BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, April 29, 2009

Hendaklah Membaca, Membaca, Membaca

Buya Hamka berpesan, penulis mesti lebih banyak membaca daripada menulis. Menarik untuk dikongsi adalah pengalaman Faisal Tehrani ketika berguru dalam bidang penulisan dengan Sasterawan Negara A.Samad Said.

Kelmarin saya menghadiri bengkel penulisan novel Islami yang Saudara Faisal kendalikan di Dewan Besar IKIM. Dalam bengkel itu, Saudara Faisal bercerita tentang jawapan Pak Samad ketika beliau bertanya kepadanya tentang syarat untuk menjadi seorang pengarang kreatif.

“Pertama, mesti membaca,” begitu jawapan Pak Samad.

“Yang kedua?” soal Saudara Faisal.

“Membaca.”

“Yang ketiga?”
“Membaca.”

“Syarat keempat?”

“Membaca.”

“Yang kelima?”

“Menulis.”

“Bagaimana kalau yang kelima itu juga membaca?”

Maka jawab Pak Samad, “Ya, tidak akan jadi penulis.”

Berpegang kepada kata-kata Pak Samad ini, Saudara Faisal berpesan kepada peserta-peserta bengkel, “Membaca syarat penting untuk menjadi pengarang. Kalau saudara bukan pembaca, saudara selalunya tidak boleh menjadi pengarang. Tidak boleh menulis. Tidak boleh menurunkan apa-apa pun di atas kertas.”

Sepanjang pengalaman saya, saya belum pernah bertemu dengan penulis yang tidak suka membaca.

Apakah yang kita dapat apabila membaca? Sudah tentu, ilmu pengetahuan kita bertambah dan horizon pemikiran kita lebih luas. Dengan banyak membaca bahan yang baik dan bermutu, ia membantu fikiran menjadi lebih matang. Kita dapat menyelami cara berfikir, pengalaman dan perasaan orang lain. Kita dapat berguru sewaktu membaca, walaupun secara sehala. Dan banyak lagi kelebihan membaca yang boleh disenaraikan.

Tetapi yang paling penting bagi penulis, membaca adalah aktiviti yang dapat merangsang keinginan menulis dan menguatkan daya untuk menulis.

Keinginan menulis datang daripada naluri untuk berbuat sesuatu seperti yang orang lain buat. Kalau orang lain boleh menulis, maka kita juga boleh menulis. Ini rangsangan.

Daya untuk menulis pula datang daripada pemikiran bawah sedar apabila otak memproses data dan tulisan, yang dengan sendirinya meningkatkan kemahiran bahasa. Kemahiran bahasa ini adalah aset yang sangat penting bagi penulis. Kemahiran bahasa berkait rapat dengan kemahiran menyampaikan isi tulisan. Hanya dengan adanya kemahiran bahasa, penulis dapat menulis dengan baik. Dapat menyampaikan apa yang hendak disampaikan dengan berkesan. Dapat memujuk, menegaskan sesuatu, meruntun emosi, menghidupkan fitrah, membelai jiwa dan mengisi rohani dengan bahasa yang sampai maksud.

Kemahiran bahasa ini melibatkan kemahiran membina ayat, membina perenggan, menggunakan perkataan yang sesuai, menggunakan tatabahasa yang betul, membuat tajuk yang menarik, menulis dialog, dan menguasai perkara sekecil-kecilnya seperti ejaan dan tanda bacaan.

Maka untuk menjadi penulis yang baik, kita harus menjadi pembaca yang baik. Jangan hanya rajin menulis tetapi tidak rajin membaca karya orang lain. Novelis prolifik Azmah Nordin menyarankan, “bacalah sebanyak mungkin karya-karya sastera yang hebat seperti karya A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Chekhov, Raymond Carver, Azizi Hj Abdullah, Ernest Hemingway, Alice Munro, Tobias Wolff dan ramai lagi. Ini boleh membantu anda dalam dunia penulisan, lebih daripada apa-apa yang mampu diajar oleh seorang sifu mana-mana bengkel penulisan kreatif.”

Berbalik kepada pesan Buya Hamka dan kata-kata A.Samad Said, kita harus membaca, membaca, membaca, membaca dan kemudian menulis.


Thursday, April 23, 2009

Kemahiran Memfokus

Salah satu perkara yang menguatkan sesebuah tulisan adalah kekuatan memfokus. Penulisnya mempunyai kemahiran memfokus. Dia tahu perkara apa yang dia hendak tekankan dalam tulisannya. Dia tidak kehilangan fokus dari awal ke hujung tulisan.

Dan antara kelemahan pada sesebuah tulisan adalah kelemahan memfokus. Penulisnya tidak jelas tentang subjek atau perkara paling utama yang dia hendak sampaikan. Maka tulisannya menjadi kurang berkesan.

Menulis adalah seperti memasak. Apabila kita memasak, kita memasukkan pelbagai bahan untuk menghasilkan satu-satu jenis masakan. Oleh kerana kita sudah memfokus untuk memasak mi goreng misalnya, hasilnya adalah mi goreng walaupun bahan-bahan yang sama boleh digunakan untuk memasak mi kari, dengan ditambah sedikit bahan lain dan berlainan cara memasaknya.

Apabila kita menulis, kita harus mengenal pasti perkara utama yang hendak kita sampaikan. Dalam masa yang sama, kita mungkin menyentuh perkara-perkara lain tetapi kita tidak boleh hilang fokus pada perkara utama tadi. Perkara-perkara lain itu hanya sebagai rencah. Jika ‘rencah’ itu tidak relevan, ia boleh ditiadakan. Tetapi jika rencah itu memang relevan, ia akan menguatkan tulisan.

Dalam penulisan novel, perlukisan latar tempat dan perlukisan watak adalah rencah. Ia relevan apabila dilukiskan ‘secukup rasa’, tidak berlebih-lebihan. Dalam novel-novel Hamka, seingat saya, tidak banyak beliau selitkan perlukisan latar tempat. Hamka banyak memfokus pada perkembangan cerita dan perkembangan watak, tidak banyak melencong dengan melukiskan latar tempat, pakaian watak dan latar situasi. Saya tidak mengatakan Hamka benar dan penulis lain salah, cuma pada diri Hamka, kita boleh belajar tentang sebahagian teknik bercerita yang berkesan. Memfokus pada perkembangan cerita dan perkembangan watak. Kemahiran memfokus dalam bercerita menjadikan novel-novel Hamka ‘evergreen’ dan sedap dibaca sampai sekarang.

Kemahiran memfokus selalunya ada pada penulis yang jelas fikrah dan idealismenya. Dia menulis kerana digerakkan oleh fikrah dan idealisme itu. Maka dia tahu benar apa yang dia hendak sampaikan, lalu dia memfokus pada perkara itu dan tidak menerawang kepada perkara-perkara lain.

Perkara yang benar dan idea bernas jika bukan berada di tempat yang betul, akan dilihat janggal. Begitulah jika sesebuah tulisan menampung banyak perkara dan idea tetapi tidak memfokus pada satu-satu perkara yang utama, maka ia hilang kekuatan. Ia dilemahkan oleh perkara-perkara yang tidak relevan, walaupun benar dan bernas. Perkara-perkara tidak relevan inilah yang dipanggil ‘darling’ dalam tulisan. Penulis dapat mengesannya sewaktu menyemak semula tulisan yang telah disiapkan.

Tulisan yang membawa idea-idea yang baik, tidak akan dianggap tulisan yang baik sekiranya idea-idea itu hanya berupa lambakan tanpa fokus yang jelas.

Tulisan yang memfokus selalunya dapat dikenal pasti subjek atau perkara utama yang ditekankan, dengan membaca pendulu dan penutupnya. Namun kadang-kadang, fokus tulisan hanya dapat dikenal pasti apabila tiba kepada penghujung tulisan. Perkara-perkara lain disentuh dengan halatujunya membawa ke situ. Ini terutamanya dapat dikesan pada tulisan berbentuk penceritaan, termasuk travelog atau catatan kembara. Ceritanya digarap cantik dan ditutup indah dengan mesej yang jelas. Apa yang diceritakan itu relevan dengan perkara sebenar yang hendak disampaikan.

Kemahiran memfokus dapat dikuasai apabila penulis tahu memilih aspek atau ‘angle’ mana yang hendak disentuh mengenai satu-satu perkara. Jika hendak menulis tentang epal misalnya, kita harus memilih aspek apa tentang epal itu yang hendak disentuh. Apakah tentang rasanya, tentang khasiatnya, tentang pokoknya atau mana-mana aspek lain. Dengan itu, kita tidak menulis terlalu umum tentang epal tetapi memilih secara spesifik satu-satu aspek tentang epal.

Jika hendak menulis tentang seseorang figur untuk satu ruangan majalah umpamanya, kita harus mengenal pasti ‘angle’ tulisan terlebih dulu. Aspek mana pada diri figur itu yang hendak kita tonjolkan supaya dapat dikongsi manfaatnya dengan pembaca. Aspek yang dipilih mestilah sesuai dengan konsep ruangan di dalam majalah itu. Jika majalah itu berbentuk kekeluargaan, sudah tentu kita menonjolkan aspek kekeluargaan pada figur itu.

Memfokus adalah sebahagian resipi kejayaan buku-buku bestseller.

Wednesday, April 22, 2009

Mewariskan Harta Maknawi

Ilmu adalah entiti yang apabila dikongsi atau diturunkan kepada orang lain, ia akan bertambah. Oleh itu, memang sama sekali tidak rugi dengan berkongsi ilmu yang kita ada dengan orang lain. Malah untungnya berkongsi ilmu, ia akan menjadi harta peninggalan yang akan sentiasa ada nilai tambahnya.

Apabila kita menulis buku, kita akan semakin untung apabila semakin ramai orang membaca dan mengambil manfaat daripada buku itu. Bukan saja harta itu dapat diwariskan dalam bentuk royalti, malah dalam bentuk harta ‘maknawi’ (harta yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar) iaitu pahala yang terus mengalir.

Malah harta maknawi ini dapat dikongsi pula dengan orang-orang lain di belakang tabir kerja menerbitkan dan mengedarkan buku itu.

Sewaktu Imam al-Ghazali menulis Ihya Ulumiddin dulu, atau sewaktu Imam Syafi’i menulis al-Umm, Imam Malik menulis Muwatta’, Imam Nawawi mengarang Hadis 40, ulama-ulama ini tidak pernah membayangkan begitu ramai orang akan terlibat dalam menyampaikan risalah agama yang mereka tulis itu kepada umat. Mereka dulu menulis dengan dakwat, dan disalin tangan oleh orang kemudian dengan cara yang sama. Sekarang, selepas ratusan tahun, kitab-kitab mereka masih terus dicetak. Ditaip, direkaletak, disunting semula, dipruf, dibuatkan rekabentuk kulitnya, dicetak lalu diedar dan dijual. Pada setiap proses kerja itu, ada orang-orang yang akan mendapat saham dalam kerja menyebarkan harta maknawi yang diwariskan oleh pengarang-pengarang itu. Inilah ‘nilai tambah’ pada harta intelek yang ‘evergreen’ seperti itu. Pengarangnya mendapat pahala dari kerja amalnya mengarang kitab dengan niat mencari keredhaan Allah dan mendapat tambahan dari Allah, insya-Allah, dari kerja menyebarluaskan kitab itu yang dilakukan oleh banyak orang selepas kematian si pengarang.

Apabila menulis diniatkan untuk mencari redha Allah, subjek tulisan juga dijuruskan kepada mencapai niat itu, dan seluruh proses menulis mengambil kira faktor-faktor yang boleh ‘menarik’ redha Allah, misalnya tidak mencuri waktu bekerja dan tidak mengabaikan tanggungjawab yang lebih utama, mudah-mudahan hasilnya nanti benar-benar diberkati.

Maka, saya mengingatkan diri saya sendiri, penting bagi kita untuk mengenal pasti niat dan matlamat sewaktu hendak menulis. Rugi jika kita menulis bahan yang mungkin akan menjadi harta yang boleh diwariskan kepada generasi kemudian tetapi tidak diniatkan untuk mencari redha Allah. Bukankah setiap amal itu dinilai oleh Allah atas niat?


Monday, April 20, 2009

Travelog Tarbiah


Sebulan lalu, saya dan rakan editor Encik Nasri Nasir duduk berbincang dengan Tuan Haji Abu Hassan Morad di biliknya. Kami memaklumkan kepada beliau tentang satu manuskrip buku Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang sedang kami tangani. Buku itu dalam kategori catatan pengembaraan atau travelog yang membawa mesej Islam, tetapi kami belum menemui nama siri yang sesuai dengan gaya penulisannya.

Tuan Haji Abu Hassan spontan mencadangkan nama “Travelog Tarbiah” untuk siri itu. Maka lahirlah buku Travelog Tarbiah: Rindu Bau Pohon Tin, yang dijual macam pisang goreng panas di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009.

Semalam novelis Ilham Hamdani atau nama sebenar beliau Mohd Izuddin Mahamad Nazir melayangkan e-mel dari Canberra, Australia, memohon tunjuk ajar saya untuk menulis buku travelog yang membawa “mesej Islam yang jelas, dan dalam masa yang sama mutu sastera yang sangat baik.”

Untuk memberikan gambaran kepada beliau tentang gaya penulisan buku travelog yang Galeri Ilmu idamkan, saya menge-melkan contoh tulisan Ustaz Hasrizal melalui buku travelognya itu.
Mesej-mesej Islam dalam buku berbentuk travelog kadang-kadang terkandung dalam cerita itu sendiri, juga dalam dialog-dialog yang menjadi rencah cerita.

Kadang-kadang, cerita dijadikan landasan untuk menyampaikan satu-satu mesej. Mesejnya diselitkan di hujung cerita.

Ini sebenarnya yang membezakan travelog biasa dengan travelog yang membawa mesej Islam. Dalam kembara, ada pengalaman yang boleh dikaitkan dengan kebesaran Tuhan, kekurangan hamba, sifat lapang dada dalam menerima takdir-Nya, kefahaman dalam beragama, kasih sayang sesama manusia dan nilai-nilai tarbiah yang lain.

Sudah semestinya, hanya penulis yang berjiwa Islam saja yang mampu menggarap cerita berisikan tarbiah begini. Galeri Ilmu sangat mengalu-alukan buku travelog yang bukan sekadar mencoretkan cerita, tetapi dalam cerita ada nilai dakwah, ada nilai tarbiah. Selepas Rindu Bau Pohon Tin, bakal menyusul buku-buku lain dalam siri Travelog Tarbiah ini, insya-Allah.


Sunday, April 19, 2009

Penulis Sebagai Promoter

Petang Jumaat kelmarin, ketika saya sedang bertugas di booth Galeri Ilmu Sdn Bhd di PBAKL 2009, PWTC, mesej Ustaz Hasrizal Abdul Jamil menjengah inbox telefon bimbit saya. Beliau mahu datang menjenguk. Saya pun memaklumkan hal itu kepada rakan-rakan petugas dan beberapa pengunjung yang kebetulan sedang membelek-belek buku.

Kira-kira jam 4.15 petang, Ustaz Hasrizal muncul dengan berbaju Melayu putih dan berkopiah putih. Seperti biasa, beliau tidak lupa beg sandangnya. Beberapa orang pengunjung yang memang mahu mendapatkan buku-buku terbaru beliau, kelihatan teruja melihat kemunculan beliau yang tidak disangka-sangka.

Selama kira-kira tiga jam beliau berada di booth, penulis buku bestseller Aku Terima Nikahnya itu, menandatangani kira-kira 100 naskhah bukunya. Sebelum pulang, atas permintaan kami, beliau menurunkan tandatangan kepada beberapa naskhah lagi bukunya. Memang ramai pembeli bukunya yang mahu mendapatkan autograf beliau tetapi tidak semua berpeluang bertemu beliau. Bagi mereka, mendapat autograf seperti mendapat ‘ijazah’ sanad buku daripada penulis.

Kehadiran penulis di gerai adalah antara faktor yang membantu jualan buku-buku, khususnya dalam pesta buku yang besar seperti ini. Semalam tiga orang novelis, Puan Norehan Mohd Nooh, Puan Nor Hayati Sapii dan Sayidah Mu’izzah, hadir dalam program yang kami sudah susun. Memang dalam setiap pesta buku, adalah amalan biasa bagi penerbit untuk menyusun jadual kehadiran penulis-penulis di gerai jualan.

Bagaimanapun, kehadiran Ustaz Hasrizal pada hari Jumaat itu adalah atas inisiatifnya sendiri. Sudah tentu, bagi penerbit, hal ini sangat digalakkan. Apabila penulis sama-sama turun bertemu pembaca, jualan bukunya akan meningkat. Ia bukan hanya menguntungkan penulis dari segi royalti bukunya, tetapi juga menguntungkan penerbit daripada keuntungan jualan langsung buku itu. Selepas ditolak harga promosi 15%, penerbit masih mendapat margin untung jualan secara langsung tanpa melalui orang tengah (agen pengedaran).

Hari ini, Ahad, giliran Ustaz Zul Ramli M.Razali dan Ustaz Amaluddin Mohd Napiah mengisi slot bersama pembaca di booth Galeri Ilmu. Ustaz Zul Ramli muncul dengan bukunya U-Turn Ke Jalan Lurus, manakala Ustaz Amal dengan bukunya Bawa Hatimu Kepada Tuhan. Kedua-dua buku dalam siri Tarbiah Rohani ini mempunyai kekuatan tersendiri.

Kalau waktu ini Hilal Asyraf berada di tanah air, sudah pasti beliau tidak akan melepaskan peluang untuk turut turun menemui pembaca dan pengunjung setia blognya (LangitIlahi.Com). Para pengunjung blognyanya juga pastinya tidak mahu ketinggalan bertemu Hilal. Malah saya sendiri belum berkesempatan bertemu muka dengan beliau. Beliau sudah berada di Jordan ketika saya mula menghubungi beliau untuk mengajak beliau menerbitkan buku bersama Galeri Ilmu. Pertama kali saya berpeluang berbual dengan beliau adalah apabila beliau menelefon saya kelmarin. Beliau menelefon dari Jordan ketika saya dalam perjalanan pulang dari pesta buku pada hari Jumaat itu.

Inisiatif penulis, selain daripada langkah promosi yang dibuat oleh penerbit, sangat kuat menyokong peningkatan jualan buku-buku. Ustaz Hasrizal sudah membuktikan bahawa inisiatif beliau mewar-warkan bukunya di blog dan kemudian rajin menjengah ke gerai jualan, adalah faktor penyumbang yang besar kepada sambutan baik para pembaca kepada buku-bukunya. Memang buku-buku beliau sedap dibaca dan tinggi nilai tarbiahnya, tetapi kesungguhan beliau itulah yang banyak membantu kelancaran jualan buku-bukunya.

Friday, April 17, 2009

Tentang Janji


Jumaat lepas, seorang pelajar Kuliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa muncul di Galeri Ilmu Sdn Bhd. Namanya Sayidah Mui’zzah Kamarul Shukri. Nama yang mungkin cuma dikenali sebagai penulis cerpen dan puisi. Karya-karyanya pernah tersiar dalam surat khabar dan majalah.

Pagi itu beliau datang sebagai seorang novelis, kerana novel sulungnya bakal diterbitkan oleh GISB. Novelnya Janji Miftahul Raudhah adalah sebuah novel motivasi remaja.

Mungkin menulis sebuah novel remaja dianggap mudah bagi seorang yang baru meninggalkan alam remaja, khususnya alam persekolahan. Benarkah begitu?

“Saya rasa sukar juga untuk mengingat balik pengalaman zaman sekolah walaupun belum lama ditinggalkan,” akui Sayidah Mui’zzah.

Saya tersenyum.

“Mungkin orang yang paling sesuai menulis tentang dunia remaja ni adalah guru dan mereka yang ada anak remaja,” kata saya.

Biarpun begitu, Janji Miftahul Raudhah tetap mempunyai keistimewaan tersendiri sebagai sebuah novel yang mengangkat persoalan dunia remaja atau lebih khusus, pergolakan dan perjuangan remaja di alam persekolahan.

Melihat potensi Sayidah Mu’izzah, saya jadi kagum dengan anak-anak muda yang pernah mengikuti Minggu Penulis Remaja (MPR). Beliau adalah mantan MPR 2007 yang pernah menerima bimbingan penulis berkredibiliti seperti Faisal Tehrani dan Nisah Haron.

Novel sulung Sayidah Mu’izzah membawa kisah pelajar bernama Miftahul Raudhah yang dibayangi janji kepada kakaknya Jannah sebelum Jannah melanjutkan pelajaran ke Glasgow. Satu ketika, berlaku tragedi di Glasgow dan sejak itu, semangat Miftahul Raudhah semakin kuat untuk menunaikan janji itu. Lebih-lebih lagi setelah berlaku kejutan psikologi pada mamanya. Untuk memenuhi janjinya, Miftahul Raudhah sanggup mengubah cita-citanya. Dia sanggup memilih bidang pengajian yang sama sekali asing baginya.

Tragedi di Glasgow mengganggu ketenangan mereka sekeluarga. Namun, Miftahul Raudhah tidak pula menyangka, angkara Tiga Minah Pengacau di sekolah, berakhir dengan satu lagi tragedi dalam hidupnya.
"Secara keseluruhannya, cerita ini baik: sarat dengan pengajaran." Begitu komen rakan editor, Puan Suraiya Pauzi.

Thursday, April 16, 2009

Pesta Buku Akan Bermula

Esok, Jumaat 17 April 2009, akan bermula Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL 2009) di PWTC. Ramai staf Galeri Ilmu Sdn Bhd akan berkampung di sana seawal 9.30 pagi hingga 8.30 atau 9.30 malam. Editor buku mahupun majalah, semuanya turun bertemu langsung dengan pembaca. Jangan terkejut jika editor perolehan buku pun turut menjadi cashier!

PBAKL adalah pesta buku terbesar di Malaysia. Memang tidak boleh lawan Pesta Buku Jakarta, namun di peringkat nasional, inilah pesta buku paling 'grand' yang diintai-intai oleh kebanyakan penerbit buku. Selepas PBAKL, menduduki tempat kedua adalah Pesta Buku Selangor yang akan berlangsung sekitar bulan Ogos.

Sebagai pemain baru dalam industri buku, Galeri Ilmu tentulah menaruh harapan besar agar wadah Islam yang dibawa melalui buku-buku dan novel yang diterbitkan, mampu memberi impak kepada khalayak.

Ini kali kedua Galeri Ilmu ambil bahagian dalam PBAKL. Kali ini, selain mengetengahkan buku-buku motivasi dan buku kanak-kanak, Galeri Ilmu membariskan novel. Judul yang diketengahkan hanya enam buah iaitu novel-novel remaja Islami. Kami menamakannya Novel Motivasi Remaja. Kesemuanya membawa cerita yang berkisar tentang pergolakan dunia remaja di sekolah menengah. Watak-watak pelajar mendominasi keseluruhan novel ini.

Novelis-novelis yang diketengahkan adalah nama-nama baru, kecuali Ummu Hani Abu Hassan. Norehan M.Nooh, Nor Hayati Sapii, Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri, Zulina Hassan dan novelis paling muda, Hilal Asyraf, belum dikenali oleh penggemar-penggemar novel. Namun, Galeri Ilmu yakin pada potensi setiap novelis ini, baik dalam kemahiran menggarap cerita mahupun dalam membawa mesej Islam.

Novel-novel yang mereka hasilkan membawa mesej Islam yang mungkin tidak sama 'dos'nya antara satu dengan yang lain. Ada yang dosnya sedikit, ada yang banyak. Ada yang sentuhan Islaminya lebih, ada yang kurang. Tetapi yang pasti, mereka adalah penulis-penulis yang mempunyai jiwa Islam. Ada jiwa hendak mendidik pembaca. Mereka bukan sekadar bercerita, tetapi juga menyampaikan hasrat dan idealisme yang berteraskan Islam.

Sebagai editor, saya bermohon kepada Allah agar Dia memberkati hasil karya mereka dan meredhai mereka. Moga-moga karya-karya itu mampu membawa 'hasanah' dalam kehidupan penulis dan pembaca, walaupun dalam skala yang kecil.

Tuesday, April 14, 2009

Kelebihan Guru Menulis Novel Remaja


Norehan M.Nooh adalah satu nama baru dalam dunia penulisan, khususnya penulisan novel. Kelebihan beliau adalah menulis cerita tentang dunia remaja, kerana beliau seorang guru.
Berpengalaman mengajar di tingkatan satu hingga enam selama 13 tahun, beliau memanfaatkan kelebihan itu dalam menghasilkan novel sulungnya, Diari Aneesa.

Diari Aneesa adalah juga novel pertama diterbitkan oleh GISB. Inilah novel yang mula-mula saya tangani sebaik saja diamanahkan melahirkan novel-novel Islami melalui Jabatan Buku GISB.

Puan Norehan, ibu kepada dua orang anak, mula bertandang ke pejabat lama GISB pada pertengahan 2008. Ketika itu Jabatan Buku belum ditubuhkan. Yang ada hanya Unit Buku di bawah Bahagian Penerbitan, yang diketuai oleh Encik Roslan Kassim.

Saya bersama Encik Roslan Kassim dan editor Rosmah Saidin, berbincang tentang proposal Diari Aneesa dengan Puan Norehan pada satu musim cuti sekolah. Puan Norehan menyatakan hasratnya untuk mendidik anak remaja melalui novelnya. Selepas mendapat gambaran yang jelas dan bersetuju dengan cadangan kami tentang format penulisan novel ini, beliau pun pulang dan memulakan kerja menulis Diari Aneesa.

Guru Bahasa Inggeris di SMK Ulu Kinta, Perak ini begitu teruja untuk melihat novelnya berada di rak-rak buku sebaris dengan novel-novel popular yang lain. Beliau tahu, untuk itu beliau harus mengorbankan rutin hariannya dan bijak mencuri masa. Kadang-kadang beliau menggunakan masa lewat malam iaitu selepas anak-anak tidur untuk berkarya.

Pada satu ketika, beliau menelefon saya bertanyakan bagaimana dan di mana beliau hendak menoktahkan novelnya. Nampaknya, beliau terikat dengan urutan tarikh diari yang melatari cerita dalam novelnya. Saya memberitahunya supaya membebaskan diri daripada ikatan tarikh itu dan lebih memfokus pada perkembangan cerita.

Akhirnya, dengan izin Allah, pada bulan Oktober 2008 iaitu dalam bulan Ramadan, beliau berjaya menyiapkan novelnya, setelah membahagikan masa menulis dengan rutin sebagai ibu, isteri dan juga guru.

Sewaktu beliau berkunjung ke pejabat baru GISB di Kota Damansara untuk menandatangani kontrak penerbitan Diari Aneesa baru-baru ini, kami bertanyakan perasaan beliau setelah berjaya menyiapkan novel sulungnya.

“Ia memberi saya kepuasan!” ungkap beliau.

Bagi seorang guru seperti beliau, pengalaman berdepan dengan anak-anak remaja saban hari benar-benar membantunya menggarap novel ini begitu rapi dan mewarnainya dengan kisah kehidupan remaja, khususnya pelajar. Penceritaannya tentang dunia remaja, dialog yang dimuatkan dan ekspresi remaja dipaparkan, terasa hidup. Kepada beliau, saya telah sarankan supaya memanfaatkan benar-benar kekuatan ini untuk menggarap karya-karya berikutnya.

Monday, April 13, 2009

Lagi Tentang Membuang ‘Darling’ Dalam Tulisan

Salah satu cabaran bagi seorang editor adalah membuang ‘darling’ dalam tulisan. ‘Darling’ seperti saya pernah sebut sebelum ini, adalah bahagian-bahagian dalam tulisan yang penulis rasa sayang untuk buang. Di tangan editor, ‘darling’ itu kadang-kadang harus dibuang untuk beberapa tujuan.

Kenapa ada bahagian dalam tulisan yang harus dipotong? Kerana keterbatasan ruang, kerana dengan memotongnya akan membantu tulisan cepat sampai maksud, untuk meringankan pembacaan dan supaya sesebuah tulisan lebih memfokus atau menjurus.

Apabila kita sudah lama berkecimpung dalam arena suntingan atau editing, biasanya kita akan mudah mengenal pasti bahagian yang perlu dipotong itu. Kadang-kadang ia hanya berupa satu ungkapan atau ayat. Kadang-kadang ia mungkin satu paragraf, malah ada kalanya ia berupa beberapa paragraf. Biar apa pun, hendak memotong ini ada syarat-syaratnya.

1. Niatnya mestilah kerana hendak membaiki atau memudahkan penyampaian. Dengan kata lain, demi maslahat ramai iaitu maslahat untuk para pembaca. Ia perlu dipotong supaya lebih cantik dan kemas penyampaiannya.

2. Kalau perlu, dan seperti saya sebut dalam entri sebelum ini, editor harus memaklumkannya kepada penulis. Terutama jika hendak membuat 'major operation'.

3. Pastikan ada asas yang kuat untuk memotong. Pengalaman saya, saya akan menimbang beberapa kali sebelum memotong. Saya baca balik bahagian tertentu tulisan itu dan membayangkan bagaimana selepas ‘darling’ itu dipotong. Selalunya saya baca dalam hati. Kalau 'terdengar' okey, barulah saya potong.

4. Mestilah selektif dalam memotong – selektif dengan ayat, fakta, kenyataan dan sebagainya. Jangan sebarangan memotong.

Apa yang perlu dipotong itu kadang-kadang berupa ‘warm up’ dalam intro. Kadang-kadang berupa kenyataan atau fakta yang tidak perlu. Misalnya, perkara yang sudah jelas (understood), perkara yang rumit hendak difahami, atau perkara yang sudah jelasnya difahami daripada gambar/foto (terutama bagi penulisan majalah).

Kadang-kadang pula ia berupa perkataan, ayat atau fakta yang berulang. Malah mungkin berupa sendi kata seperti ‘yang’, ‘telah’, ‘merupakan’, ‘adalah’ dan sebagainya yang boleh ditiadakan. Dalam kebanyakan keadaan misalnya, ‘telah’ tidak perlu ada kerana setelah dibuang ‘telah’, ayat akan menjadi lebih dinamik. Tetapi bukan dalam semua keadaan begitu.

Lambakan ‘point’ dalam satu ayat atau ada perkara yang tidak relevan dengan topik, juga mewajarkan ayat atau bahagian tertentu tulisan itu dipotong. Kita harus memotong sesuatu yang tidak berada di tempat yang betul. Ini sering berlaku apabila gaya penyampaian tidak menjurus atau tidak memfokus. Penulis kehilangan tumpuan, mana satu yang hendak ditekankan.

Satu perkara lagi yang mewajarkan kita memotong bahagian tertentu tulisan adalah adanya fakta yang diragui. Editor sebagai pembaca melihat ada fakta yang tidak dapat dipastikan kebenarannya. Prinsip yang dipegang di sini adalah, “If you are in doubt, leave out!” Jika editor tidak pasti, dan setelah disemak dengan penulis pun masih tidak dapat dipastikan, maka sebaik-baiknya bahagian itu dipotong saja.

Friday, April 10, 2009

Perlunya Sifat Berlapang Dada Bagi Seorang Editor

Pagi itu saya berkongsi sedikit tip penyuntingan dengan beberapa orang editor dan penulis GISB. Selepas menyentuh tentang kenapa perlunya seorang editor teks atau penyunting, saya menekankan tentang sifat-sifat yang perlu ada pada seorang penyunting. Salah satu daripadanya adalah sifat berlapang dada.

Sifat berlapang dada ini sangat perlu kerana penyunting akan berdepan dengan pelbagai ‘kelemahan’ penulis dan hasil tulisannya. Jika dia tidak ada sifat berlapang dada, dia mungkin akan cepat kecewa apabila membaca hasil tulisan yang dilihat mempunyai ‘banyak’ kelemahan. Nanti dia jadi lupa pada kekuatan sesebuah tulisan itu.

Ya, apabila melihat sedikit bahagian yang ada kelemahan, kita akan terlupa pada banyak lagi bahagian yang mempunyai kekuatan.

Apabila tidak ada sifat berlapang dada juga, penyunting tidak boleh menerima kelemahan penulis dan hasil tulisannya. Malah, penyunting akan cenderung untuk ‘menjaja’ kelemahan penulis ini. Dengan kata lain, mendedahkan aib penulis.

Editor atau penyunting memang banyak menyimpan rahsia kelemahan penulis. Misalnya, kelemahan tatabahasa, kelemahan menulis intro, kelemahan menutup tulisan dan sebagainya. Penulis A, begini kelemahannya. Penulis B, begini pula kelemahannya. Tetapi penyunting harus menjaga aib penulis, seperti seorang doktor menjaga aib pesakitnya.

Sifat berlapang dada juga perlu supaya penyunting dapat menjaga sensitiviti penulis apabila hendak membuat perubahan atau memotong bahagian tertentu karya penulis, selagi tidak melibatkan kesalahan besar. Walaupun penyunting mempunyai hak kebebasan untuk memperlakukan apa saja pada tulisan, demi menjaga maslahat pembaca dan memelihara imej syarikat penerbitan yang diwakilinya, dia harus juga berusaha menjaga sensitiviti penulis.

Pengalaman saya menyunting tulisan ramai penulis, saya belum menemui penulis yang tidak puas hati dengan hasil suntingan yang dibuat pada tulisannya. Sekurang-kurangnya, belum ada yang menyuarakan rasa tidak puas hati itu.

Kadang-kadang sesebuah tulisan perlu menjalani ‘major operation’ supaya lebih cantik dan lebih kuat. Misalnya, perlu digugurkan bahagian tertentu yang tidak relevan. Seorang novelis memberitahu saya, satu bab novelnya digugurkan oleh editor kerana didapati tidak relevan dengan keseluruhan cerita. Dia setuju bab itu digugurkan.

Biar apa pun, penyunting perlu bertindak seperti seorang doktor yang merawat dan membuat pembedahan untuk menyelamatkan pesakit. Apabila perlu melakukan ‘major operation’, kadang-kadang dia perlu mendapatkan ‘tandatangan’ penulis iaitu memaklumkannya kepada penulis supaya penulis redha dengan ‘major operation’ yang akan dibuat. Supaya apabila pembedahan selesai dijalankan, penulis akan berterima kasih kepada penyunting, bukan sebaliknya.

Ada sebuah novel yang saya potong hingga berhalaman-halaman. Bahagian yang saya potong itu adalah bahagian yang, setelah saya timbang-timbang, boleh digugurkan tanpa mencacatkan jalan cerita atau mengubah cerita asal. Bahagian itu juga tidak berfungsi membantu pembaca untuk mengenal watak dengan lebih dekat. Saya menimbang-nimbang, jika bahagian-bahagian itu saya gugurkan, novel itu akan menjadi lebih padat dan mantap.

Bagaimanapun, sebelum memotongnya, saya memaklumkan hal itu terlebih dahulu kepada penulis dan dia bersetuju. Saya juga memastikan ‘major operation’ itu tidak menjejaskan kekuatan novel itu. Tidak menyebabkan karya itu ‘tempang’ atau ‘cacat’. Alhamdulillah, apabila manuskrip yang telah di’bedah’ itu saya emelkan kepada penulisnya, dia sangat berterima kasih.
Penting bagi penyunting untuk menghormati hak integriti penulis, iaitu hak penulis untuk mengekalkan karyanya dalam bentuk dan gaya asalnya walaupun setelah dibedah di sana sini.

Penyunting harus cuba berkongsi hasrat yang sama dengan penulis. Dia meletakkan dirinya sebagai ‘sparring partner’ untuk membantu penulis menyampaikan apa yang hendak disampaikannya. Mungkin kerana berpegang pada prinsip ini, saya dapat mengekalkan hubungan baik dengan para penulis yang tulisan-tulisan mereka pernah saya sunting.

Apabila Pandangan Tersingkap

Apabila kita faham tentang sesuatu, bukan sekadar tahu, persepsi kita akan berubah. Banyak yang akan tersingkap. Apabila persepsi berubah maka sikap dan tindak-tanduk juga berubah. Malah, kata-kata – lisan mahupun tulisan – turut berubah.

Oleh itu penting bagi penulis untuk memahami agama dengan sebenar-benar faham. Penting juga untuk penulis memahami situasi, memahami masyarakat, memahami sasaran pembaca, lebih-lebih lagi memahami subjek yang ditulis. Faham . . . bukan sekadar tahu, seperti orang yang sudah merasai manisnya gula, bukan sekadar tahu gula itu manis.

Untuk faham agama dengan sebenar-benar faham maka kita harus terus belajar dan berguru. Kita juga harus memohon doa daripada Allah agar diberi kefahaman agama yang baik. Kerana ada sabda Nabi SAW yang mafhumnya, siapa yang Allah hendak dia jadi baik, maka Allah akan beri dia faham akan agama.
Dengan mendengar bicara orang yang faham agama, kita akan lebih cepat faham, berbanding mendengar bicara orang yang hanya tahu akan agama. Kerana orang yang faham, bicaranya ada hikmah. Kefahamannya akan mudah berpindah kepada orang yang mendengar.

Menulis juga perlu berserta hikmah, supaya mudah untuk berbicara dengan pembaca menggunakan bahasa ‘faham’, bukan sekadar bahasa ‘tahu’. Mudah-mudahan kita dapat mendidik diri menjadi penulis yang menintakan hikmah di hujung penanya.

Thursday, April 9, 2009

Novelis 'Hello" di Radio IKIM


“Selesai recording novelis Hello?” saya bertanya Encik Wan Azmin, suami kepada novelis Zulina Hassan, melalui sistem pesanan ringkas sebentar tadi.
“Ok. On air Isnin 9.15 malam,” balas Encik Wan.

Puan Zulina adalah novelis pertama GISB yang bakal ke udara di Radio IKIM melalui rancangan yang dikendalikan oleh DJ Fairus.

Novel Hello, Anak-anak Ayah! garapan beliau adalah sebuah ‘novel episod’ – novel yang mempunyai watak tetap tetapi setiap episod mempunyai struktur cerita sendiri dan ceritanya tidak bersambung-sambung. Ia mendekati gaya sitcom di televisyen.

Ia membawa kisah kenakalan, ragam dan keletah lima orang kanak-kanak apabila ayah mereka bertugas di luar negara.

Selepas menerima sinopsis novel ini pada pertengahan Julai tahun lalu, dan menerima dua bab (episod) contohnya dua minggu kemudian, saya memberikan maklum balas berserta surat tawaran untuk menerbitkan novel ini. Tempoh yang saya beri kepada penulis adalah tiga bulan. Bagaimanapun seperti sesetengah penulis lain, Puan Zulina kemudian meminta dilanjutkan tempoh itu kerana dalam masa yang sama, beliau sedang menyiapkan siri buku kanak-kanak yang juga bakal diterbitkan oleh GISB.

Alhamdulillah, saya menerima manuskrip lengkap novel ini pada 2 Disember lalu dan terus menyerahkannya kepada rakan editor, Encik Zuraimi Ismail, untuk ditangani. Manuskrip novel ini juga saya e-melkan kepada pelukis untuk disiapkan lukisan watak dan ilustrasi di celah-celah bab.

Dalam masa yang sama, saya juga memberikan salinan manuskrip ini kepada pembaca peribadi saya (siapa lagi kalau bukan isteri saya, Fauziah) untuk dibaca. Isteri saya memberikan komen yang memberangsangkan. Rakan editor Puan Suraiya yang membuat semakan pruf novel ini, juga memberikan komen yang baik.

Istimewanya novel ini, ia memaparkan realiti kehidupan kanak-kanak yang mencuit hati dan diselitkan nilai didikan Islam secara bersahaja. Walaupun hanya terdiri daripada 10 episod (bab) yang setiap satu daripadanya boleh berdiri sendiri, novel ini adalah adaptasi yang berjaya kepada sebuah kehidupan yang melingkungi dunia kanak-kanak dalam sebuah keluarga Melayu-Islam.

Bayangkan apabila ayah jauh di mata, ibu mengambil alih jadi nakhoda, manakala lima orang anak selalu saja memeningkan kepala, ditambah dengan jiran dua beranak yang dianggap ‘pengacau’. Dalam situasi ini, ada-ada saja yang berlaku!

Puan Zulina adalah bekas wartawan majalah yang kini memilih menjadi surirumah sepenuh masa dan berkreatif di rumah. Novel kecil beliau yang setebal 112 halaman, dijual dengan harga RM10.

Jangan lupa pasang Radio IKIM jam 9.15 malam, Isnin ini.

Wednesday, April 8, 2009

Pembedahan Ke Atas V T


Sewaktu menerima manuskrip novel VT daripada penulisnya Hilal Asyraf, jadual saya sedang padat dengan kerja-kerja penerbitan ekoran ‘demam’ pra pesta buku. Pada awalnya, saya sendiri bercadang untuk menangani kerja penyuntingan novel ini kerana kami belum mempunyai editor tetap yang mampu menyunting novel. Bagaimanapun, saya tidak dapat mencari ruang waktu yang sesuai untuk menekuni kerja penyuntingan VT.

Ketika itu Puan Shahrizad (Ngajad), puteri Kak Anis yang juga calon novelis di GISB, menawarkan diri untuk menanyakan kesediaan ibunya membantu menangani manuskrip novel. Tetapi, hendak berikan VT kepada Kak Aniskah untuk diedit? Saya berasa agak kurang selesa, kerana beliau bekas guru saya.

Memang saya masih meneruskan hubungan baik dan mesra dengan beliau walaupun telah 25 tahun saya meninggalkan kuliah Kak Anis di Universiti Malaya. Pada awal penerbitan majalah Anis pada Julai 1997, saya menawarkan Kak Anis mengisi ruangan Semaian Kasih sebagai kolumnis. Beliau setia bersama Anis sampai sekarang.

Bagaimanapun, untuk meminta bantuan guru membantu kerja kita, saya masih teragak-agak. Sehinggalah Puan Shahrizad memberi isyarat lampu hijau kepada saya bahawa Kak Anis bersedia membantu. Lalu, saya terus menghubungi Kak Anis.

Jadi, manuskrip VT saya serahkan kepada Kak Anis untuk di’bedah’. Oleh kerana VT sebuah novel yang tebal, saya memecahkan naskah ‘printout’ novel ini kepada dua jilid untuk diberikan kepada Kak Anis. Setiap satu jilid setebal kira-kira 200 halaman, bertaip ‘single spacing’. Sewaktu Kak Anis ada program di Kota Bharu, dia membawa jilid yang pertama. Apabila beliau kemudiannya ada program di Kedah, beliau membawa jilid yang satu lagi, selepas selesai menyemak jilid yang pertama.

“Kak Anis cuba cari bahagian-bahagian yang mungkin boleh dipotong untuk memadatkan novel ini, tetapi Kak Anis tak jumpa. Kalau ada bahagian yang dibuang, nanti terjejas jalan cerita,” beritahu Kak Anis.

Alhamdulillah, Kak Anis melakukan ‘minor operation’ ke atas VT dengan cukup berhati-hati, namun efisyen. Di tangan Kak Anis, VT sebagai sebuah novel yang mantap, dikuatkan dan dicantikkan lagi. Beberapa kekurangan dapat beliau baiki, dengan menjaga gaya penulisan yang asal dan sama sekali tidak merosakkan jalan cerita.

Setelah hampir seminggu VT berada di tangan Kak Anis, saya ‘kacau’ Kak Anis dengan bertanyakan komen awalnya tentang VT.

“Subjek luar biasa dan sentuhan Islami yang berkesan,” komen Kak Anis melalui sms.

Selesai beliau menyemak VT secara keseluruhan, saya meminta Kak Anis menulis komentar beliau tentang VT untuk tujuan promosi.

Dalam komentarnya, Kak Anis menulis, VT menjanjikan kepuasan membaca yang seimbang. “Ceritanya menarik, moral ceritanya menambat hati.”

Menurut Kak Anis, Hilal cekap menukangi VT. “Aksi-aksi wataknya mengembangkan plot sedikit demi sedikit. Cerita berkembang dengan memancing sensitiviti kita melalui episod yang pelbagai rona emosi: mengharukan, menyedihkan, memeranjatkan, mendebarkan, dan menggelikan hati. Dengan ramuan-ramuan ini, membaca VT menjadi satu aktiviti yang mengasyikkan!”

Kak Anis melihat VT bukan semata-mata sebagai sebuah novel tentang pemain dan permainan bola tampar, sebaliknya menggalas misi ulung menyuntik nilai Islami kepada pemain dan permainan bola tampar itu sendiri.

“Sentuhan Islami ini dilakukan dengan halus, terancang, dan bermatlamat. Hilal Asyraf mengatur taktik naratifnya agar objektif membawa Islam kepada pemain dan permainan mengalir licin dan logikal. Elemen dakwahnya bersahaja,” ujar Kak Anis.

Kak Anis mempunyai naluri yang kuat dalam menilai karya sastera kerana mempunyai banyak pengalaman menilai karya-karya sayembara. Beliau merupakan Ketua Hakim Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil.

Kak Anis berbisik kepada saya, "VT boleh lawan Ayat-ayat Cinta. Nilai Islaminya bukan hanya di permukaan, tapi sampai ke dalam."

"Bolehkah VT menarik minat pembaca perempuan?" saya menduga, kerana VT adalah sebuah novel remaja jantan, tanpa watak perempuan. VT lari daripada tradisi kebanyakan novel remaja lain, yang dihidupkan oleh watak-watak perempuan. Memang kebanyakan penulisnya pun perempuan.

"Eh, saya pun perempuan, saya seronok baca sampai tak tidur malam," kata Kak Anis sambil tergelak kecil.

"Saya tidak faham sangat tentang sukan, tetapi apabila baca VT, saya dapat faham. Barulah saya tahu apa yang dinamakan 'digging', ‘setting’ dan lain-lain dalam bola tampar. Dia (Hilal Asyraf) dapat menggambarkan permainan bola tampar hingga kita boleh 'nampak' depan mata."

VT, novel setebal 511 halaman yang dijual dengan harga RM25, mengisahkan perjuangan Hussam, jurulatih misteri, untuk membawa angin baru kepada pasukan bola tampar MATRI, sebuah sekolah kampung. Pasukan ini pernah mencipta fenomena menewaskan juara yang digeruni dari sebuah sekolah sukan. Tetapi sepuluh tahun kemudian, pasukan ini tenat dan hampir dibubarkan. Menggunakan formula Islam, Hussam menggalas cabaran ‘merawat’ pemain-pemain yang sangat bermasalah dan menangani konflik mereka di luar gelanggang.

Pulih Daripada Demam Pra Pesta Buku

Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan editor baru hendak kebah daripada ‘demam’ pra pesta buku. Demam ini berlangsung selama beberapa minggu sehinggalah kerja-kerja peringkat akhir proses penerbitan kira-kira 30 judul buku terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd., dapat diselesaikan.

Masih ada satu dua judul buku baru yang sedang diuruskan penerbitannya, tetapi judul-judul lain sudah dikirim ke kilang cetak. Oleh itu, ‘demam’ pra pesta buku sudah beransur pulih dan momentum kerja sudah kembali normal. Esok saya dan beberapa rakan editor akan berkunjung ke DBP untuk menghadiri Seminar Sehari Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja. Di samping menimba ilmu baru, dapatlah memulihkan tekanan yang dirasai akibat mengejar tarikh akhir (deadline) kerja-kerja penerbitan sebelum ini.

Moga-moga Allah menilai kerja-kerja kami sebagai ibadah. Jika ada pahala amal jariah daripada perkongsian ilmu melalui buku-buku yang kami terbitkan, mudah-mudahan ada saham kami di situ.

Selepas ini, demam pesta buku sebenar pula akan menjelma apabila Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2009 bermula dari 17 hingga 26 April. PBAKL adalah pesta buku terbesar di Malaysia dan hampir tidak ada penerbit buku yang tidak menganggapnya penting. Pemain-pemain besar dalam industri buku menjadikan PBAKL sebagai medan untuk memperagakan dan melancarkan buku-buku terbaru masing-masing.

GISB telah menempah empat lot gerai untuk pesta buku kali ini, selepas muncul kali pertama dalam PBAKL tahun lalu dengan mengisi dua lot gerai. Walaupun GISB ialah pemain baru, kami mahu turut memeriahkan industri buku dengan buku-buku berkualiti dan membawa wadah Islam.

Wadah Islam ini sudah digalas oleh GISB sejak ia menerbitkan produk perdananya pada Julai 1997 dalam bentuk majalah Anis dan Asuh. Sekarang wadah ini dilebarkan untuk menampung pengisian yang sama tetapi berbeza bentuknya. Buku.