BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, April 8, 2009

Pulih Daripada Demam Pra Pesta Buku

Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan editor baru hendak kebah daripada ‘demam’ pra pesta buku. Demam ini berlangsung selama beberapa minggu sehinggalah kerja-kerja peringkat akhir proses penerbitan kira-kira 30 judul buku terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd., dapat diselesaikan.

Masih ada satu dua judul buku baru yang sedang diuruskan penerbitannya, tetapi judul-judul lain sudah dikirim ke kilang cetak. Oleh itu, ‘demam’ pra pesta buku sudah beransur pulih dan momentum kerja sudah kembali normal. Esok saya dan beberapa rakan editor akan berkunjung ke DBP untuk menghadiri Seminar Sehari Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja. Di samping menimba ilmu baru, dapatlah memulihkan tekanan yang dirasai akibat mengejar tarikh akhir (deadline) kerja-kerja penerbitan sebelum ini.

Moga-moga Allah menilai kerja-kerja kami sebagai ibadah. Jika ada pahala amal jariah daripada perkongsian ilmu melalui buku-buku yang kami terbitkan, mudah-mudahan ada saham kami di situ.

Selepas ini, demam pesta buku sebenar pula akan menjelma apabila Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2009 bermula dari 17 hingga 26 April. PBAKL adalah pesta buku terbesar di Malaysia dan hampir tidak ada penerbit buku yang tidak menganggapnya penting. Pemain-pemain besar dalam industri buku menjadikan PBAKL sebagai medan untuk memperagakan dan melancarkan buku-buku terbaru masing-masing.

GISB telah menempah empat lot gerai untuk pesta buku kali ini, selepas muncul kali pertama dalam PBAKL tahun lalu dengan mengisi dua lot gerai. Walaupun GISB ialah pemain baru, kami mahu turut memeriahkan industri buku dengan buku-buku berkualiti dan membawa wadah Islam.

Wadah Islam ini sudah digalas oleh GISB sejak ia menerbitkan produk perdananya pada Julai 1997 dalam bentuk majalah Anis dan Asuh. Sekarang wadah ini dilebarkan untuk menampung pengisian yang sama tetapi berbeza bentuknya. Buku.


2 comments:

IlhamHamdani said...

Salam Tuan Zakaria yang gigih,

Padanlah!

Kasihan kami semua yang meleleh air liur menunggukan tulisan Tuan ... hehe.

Selamat berjaya untuk penerbit-penerbit yang gigih memandaikan bangsa, mudahan Tuhan memberkati usaha kalian!

IlhamHamdani,
Canberra, Australia

Zakaria said...

Wkmsalam Tuan IlhamHamdani,

Oh, mohon maaf membiarkan tuan menunggu-nunggu. Doa orang-orang seperti tuan menjadi baja, insya-Allah.