BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, May 27, 2011

Ringkas dan Padat

Sewaktu saya masih menuntut di Universiti Malaya, saya pernah menulis sebuah artikel mengenai perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Ia sebuah tulisan yang panjang berjela, memakan lebih daripada empat halaman bertaip single spacing. Saya menyuakan artikel itu kepada seorang penerbit majalah (majalah itu tidak terbit lagi) dan bulan berikutnya artikel itu tersiar dalam majalah itu dalam keadaannya begitu - panjang berjela dan hampir-hampir tidak diedit langsung.

Sebagai pelajar, tentulah saya gembira apabila hasil tulisan saya tersiar. Bagaimanapun, lama kemudian apabila saya semakin arif mengenai bidang penulisan, saya senyum sendiri mengenangkan pengalaman itu. Rupanya menulis artikel yang ringkas dan padat memerlukan lebih kemahiran berbanding menulis artikel yang panjang berjela.

Pada zaman ini ketika orang sudah banyak terdedah kepada teknologi internet, ramai pembaca yang suka membaca artikel yang ringkas dan padat. Tulisan dalam blog atau laman sesawang yang ringkas dan padat lebih mudah dihadam dan lebih diminati berbanding tulisan yang panjang berjela, apatah lagi yang meleret-leret dan tidak fokus pada satu-satu idea utama.

Oleh itu gaya penulisan untuk majalah perlu disesuaikan dengan trend ini. Kalau topik yang hendak ditulis memerlukan huraian yang panjang, tulisan itu mungkin boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian supaya ia tidak terasa berat untuk dibaca. Lebih baik menyuakan banyak tulisan untuk dibaca tetapi ringkas-ringkas, daripada sedikit tulisan yang panjang-panjang.

Untuk menulis sebuah tulisan yang ringkas dan padat, penulis mesti jelas mengenai idea utama yang hendak diutarakan dan fakta-fakta atau hujah yang dapat menyokongnya. Penulis juga mesti belajar menguasai ekonomi kata. Tanpa ekonomi kata, tulisan akan menjadi lewah (berlebih-lebih).

Latar belakang dalam kewartawanan banyak mengajar saya untuk menitikberatkan ekonomi kata. (Tanpa ekonomi kata, ayat saya ini akan berbunyi begini: 'Latar belakang dalam bidang kewartawanan telah banyak mengajar saya untuk menitikberatkan soal ekonomi kata.')

Namun, menguasai ekonomi kata semata-mata tidak menjadikan tulisan kita ringkas dan padat jika kita tidak jelas mengenai idea utama yang hendak diutarakan. Ini menyebabkan tulisan kita melencong dan menjadi lebih panjang daripada sepatutnya. Maka penting bagi penulis untuk menetapkan idea utama tulisannya sebelum mula menulis.

Monday, May 23, 2011

Satu Kerja Dalam Satu Masa

"Finish your first draft and then we'll talk," demikian nasihat Michael Korda, editor sebuah syarikat penerbitan, kepada seorang penulis baru.

Maksud daripada kata-kata itu, kalau seseorang itu betul-betul mahu menjadi penulis, dia perlu menyiapkan draf pertama tulisannya. Dengan kata lain, dia mesti menulis sampai selesai atau sampai ke noktah akhir. Kalau mahu menulis novel misalnya, siapkan novel itu. Apabila draf karya itu sudah siap, barulah editor dapat memberikan komentarnya atau terus menyuntingnya jika karya itu sudah cukup baik.

Apabila disebut draf, ia bermaksud tulisan itu belum diapa-apakan oleh penulis sendiri mahupun editor. Penulis belum melakukan proses 'self-editing' atau belum menggilap karyanya. Proses 'selepas menulis' belum berlaku. Biar apa pun, karya sudah siap ditulis. Tinggal untuk disemak dan dibetulkan mana yang patut.

Oleh itu, apabila menulis, kita perlu menulis sampai selesai. Sewaktu menulis, jangan fikir untuk membaiki apa-apa. Jangan fikir soal ayat yang janggal, perkataan yang kurang sesuai, paragraf yang terlalu panjang, intro yang kurang sesuai dan soal-soal lain yang akan membantutkan proses menulis. Gunakan waktu menulis untuk menulis semata-mata.

Dalam bengkel-bengkel saya, saya selalu menekankan peri penting penulis menempuh tiga proses dalam menulis iaitu sebelum menulis, semasa menulis dan selepas menulis. Hal ini kerana ramai penulis baru menyangka kerja menulis hanya melibatkan menulis itu sendiri. Mereka tidak terfikir bahawa ada proses sebelum dan selepas menulis. Oleh sebab itu saya menemui calon-calon penulis yang kerja menulisnya sering terganggu kerana mereka asyik hendak membetulkan tulisan yang 'sedang' ditulis. Walhal kerja membetulkan tulisan itu adalah kerja 'selepas' menulis.

Penulis tidak boleh membuat dua kerja dalam satu masa - menulis dan membetulkan tulisannya. Siapkan dulu kerja menulis, kemudian barulah semak dan baiki tulisan yang sudah siap.

Bagaimana halnya kalau seseorang penulis itu melakukan proses 'sebelum' dan 'semasa' menulis dalam waktu yang sama? Misalnya, sambil duduk menulis, dia mencari fakta dan maklumat untuk dimuatkan dalam tulisannya. Jari-jemarinya mengetik papan kekunci dan dalam masa yang sama dia menyelak bahan-bahan rujukan. Cara ini juga tidak praktikal. Kerja menulisnya juga akan terganggu. Kesan buruk yang lain, gaya olahannya akan kaku kerana dia akan terpengaruh dengan gaya bahasa daripada bahan rujukannya.

Cara yang terbaik, sewaktu menulis, kita buat satu kerja dalam satu masa.

Wednesday, May 18, 2011

Tiga Cinta Bagi Seorang Penulis

Seorang penulis atau calon penulis mesti mempunyai cinta. Hanya apabila ada cinta, barulah dia dapat menulis secara konsisten. Barulah dia dapat menghasilkan bahan tulisan, sama ada buku, novel, cerpen, atau skrip secara berterusan.

Seorang penulis itu mesti memiliki sekurang-kurangnya tiga cinta ini:

1. Cinta pada buku atau bahan bacaan.
Semua penulis, walau apa pun bidang penulisannya, adalah pencinta-pencinta buku. Mereka adalah pencinta-pencinta bahan bacaan. Dengan kata lain, mereka mencintai dunia pembacaan. Mereka suka membaca, maka sebab itu mereka juga terangsang untuk menulis sesuatu untuk orang lain baca.

2. Cinta pada penulis.
Penulis selalunya mempunyai ikon penulis yang sentiasa diikuti bahan tulisannya. Kalaupun dia tidak mempunyai mana-mana figur penulis yang diikuti, sedikit sebanyak dia mengikuti juga perkembangan penulis dan buku-buku yang dihasilkan. Dia juga berkawan dan bersahabat dengan penulis kerana sesama penulis mempunyai banyak persamaan untuk dikongsi. Dia cinta pada penulis dan dikelilingi oleh penulis, maka sebab itu dia sentiasa terangsang untuk mengikuti jejak penulis.

3. Cinta pada penulisan.
Cinta yang ini memang wajib ada. Seseorang akan ghairah untuk melakukan sesuatu yang dia sukai dan cintai. Apabila ada cinta, segala susah payah dapat diatasi. Sebab itu penting bagi penulis untuk mengenal cintanya. Dia mesti mengenal bentuk penulisan bagaimana yang dia betul-betul cintai. Adakah dia mencintai penulisan artikel? Adakah dia mencintai penulisan novel? Adakah dia mencintai penulisan cerpen? Adakah dia mencintai penulisan skrip?

Apabila ada cinta, penulis sanggup bergelut dengan halangan masa, halangan waktu rehat, dan halangan apa pun untuk duduk menulis.

Tiga cinta ini boleh dan perlu dipupuk selalu. Semakin dipupuk, ia akan semakin subur. Tiga cinta ini perlu bersatu dalam jiwa seorang penulis. Cinta pertama dan kedua mesti ada untuk membina kepekaan dan rangsangan sebagai penulis. Cinta ketiga adalah untuk membina diri dan membina kemahiran (skill) sebagai penulis.

Mungkin kata-kata ini dapat sedikit sebanyak dikaitkan dengan perkara ini:
"For a man to write well, there are required three necessaries: to read the best authors, observe the best speakers, and much exercise of his own style."
(Ben Jonson, Timber, or Discoveries, 1640)

Jika tiga cinta ini sudah hambar dalam diri seorang penulis, pena penulis juga mungkin layu. Selagi tiga cinta ini mekar, selagi itu pena penulis dapat diasah dan terus diasah untuk menyampaikan kebaikan dan kebenaran.