BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, January 7, 2010

Perihal Menulis Semula

“Saya bukan edit, bukan touch up atau yang sewaktu dengannya. Saya menulisnya semula,” beritahu Hilal Asyraf apabila menge-melkan semula manuskrip novel terbarunya.

Menulis semula manuskrip – sesuatu yang jarang-jarang dilakukan oleh penulis, lebih-lebih lagi penulis baru. Tetapi hal ini dilakukan oleh penulis muda yang sudah empat buah novelnya diterbitkan dalam tempoh setahun ini – VT, Remaja Mulia, Terasing dan Relasi.

Apabila dikatakan ‘menulis semula’, ia bermaksud menaip semula keseluruhan karya, bukan sekadar membuat pembetulan pada draf pertama karya itu. Ia bermaksud menaip semula dari perkataan pertama sampai ke penyudah, menggunakan ayat-ayat baru. Ayat-ayat sebelumnya, paragraf sebelumnya, babak sebelumnya, malah bab sebelumnya mungkin ada yang akan dicicirkan atau tercicir di bawah sedar dalam keasyikan menulis semula itu.

Saya sendiri ada beberapa pengalaman menulis semula artikel selepas mendapat komen daripada pihak ketiga. Tetapi menulis semula sebuah manuskrip novel tentulah lebih mencabar.

Sasterawan Negara Dato’ A.Samad Said khabarnya menulis novel Hujan Pagi sebanyak tujuh kali, walaupun saya tidak pasti bagaimana cara beliau ‘menulis semula’ itu.

Ernest Hemingway menulis novelanya The Old Man and the Sea berkali-kali sebelum berpuas hati. Sukar hendak dibayangkan proses menulis semula berkali-kali itu, kerana Hemingway dikatakan menulis karyanya menggunakan pensel. Menulis semula keseluruhan karya dengan pensel berkali-kali tentulah memenatkan. Tetapi kerja menulis bukan soal penat atau tidak penat. Ia soal keghairahan menulis itu sendiri. Passion.

Semasa seseorang penulis menulis semula karyanya, dia mungkin merujuk kepada draf pertama yang sudah dihasilkan sebelum itu. Dan mungkin juga ada penulis yang menjadikan draf pertama itu sebagai ‘rangka kasar’ cerita saja.

Hanya penulis yang tidak mudah berpuas hati dengan karya yang ditulisnya yang akan membuat kerja menulis semula ini. Penulis yang cepat berpuas hati dengan hasil tulisannya, akan menganggap kerja ini memenatkan saja.

Kadang-kadang kerja menulis semula melibatkan rombakan besar-besaran pada keseluruhan struktur penulisan atau struktur penceritaan (bagi karya fiksyen seperti novel atau cerpen). Percayalah, ia biasanya akan menghasilkan karya yang lebih baik. Karya yang lebih segar.