BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, February 19, 2009

Baik atau Tidak Baik?

Dalam satu pengajian tauhid, guru saya menyoal: “Adakah baik seorang suami yang mengikut sahaja kehendak isterinya?”

Beliau mengajak ahli jemaah pengajian berfikir.

Selalunya ungkapan “mengikut sahaja kehendak isteri” diucapkan dengan konotasi negatif. Maka suami yang ikut saja kemahuan isteri dicap sebagai lemah dan dayus.

Bolehkah kita menghukum semudah itu? Baik atau tidak seorang suami yang mengikut sahaja kehendak isteri? Guru saya menjawab soalannya sendiri dengan berkata, “Baik (suami yang mengikut sahaja kehendak isteri), jika isteri itu solehah, kehendaknya sentiasa mengikut syarak.”

Beliau memberi contoh ini ketika membicarakan hukum akal, satu daripada juzuk ilmu tauhid yang dibahaskan dalam kitab kuning. (Beliau mengajar kitab Sirajul Huda karangan Syeikh Muhammad Zainuddin bin Muhammad Badawi as-Sumbawi.)

Dalam kitab itu dijelaskan bahawa hukum akal tertakluk pada dalil. Ada dalil, barulah ada hukum.

Dalam contoh tadi, kita tidak boleh mengatakan suami yang mengikut sahaja kehendak isteri sebagai lemah dan dayus melainkan ada dalil bahawa isteri itu bukan isteri yang solehah dan selalu sahaja mempunyai kehendak yang tidak mengikut syarak. Jika sebaliknya, iaitu si isteri itu solehah dan kehendaknya sentiasa sesuai dengan syarak, maka kita tidak boleh mengatakan sikap suami itu tidak baik.

Oleh itu, walaupun umum beranggapan mengikut kehendaki isteri itu tidak baik, dalam kes ini ia adalah baik kerana kehendak isteri yang diikut itu adalah kehendak-kehendak yang sesuai dengan syarak. Misalnya, isteri menyarankan kepada suami agar dikurangkan perbelanjaan yang tidak perlu. Kehendak isteri ini sesuai dengan kehendak syarak maka wajarlah suami bersetuju.

“Sebelum menghukum, sabitkan dulu!” jelas guru saya. Dengan kata lain, jangan menghukumkan sesuatu itu tanpa disabitkan dengan keadaan dan suasana. Orang sekarang menyebutnya, “Jangan pukul borong!”

Dalam menulis, kita harus berpegang kepada hukum akal ini. Untuk menghukum sesuatu, kita patut menyelidiknya dahulu. Dengan menyelidik 'dalil', apa yang kita lihat sebagai baik pada awalnya, mungkin sebenarnya buruk. Sebaliknya, apa yang kita lihat sebagai buruk pada awalnya, mungkin sebenarnya baik.

4 comments:

mokhtar shaharuddin said...

Mengikut sahaja kehendak isteri; tidak baik.

Mengikut sahaja keperluan isteri; lebih baik.

Mengikut sahaja matlamat hidup isteri; yang paling baik di antara tiga ini.

Suami mengikut sahaja apa yang baik untuk isteri; bukan apa sahaja kehendak isteri.
Manusia punya kehendak tetapi manusia tidak di hantar untuk kehendak. Manusia diutus agar kehendak tunduk kepada matlamat.

Tuhan menciptakan kehendak, Tuhan telah menetapkan matlamat.

admin said...

Terima kasih Tuan Mokhtar atas maklum balas dan input.

'Kehendak' dalam konteks ini adalah kehendak yang disuarakan. Mungkin 'mengikut kehendak isteri' sesuai juga diganti dengan 'mengikup cakap isteri'. Maka isteri yang betul-betul solehah akan cakap yang baik-baik saja, yang sesuai dan molek untuk dicakapkan atau disuarakan kepada suami, termasuklah dalam menyuarakan kehendaknya. Wallahu a'lam.

Zakaria said...

Ops, komen di atas adalah dari saya, tapi yang keluar sebagai pengirimnya adalah Galeri Buku Kita. Maaf, khilaf.

mokhtar shaharuddin said...

Tuan Zakaria,
Terima kasih kerana perhatian.

Barangkali yang lebih baik umumnya adalah 'isteri mengikut sahaja kehendak suami'.

Sebenarnya, Tuan Zakaria, saya berpendapat ini adalah persoalan yang tidak sangat perlukan jawapan. Kekadang kita menjadi susah kerana soalan yang tidak tepat. Bukan sahaja JAWAPAN tidak tepat yang ujud, SOALAN yang tidak tepat juga boleh berlaku.

Kerana itu Ibnu Umar ra tidak mahu menjawap soalan yang tidak berapa betul. Bila seorang dari Iraq bertanya tentang darah nyamuk, beliau tidak mahu jawap, sebaliknya bertanya/menempelak, "kamu dari Iraq datang bertanya darah nyamuk, padahal itulah tanah di mana darah cucu Nabi ditumpahkan. Begitu juga beliau tidak mahu menjawap bila diajukan soalan tentang suatu amalan samada sunat atau wajib. Beliau hanya mengulang-ulang jawapan "para sahabat Nabi mengamalkannya".