BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, November 15, 2011

Wadah Bernama Q&A

18 Jun 2011
Sekitar pukul empat pagi, saya bersama dua sahabat, Ustaz Zul Ramli dan Hj Wan Mohd Azmin (Pengarah Penerbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd), pulang meredah aspal sepi lebuh Raya Damansara-Puchong menuju pejabat Galeri Ilmu di Kota Damansara. Satu misi telah terlaksana. Allah mengizinkan berlangsungnya pertemuan dinihari dengan sekumpulan ilmuan di Putra Height, Puchong.

Sebulan sebelumnya, Ustaz Zul Ramli dilantik oleh Galeri Ilmu sebagai Konsultan dan selaku Editor Eksekutif majalah Q&A, majalah terbaharu yang sedang diusahakan penerbitannya. Beliau ialah penulis kepada dua buku motivasi bersama Galeri Ilmu yang telah memberi impak yang besar kepada pembaca, U-Turn Ke Jalan Lurus dan R&R Di Lebuh Raya Kehidupan.
Pertemuan dengan kumpulan ilmuwan di Putra Height diatur pukul tiga pagi selepas mereka sama-sama menghadiri majlis pengajian ilmu hadis di sebuah premis berhampiran. Untuk pertemuan ini, kami sendiri duduk dalam majlis ilmu itu sejak pukul 11 malam; sama-sama menadah ilmu.

Para ilmuwan itu adalah pendakwah dan pensyarah bidang pengajian Islam di beberapa IPT. Seorang daripadanya ketua jabatan dan seorang lagi dekan fakulti. Dengan status itu, mereka masih memilih untuk belajar secara bertalaqi dengan tuan guru yang tiada kelayakan akademik yang tinggi dan bukan bergelar ‘doktor’ seperti sebahagian besar daripada mereka, tetapi alim dalam ilmu hadis.

Dengan mereka inilah kami duduk bertukar pandangan dan meluahkan hasrat melahirkan satu wadah ilmu, tarbiah dan motivasi untuk panduan umat yang kami namakan Q&A. Mereka menyambut baik penerbitaan Q&A sebagai wadah menyalur jawapan bagi persoalan kehidupan berlandaskan Quran dan as-Sunnah; dikuatkan pandangan ulama muktabar lagi amilin. Mereka sokong dengan doa, dengan buah fikiran dan bersedia menyumbang tulisan. Terasa dimudahkan oleh Allah apabila berkongsi pandangan dengan orang-orang yang punyai jalan fikiran dan gelombang rasa yang sama.

Pertemuan itu membuka laluan kepada beberapa pertemuan dengan para ustaz, ustazah, pendakwah, perunding motivasi dan cendekiawan Islam; mengajak mereka menumpahkan ilmu dan menitipkan tarbiah serta motivasi ke dalam Q&A setiap bulan.

22 Jun 2011
“Sudah lama kita tunggu majalah seperti ini,” ungkap Ustaz Raja Ahmad Mukhlis dalam salah satu pertemuan itu. Beliau adalah pendakwah dan penulis di belakang jomfaham.blogspot.com, blog rujukan buat mereka yang mencari jawapan kepada banyak persoalan agama berlandaskan pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Sokongan dan dukungan daripada figur yang dikenali ramai seperti Ustaz Mohd Kazim Elias, Ustaz Azhar Idrus, Prof. Dr. Muhaya dan lain-lain, mencantikkan lagi perjalanan untuk ‘Merungkai Persoalan, Membetulkan Amalan’ – moto Q&A.

Walaupun Ustaz Zul Ramli hanya dapat meluangkan masa sekali atau dua kali seminggu bersama tim majalah Q&A, beliau telah membantu merangka konsep dan halatuju yang jelas untuk majalah ini. Malah nama majalah ini sendiri dan pendekatan soal jawab yang digunakannya, adalah ilham daripada Ustaz Zul Ramli. Oleh itu, tidak sukar untuk meyakinkan calon-calon kolumnis mengenai visi, misi, pendekatan dan nilai yang mahu kami terapkan dalam Q&A kerana ia sudah jelas di atas kertas.

24 Julai 2011
Pertemuan saya dan Hj Wan Azmin dengan Ustaz Azhar Idrus berlangsung sewaktu beliau turun ke ibu kota untuk memenuhi undangan ceramah dan outing dengan sekumpulan peminat fotografi – follower blog beliau, digitalmukmin.com. Turut serta dalam pertemuan di hotel d’Palma, Ampang itu adalah Pok Man, pembantu setia Ustaz Azhar dan juga model dalam banyak rakaman foto berestetika tinggi dalam digitalmukmin.com. Encik Wan Hazrie, perantara kami dengan Ustaz Azhar yang menjayakan pertemuan ini, juga ada sama.

5 Ogos 2011
Tim editorial Q&A berkunjung ke pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Sohibus Samahah Datuk Hj Wan Zahidi menyambut baik hasrat kami melahirkan Q&A dan membekalkan kami dengan input-input yang sangat berguna. Beliau juga bersetuju menulis dalam majalah ini.

18 Ogos 2011
Hati kami berbunga apabila Habib Hassan Al-Attas, Imam Besar Masjid Ba’alawi, Singapura menerima baik kunjungan Ketua Pengarang Kumpulan, Hj Abu Hassan Morad, dan Pengarah Reka Bentuk, Hj Badrul Hisham. Habib Hassan menitipkan pesan yang sangat berhemah agar Q&A menggunakan pendekatan lunak untuk menyampaikan ilmu dan kefahaman Islam berlandaskan prinsip Ahli Sunnah wal-Jamaah.


Sept 2011
Puan Hjh Jalilah Abdullah, yang melepaskan tanggungjawab sebagai Editor ANIS selepas diamanahkan tugas baharu selaku Editor Q&A, mengadakan pertemuan dengan Ustaz Mohd Kazim Elias Al-Hafiz di Manjoi, Perak. Alhamdulillah, selain sudi mengisi ruangan dalam Q&A, Yang Berbahagia Ustaz dan isteri beliau meluangkan waktu untuk sesi temubual majalah ANIS.

28 Okt 2011
Kami berbesar hati apabila beberapa kolumnis Q&A sudi bersilaturrahim ke Galeri Ilmu. Antaranya Ustaz Muhadir Hj Joll, penulis buku Persoalan Khilafiyyah dan Penjelasan Ulama: Inilah Jawapannya, buku setebal 915 halaman yang amat bererti bagi pembaca yang mencari-cari penjelasan dan penyelesaian kepada banyak persoalan khilafiyah.

30 Okt. 2011
Ustaz Zul Ramli mengisi slot bual bicara Q&A sempena Ekspo Buku Islam di KL Sentral akhir Oktober. Sdr Nasri Nasir, Pengurus Kanan Promosi di Galeri Ilmu, selaku moderator.

2 Nov. 2011
Kami berbesar hati apabila Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, respondan temubual kolum Jalan Tengah, menerima kedatangan tim Q&A di kediaman beliau di Nilai untuk sesi fotografi. Demikian juga barisan kolumnis lain yang sangat komited. Alhamdulillah, bersama putaran roda Q&A ini, ramai yang sudi sama-sama menggerakkannya demi sebuah misi – meluruskan fikiran, menjernihkan hati.

3 Nov. 2011
Editor Q&A Puan Hajah Jalilah, yang mendapat Puan Noraina sebagai pembantu yang baik, memanfaatkan pengalaman menerajui majalah Anis untuk memudah cara pengisian Q&A. Beliau bercerita mengenai Q&A sewaktu berada di konti Radio IKIMfm bersama Cik Nur Suriati dan DJ Yati.

10 Nov. 2011
Syukur kepada Allah, kerja-kerja peringkat akhir penerbitan majalah Q&A berjaya diselesaikan tengah hari ini. Sdr Fauzi Abd Hamid, Sdr Azmideka dan Sdr Mislan - para artis reka bentuk dan reka letak yang terlibat dalam Q&A - melepaskan hujung jari daripada papan kekunci komputer masing-masing selepas salinan PDF majalah ini dibawa ke kilang oleh Sdr Yusof Kamal untuk dicetak. Semua yang terlibat menarik nafas lega. Banyak tenaga, masa dan fikiran ditumpukan untuk kerja-kerja melahirkan ‘anak sulung’ (keluaran pertama) Q&A sejak beberapa bulan kebelakangan. Maklumlah anak sulung ... tumpuan padanya lebih sikit. ‘Sakit’ melahirkannya juga lebih. Strategi pemasaran yang unik dan agresif di pihak Iqramall, anak syarikat Galeri Ilmu yang dilantik sebagai pengedar eksklusif Q&A, membantu memacu majalah ini lahir lebih awal daripada yang dijangka. Q&A mungkin lahir 'tidak cukup bulan' tetapi insya-Allah tampil sebagai 'bayi' yang sempurna sifat.

11 Nov. 2011
Majlis prapelancaran majalah Q&A diadakan di Galeri Ilmu. Majlis dibuka pukul 2.30 petang (selepas solat Jumaat) dengan bacaan surah Yasin dan tahlil. Hj Abu Hassan yang baru pulang dari memimpin misi penggambaran drama bersiri Dingin Lavenda (untuk siaran TV3) di Melbourne beberapa hari sebelumnya, mengetepikan kelelahan dan mengorbankan masa rehat bersama keluarganya di Kedah, untuk turut meraikan tetamu dan menjayakan majlis.

Majlis dibuat secara sederhana di surau Galeri Ilmu yang sempit namun mudah-mudahan dilapangkan oleh Allah dengan rahmat-Nya. Ustaz Hj Shukri Ali, Pegawai Agama Istana Terengganu, ialah kolumnis Q&A yang pertama tiba di Galeri Ilmu tengah hari ini. Oleh itu, beliau dilantik menjadi ‘ketua kelas’ untuk berucap mewakili barisan kolumnis. Kolumnis lain yang turut hadir ialah:

Ustaz Azhar Idrus (kolumnis ruangan soal jawab Celak Mata), Hj Nik Roskiman (Halaqah Tasawuf), Hj Wan Abdul Halim (Halaqah Faraid), Ustaz Muhadir (Halaqah Suluhan Ibadah dan Paradigma), Ustaz Amal (Indahnya Syurga dan Awas Neraka Di Hadapan), Ustaz Raja Ahmad Mukhlis (Halaqah Tauhid dan Fiqhul Hayah), Ustaz Rujhan (Terapi Hati dan Asma’ul Husna), Ustaz Ahmad Lutfi (Disiplin Ilmu), Ustaz Anwar (Nota Terakhir), Tuan Zabidi Mohamed (Celik Undang-undang), Tuan Akbar Ali (Potensi Diri), Ustaz Zawawi Zakaria (Relaksasi) dan Tuan Fahrur Rozi (Halal Haram). Ustaz Hj Shukri sendiri mengisi ruangan Halaqah Munakat. Kolumnis dalaman (kakitangan Galeri Ilmu) yang hadir: Hjh Aliyah Sijari (Bicara Buku), Zuraimi Ismail (Kamus Sahabat), Ustaz Shahrul Zaman (Rahsia Amal) dan saya sendiri (Di Balik Tabir).

Keseluruhannya, Q&A disokong oleh lebih 40 orang kolumnis. Ustaz Amal dan anakanda Ajwad mengisi slot penghujung majlis dengan dendangan nasyid dan selawat. Ustaz Azhar hanya bersama kami kira-kira setengah jam kerana beliau perlu berehat untuk mengisi program lain selepas Asar, namun beliau sempat kami bawa melawat pejabat. Hj Nik Roskiman, Pengarah Radio IKIMfm, juga bergegas pulang ke pejabatnya seusai majlis.


En. Mahir Saidi, Pengarah Urusan Iqramall, memberi sedikit taklimat mengenai visi, misi dan sistem pemasaran Iqramall. Sahabat-sahabat di Layar Consult Sdn Bhd, syarikat bersekutu Galeri Ilmu, menayangkan video promo Q&A dan Iqramall.

Terima kasih kepada sahabat dari majalah i, Sdr Ahmad Yani Abd Manaf, dan Intan dari akhbar Harakah yang sudi datang.



13 Nov. 2011
Bagaikan tidak sabar menantikan kelahiran keluaran sulung Q&A, maka saya bersama Hj Abu Hassan dan Hj Wan Azmin melawat ke kilang cetak, Ultimate Print di Shah Alam. Di sinilah juga majalah ANIS dan ASUH dicetak setiap bulan. Sdr Yusof, pegawai Galeri Ilmu yang berurusan dengan pencetak, sudah ada di sana ketika kami sampai kira-kira pukul 10 pagi.

Kami berada di kilang lebih setengah jam dan turut meninjau kerja cetakan majalah ANIS dan ASUH. Naskhah-naskhah sample kedua-dua majalah ini diberikan kepada kami.

Dalam perjalanan pulang, saya menerima panggilan telefon daripada Sdr Pahrol Mohamad Juoi, yang baru selesai mengendalikan bengkel penulisan di IKIM bersama Tuan Fauzul Naim Ishak, Pengurus Besar Editorial PTS. Sdr Pahrol bertanya khabar program prapelancaran Q&A pada hari sebelumnya. Beliau tidak dapat hadir kerana ada program lain, namun kolum beliau Sejenak, mewakili beliau dalam Keluaran Perdana Q&A yang akan mula diedarkan Jumaat, 18 Nov, insya-Allah.

16 Nov. 2011

Akhirnya, dengan izin Allah, Q&A siap dicetak. Sdr Yusof membawa pulang beberapa naskhah awal yang masih 'panas' dari kilang tengah hari ini.

"Allahu akbar!" respons Ustaz Zul Ramli yang sedang berprogram di Langkawi apabila berita ini sampai ke pengetahuan beliau.

Q&A lahir bersama amanah dan tanggungjawab.

"Ya Allah, bantulah kami dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab ini. Jernihkan hati kami, murnikan niat kami dan teguhkan kami. Kepada-Mu jua kami memohon pertolongan dan kepada-Mu jua kami berserah ..."

Wednesday, October 19, 2011

'Halangan' Menulis Kesebelas

Selepas menyenaraikan 10 'halangan' menulis dalam entri sebelum ini, saya suka menekankan bahawa masih ada satu 'halangan' atau kekangan untuk lancar menulis, iaitu terlalu memikirkan kesempurnaan. Terlalu mahukan hasil yang ideal.

Sebelum duduk menulis, penulis perlu merancang penulisan dan hala tuju tulisannya. Bagaimanapun, apabila hendak mula duduk menulis, penulis tidak boleh terlalu memikirkan kesempurnaan atau tidak boleh terlalu ideal.

Salah satu pengalaman unik ramai penulis (dan karyawan dalam bidang lain yang memerlukan kreativiti) adalah betapa lancarnya kerja menulis apabila berada di hujung 'deadline' atau di hujung sasaran tarikh siap. Waktu itu kreativiti dikerah untuk bekerja tanpa memikirkan kesempurnaan. Apa yang berlaku adalah, 'mode' kreatif sedang bekerja.

Sebaliknya, apabila penulis terlalu memikirkan kesempurnaan, waktu itu 'mode' kritiklah yang sedang bekerja, bukan lagi 'mode' kreatif.

'Mode' kritik hanya perlu dikerah bekerja apabila tulisan sudah siap sepenuhnya.

Saturday, October 15, 2011

Menulis Pada Waktu Puncak

Setiap penulis mempunyai waktu yang dirasakan serasi untuk aktiviti menulis. Waktu yang serasi ini bukan hanya melibatkan waktu yang dapat dilapangkan untuk menulis, tetapi juga waktu yang mana kreativiti dirasakan mengalir lancar. Ia adalah waktu 'puncak' bagi sang penulis untuk kerja yang melibatkan kreativiti - kerja menulis.

Ramai penulis yang menulis pada waktu malam sebelum tidur. Ada yang selesa menulis selepas solat Maghrib. Ramai pula yang memilih waktu dinihari, sekitar pukul tiga atau empat pagi menjelang fajar. Saya sendiri suka memilih waktu dinihari apabila terlibat dalam projek penulisan yang serius.

Saya juga menemui ramai penulis yang suka memulakan kerja menulis selepas solat Subuh.

Awal pagi, sama ada dinihari menjelang fajar atau selepas subuh, adalah waktu puncak (prime time) untuk kreativiti, untuk tenaga fizikal, untuk tumpuan fikiran dan lain-lain. Oleh itu, memetik kata-kata Sdr Pahrol Mohamad Juoi, "Prime time (waktu puncak) untuk prime work (kerja di tahap puncak)."

Nabi SAW menyebut bahawa berpagi-pagi itu berkat. Awal pagi adalah waktu turunnya rezeki dari langit. Pendek kata, waktu awal pagi mempunyai kebaikan yang banyak.

Tidak kurang penting adalah bagaimana seseorang itu memulakan awal paginya. Dan juga, bagaimana seseorang itu menyediakan dirinya beberapa minit sebelum tidur supaya dia dapat bangkit pada awal pagi dengan jiwa dan fikiran yang segar serta dengan keadaan fizikal yang bertenaga.

Bayu pada fajar menyinsing mempunyai rahsia untuk diberitahu pada kalian. Jangan tidur semula,” ungkap Jalaluddin ar-Rumi.

Nabi SAW melarang umatnya makan sejurus sebelum tidur. Selepas makan, jangan terus tidur. Ini berkait dengan kesihatan tubuh, juga mempengaruhi keadaan minda dan jiwa. Makan sejurus sebelum tidur melemahkan badan dan merencatkan sistem penghadaman. Ada penulis yang tidak mengambil makanan berat waktu malam supaya tidak mudah mengantuk untuk berjaga sampai lewat malam. Amalan yang sama juga memudahkan seseorang itu bangkit awal pagi dalam keadaan lebih segar.

Tidak kira waktu bila pun yang penulis pilih untuk memberi tumpuan pada kerja menulis, ia adalah segmen waktu yang perlu dikorbankan untuk rutin harian yang sudah dijadikan agenda besar dalam hidup.


Wednesday, October 12, 2011

Ubat Pahit Bersalut Manisan

Perhatikan bagaimana seorang doktor kanak-kanak yang bijaksana mempreskipsikan ubat kepada pesakitnya. Dia akan memahami simptom yang dialami oleh kanak-kanak yang menjadi pesakitnya. Selepas itu dia akan memberikan ubat yang diperlukan oleh pesakitnya.

Ubat itu mungkin pahit di dalam, tetapi bersalut manisan dan diberi warna yang memikat di luar. Ubat itu memang diperlukan oleh kanak-kanak yang sakit tadi, tetapi datang dalam bentuk yang si kanak-kanak mahu dan suka.

Penulis dan penerbit buku juga perlu begitu. Berikan pembaca apa yang mereka perlukan, tetapi dengan gaya penyampaian dan gaya persembahan yang mereka mahu dan mereka suka.

Kadang-kadang isi tulisan yang baik tidak mampu menarik minat pembaca. Pembaca bukan menolak, tetapi tidak tertarik. Penulisnya tidak menguasai teknik dan gaya penyampaian yang boleh membuatkan orang tertarik untuk membaca tulisannya.

Kadang-kadang isi dan gaya penyampaiannya bagus dan menarik, tetapi masih tidak dapat memikat pembaca. Pembaca tidak tertarik kerana gaya persembahan buku itu (konsep reka letak, reka bentuk, jenis font, gambar hiasan dsb) tidak memenuhi citarasa mereka. Penerbit dan editor menampilkan gaya persembahan yang tidak mengikut trend.

Trend gaya membaca di kalangan pembaca buku hari ini turut dipengaruhi bahan-bahan yang mereka tonton, baca dan dengar di media lain. Apabila membaca novel misalnya, pembaca suka novel yang disulam banyak dialog dan ceritanya bergerak pantas. Pembaca tidak kisah dirinya diajar, dipujuk dan dipengaruhi sekalipun, kerana tunjuk ajar, pujukan dan pendekatan mempengaruhi itu mereka suka.

Pergerakan cerita yang pantas sesuai dengan kesukaan pembaca sekarang, kerana mereka sudah sering terdedah dengan filem dan produksi tv yang bermain dengan 'cut' dan perpindahan babak (scene) yang pantas. Sebab itu, pembaca suka novel-novel yang mengandungi beberapa babak dalam satu bab, berbanding novel yang setiap satu bab hanya terdiri daripada satu babak yang panjang.

Perkara yang sama relevan juga untuk penulisan karya non-fiksyen. Pembaca suka membaca tulisan yang disegmen-segmenkan babnya. Kalau satu-satu tulisan itu panjang, penulis menyelang-nyelikannya dengan kisah, dengan dialog, dengan case study, dengan analogi, dengan kata-kata berima, dengan petikan kata-kata hikmah dan sebagainya. Subtajuk juga membantu menjadikan tulisan itu ringan dibaca. Begitu juga ilustrasi dan kartun.

Apabila melibatkan gaya penyampaian dan gaya persembahan, ia soal teknik. Perhatikan buku La Tahzan (Jangan Bersedih). Panjang pendek artikel di dalam buku itu tidak sekata. Ada yang ringkas-ringkas, ada yang agak panjang. Artikel-artikel itu disulam dengan kisah, kata-kata hikmah, serta dalil al-Quran dan hadis. Ia menjadikan lebih 250 artikel di dalam buku itu terasa ringan dibaca. Isinya mungkin berat tetapi gaya penyampaiannya ringan dan mudah.

Teknik boleh dipelajari walaupun tanpa diajar.


Thursday, October 6, 2011

Bukan Sekadar Kemahiran Menulis

Seorang peninju memerlukan lebih daripada sekadar kemahiran bertinju.

Seorang peninju memerlukan kemahiran-kemahiran sokongan untuk dapat bertinju dengan baik. Dia memerlukan kemahiran membaca gerakan lawan. Dia memerlukan kemahiran memanipulasi lawan. Dia juga memerlukan kemahiran mengatur strategi untuk menang.

Seperti peninju, penulis juga memerlukan lebih daripada sekadar kemahiran menulis.

Penulis memerlukan kemahiran bercerita. Penulis memerlukan kemahiran mempengaruhi orang. Penulis memerlukan kemahiran psikologi. Penulis memerlukan juga kemahiran sosiologi. Penulis memerlukan kemahiran memujuk dan mengajak. Penulis memerlukan kemahiran berdakwah dan mendidik. Lebih penting, penulis memerlukan kemahiran berfikir dan menyusun fikiran.

Dengan kemahiran menulis dan kemahiran-kemahiran sokongan yang dia ada, seseorang itu akan dapat menulis dengan baik dan berkesan. Kalau dengan hanya kemahiran menulis (menyusun dan mengolah ayat), sukar untuk penulis pergi jauh dalam penulisan. Sukar untuk penulis menyeru, mempengaruhi, mengajak dan mendidik masyarakat. Sukar untuk penulis 'mencapai' pelbagai golongan dalam masyarakat, khususnya golongan yang menjadi sasaran utama penulisannya.

Untuk membina kemahiran-kemahiran sokongan itu, penulis perlu banyak membaca pelbagai bentuk dan genre bahan bacaan. Penulis juga perlu terjun ke tengah masyarakat. Penulis perlu beramal dan menghayati Islam dalam kehidupannya.

Penulis juga perlu dekat dengan Tuhan, kerana apabila penulis dekat dengan-Nya, Dia akan dekat dengan penulis untuk membantu kerja-kerja penulis.

Tuesday, October 4, 2011

Menulis Dari Hati Di Bengkel Realiti

Ramai calon penulis yang ada sesuatu yang unik dan istimewa untuk dikongsi dengan pembaca. Namun, ramai pula yang tidak tahu atau masih kabur bagaimana hendak bermula.

Bengkel Realiti Penulisan Islami yang saya kendalikan bersama sahabat-sahabat penulis pada Sabtu dan Ahad baru-baru ini, berusaha menarik keluar calon-calon penulis ini daripada situasi 'kabur' itu. Melalui modul-modul yang disusun, 21 orang penulis dan calon penulis telah memanfaatkan bengkel dua hari satu malam itu untuk mendapat pencerahan dan mula menulis.

Sesuai dengan namanya bengkel 'realiti', para peserta membentangkan proposal buku sebenar yang akan mereka tulis untuk diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dalam masa tiga bulan selepas berakhirnya bengkel.

Empat peserta membentangkan proposal masing-masing pada sesi pembentangan yang pertama pada sebelah malam, hari pertama bengkel. Pada hari kedua bengkel, peserta-peserta lain membentangkan proposal mereka dalam dua sesi. Juri-juri atau barisan panel penilainya adalah pengarah-pengarah jabatan di GISB, diketuai Tuan Hj Abu Hassan Morad (Pengarah Urusan dan Ketua Pengarang Kumpulan).Di penghujung bengkel, tujuh peserta menerima surat yang menyatakan kesediaan GISB untuk menerbitkan buku mereka. Mereka diminta menge-melkan proposal lengkap (berserta dua bab contoh) dalam masa seminggu kepada editor. Sembilan peserta lagi menerima surat yang menyatakan bahawa GISB berminat dengan proposal buku mereka tetapi meminta mereka mengemas kini proposal masing-masing dan menge-melkannya kepada editor dalam masa seminggu. Baki proposal yang lain tidak menepati konsep buku yang GISB mahu terbitkan buat masa ini. Oleh itu, penulisnya diminta menghantar proposal lain untuk dinilai.

Dengan menyediakan proposal, para peserta telah memulakan proses menulis buku masing-masing sewaktu berbengkel lagi. Bagi peserta yang proposalnya diluluskan, mereka cuma perlu menulis bab-bab contoh buku mereka sebagai 'kerja rumah' apabila pulang daripada bengkel.

Para peserta yang proposalnya tidak diluluskan diberi ruang mengemas kini atau mengajukan proposal yang lain.

Kami mengajak setiap peserta meletakkan April 2012 sebagai sasaran terbitnya buku masing-masing. Tarikh itu dipilih kerana kami mahu memotivasi setiap peserta supaya memastikan buku mereka dipamerkan di rak-rak pesta buku terbesar yang akan berlangsung di PWTC pada tarikh itu, iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012.

Untuk itu, calon-calon penulis perlu menyiapkan manuskrip buku masing-masing selewat-lewatnya Disember 2011. Ini bermakna, mereka mempunyai masa 90 hari untuk menulis.
Saya sempat berkunjung ke blog calon-calon penulis ini. Setiap seorang yang blognya saya kunjungi mempunyai keunikan dalam bidang masing-masing. Kebanyakannya sudah ada kemahiran menulis dan hanya perlu digilap. Seorang dua sudah pun menghasilkan buku dan novel, termasuk peserta termuda, Shakira Izzati, seorang pelajar Tingkatan Empat yang 'tersesat' ke bengkel ini kerana menyangka ia bengkel penulisan novel.

Dalam usia 16 tahun, Shakira Izzati sudah menghasilkan sebuah novel bersama sebuah penerbit besar. Walaupun hadir di bengkel ini kerana tersilap maklumat, beliau diatur oleh Allah untuk menulis buku motivasi Islami tanpa dirancang. Proposalnya diluluskan oleh juri. Penulisan dalam blognya menggunakan bahasa slanga dan ejaan ala SMS, tetapi susunan ayatnya betul dan cantik; menggambarkan fikiran yang tersusun.
Shakira Izzati mempunyai potensi yang sama besar dengan Muhammad Ajwad, pelajar Tingkatan Lima yang akan menghadapi SPM pada November depan. Ajwad mendapat dorongan menulis daripada ayahnya, Ustaz Amaluddin Mohd Napiah (Ustaz Amal) yang sedang menghasilkan buku keempatnya bersama GISB. Ajwad hadir di bengkel bersama ayahnya. Membaca tulisan-tulisan Ajwad di blognya, saya dapat melihat pemikirannya yang jelas tersusun dan jiwa da'i yang diwarisi daripada Ustaz Amal. Saya percaya anak muda ini akan pergi jauh dalam penulisan dan dunia motivasi.
Alhamdulillah, Allah mengizinkan kami menghimpun calon-calon penulis berpotensi dalam bengkel ini. Sejak diamanahkan tugas di bahagian penerbitan buku kira-kira tiga tahun lalu, saya sentiasa teruja dengan cabaran membina penulis-penulis baharu yang bukan nama besar dalam industri. Beberapa nama telah 'membesar' bersama GISB.

Saya yakin, melalui bengkel ini beberapa nama lagi akan mewarnai dunia penerbitan buku Islami untuk mendidik dan memimpin umat. Mereka akan menulis 'dari hati' untuk mengajak manusia membesarkan syiar agama Allah. Buku-buku mereka akan mencari pemilik-pemilik hati yang menginginkan ilmu dan didikan rohani apabila PBAKL 2012 membuka tirainya di PWTC pada April 2012 nanti, insya-Allah.





Wednesday, August 17, 2011

Bengkel 2 Hari 1 Malam

Dalam entri kali ini, izinkan saya bercerita mengenai penulisan dan masa depan buku-buku Islami.

Lebih tiga tahun lalu, sewaktu Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB) berkira-kira untuk terjun ke dunia penerbitan buku selepas 11 tahun komited dengan penerbitan majalah Islami, saya dan beberapa orang sahabat diamanahkan merancang penerbitan buku. Dalam kemunculan sulung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2008 di PWTC, GISB menampilkan sejumlah judul buku Islami yang mendapat sambutan baik, termasuk satu dua judul yang menjadi bestseller.

Beberapa orang sahabat penulis yang sebelum itu hanya menulis di dalam majalah dan blog, kini masing-masing telah menghasilkan antara tiga hingga sembilan buah buku Islami bersama GISB. Nama-nama seperti Hasrizal Abdul Jamil, Hilal Asyraf, Amaluddin Mohd Napiah, Zul Ramli M.Razali dan Wan Ruzman Wan Omar adalah antara generasi awal penulis buku yang dilahirkan oleh GISB setelah sekian lama mereka menulis di dalam majalah dan blog.

Walaupun mereka bukan nama besar dalam dunia buku sebelum itu, mereka telah mempunyai khalayak sendiri yang sentiasa menunggu-nunggu buku terbaharu mereka. Bolehlah dikatakan, sebagai penulis buku, mereka ‘membesar’ bersama GISB. Tulisan mereka telah menemui khalayak yang lebih besar.

Tulisan mereka juga mempunyai jangka hayat lebih panjang kerana selagi buku-buku mereka terus diterbitkan dan diulang cetak, buku itu akan kekal ‘evegreen’. Mereka telah mempunyai ‘aset’ dalam bentuk harta intelek yang manfaatnya terus mengalir selagi buku-buku mereka dibaca dan mudah-mudahan turut mengalir bersamanya ganjaran pahala atas apa yang mereka kongsi.

Buku-buku itu juga menjadi aset fizikal apabila mereka menikmati bayaran dalam bentuk royalti yang boleh diwariskan. Selagi buku mereka terus dicetak, GISB terus-menerus membayar royalti kepada mereka. Beberapa orang daripada mereka menerima puluhan ribu RM dalam bentuk royalti setiap enam bulan (GISB membayar royalti dua kali setahun). Ada yang menerima hingga RM40,000 dalam masa enam bulan bagi sebuah buku saja dan lebih RM100,000 setahun bagi beberapa judul buku – jumlah yang tidak mungkin diperolehi dengan hanya menulis artikel.

Jangan silap faham. Saya tidak mengatakan setiap orang mesti fokus menulis buku saja. Artikel dalam majalah dan blog mempunyai impak tersendiri dalam memberi kefahaman, merungkai persoalan, dan memperkasa jiwa umat. Saya hanya ingin mengajak tuan puan mendapatkan ‘impak maksimum’ dengan mendaki setingkat kepada penghasilan buku.

Jika tuan puan mampu menulis artikel majalah atau entri blog, insya-Allah tuan puan juga mampu menulis buku. Sahabat-sahabat penulis yang saya sebutkan tadi telah membuktikannya.

Jika tuan puan dapat menyusun idea untuk bahan ceramah, tuan puan juga akan mampu menyusun idea untuk bahan buku. Nama-nama yang telah dikenali di pentas ceramah dan seminar telah membuktikannya apabila mereka juga menulis buku. Mereka termasuklah Pahrol Mohamad Juoi, Zaharuddin Abd Rahman dan Hajah Rohani Dato’ Haji Mohd Shahir. Mereka adalah trainer dan penulis buku yang bernaung di bawah GISB walaupun mereka juga menulis untuk penerbit lain.

Tiga tahun dalam dunia buku adalah tempoh ‘setahun jagung’ bagi GISB. Namun, melalui komitmen dan kerjasama akrab penulis-penerbit, dengan izin Allah, GISB sebagai penerbit buku muda sudah menembusi pelbagai segmen pasaran, termasuk rangkaian kedai buku elit seperti MPH dan Popular Book Store. Ini membolehkan kebanyakan judul buku dicetak 5,000 unit bagi cetakan pertama dan sejumlah judul buku berada dalam barisan ‘bestseller’.

Dalam tempoh tiga tahun, saya mengadakan bengkel-bengkel penulisan pada setiap tiga atau empat bulan sekali untuk membimbing calon-calon penulis menghasilkan buku. Saya bermula dengan mengendalikan bengkel-bengkel asas penulisan novel Islami. Yang terbaharu, saya juga mengendalikan bengkel penulisan non-fiksyen.

Alhamdulillah, beberapa orang peserta bengkel telah pun menghasilkan buku. Rekod peserta yang paling cepat menulis buku sebaik selesainya bengkel yang saya kendalikan setakat ini dipegang oleh Cikgu Khairi Tajudin. Beliau berjaya menghasilkan novel tarbiah awal remaja dalam masa tidak sampai dua bulan selepas berakhirnya bengkel pada bulan Mac lalu. Pada bulan ketiga iaitu Jun lalu, novel sulungnya sudah pun berada di pasaran! Malah, novel ‘Tariq United’ itu juga mengungguli carta jualan novel-novel terbaharu GISB.

Berdasarkan maklum balas yang baik daripada peserta bengkel terkini yang saya kendalikan pada awal Julai lalu, saya telah merancang kerjasama dengan beberapa sahabat penulis untuk sasaran yang lebih besar. Dengan kerjasama sahabat-sahabat penulis ini, saya akan mengendalikan bengkel dua hari satu malam selepas musim raya nanti.

Untuk bengkel itu, saya menyusun modul yang akan dapat membantu peserta menulis buku dengan kaedah dan pendekatan yang kontemporari serta telah dibuktikan melalui pengalaman, insya-Allah. Peserta akan nampak cara untuk menulis buku dalam masa 90 hari.

Malah, peserta akan didedahkan dengan teknik dan kaedah untuk:

· Mengambil sumber autentik daripada al-Quran, hadis dan tinggalan ulama untuk menulis buku motivasi Islami atau buku tarbiah rohani yang mengesankan.

· Merangka idea penulisan buku Islami yang baik dan bernilai komersil.

· Mengurus idea secara tersusun untuk menulis 3-4 buku serentak menggunakan KJ Methode.

· Menggunakan teori psikolinguistik untuk menguasai gaya penyampaian satu-satu genre penulisan.

· Mengambil idea dari buku atau kitab orang lain untuk menghasilkan buku sendiri secara sah tanpa melanggar hakcipta.

· Menulis dengan lancar tanpa gangguan ‘writer’s block’ (buntu).

· Mengukuhkan dan mencantikkan tulisan melalui ‘trik’ mudah.

· Menggunakan blog untuk mempromosi buku dan diri penulis.

Saya juga akan memberikan panduan mengenai soal-soal teknikal seperti:

· Panduan menulis e-mel yang mudah mendapat perhatian editor.

· Merangka dan menghantar proposal buku.

· Menyediakan dan menghantar manuskrip buku.

· Mengetahui perkara berkaitan hakcipta, royalti dan perjanjian penerbitan.

· Mengenal pasti kredibiliti penerbit sebelum menghantar karya untuk diterbitkan.

Sepanjang saya membimbing penulis, saya telah mengenal pasti 10 halangan yang biasa dihadapi oleh penulis. Sepuluh halangan lazim ini perlu disedari dan kemudian diatasi, barulah seseorang itu dapat menghasilkan buku, insya-Allah. Jika halangan ini tidak disedari dan tidak pula cuba diatasi, penulis akan selalu tersepak bendul untuk melangkah ke gerbang penulisan buku.

Melalui mana-mana bengkel, kursus atau seminar penulisan, penulis biasanya akan mendapat tiga perkara iaitu mendapat rangsangan untuk menulis, mendapat bimbingan dan mendapat ilmu dalam teknik penulisan.

Belajar menulis seperti belajar berenang. Pelatih renang akan belajar mengapungkan diri serta menguak tangan dan kaki untuk menguasai kemahiran berenang. Ada teknik yang akan diajar oleh jurulatih untuk memudahkan dia menguasai kemahiran itu. Sama halnya dalam bengkel penulisan. Peserta akan didedahkan dengan teknik dan kaedah penulisan yang betul.

Saya percaya dengan mengetahui teknik dan kaedah yang betul, di samping mendapat rangsangan dan bimbingan, para peserta bengkel itu nanti akan mampu melakukan apa yang sebelum itu mereka rasa macam mustahil – menulis buku.

Meletakkan sasaran adalah sama pentingnya dengan memulakan penulisan. Ramai penulis yang berjaya menghasilkan buku setelah meletakkan sasaran yang realistik. Mereka bukan sekadar mahu menulis buku, tetapi juga mahu menyiapkan buku mereka pada tarikh yang disasarkan. Mereka mensasarkan bilakah buku mereka akan disiapkan dan diletakkan di rak-rak buku.

PBAKL yang diadakan setiap tahun di PWTC adalah ‘hari raya’ bagi penerbit-penerbit buku dan juga penulis-penulis buku, khususnya buku-buku berbahasa Melayu. Sepanjang 10 hari pesta buku terbesar di Malaysia itu berlangsung, penerbit-penerbit membariskan ‘juadah’ untuk dinikmati oleh pencinta-pencinta buku. Ironisnya, dalam keadaan ekonomi negara gawat pada 2009, rekod jualan buku pada PBAKL tahun itu tidak langsung terjejas hingga dikatakan bahawa industri buku adalah industri yang ‘kalis gawat’.

Saya akan mengajak calon-calon penulis yang menyertai bengkel dua hari satu malam yang akan saya kendalikan dengan kerjasama sahabat-sahabat penulis nanti untuk menghasilkan buku menjelang PBAKL 2012 yang akan berlangsung pada April tahun depan. Bermula dari tarikh bengkel itu nanti, iaitu dari minggu pertama Oktober hingga minggu terakhir Disember 2011, para peserta mempunyai kira-kira 90 hari untuk menyiapkan buku masing-masing supaya dapat diterbitkan menjelang pesta buku itu. Ini adalah tempoh yang realistik untuk menulis sebuah buku.

Dengan mengikut langkah-langkah yang akan saya bentangkan dalam bengkel, serta rangsangan dan bimbingan intensif yang disokong oleh sahabat-sahabat penulis, saya percaya peserta yang ada keazaman yang kuat akan dapat melakukannya, dengan izin Allah.

Sahabat-sahabat penulis yang akan bersama saya dalam bengkel itu nanti adalah:

Tuan Hj Abu Hassan Morad

Tuan Pahrol Mohamad Juoi

Tuan Syed Alwi Alatas

Tuan Hizamnuddin Awang (Web Sutera)

Mereka adalah penulis-penulis berwibawa yang mempunyai sentuhan tersendiri dan telah menghasilkan beberapa buah buku Islami.

Bengkel ini akan diadakan di Dewan Seminar, Kompleks Masjid al-Ghufran, Pinggir Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Oktober 2011. Masjid ini bukan saja mempunyai kemudahan dewan yang kondusif tetapi juga mempunyai bilik-bilik penginapan bertaraf hotel dan ruang meletak kereta yang luas.

Yuran penyertaan adalah RM350 sahaja yang meliputi bahan bengkel, makan minum untuk dua hari satu malam dan penginapan untuk semalam.

Para peserta juga akan mendapat keistimewaan tambahan:

* Membeli buku-buku terbitan GISB dengan diskaun 30% sewaktu bengkel.

* Diberikan surat tawaran menerbitkan buku bersama GISB. Surat tawaran ini akan diberikan pada hari terakhir bengkel apabila proposal buku yang disiapkan di dalam bengkel ini layak untuk diterbitkan berdasarkan kelulusan panel penilai.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan tempat, para penulis dan calon penulis boleh menghubungi:

03-61421614 (Nur Suriati)

atau SMS 013-6697992


NOTA:
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil tidak dapat menyertai saya dalam bengkel kali ini, seperti yang saya maklumkan sebelum ini, kerana beliau mempunyai program di luar negara pada tarikh itu hingga 4 Oktober. Mohon maaf atas makluman awal itu. Kesilapan ini disebabkan 'miss communication' antara saya dan PA beliau berhubung dengan soal tarikh.


Thursday, July 21, 2011

Novelis Berjiwa Murabbi

Cikgu Khairi Tajudin antara novelis GISB yang baharu. Beliau mengajar di sebuah sekolah agama rakyat di utara tanah air. Beliau mengikuti bengkel asas penulisan novel remaja Islami yang saya kendalikan pada Mac lalu dengan membawa cita-cita yang membara untuk menghasilkan novel Islami.

Sewaktu bengkel, beliau duduk di barisan paling depan. Sebagai peserta, beliau memberi kerjasama yang sangat baik dalam menyiapkan latihan yang diberi dan membentangkannya apabila diminta berbuat demikian secara sukarela.

Selepas berakhir bengkel, beliau tidak membiarkan momentum semangat yang diperolehi surut begitu saja. Beliau terus menulis, bermula dengan menghantar proposal kepada Editor Perolehan (Novel) Sdr Amir Abd Hamid. Proposalnya dinilai dan surat tawaran die-melkan kepada beliau yang menyatakan persetujuan GISB untuk menerbitkan novelnya dan memberi tempoh tiga bulan kepada beliau untuk menyiapkan karyanya, sebuah novel tarbiah awal remaja.

Pengalaman menjadi jurulatih pasukan bola di sekolah tempat beliau mengajar membantu beliau menyelami dunia awal remaja dengan baik. Beliau menulis mengenai dunia yang dekat dengannya, seperti yang saya selalu pesankan dalam bengkel saya.

Alhamdulillah, tiga bulan selepas bengkel, novel sulung beliau diterbitkan oleh GISB. Bermakna, beliau dapat menyiapkan karyanya lebih awal daripada tarikh yang disasarkan. Maka lahirlah Tariq United - cerita mencuit hati mengenai semangat budak-budak sekolah agama rakyat untuk menjadi juara bola sepak.

Bagi seorang penulis baharu, menghasilkan karya sulung yang secantik itu adalah satu permulaan yang cukup baik. Mudah-mudahan Allah memberkati niat dan hasrat beliau seperti yang diluahkannya di dalam blog, "Mudah-mudahan, ia akan menjadi titik tolak kepada saya untuk terus berkarya dan yang lebih penting ... sebagai MURABBI."

Tuesday, July 19, 2011

Dari Novel Ke Kaca TV

Apabila novel dijadikan drama, ia mungkin memberi impak yang baik dari segi strategi jualan, tetapi tidak demikian halnya apabila drama dijadikan novel.

Berdasarkan pengalaman Galeri Ilmu, apabila sesebuah novel diangkat menjadi drama bersiri, jualan novel itu mampu meledak di pasaran. Ini berlaku pada novel Stanza Cinta karya Nurull Halawati. Novel ini diterbitkan oleh GISB pada Mac 2010. Dalam masa setahun ia telah dicetak sebanyak tiga kali. Baru-baru ini apabila musim tayangan drama bersiri Stanza Cinta di TV3 bermula, permintaan untuk novel ini di pasaran naik mendadak. Malah, ketika drama bersiri ini baru saja diiklankan, ramai yang sudah mula mencari novelnya di pasaran. Permintaan datang menderu-deru.

Dalam masa beberapa minggu kebelakangan ini, ia diulang cetak sebanyak dua kali dengan jumlah cetakan 5,000 naskhah bagi setiap kali cetak. Ini menjadikan jumlah keseluruhan cetakan novel ini hampir 20,000 setakat ini dan dijangka meningkat dalam waktu terdekat.

Hal yang sama tidak berlaku apabila drama bersiri dijadikan novel. Drama bersiri Hani yang mendapat rating tinggi sewaktu ditayangkan di TV3 (lebih 2 juta penonton seminggu), tidak begitu hangat sambutannya apabila dijadikan novel. Permintaan kepada novel Hani terbitan GISB agak baik tetapi masih dalam lingkungan biasa-biasa. Jangkaan yang boleh dibuat adalah, sekiranya drama bersiri ini ditayangkan semula di kaca televisyen, jualan novel Hani akan mendadak naik.

Hal yang sama juga tidak berlaku kepada novel yang dijadikan drama satu episod atau telemovie. Misalnya, apabila novel Surat Ibu Dari Penjara karya Ummu Hani dijadikan telemovie, tayangan telemovie itu tidak memberi impak kepada jualan novelnya.

Apabila orang membaca novel, mereka membina visual atau 'teater' di dalam minda. Apa yang diimaginasikan oleh penulis untuk novelnya, diterjemahkan oleh pembaca ke dalam mindanya berdasarkan imaginasi masing-masing. Sudah tentu visual yang terpapar di layar minda setiap pembaca berbeza-beza antara satu sama lain. Bagaimanapun, apabila visual itu diterjemahkan ke kaca televisyen atau ke layar perak, pembaca ghairah untuk menontonnya. Mereka mahu tengok sendiri 'visual sebenar' yang mereka baca sebelumnya.

Keadaannya berbeza apabila penonton menonton drama. Mereka sudah melihat visual ceritanya dengan jelas, maka mereka tidak teruja lagi untuk membina visual di minda masing-masing berdasarkan imaginasi sendiri dengan membaca cerita itu dalam bentuk novel.

Oleh itu, antra formula yang baik untuk melonjakkan jualan novel adalah dengan menerbitkannya dalam bentuk drama bersiri.

Lagi Ulasan Peserta Bengkel

Seorang lagi peserta bengkel penulisan buku motivasi yang saya kendalikan baru-baru ini mengulas begini dalam e-melnya:

1 Komen Keseluruhan Bengkel

Keseluruhan penilaian adalah sangat baik. Saya sememangnya dari dulu lagi bercadang mahu menulis Buku Motivasi Islami namun tidak tahu bagaimana untuk bermula dan selalu merasakan saya tidak mempunyai kelayakan untuk berbuat demikian. Dengan mengikuti bengkel tersebut, saya mendapat panduan yang berguna dan membuatkan saya lebih 'terarah' untuk memulakan penulisan saya.

Yuran yang dikenakan terlalu murah berbanding dengan apa yang kami perolehi. Saya andaikan pihak GISB hanya mengenakan kos operasinya untuk hari tersebut sahaja.

2 Cadangan untuk memantapkan Program Akan Datang
Saya cadangkan diberikan terus contoh 'proposal' untuk buku motivasi Islami semasa bengkel tersebut diadakan agar sebarang soalan, jika ada, dapat diajukan terus oleh peserta. Walau bagaimanapun syabas saya ucapkan. Bengkel tersebut telah melangkaui 'expectation' saya sendiri.



Monday, July 18, 2011

Ulasan Peserta Bengkel Saya

Tiga minggu berturut-turut yang lalu saya mengendalikan bengkel penulisan. Pertama, bengkel asas penulisan novel remaja Islami, yang kedua, bengkel asas penulisan berkesan (untuk 35 orang guru sebuah rangkaian sekolah-sekolah Islam seluruh Malaysia) dan yang terakhir, bengkel asas penulisan buku motivasi Islami. Di bawah ini adalah ulasan seorang peserta bengkel yang terakhir:

"Saya memanjatkan kesyukuran pada Allah kerana telah memberi dorongan untuk mengikuti Bengkel Penulisan tempoh hari. Memang telah lama berhasrat untuk menulis, tetapi kekangan masa telah membuatkan saya mengabaikan niat murni itu.

"Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan modul pengisian bengkel. Ini merupakan bengkel penulisan pertama buat saya. Jadi, saya benar-benar bernekad untuk mengambil manafaat dan tidak mahu terus menunggu untuk menterjemahkan hasrat menulis buku.

"Kerja rumah yang di beri memang mencabar kerana tempoh masa yang pendek. Namun, dengan sedikit tekanan ini, saya yakin peserta bengkel boleh mengaplikasikan fahaman tentang halangan seorang penulis yang dibentangkan di dalam bengkel.

"Pengalaman yang dikongsi penulis 'Senyumlah' (buku motivasi Islami terbitan GISB tulisan Syed Alwi Alatas - Zakaria) telah dapat menyuntik semangat untuk menulis. Kalau dia boleh, kenapa tidak saya? Kerja berkumpulan untuk merangka buku sangat berguna. Itulah cara yang saya telah gunakan untuk merangka proposal. Jumlah yuran yang di kenakan berpatutan, jauh lebih murah dari ilmu yang di bawa pulang.

"Tahniah pada Galeri Ilmu yang tidak pernah kenal penat lelah dalam usaha untuk mertabatkan budaya ilmu. Hanya Allah yang mampu membalas usaha kalian."

Peserta ini, dan dua peserta lain, telah menghantar 'kerja rumah' mereka kepada saya iaitu proposal buku motivasi Islami masing-masing. Manakala dua peserta yang lain sudah menghubungi saya, membayangkan cadangan buku mereka yang belum sempat mereka turunkan di atas kertas. Dan saya yakin, beberapa orang peserta lagi akan berbuat demikian dalam waktu terdekat ini.

Apa yang dapat saya katakan, kesemua proposal buku yang saya terima setakat ini mempunyai kekuatan tersendiri dan ada potensi untuk diterbitkan.


Wednesday, July 13, 2011

Belajar Menulis Semalaman?

Saya tertanya-tanya, apakah ada buku yang mampu mengajar seseorang menjadi penulis dengan cepat. Misalnya, dengan mengikuti panduan daripada buku itu, seseorang dapat menjadi penulis dalam masa semalaman. Menjadi penulis 'segera'.

Memang ada teknik menulis yang dinamakan Sistem FAST, satu kaedah menulis pantas selaju berfikir. Melalui Writing FAST: How to Write Anything with Lightning Speed, Jeff Bollow mengajar kaedah sebagaimana yang diceritakan oleh tajuk buku itu sendiri - menulis apa saja sepantas kilat. FAST adalah singkatan kepada empat tahap penulisan.

Walaupun ada kaedah yang mengajar seseorang menulis dengan pantas, saya percaya tidak ada kaedah untuk melahirkan penulis segera. Untuk menulis secara konsisten dan menghasilkan tulisan-tulisan yang diterbitkan, ia memerlukan bakat dan kemahiran. Tidak ada jalan pintas untuk menjadi mahir menulis melainkan melalui latihan. Novelis bestseller Dean Wesley Smith mengungkapkan begini:

... the more you write, the better your skills become. With each story, each novel, you are telling better and better stories.

It’s called “practice” but again, no writer likes to think about that evil word.

Beliau bercakap dalam konteks novel, tetapi situasinya sama untuk semua jenis kerja menulis.

Oleh itu, untuk menjadi penulis, seseorang perlu banyak menulis. Untuk dapat menulis dengan pantas, kaedahnya boleh dipelajari tetapi ia masih memerlukan latihan. Dengarnya seperti klise tetapi tidak ada perkataan yang lebih sesuai daripada itu. Berlatih menulis. Memang mustahil untuk mahir menulis semalaman.

Dalam istilah agama, amalan yang dilakukan secara berterusan dipanggil amalan istiqamah. Allah menyukai amalan yang sedikit tetapi berterusan. Kalaulah kerja menulis diniatkan sebagai kerja baik 'kerana' Allah, maka berlatih menulis secara istiqamah adalah kerja yang terpuji di sisi-Nya.

Allah bukan menilai sejauh mana impak tulisan itu kepada pembaca tetapi Allah menilai proses menulis itu sendiri. Misalnya, Allah bukan menilai sejauh mana tulisan kita mampu memberi hidayah atau kesedaran kepada pembaca kerana itu kerja Allah. Allah menilai usaha kita menulis untuk memberi kesedaran dan membawa pembaca kepada-Nya.