BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, July 31, 2009

Pengenalan Diri Di Hujung E-mel

Apabila penulis mengutus e-mel kepada editor, ada baiknya dia meletakkan ‘signature’ atau pengenalan dirinya di hujung setiap e-melnya. Ini akan memudahkan editor.

Pengenalan diri ini mungkin terdiri daripada satu baris saja, iaitu nama pengirim. Ada penulis yang menambah identiti lain pada baris kedua ‘signature’ e-melnya. Misalnya daerah tempat tinggalnya. Ada yang menyertakan nombor telefonnya untuk dihubungi jika perlu.

Ini satu contoh ‘signature’ salah seorang penulis GISB:

Mazni Md.Ramly
Menulis dari Nadya's Cottage
Kota Kemuning, Shah Alam

‘Signature’ ini boleh di’key in’ pada butang Options pada e-mel kita supaya kita tidak perlu menaipnya setiap kali hendak menghantar e-mel. Ia muncul secara automatik di dalam mesej setiap kali kita menekan butang Compose.

Selain itu, untuk memudahkan editor juga, penulis (terutamanya penulis baru yang editor belum begitu kenal) harus menyebut nama karyanya di dalam e-mel. Misalnya apabila penulis mengutus e-mel kepada editor bertanyakan perkembangan karyanya yang sedang dinilai, ada baiknya dia menyebut judul karya itu. Dengan itu, editor akan tahu bahawa penulis itu merujuk kepada karyanya yang berjudul sekian-sekian. Editor tidak akan tertanya-tanya, ‘Karya yang mana satu?’

Hal ini benar apabila di tangan editor ada berbelas-belas manuskrip dan berpuluh-puluh sinopsis yang sedang dinilai.

Tuesday, July 28, 2009

PESTA BUKU SELANGOR 2009

Acara ini tidaklah sebesar Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur. Bagaimanapun, Pesta Buku Selangor tetap mempunyai impak tersendiri. Bertempat di Kompleks PKNS Shah Alam, para pengunjung akan menemui gerai Galeri Ilmu Sdn. Bhd. di tapak no. 11-12.


Tuesday, July 21, 2009

Kita Berkuasa!

Setiap orang adalah pemimpin (ketua) dan setiap orang akan dipertanggungjawabkan ke atas kepimpinannya. Sebagai ketua, setiap orang memiliki ‘kuasa’ dan boleh membuat keputusan atas bidang kuasanya. Cuma, besar atau kecil, sedikit atau banyak kuasa yang dimiliki itu.

Apabila seseorang memandu kereta, dia memiliki kuasa ke atas kereta yang dipandunya. Malah dia kadang-kadang memiliki kuasa sama ada mahu memberi laluan atau tidak kepada kenderaan lain yang hendak keluar atau masuk ke satu simpang di depan laluannya. Dia juga berkuasa sama ada mahu memberi ruang atau tidak kepada kenderaan lain untuk memotong keretanya. Dia juga berkuasa sama ada mahu memberhentikan kenderaannya atau tidak untuk memberi laluan kepada pejalan kaki yang hendak melintas jalan, dengan itu mempengaruhi kenderaan lain di belakangnya untuk turut berhenti.

Penulis juga memiliki ‘kuasa’, terutama apabila sudah mendapat jaminan karyanya akan diterbitkan. Dia berkuasa untuk mengisi dan mencorak tulisannya dengan isi dan corak yang akan memberi manfaat kepada pembaca dan tidak bertentangan dengan dasar penerbit. Penulis harus menggunakan kuasa ini dengan sebaik-baiknya, sebagaimana seorang editor harus memanfaatkan kuasanya dengan cara yang terbaik dalam menerima atau menolak karya atau tulisan yang sampai di mejanya.

Apabila ada kuasa, ada pula tanggungjawab dan amanah yang harus ditunaikan. Allah akan bertanya tentang tanggungjawab dan amanah ini nanti.

Oleh itu, setiap orang yang bergelar penulis harus sedar akan ‘kuasa’ di hujung penanya yang mampu mengubah manusia, dengan mengubah pemikiran dan hati. Ulama-ulama dan ahli-ahli hikmah sudah menggunakan kuasa ini. Mereka menjadi penyambung lidah Rasul, mendidik manusia dengan lisanul hal (perbuatan) dan lisanul maqal (kata-kata). Tokoh-tokoh pejuang Islam dan pendukung gerakan tajdid juga menggunakan kuasa ini untuk mencairkan hati yang keras dan membetulkan pemikiran yang bejat, hingga ummah berubah.

Di antara punca rosaknya masyarakat hari ini adalah runtuhnya kepimpinan dalam institusi keluarga. Gejala sosial di kalangan remaja adalah salah satu simptomnya. Maka penulis-penulis dan calon-calon penulis harus menggembleng pena untuk membantu meneguhkan kepimpinan institusi keluarga ini.

‘Kuasa’ di hujung pena memang tidak sama, bergantung pada kemampuan penulis. Malah ia bergantung juga pada kekuatan penerbit yang menyalurkan tulisan-tulisan penulis. Tetapi kuasa itu benar ada, sama ada sedikit atau besar kesannya. Ia wajar digunakan dengan sebaik-baiknya, kerana ia akan ditanya.

Setiap orang daripada kita yang bergelar penulis berkuasa. Maka setiap orang daripada kita bertanggungjawab atas ‘kuasa’ itu.
Gambar hiasan: Almarhum Hassan Al-Banna (atas) dan Almarhum Fathi Yakan.

Thursday, July 16, 2009

Mencari Masa Bersendirian

Penulis perlu mencari masa bersendirian untuk duduk menulis. Malah kadang-kadang perlu membawa langkah sendirian untuk mencari bahan atau membuat penyelidikan.

Pada 2001, sewaktu masih bersama majalah Anis, saya mengikut rombongan penggambaran siri dokumentari Salam Nusantara ke Brunei Darussalam selaku wartawan dan penyelidik. Dokumentari itu adalah untuk siaran di RTM. Kira-kira dua minggu di sana, saya mengikut ke mana saja krew membuat penggambaran. Tetapi pada dua hari terakhir sebelum pulang, saya meminta izin penerbit, Tuan Haji Abu Hassan Morad, untuk ‘mufarakah’ daripada krew dan keluar bersendirian.

Ah, merdeka rasanya dua hari itu. Rakan-rakan menghabiskan baki penggambaran di sebuah sekolah Islam, manakala saya membawa kaki atas pilihan sendiri. Dari hotel penginapan, saya berjalan kaki ke jeti Kianggeh di Bandar Seri Begawan, yang suasananya mengingatkan saya kepada Pasar Payang di Kuala Terengganu. Banyak penjaja menjual makanan tradisi Brunei di situ.

Dari jeti Kianggeh, saya menaiki ‘teksi air’ (bot penambang) dengan tambang B$0.50 (RM1) ke Kampung Ayer, perkampungan atas air di pesisir Sungai Brunei, berhampiran Bandar Seri Begawan. Perjalanannya tidak sampai lima minit. Saya menemui Ketua Kampung Lurong Sekuna, salah sebuah daripada 42 kampung atas air di situ. Hj. Ahmad Hj Bujang memiliki satu-satunya rumah rehat di Kampung Ayer ketika itu. Saya juga menemui beberapa orang penduduk, menjalin silaturrahim sambil mengadakan interviu. Sempat juga berkongsi pengalaman Hj. Murni Tahir, pemandu ‘teksi air’ yang berpendapatan purata B$2,000 (RM4,000) sebulan.

Pada hari kedua, saya bertamu di pejabat Ustazah Pengiran Alizah, orang yang bertanggungjawab mengarang teks khutbah untuk dibacakan oleh khatib di 102 buah masjid di seluruh Brunei. Dia ialah Ketua Bahagian Penyelidikan dan Perkembangan di Jabatan Hal-Ehwal Masjid, Brunei. Saya juga meninjau kampung-kampung baru di atas air yang dibangunkan bagi menggantikan kampung-kampung tradisional. Kampung-kampung baru ini lebih tersusun dan dilengkapi kemudahan moden. Pelantar dan jetinya diperbuat daripada konkrit, berbanding kampung tradisional atas air yang berpelantar kayu.

Alhamdulillah, dengan memisahkan diri sebentar daripada krew penggambaran, saya dapat melengkapkan bahan untuk ditulis apabila pulang ke Malaysia. Saya menulis laporan eksklusif tentang Kampung Ayer untuk majalah Anis (November 2001) berserta beberapa artikel lain untuk pelbagai kolum di dalam Anis. Bahan-bahan lain saya perolehi sewaktu mengikut krew, termasuk ketika penggambaran di rumah Datin Sarimah yang ketika itu masih menetap di sana.

Pada waktu lain, saya memisahkan diri daripada krew untuk menerima ‘jemputan’ dua orang bekas rakan wartawan di Bernama yang pada waktu itu bertugas dengan akhbar di Brunei. Menjalin semula ikatan yang lama terputus oleh kesibukan masing-masing. Mereka menjemput saya di hotel untuk pergi minum pada satu malam ketika krew penggambaran keluar ke tempat lain. Abdul Latif Abu Bakar dan Wan Razman adalah rakan satu regu sewaktu kami sama-sama mendaftar masuk di Bernama pada Ogos 1984. Malah Abdul Latif adalah juga rakan sekuliah dan sekursus saya di Universiti Malaya.

Ketika menunaikan umrah pada Jun 2006, pada hari kedua terakhir saya mencuri-curi waktu mufarakah daripada rombongan Andalusia Travel & Tour. Pada waktu Dhuha, sewaktu rakan sebilik pergi ke Masjidil Haram untuk beribadah dan melakukan tawaf sunat, saya keluar bersendirian ke destinasi berbeza.

Saya berjalan kaki kira-kira 2km ke perkuburan Maala berhampiran Masjidil Haram. Beberapa hari sebelum itu, mutawif hanya menunjukkan kepada anggota rombongan arah perkuburan yang menempatkan makam Sayidatina Khadijah itu. Di sana juga bersemadinya ulama besar Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki (meninggal pada satu malam Jumaat dalam bulan Ramadan tahun 2004). Hati saya ditarik-tarik untuk ke sana. Di perkuburan itu, saya bertafakur dan menyedekahkan al-Fatihah kepada arwah penghuni kubur.

“Kenapa tidak ajak saya sekali?” tanya rakan sebilik, Sdr Yuzaini, apabila dia mengetahui saya pergi ke perkuburan Maala seorang diri. Dia nampak teruja. Sebab pada hari-hari sebelumnya, saya juga ‘tinggalkan’ dia apabila dipelawa oleh Dato’ Ustaz Daud Che Ngah berkunjung ke Rumah Kupang di Jabal Abi Qubaish dan kemudian ke Kakkiah di luar kota Makkah.

“Awak dah niat nak buat tawaf sunat, sebab itu saya tidak ajak,” jawab saya. Dalam hati, kasihan juga dia kena ‘tinggal’ lagi.

Monday, July 6, 2009

Kemahiran Menyampaikan Isi

Kemahiran menulis adalah kemahiran menyampaikan isi. Ada sesuatu yang penulis ingin sampaikan, luahkan atau kongsi dengan orang lain, lalu ditulisnya ‘sesuatu’ itu. Apabila sesebuah tulisan hanya berupa mainan kata-kata tanpa isi yang jelas, tulisan itu akan kehilangan isi.

Tulisan tanpa isi adalah seperti jasad tanpa roh. Isi adalah ‘roh’ atau nyawa tulisan. Oleh itu, sangat penting bagi penulis untuk memikirkan isi sebelum memikirkan bentuk atau gaya tulisan. Apakah yang mahu disampaikan, diluahkan atau dikongsinya?

Apabila kita hendak menulis cerpen atau novel, apakah yang mahu kita sampaikan? Adakah sekadar cerita atau ada isi yang lebih bermakna?

Nilai isi akan menentukan kuat atau lemahnya nyawa tulisan. Apabila isinya bernilai tinggi, tulisan akan lebih bernyawa atau lebih bertenaga. Lebih besar impaknya kepada pembaca, insya-Allah.

Jika sekadar hendak menyampaikan cerita, karya akan kurang bertenaga. Mungkin hanya sedap dibaca, tetapi kurang mengesankan. Mungkin hanya sesuai untuk dibaca santai tetapi mudah dilupakan. Tidak meninggalkan apa-apa bekas kepada pembaca, sama ada kepada minda atau jiwa. Tidak menambah ilmu dan hikmah kepada pembaca.

Oleh itu, apabila seseorang itu mahu serius menulis, dia mesti serius juga melengkapkan dirinya dengan ilmu dan hikmah. Apabila ilmu dan hikmah bercambah, bercambahlah juga bahan untuk dijadikan nyawa kepada tulisan. Menulis karya fiksyen juga memerlukan ilmu dan hikmah, supaya karya itu kaya dengan isi dan ada nyawa.

Banyak kisah kehidupan yang boleh dijadikan bahan cerita dalam cerpen atau novel, tetapi perspektif penulis terhadap kisah itu akan menentukan tinggi atau rendahnya nilai isi karya yang dihasilkan.

Perspektif penulis tentunya dipengaruhi oleh tahap pencapaian ilmu dan hikmahnya. Novel-novel atau cerpen Allahyarham Hamka terus ‘evergreen’ dan memberi impak yang besar kepada pembaca kerana karya-karya itu kaya dengan ilmu dan hikmah.

Thursday, July 2, 2009

Ulasan Novel VT

Ini adalah ulasan novel VT oleh Saudara Reff Fizan, pelajar Bioteknologi di Universiti Queensland, yang tersiar di dalam blog beliau http://reffizan.blogspot.com/2009/07/vt-satu-fenomena.html


VT : Satu Fenomena
Thursday, 2 July 2009
VT ana anggap sebagai saingan kepada Ayat-Ayat Cinta, satu novel fenomena yang mengangkat nama Habiburrahman El-Sherazy dalam dunia penulisan Islami. Hal ini didokong padu oleh editor buku ini sendiri iaitu Dr. Amida Abdul Hamid. Pada ana, VT mampu mengangkat nama Hilal Asyraf.

Apabila mengetahui buku ini berkenaan bola tampar, ana terbayang-bayang filem Baginda arahan Aziz M. Osman. Tapi apabila diteliti, plot dan penceritaannya agak berbeza. Baik, ana tidak mahu membanding-bandingkan VT dan Baginda.

TERBAIK!Itulah kata-kata yang mampu ana ucapkan untuk novel ini. Orang kata "Jangan menghakimi buku melalui kulitnya." Benar, ada yang mengatakan sebegini "Tak nak la baca, kulit dia tak menarik." Tapi terpulang, VT bagi ana sangat-sangat menarik. Pada ana, inilah novel yang ana baca tiap-tiap patah perkataan dan ana ulang pada beberapa bahagian untuk mendapatkan 'jiwa' cerita yang cuba disampaikan. Ceritanya memang boleh dijangkakan pengakhiran tapi tetap ada sedikit twist. Setiap konflik dan persoalan yang muncul menghangatkan pembacaan novel yang digarap secara realistik dan boleh diterima akal, tak seperti kebanyakan novel lain yang agak imaginatif.
Novel ini juga ada misterinya. Misteri tentang Hussam dan Faiz yang hanya akan terjawab jika antum membaca novel ini benar daripada A-Z. Jangan bimbang dengan bosan. 'Mood' untuk meneruskan pembacaan novel ini telah dibina dengan baik daripada muka pertama lagi. Tidak seperti novel-novel lain yang hanya muncul pada babak-babak menuju klimaks.

Novel ini juga merupakan novel pertama di mana ana terpaksa meminta bantuan pakcik Google untuk lebih menjiwai dan berfantasi. Bukanlah maksudnya novel ini sukar difahami. Cuma ana ingin meletakkan diri ana di dalam cerita ini. Ana mencari tahu tentang MATRI, serta menonton beberapa video perlawanan bola tampar supaya ana sendiri dapat membayangkan gerakan-gerakan yang dijelaskan di dalam buku ini dengan betul.

VT tidak menjanjikan kisah cinta asyik masyuk antara lelaki dan perempuan. Tiada watak perempuan di dalam novel ini yang dijelaskan secara serius. Jika ada, cuma menyebut beberapa nama guru sahaja. Namun cinta tetap ada. Ukhwah, itulah kata yang terbaik. Uhuibbuka Fillah!
Ana juga kerap kali tersenyum membaca novel ini (Termasuk ketika membacanya di Indoroopilly Interchange Bus Station, kerana turut dibawa bersama ketika berjalan-jalan). Amat menyenangkan. Juga selalunya membawa ana balik ke zaman persekolah di SMK (A) Bandar Penawar.

Sememangnya, novel ini perlu dibaca dan dimiliki. Diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn Bhd dan cuma berharga RM25.

Cuma RM25 dan mungkin boleh diwariskan kepada anak-anak antum pada masa depan supaya mereka memahami erti perjuangan Islam.

~VT berjaya membuat hati terbang setinggi langit, namun kaki tetap berpijak di bumi~