BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, May 25, 2010

Dodi Hidayatullah


Sewaktu novel Stanza Cinta terbitan Galeri Ilmu dilancarkan oleh Dato' A. Samad Said di PWTC sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu, penasyid Indonesia, Dodi Hidayatullah (foto) diundang menyampaikan beberapa buah lagu. Antara lagu yang beliau dendangkan adalah lagu Stanza Cinta.

Dodi mencipta sendiri lagu itu selepas membaca manuskrip novel itu. Liriknya ditulis bersama dengan penulis Stanza Cinta sendiri, Nurull Halawati. Dengan kata lain, lagu ini diawali dengan novel. Daripada judul novel, menjadi judul lagu. Dan lagu itu membawa mood yang sama dengan mood novel. Ada kisah dalam lagu itu yang hanya akan dapat dihayati dan difahami oleh pendengar apabila mereka membaca novelnya.

Filem dan lagu adalah pakej yang lumrah, tetapi jarang ada novel yang dipakejkan dengan lagu. Rupanya Dodi melihat potensi novel Stanza Cinta untuk diterima dengan baik di Indonesia. Beliau menyarankan agar novel ini diterbitkan di sana dan "novelnya dijadikan filem".

Dodi bukan sekadar menyarankan, malah beliau juga cuba membantu membuka laluan. Beliau telah berusaha membawa lagu Stanza Cinta masuk ke playlist radio-radio Islam di Indonesia.

"Banyak yang suka," katanya dalam mesej chattingnya. "Dodi pun akan buat ringtone ... dan promo single lagu Stanza Cinta ke radio-radio Islam Indonesia. Sekaligus Dodi akan bincangkan bahawa lagu ini diawali dengan novel. Dan banyak yang ingin tahu novelnya."

"Masya-Allah. Itu perkembangan yang bagus. Bagus untuk Dodi dan bagus juga untuk novel itu andainya jadi terbit di sana nanti. Kita doakan segalanya Allah mudahkan dan Allah redha," beritahu saya.

Apakah wujudnya watak Taufik, iaitu watak utama seorang pemuda Indonesia dalam kisah cinta tiga segi lewat novel Stanza Cinta, dapat menjadi faktor pelaris novel ini di sana? Wallahu a'lam. Yang pasti, munculnya watak Taufik dalam Stanza Cinta bukanlah diada-adakan. Ia melatari satu kisah benar yang diangkat dan dikembangkan dengan begitu baik oleh Nurull Halawati menjadi kisah fiksyen yang meruntun emosi dalam Stanza Cinta.

Menurut Encik Mohd Yusri Yusof, Pengarah Pemasaran Galeri Ilmu, novel Stanza Cinta menerima permintaan yang tinggi daripada pembaca selepas berakhirnya pesta buku di PWTC yang lalu. Selain di kedai-kedai, banyak yang memesan novel ini melalui pos.

Jumaat lepas, Nurull Halawati memenuhi undangan Fedtri Yahya muncul di MHI TV3. Ini satu petanda yang baik untuk novel ini dan untuk masa depan Nurull Halawati sebagai novelis. Kali terakhir saya melihat penulis novel Islami muncul di MHI adalah ketika Zaid Akhtar diundang memperkatakan novelnya Salju Sakinah dua tahun lalu.


Monday, May 24, 2010

Hasan Suyut di MHI dan Radio IKIM


Hasan Suyut, penulis buku kisah benar Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah dijadualkan muncul di MHI TV3 pada Rabu ini (26 Mei) sekitar pukul 8 pagi.

Pengacara TV3, Fedtri Yahya, yang telah membaca buku itu, akan menemubual Hasan.

Atiq Wazif (foto, bersama Hasan), anak istimewa pasangan Hasan dan Cikgu Dora yang kini berusia 10 tahun, insya-Allah akan turut muncul di studio.

Pada Khamis depan (3 Jun) pula, Hasan akan ke udara di Radio IKIM melalui slot Mesra Bersama Anis pada pukul 6.15 petang. Turut ke udara dalam temubual bersama DJ Fairuz itu adalah dua orang anak lelaki beliau, Atiq Waiz dan Atiq Wafiq.

Hasan baru pulang bercuti ke Malaysia selepas lebih tiga tahun bermastautin di Amerika Syarikat.

Thursday, May 20, 2010

Bersedia Menerima Teguran

Bagaimana pun seseorang itu mahu menjadi sempurna, sukar untuk dia mencapai kesempurnaan yang mutlak. Apa yang boleh dibuat adalah mengusahakan ciri-ciri kesempurnaan pada diri. Kalaupun tidak sempurna, banyaknya ciri kesempurnaan pada diri itu pun sudah satu pencapaian menuju kesempurnaan. Manusia yang paling sempurna hanyalah Nabi Muhammad SAW.

Apabila seseorang itu berasa dirinya sempurna maka dibimbangi di situlah pula berlakunya ketidaksempurnaan. Kerana manusia dilahirkan dengan sifatnya begitu. Tidak sempurna. Allah bekalkan agama sebagai panduan hidup manusia menuju kesempurnaan. Dengan panduan agama, manusia mendapat suluhan untuk membina ciri-ciri kesempurnaan pada dirinya. Dengan panduan agama juga, manusia saling pesan-memesan dan ingat-mengingatkan untuk membina kesempurnaan.

Hal ini juga benar dalam membina diri menjadi penulis. Dalam menulis, betapa pun seseorang penulis itu cuba menghasilkan tulisan yang sempurna, dia tetap memerlukan orang kedua untuk menilai tulisannya.

Apabila penulis sudah berasa tulisan-tulisannya sempurna, dibimbangi di situlah letaknya ketidaksempurnaan. Apabila hasil karyanya sudah dirasakan sempurna, penulis tidak lagi membuka pintu kepada teguran dan kritikan. Dia hanya membuka pintu kepada pujian dan sanjungan.

"Lebih baik mendengar kritikan daripada pujian kerana kritikan membantu kita. Pujian ini bahaya," ungkap novelis dan pembimbing novelis, Puan Maria Kajiwa.

Kata-kata itu sudah tentunya diungkap berdasarkan pengalaman.

Imam al-Ghazali berkata bahawa kejian daripada musuh mungkin mendatangkan lebih kebaikan berbanding pujian daripada orang yang dekat dengan kita.

Oleh sebab itu, penulis mesti bersedia ditegur. Memang pedih apabila kena tegur tetapi yang pedih itu boleh menjadi ubat yang mujarab.

Monday, May 17, 2010

Memahami Hak Cipta

Sewaktu Galeri Ilmu Sdn Bhd hendak menubuhkan Jabatan Buku pada pertengahan 2008, antara perkara pertama yang dilakukan adalah mengundang pakar undang-undang berkaitan hak cipta untuk menyampaikan ceramah.

Pakar yang diundang ialah Puan Nisah Haron, bekas peguam yang merupakan penulis buku Karya Kita Hak Kita. Beliau menyampaikan ceramah tentang isu-isu hak cipta dalam dunia penerbitan buku. Dalam majlis ceramah itu, kakitangan bahagian editorial, pemasaran dan pentadbiran hadir mendengar serta bersoal jawab.

Banyak perkara berkaitan hak cipta dapat diketahui dan difahami melalui majlis ceramah dan soal jawab itu, untuk diaplikasi dalam operasi Jabatan Buku Galeri Ilmu Sdn Bhd yang ditubuhkan pada Jun 2008.

Memahami persoalan hak cipta sangat dituntut ke atas penerbit mahupun penulis. Penulis dan penerbit akan saling memahami hak masing-masing. Hal ini menjamin hubungan baik yang berterusan antara penulis dan penerbit.

Apabila persoalan hak cipta ini tidak difahami, salah laku mungkin berlaku, seterusnya kejadian saman-menyaman mungkin tidak dapat dielakkan apabila berlakunya perlanggaran hak cipta.


Saturday, May 15, 2010

Hasan Suyut


Setelah hampir empat tahun berhijrah dan bermastautin di Amerika Syarikat, Hasan Suyut (foto), penulis buku Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah, kini pulang ke Malaysia. Beliau sekeluarga tiba beberapa hari lepas untuk melepaskan kerinduan kepada keluarga dan kampung halaman sempena percutian musim panas (summer break).

Sebelum ini dalam e-melnya Saudara Hasan menyatakan beliau akan "singgah di Malaysia". Rupanya beliau pulang bercuti bersama keluarga selama dua hingga tiga bulan tetapi beliau sendiri akan 'on-off' kerana mempunyai urusan di luar negara.

Ketika di Malaysia, beliau sekeluarga akan berada di rumah mereka di Kota Damansara. Memandangkan beliau hanya pulang sekali-sekala, dan entah bila pula akan pulang lagi ke Malaysia, Galeri Ilmu akan berbincang dengan beliau untuk mengatur program yang sesuai. Pengalaman beliau berkejar dengan masa demi memulihkan seorang anak istimewa sejak anak itu berumur 40 hari hingga kini berusia 10 tahun, sangat berharga dan wajar dikongsi dengan ramai ibu bapa di luar sana.

Sebelum ini ada beberapa pihak yang menghubungi kami dan menghubungi beliau sendiri untuk menanyakan kesediaan beliau untuk berkongsi pengalaman itu, tetapi ketika itu beliau berada di luar negara. Sekarang beliau mempunyai sedikit waktu untuk itu walaupun akan sibuk dengan beberapa urusan di luar negara dalam tempoh dua bulan percutian ini.


Friday, May 14, 2010

Kebenaran Itu Keindahan

Ya, kebenaran itu satu keindahan. Apa kait-mengaitnya dengan penulisan?

Bacalah al-Quran. Bacalah terjemahannya. Ayat-ayat al-Quran terasa indah walaupun tidak menggunakan bahasa berbunga-bunga dan istilah-istilah yang pelik-pelik. Bacalah bicara Rasulullah SAW. Bacalah terjemahan hadis-hadis baginda. Bahasanya amat mudah. Diksi yang dipilih adalah diksi yang mudah-mudah. Dalam kesederhanaan gaya penyampaian al-Quran dan hadis itu, di situ terasa keindahannya kerana apa yang disampaikan oleh Allah melalui al-Quran dan apa yang disampaikan oleh Nabi SAW melalui hadis itu adalah kebenaran belaka.

Oleh itu dalam menulis, utamakan kebenaran, bukan keindahan. Keindahan akan datang sendiri apabila tulisan kita penuh dengan kebenaran, insya-Allah.

Utamakan nilai isi (content value). Besarkan nilai isi. Keindahan bahasa akan lahir bersamanya, asalkan isi yang disampaikan itu memang indah.

Apabila kita memberi tumpuan pada nilai isi atau pada apa yang kita hendak sampaikan, kita akan mampu menulis menggunakan ayat-ayat yang komunikatif. Ayat-ayat yang mudah difahami dan mudah untuk sampai kepada maksud. Inilah sebahagian rahsia kekuatan cerpen-cerpen dan novel-novel karya penulis besar, seperti Hamka dan Ernest Hemingway. Mereka menggunakan ayat-ayat yang komunikatif dalam menulis.

Hemat Menulis

Rupanya menulis pun perlu berhemat. Hemat dengan waktu menulis. Untuk mudah faham, saya akan buat eksperimen. Saya akan menulis entri ini dalam masa sepuluh minit. Tidak lebih.

Seperti kita ke pasar raya untuk membeli barang. Kita sudah senaraikan barang yang hendak dibeli. Kita sudah hadkan wang yang hendak dikeluarkan. Kita juga sudah menetapkan waktu yang hendak diperuntukkan untuk membeli barang di pasar raya itu. Menulis juga begitu.


Apabila hendak menulis, pertama kita mesti tahu apa yang kita hendak sampaikan. Apa isi tulisan kita itu. Kemudian, kita mesti sasarkan tarikh siapnya tulisan itu. Katalah, tarikh siap yang disasarkan adalah Jumaat depan. Seterusnya, kita mesti tetapkan hari apa kita hendak duduk menulis dan berapa jam kita hendak memperuntukkan waktu menulisnya. Sudah tentu, kita mesti membuat persediaan untuk menulis. Misalnya, membuat sedikit penyelidikan untuk menyokong hujah dalam tulisan itu. Dengan itu, apabila kita duduk menulis nanti, kita dalam keadaan bersedia dengan hujah dan fakta.

Apabila kita benar-benar hendak duduk menulis, kita mesti membuat sasaran. Berapa minit atau berapa jam yang kita hendak peruntukkan untuk menulis itu. Ini yang saya maksudkan berhemat dalam menulis.

Apabila kita tidak cuba berhemat dalam menulis, kita mungkin memperuntukkan masa yang terlalu lama untuk menyiapkan sesebuah tulisan, kerana kita tidak menetapkan sasaran. Dengan kata lain, kita tidak membuat perancangan. Apa yang mungkin berlaku, sebelum habis menulis, kita akan beralih pada kerja lain. Hal itu menyebabkan kita kehilangan momentum menulis. Pada akhirnya, tulisan itu akan tergantung. Apabila kita duduk semula untuk meneruskannya, kita sudah sukar untuk menemui sentuhan semula.

Baik, rasanya saya sudah dapat menyampaikan apa yang saya hendak sampaikan dan sudah cukup 10 minit saya menulis entri ini. Allah memberi masa yang selesa kepada kita untuk berbuat satu-satu pekerjaan maka kita harus berhemat menggunakannya. Rancang masa menulis.

Memahami Reader's Contract

Apabila karya kita diterbitkan dan pembaca membelinya, maka berlaku apa yang disebut reader's contract. Pembaca mengeluarkan sejumlah wang untuk membeli buku atau novel itu, manakala penulis (dan penerbit) menjanjikan pengalaman membaca yang berbaloi dengan nilai wang yang pembaca keluarkan itu. Ada pernjanjian atau kontrak tidak rasmi di situ.

Oleh sebab itu, sebagai penulis, kita tidak boleh menulis sambil lewa. Kita tidak boleh mengambil sikap, asalkan karya kita diterbitkan, itu sudah lebih daripada cukup. Tidak boleh begitu. Penulis mesti mengambil sikap yang lebih murni, iaitu memandangkan pembaca sudah mengeluarkan sejumlah wang untuk memiliki buku atau novel kita maka kita mesti memastikan nilai isi (content value) karya itu memenuhi jangkaan (expectation) pembaca.

Sebagai penulis Islam, kita juga ada 'kontrak' dengan Tuhan.

Kita bukan saja perlu memastikan karya kita berbaloi dibeli dan dibaca, malah perlu juga memastikan karya itu memberi impak yang positif kepada pembaca.

Kita menulis bukan sekadar untuk memberi kepuasan kepada pembaca tetapi untuk mengajak kepada sesuatu. Mengajak pembaca kepada membesarkan Allah, membesarkan syariat Allah dan merasai indahnya Islam, satu-satunya peraturan hidup yang paling sempurna (kerana ia datang daripada Yang Maha Sempurna).

Ruang yang Allah berikan kepada kita untuk berkarya perlu kita manfaatkan untuk 'mempromosikan' Allah dan peraturan hidup daripada Allah. Anugerah Allah dalam bentuk bakat, kemahiran menulis, idea menulis dan segala macam nikmat yang membolehkan kita menulis, perlu kita manfaatkan untuk bercerita atau membawa manusia kepada Allah. Jangan hanya bercerita atau membawa kepada makhluk Allah tanpa mengaitkannya dengan Allah.

Inilah 'kontrak' kita dengan Tuhan.


Wednesday, May 12, 2010

Tuntutan Menguasai Teknik dan Gaya Kontemporari

Ada penulis yang mampu menulis dengan baik kerana dipimpin oleh naluri dan bakat semula jadi. Apabila dia menulis, tulisannya menjadi. Karyanya disenangi dan sedap dibaca. Walaupun demikian, setiap penulis mesti sentiasa berusaha untuk meningkatkan ilmu penulisan supaya dia dapat menulis terus-menerus dengan mutu penulisan yang konsisten. Hal ini benar terutamanya dalam penulisan fiksyen.

Penulisan fiksyen adalah seni yang memerlukan kemahiran yang tinggi. Ambil penulisan novel sebagai contoh. Untuk menguasai kemahiran menulis novel yang dapat diterima oleh khalayak pembaca hari ini, penulis perlu menguasai teknik dan gaya penulisan novel yang terkini. Biarlah penulis menghasilkan novel yang baik berdasarkan ilmu penulisan yang dikuasainya, bukan secara 'kebetulan' iaitu semata-mata bergantung pada naluri dan bakat.

Seorang penulis yang memang berbakat menulis novel akan mampu menyerlahkan lagi bakatnya apabila dia telah menguasai teknik dan gaya penulisan novel dengan baik. Dia mesti berusaha menguasai seni itu. Master the craft. Kuasai ilmunya (teori), kemudian kuasai praktiknya.

Teknik dan gaya penulisan pula berkembang, bukan statik, sesuai dengan citarasa pembaca yang berubah-ubah. Misalnya, puluhan tahun dulu, penulis novel tidak pernah tahu tentang kepentingan bab pertama. Tetapi cara orang membaca dan menikmati novel hari ini tidak sama dengan cara 50 tahun dahulu. Hari ini ketika pilihan novel yang baik dan sedap dibaca sudah melaut, pembaca lebih cerewet. Pembaca juga sentiasa berkejar dengan masa. Apabila hendak membaca novel, pembaca membelek bab pertama dahulu. Jika bab pertama berjaya menarik minatnya, barulah berkemungkinan besar dia akan terpengaruh untuk menguliti novel itu. Oleh itu, dalam teknik penulisan novel kontemporari, cara menulis bab pertama ditekankan.

Pada hari ini, pembaca juga sudah sangat terdedah kepada media visual -- filem dan drama. Oleh itu, teknik dan gaya penulisan skrip filem dan drama sudah diguna pakai juga dalam menulis novel untuk menghasilkan tarikan dan impak yang besar kepada pembaca. Istilah-istilah filem dan drama seperti big bang, inciting incident, 3-act structure, cliff hanger, hook, intercut, scene structure dan sebagainya, sudah menjadi istilah lazim dalam penulisan manuskrip novel. Ia sudah menjadi sebahagian daripada teknik penulisan novel yang perlu dikuasai oleh novelis, bukan hanya oleh penulis skrip filem dan drama. Apa yang penonton harapkan daripada sebuah filem atau drama, itulah yang mereka harapkan daripada sebuah novel.

Atas sebab itulah bagi sebahagian penggemar novel yang sudah membaca banyak novel berbahasa Inggeris yang bagus-bagus, mereka mungkin terasa sedikit cuak apabila membaca sesetengah novel berbahasa Melayu yang dirasakan tidak mencapai standard seperti novel-novel Inggeris yang mereka biasa baca. Pembaca-pembaca ini mungkin tidak tahu tentang teknik penulisan novel yang baik, tetapi naluri mereka dapat membezakan antara novel yang sedap dibaca dan novel yang hambar. Novelis-novelis di Barat memang jauh ke depan dalam menguasai teknik penulisan.

Malah, di kalangan novelis Indonesia pun, ramai yang telah menguasai teknik penulisan yang agak ke depan berbanding sebahagian novelis Malaysia. Ini adalah realiti yang mudah difahami. memandangkan industri buku di sana sudah lebih dulu bertapak. Kata Puan Ainon Mohd: "Industri buku Indonesia sekurang-kurangnya dua puluh tahun lebih maju dibandingkan dengan industri buku di Malaysia, baik dari sudut jumlah judul mahupun isi kandungan buku."

Ini cabaran bagi penulis (dan penerbit) yang mahu menghasilkan novel-novel Islami yang bermutu. Penulis harus bersedia menyahut cabaran ini, bukan saja berbekalkan bakat semula jadi tetapi juga berbekalkan ilmu penulisan yang kontemporari.

Haruskah penulis berjiwa Islam berasa cemburu melihat novelis-novelis Barat mampu 'menyihir' (istilah Habiburrahman El-Shirazy) khalayak pembaca dengan novel-novel yang teknik dan gaya penulisannya begitu ampuh padahal isinya tidak membawa pembaca kepada membesarkan Allah dan syariat-Nya? Ya, mesti.

Kecemburuan itu mesti ada. Kecemburuan itu juga mesti menggerakkan kudrat untuk menghasilkan novel Islami yang setanding dengan novel-novel Barat itu.


Monday, May 10, 2010

Perjalanan Seorang Editor

Editor atau penyunting mesti cuba menguasai ilmu penulisan sedalam yang mungkin. Apabila dia hendak menangani manuskrip novel misalnya, dia mesti telah menguasai asas-asas ilmu penulisan novel. Saya semakin merasai pentingnya perkara ini selepas menghadiri bengkel penulisan novel yang dikendalikan oleh Puan Maria Kajiwa semalam (Ahad).

Ya, pada hari Sabtu saya mengendalikan bengkel asas penulisan novel Islami di Galeri Ilmu. Hari itu saya menjadi pembimbing. Keesokannya, setelah dipelawa oleh seorang rakan penulis, Tuan Zayu Hisham (Cikgu Wan) yang juga merupakan penulis bimbingan saya, saya meletakkan diri saya sebagai pelajar dan menghadiri bengkel penulisan novel Puan Maria.

Setakat ini, dalam tempoh dua tahun, saya sudah menghadiri beberapa bengkel penulisan fiksyen yang dikendalikan oleh nama-nama besar dalam penulisan cerpen dan novel tanah air. Saya berbengkel bersama Bonda Zaharah Nawawi, Dr. Mawar Shafie, Tuan Faisal Tehrani, Puan Nisah Haron dan yang terakhir bersama Puan Maria Kajiwa.

Saya juga mengikuti bengkel Teknik Surah Yusuf, bengkel adaptasi dan bengkel penulisan fiksyen sejarah dengan Puan Ainon Mohd, sifu PTS yang merupakan mentor penulis yang sangat saya kagumi. Malah saya juga mengikuti bengkel penulisan skrip drama selama empat hari yang dikendalikan oleh rakan penulis, Tuan Zabidi Mohamed.

Dalam setiap bengkel itu saya mendapat pencerahan demi pencerahan. Saya menganggapnya sebagai sebahagian daripada perjalanan (journey) saya sebagai seorang editor dan penulis. Laluan yang Allah lorongkan untuk saya bagi menambah ilmu penulisan.

Sebagai editor yang diamanahkan memantau tugas-tugas kepengarangan dan pembinaan judul buku terutama novel, saya juga mengambil tanggungjawab membimbing calon-calon penulis. Pengalaman selama 20 tahun dalam bidang penulisan dan kewartawanan banyak membantu, tetapi masih banyak yang saya perlu tahu. Dunia penulisan kaya dengan pelbagai corak penulisan, juga kaya dengan genre dan subgenre.

Untuk menerajui misi melahirkan novel-novel Islami yang bermutu, saya perlu tahu asas-asas ilmu penulisan novel. Saya perlu menguasai teori-teori penulisan novel daripada penulis-penulis berpengalaman. Dari situ saya akan lebih bersedia untuk menilai manuskrip-manuskrip novel yang sampai ke meja saya. Saya masih belajar dan akan terus belajar. Setakat apa yang saya sudah tahu dan faham, itulah yang saya sampaikan dalam bengkel-bengkel saya. Itulah yang saya kongsi dengan calon-calon penulis novel Islami yang saya bimbing. Itulah bahan modul bengkel saya.

Dalam masa yang sama, saya perlu mengambah kefahaman, pengamalan dan penghayatan Islam saya. Saya juga perlu menambah kefahaman dalam soal-soal dakwah dan tarbiah supaya saya lebih bersedia untuk membezakan karya-karya yang 'dos' nilai Islamnya tinggi atau rendah, atau karya yang tidak ada sama sekali nilai Islam di dalamnya. Juga dalam membezakan karya yang pendekatan dakwahnya berhikmah dan yang kurang berhikmah.

Salah satu perkara yang saya pelajari daripada Puan Ainon Mohd adalah pendekatan proaktif dalam mendapatkan manuskrip-manuskrip yang baik. Caranya adalah dengan mengadakan bengkel-bengkel penulisan. Itulah yang dibuat oleh Puan Ainon sendiri di PTS.

Memang bukan semua editor perlu membimbing penulis melalui bengkel. Tetapi setiap editor perlu sekurang-kurangnya memahami teori penulisan yang paling asas, supaya dia lebih berkeyakinan untuk menangani sesebuah tulisan atau manuskrip.

Tanpa ilmu penulisan ini, editor tidak akan mampu berperanan sebagai 'gatekeeper' untuk menyaring karya-karya yang masuk. Maka tidak ada jaminan bahawa hanya karya-karya yang berkualiti saja yang diterbitkan. Perkara ini tentu menyedihkan dan ia akan jadi lebih menyedihkan apabila berlaku pada karya Islami, kerana apa saja yang dikaitkan dengan Islam biarlah sinonim dengan kualiti. Salah satu hikmah dalam berdakwah adalah menyampaikan dakwah melalui pendekatan yang disenangi oleh khalayak. Karya berkualiti disenangi oleh pembaca.

Friday, May 7, 2010

Hilal Asyraf


Hilal Asyraf. Satu nama baru dalam dunia penulisan tanah air. Usianya masih muda. Malah masih terlalu muda bagi seorang penulis yang sudah menghasilkan tujuh buah buku - dua buku motivasi dan lima buah novel.

Saudara Hilal Asyraf yang masih menuntut di University of Yarmouk, Jordan dalam jurusan usuluddin, berusia 21 tahun. Saya tidak melihat usianya, saya melihat kematangannya dalam berkarya. Karya-karyanya sama ada yang sudah dibukukan mahupun yang disiarkan di laman blognya, langitilahi.com, mempunyai sentuhan tersendiri dalam menyampaikan dakwah dan tarbiah.

Justeru, walaupun masih baru dalam dunia penulisan, Saudara Hilal Asyraf sudah memperlihatkan potensi besar. Sedikit sebanyak beliau sudah menguasai seni-seni penulisan, khususnya penulisan komunikatif dalam menyampaikan dakwah dan tarbiah termasuk karya fiksyen. Cerpen-cerpen dan novel-novel Islaminya sudah diterima khalayak. Latar belakang pendidikan agamanya menolak beliau ke depan dalam menghasilkan karya-karya fiksyen Islami yang memberi impak tersendiri.

Saudara Hilal Asyraf akan pulang bercuti selama lebih tiga bulan mulai awal Jun. "Saya tak rancang pun nak balik ni. Umi suruh balik," beritahu beliau dalam e-mel. Galeri Ilmu sudah menyusun beberapa program untuk diisi oleh Saudara Hilal sepulangnya beliau ke Malaysia nanti.

Selain daripada program promosi, kami telah mengatur tiga sesi bengkel yang akan dikendalikan oleh Saudara Hilal, iaitu bengkel penulisan fiksyen Islami (cerpen dan novel). Bengkel penulisan itu juga akan dipakejkan dengan perkongsian tentang pengurusan blog.

Bengkel itu akan diadakan pada tarikh dan di tempat berikut:

Bengkel Ekspres Penulisan Fiksyen Islami di Kota Damansara - 12 Jun.
Bengkel Penulisan Fiksyen Islami dan Pengurusan Blog di Kota Damansara - 26 & 27 Jun.
Bengkel Penulisan Fiksyen Islami dan Pengurusan Blog di Alor Setar - 23 & 24 Julai.

Maklumat terperinci akan diuar-uarkan dalam majalah ANIS, di blog ini, di blog Jabatan Buku GISB dan laman web Galeri Ilmu.

Thursday, May 6, 2010

Bengkel Penulisan Islami (Nonfiksyen) Bersama Pahrol Mohd Juoi

Butiran bengkel adalah seperti berikut:

Tarikh: 29 & 30 Mei 2010 (Sabtu dan Ahad).
Tempat: Akademi Tahfiz Darul Huffaz, Seksyen 3, Kota Damansara.
Masa: 8.30 pagi hingga 5 petang.
Yuran penyertaan: RM220 (umum) dan RM180 (pelajar).
Hubungi: Cik Suriati atau Encik Nasri 03-61421614.

Penyertaan dihadkan kepada 30 orang yang mendaftar awal.

Wednesday, May 5, 2010

Pahrol Mohd Juoi di Radio IKIM


Saudara Pahrol Mohd Juoi (foto, kiri) akan ke udara di Radio IKIM esok (Khamis) menerusi slot Mesra Bersama Anis.

Dalam rakaman kira-kira setengah jam yang dibuat pada pukul tiga petang tadi bersama penerbit dan DJ Ustaz Zamri Zainal Abidin serta wakil Jabatan Buku GISB Saudara Nasri Nasir, Saudara Pahrol bercerita tentang sejarah penglibatan beliau dalam penulisan serta prinsip-prinsip yang beliau jadikan pegangan dalam menulis.

Beliau juga berkongsi isi kandungan buku terbarunya bersama Galeri Ilmu, Nota Fikir Untuk Zikir serta perancangannya untuk menghasilkan kumpulan cerpen dan novel Islami.

Tulisan pertama beliau yang tersiar dalam majalah lebih 20 tahun lalu adalah cerpen Revolusi Beruk. Sejak itu beliau telah menghasilkan sejumlah cerpen Islami dan masih terus menulis cerpen hingga ke hari ini. "Untuk menulis novel, saya sedang belajar kerana saya belum arif. Tetapi saya sukakan cabaran ini," katanya.

Untuk mengetahui dengan terperinci apa yang dikongsi oleh Saudara Pahrol dalam slot Mesra Bersama Anis, ikuti saluran Radio IKIM pada pukul 6.15 petang esok.

Tuesday, May 4, 2010

Perkara-perkara Yang Menguatkan Olahan Cerita

Beberapa manuskrip novel Islami yang bagus sampai ke meja saya dari semasa ke semasa. Kebanyakannya karya penulis baru. Beberapa orang daripada mereka pernah menghadiri bengkel dan kursus penulisan, termasuk bengkel saya. Seorang dua adalah mantan peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) anjuran DBP. Manakala sebahagian lagi belum pernah mengikuti mana-mana bengkel penulisan.

Ada manuskrip yang betul-betul bagus kerana penulisnya telah menguasai kemahiran menulis dan kemahiran bercerita dengan baik, ditambah dengan kefahaman Islam yang baik yang berjaya diterapkan dalam karya masing-masing. Pada karya mereka, saya dan rakan editor menemui kekuatan-kekuatan yang seharusnya dimiliki oleh sesebuah novel Islami. Saya kongsikan di sini supaya dapat mengimbangi pendedahan tentang kesilapan-kesilapan lazim dalam olahan cerita yang saya post sebelum ini.

Di antara kekuatan-kekuatan itu adalah:

1. Mesej Islam yang jelas dan mengesankan. Perkara ini memberi mata yang tinggi kepada nilai isi (content value) karya itu. Ia menjadi karya yang bukan saja sedap dibaca tetapi juga berbaloi dibaca.

2. Maklumat berharga. Suntikan maklumat diletakkan kena pada tempatnya. Ini juga menjadikan karya itu terasa berbaloi dibaca. Ada nilai tarbiah dan ada maklumat berguna. Di sini kelebihan bagi penulis yang mempunyai ilmu bantu.

3. Mempunyai watak tarbawi. Ada watak-watak yang boleh dijadikan ikutan. Watak contoh yang membawa Islam pada dirinya.

4. Dialognya berisi. Inspiring. Di samping ada cerita, ada sesuatu yang cuba disampaikan melalui dialog.

5. Bab pertama memikat dan mengikat pembaca. Sudah ada 'clue' cerita atau bayangan konflik. Dengan kata lain, bab pertama cepat masuk kepada cerita, tidak meleret-leret.

6. Ada kelainan. Sama ada kelainan jalan cerita, atau keunikan watak atau latar tempat.

7. Watak-wataknya 'hidup' atau mengesankan. Pembaca dapat merasakan watak itu benar-benar wujud, cerminan daripada watak realiti yang dipindahkan dengan begitu baik kepada watak fiksyen.

8. Novel itu mengikat pembaca dari bab ke bab, malah dari halaman ke halaman (page turner). Kekuatan ini datang daripada elemen 'cliff hanger' di hujung bab, elemen 'hook' di awal bab, elemen tidak dijangka (unpredictable) dan konflik yang sambung-menyambung - graf konflik sentiasa menaik hinggalah mencapai klimaks sebelum akhir cerita.

9. Gaya olahannya padat, tidak meleret-leret. Penulis tidak memasukkan apa-apa yang tidak relevan dengan pergerakan cerita. Misalnya, dialog-dialognya relevan dengan cerita.

10. Disokong oleh subplot. Ada cerita dalam cerita. Subplot dan main plot akhirnya bertemu di hujung cerita.

11. Bahasa yang komunikatif. Ayat-ayatnya adalah ayat-ayat cerita, bukan ayat-ayat artikel. Penulis pandai memilih diksi dan membina ayat yang sesuai untuk menyampaikan cerita dengan jelas dan berkesan.

12. Ada klimaks cerita. Akhiran cerita memuaskan hati pembaca.

Semua kekuatan ini menjadikan sesebuah karya Islami itu berbaloi dibaca, sedap dibaca, puas dibaca dan mengesankan suntikan tarbiahnya.