnya.

Ayat-ayat pembuka tulisan yang tidak relevan ini juga adalah sebahagian daripada 'darling'. Ayat-ayat atau paragraf awal itu tidak relevan kerana ia sekadar bunga-bunga tulisan, bukan isi atau halatuju sebenar tulisan itu. Seorang editor harus dapat mengesannya untuk membantu penulis 'kill your darling'.

Wednesday, February 4, 2009

Cas Rohani

Kita tidak menulis hanya dengan ilmu dan pemikiran. Kita menulis dengan jiwa dan perasaan. Oleh itu wajarlah setiap penulis berusaha menghaluskan jiwa dan perasaannya. Dengan kata lain, menjernihkan rohaninya.

Rohani perlu dicas supaya jernih dan dapat berfungsi semaksimumnya, seperti juga bateri perlu dicas untuk terus menjana tenaga. Kita boleh cas rohani melalui solat (solat wajib, ditambah dengan solat-solat sunat) dan membaca al-Quran atau mendengarkan bacaan al-Quran. Kita juga boleh cas rohani dengan berzikir atau menghadiri majlis zikir, termasuk majlis maulid, burdah dan nazam yang memuji-muji Allah dan Rasulullah. Rohani juga boleh dijernihkan melalui majlis-majlis ilmu yang di situ sentiasa disebut nama Allah dan Rasul. Rasulullah SAW mengibaratkan majlis ilmu sebagai 'taman syurga'. Semestinya di situ ada ketenangan, ada sumber menjernihkan rohani.

Rohani juga boleh dijernihkan dengan mendampingi orang soleh. Kalau dirasakan sukar mencari orang soleh, cukup jika bertemu dengan orang yang mempunyai ciri-ciri kesolehan. Melihat wajahnya dan mendengar kata-katanya mengingatkan kita pada Allah, pada Rasul SAW, pada hari akhirat. Rohani mendapat aura positif apabila berdamping dengan orang soleh ini.

Untuk cas rohani juga, kita boleh ke Tanah Suci.

Kenapa penting sangat kita mengecas rohani di Tanah Suci? Berikut antara sebab-sebabnya:

1. Terbantu oleh suasana ibadah.
Suasana ibadah berlangsung sepanjang masa di Makkah dan Madinah terutama di sekitar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi yang tidak putus-putus dengan pengunjung. Sesiapa yang ke sana pasti mendapat kekuatan untuk memperbanyak dan memperhalusi ibadah kerana pengaruh suasananya. Ia merangsang seseorang untuk buat kebaikan dan meninggalkan kejahatan, maksiat dan kemungkaran. Lebih-lebih lagi apabila pergi ke sana bersama rakan dan kenalan yang sama-sama mahu membesarkan Allah, dibimbing pula oleh mutawif yang ikhlas, maka dapat saling membantu dan sokong-menyokong memberi kekuatan.

2. Keberkatan tempat.
Selain pengaruh suasana, tempat-tempat yang akan dikunjungi dalam rangka ibadah dan ziarah di sana terletak di bumi yang sangat berkat. Keberkatan Madinah dan Makkah tergambar melalui doa Nabi s.a.w.: “Ya Allah, jadikanlah berkat Madinah dua kali ganda daripada berkat yang Engkau jadikan untuk Makkah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kaabah yang terletak di Makkah adalah pusat bumi, tempat yang menjadi arah kiblat dalam solat, pusat tawaf dan letaknya bersetentangan dengan Baitul Makmur, pusat ibadah para malaikat di langit. Sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. hingga sekarang, ia terus dikunjungi oleh orang-orang yang membesarkan Allah dengan ibadah, bacaan ayat suci al-Quran, zikir, munajat, taubat dan selawat.

‘Aura’ dari kalimah membesarkan Allah ini menyelubungi segenap tempat di sekitar Masjidil Haram dan turut melimpahi telaga zamzam yang airnya ditadah dan diminum oleh jemaah. Begitu juga Masjid Nabawi di Madinah yang menyimpan jasad Nabi SAW dan menempatkan Raudah, tempat sering turunnya wahyu sewaktu hayat baginda. Semua tempat ini mengandungi begitu banyak kebaikan dari Allah untuk dikutip dan dijadikan bekalan penguat rohani.

3. Doa yang makbul.
Di antara kelebihan Makkah dan Madinah adalah terdapatnya tempat-tempat yang makbul doa. Paling afdal adalah di depan Kaabah, terutama di antara pintu Kaabah dan Hajarul Aswad yang dikenali sebagai multazam. Setiap tetamu Allah jika tiada halangan keuzuran, pasti berpeluang memanjatkan doa kepada Allah di multazam memohon ditingkatkan iman, dibersihkan hati dari sifat-sifat keji, dipelihara dari seksa neraka dan dimasukkan ke syurga serta dimudahkan menempuh jalan-jalan ke arah itu.

Manakala di Masjid Nabawi, tempat makbul doa adalah di Raudah. Malah seluruh bumi Makkah dan Madinah adalah tempat-tempat yang mudah diperkenankan doa oleh Allah. Jadi inilah peluang untuk mengajukan permohonan dan permintaan kepada-Nya dengan doa-doa yang Allah dengar dan akan makbulkan.

Seorang rakan yang baru pulang dari menunaikan haji memberi satu petua. Katanya, doa yang dipohon sewaktu sedang tawaf mengelilingi Kaabah, sangat makbul. Dia sendiri sudah merasai impaknya.

Di sana kita boleh bermohon kepada Allah agar dijernihkan rohani, dibersihkan fikrah dan dimurnikan niat, supaya mampu menghasilkan tulisan dan karya yang baik. Karya yang datang dari nurani yang jernih dan mampu memberi impak kepada pembaca.

4. Mendapat kekuatan dari kehadiran jasad Nabi SAW.
Para Sahabat mendapat kekuatan untuk beribadah, berjuang dan berkorban kerana kehadiran Rasulullah SAW di sisi mereka. Kita yang tidak pernah bertemu baginda masih berkesempatan untuk rasa dekat dengan baginda. Ziarahlah ke makamnya. Walaupun tidak dapat berlama-lama, cukuplah dapat singgah atau lalu menyampaikan salam kepada baginda, juga kepada Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar bersebelahan makam baginda.

Jasad baginda dan Sahabat-sahabat utama itu masih ‘segar’ di perut bumi, dipelihara oleh Allah dari dimakan ulat atau reput. Di situ kita jiwa dan perasaan kita dilentur. Di situ subur rasa cinta dan syukur dengan nikmat iman dan Islam yang Nabi tinggalkan untuk kita. Nikmat itulah yang mahu kita kongsi melalui karya kita.

5. Mendapat kekuatan dari ‘roh’ sejarah para nabi, Nabi SAW dan para Sahabat.
Kita dapat berziarah, selain ke Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, juga ke Masjid Quba’, Masjid Qiblatain dan masjid-masjid lain yang menyimpan sejarah sendiri, ke Bukit Uhud, Jabal Rahmah, Jabal Nur, tapak Perang Khandak, malah ke tapak rumah kelahiran Nabi SAW di Makkah. Kaabah sendiri menyimpan terlalu banyak peristiwa. Imbauan peristiwa silam yang pernah berlaku di tempat-tempat itu melibatkan orang-orang yang kita kenal dalam sejarah, akan menyelinap ke sanubari. Ia membawa kesan rindu, cinta, semangat dan azam yang berbaur. Banyak kelebihannya kalau kita tahu tentang anekdot-anekdot sejarah berkenaan, untuk difahami rahsia-rahsia kerajaan Allah yang selama ini tersirat dari kenyataan.

Oleh itu, wajarlah kita mencari kesempatan untuk mengecas rohani ke Tanah Suci. Kata sifu saya, lapangkan masa, jangan tunggu masa lapang. Bawa hati dan perasaan ke Tanah Suci, jangan hanya bawa wang untuk dibelanjakan.