BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, October 4, 2011

Menulis Dari Hati Di Bengkel Realiti

Ramai calon penulis yang ada sesuatu yang unik dan istimewa untuk dikongsi dengan pembaca. Namun, ramai pula yang tidak tahu atau masih kabur bagaimana hendak bermula.

Bengkel Realiti Penulisan Islami yang saya kendalikan bersama sahabat-sahabat penulis pada Sabtu dan Ahad baru-baru ini, berusaha menarik keluar calon-calon penulis ini daripada situasi 'kabur' itu. Melalui modul-modul yang disusun, 21 orang penulis dan calon penulis telah memanfaatkan bengkel dua hari satu malam itu untuk mendapat pencerahan dan mula menulis.

Sesuai dengan namanya bengkel 'realiti', para peserta membentangkan proposal buku sebenar yang akan mereka tulis untuk diterbitkan oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dalam masa tiga bulan selepas berakhirnya bengkel.

Empat peserta membentangkan proposal masing-masing pada sesi pembentangan yang pertama pada sebelah malam, hari pertama bengkel. Pada hari kedua bengkel, peserta-peserta lain membentangkan proposal mereka dalam dua sesi. Juri-juri atau barisan panel penilainya adalah pengarah-pengarah jabatan di GISB, diketuai Tuan Hj Abu Hassan Morad (Pengarah Urusan dan Ketua Pengarang Kumpulan).Di penghujung bengkel, tujuh peserta menerima surat yang menyatakan kesediaan GISB untuk menerbitkan buku mereka. Mereka diminta menge-melkan proposal lengkap (berserta dua bab contoh) dalam masa seminggu kepada editor. Sembilan peserta lagi menerima surat yang menyatakan bahawa GISB berminat dengan proposal buku mereka tetapi meminta mereka mengemas kini proposal masing-masing dan menge-melkannya kepada editor dalam masa seminggu. Baki proposal yang lain tidak menepati konsep buku yang GISB mahu terbitkan buat masa ini. Oleh itu, penulisnya diminta menghantar proposal lain untuk dinilai.

Dengan menyediakan proposal, para peserta telah memulakan proses menulis buku masing-masing sewaktu berbengkel lagi. Bagi peserta yang proposalnya diluluskan, mereka cuma perlu menulis bab-bab contoh buku mereka sebagai 'kerja rumah' apabila pulang daripada bengkel.

Para peserta yang proposalnya tidak diluluskan diberi ruang mengemas kini atau mengajukan proposal yang lain.

Kami mengajak setiap peserta meletakkan April 2012 sebagai sasaran terbitnya buku masing-masing. Tarikh itu dipilih kerana kami mahu memotivasi setiap peserta supaya memastikan buku mereka dipamerkan di rak-rak pesta buku terbesar yang akan berlangsung di PWTC pada tarikh itu, iaitu Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2012.

Untuk itu, calon-calon penulis perlu menyiapkan manuskrip buku masing-masing selewat-lewatnya Disember 2011. Ini bermakna, mereka mempunyai masa 90 hari untuk menulis.
Saya sempat berkunjung ke blog calon-calon penulis ini. Setiap seorang yang blognya saya kunjungi mempunyai keunikan dalam bidang masing-masing. Kebanyakannya sudah ada kemahiran menulis dan hanya perlu digilap. Seorang dua sudah pun menghasilkan buku dan novel, termasuk peserta termuda, Shakira Izzati, seorang pelajar Tingkatan Empat yang 'tersesat' ke bengkel ini kerana menyangka ia bengkel penulisan novel.

Dalam usia 16 tahun, Shakira Izzati sudah menghasilkan sebuah novel bersama sebuah penerbit besar. Walaupun hadir di bengkel ini kerana tersilap maklumat, beliau diatur oleh Allah untuk menulis buku motivasi Islami tanpa dirancang. Proposalnya diluluskan oleh juri. Penulisan dalam blognya menggunakan bahasa slanga dan ejaan ala SMS, tetapi susunan ayatnya betul dan cantik; menggambarkan fikiran yang tersusun.
Shakira Izzati mempunyai potensi yang sama besar dengan Muhammad Ajwad, pelajar Tingkatan Lima yang akan menghadapi SPM pada November depan. Ajwad mendapat dorongan menulis daripada ayahnya, Ustaz Amaluddin Mohd Napiah (Ustaz Amal) yang sedang menghasilkan buku keempatnya bersama GISB. Ajwad hadir di bengkel bersama ayahnya. Membaca tulisan-tulisan Ajwad di blognya, saya dapat melihat pemikirannya yang jelas tersusun dan jiwa da'i yang diwarisi daripada Ustaz Amal. Saya percaya anak muda ini akan pergi jauh dalam penulisan dan dunia motivasi.
Alhamdulillah, Allah mengizinkan kami menghimpun calon-calon penulis berpotensi dalam bengkel ini. Sejak diamanahkan tugas di bahagian penerbitan buku kira-kira tiga tahun lalu, saya sentiasa teruja dengan cabaran membina penulis-penulis baharu yang bukan nama besar dalam industri. Beberapa nama telah 'membesar' bersama GISB.

Saya yakin, melalui bengkel ini beberapa nama lagi akan mewarnai dunia penerbitan buku Islami untuk mendidik dan memimpin umat. Mereka akan menulis 'dari hati' untuk mengajak manusia membesarkan syiar agama Allah. Buku-buku mereka akan mencari pemilik-pemilik hati yang menginginkan ilmu dan didikan rohani apabila PBAKL 2012 membuka tirainya di PWTC pada April 2012 nanti, insya-Allah.





10 comments:

School Of Tots said...

Alhamdulillah Tuan. Teruskan perjuangan mencungkil bakat2 baru dan memotivasi penulisan kreatif dari hati nurani demi mengajak kepada Islam yg Syumul.

Web Sutera said...

Alhamdulillah. Saya berbangga.

Zayu Hisham said...

Dunia penulisan banyak mendidik diri saya sendiri. Tahu apa yang perlu saya sendiri tahu. Sedar tentang apa yang seringkali dialpakan sebelum ini. Cita-cita kian membara. Hasilkan sesuatu untuk kebaikan umah. Tinggalkan sesuatu untuk anak bangsa. Masih banyak perlu belajar. Cuba asah bakat yang sedikit cuma ini.

SURAIYA PAUZI said...

Sebagai editor perolehan buku motivasi, saya sepatutnya berada di situ, tapi komitmen keluarga pada setiap Sabtu & Ahad mengehadkan penyertaan saya pada sebarang aktiviti anjuran syarikat. Pada bengkel berkenaan saya sempat menunjukkan diri seketika sahaja sebelum bergegas ke UM untuk menjemput ayah.

Tahniah kepada para peserta. Ada banyak surat tawaran yang perlu saya lunasi untuk anda semua.

al-fansuri said...

Alhamdulillah, Allah berikan kesempatan kepada saya untuk menyertai bengkel yang hebat ini. Bersama insan-insan hebat di dalam bengkel ini, membuat diri makin bersemangat untuk memperkukuh azam dan cita-cita menjadi penulis. Terima kasih diucapkan kepada penganjur! Terutama pada Tuan Zakaria sendiri.

ajwadaie said...

terima kasih pak ya kerana sudi meluahkan ilmu kepada kami.. sungguh, masih tak cukup sebenarnya pendedahan selama dua hari tu.. insya allah, harapnya dapat lagi mengorek ilmu dari sifu-sifu pada masa akan datang. :)

http://zakaria-sungib.blogspot.com said...

Allah mengizinkan kita berkongsi. Dalam kekurangan di sana sini, Allah berikan kekuatan dan kemudahan. Alhamdulillah. Harapnya setiap seorang peserta akan segera menggilap bakat dan kemahiran. Ingat, "Dunia akan menyediakan jalan bagi manusia yang mempunyai tujuan."

ummu said...

assalamualaikum tuan zakaria
tahniah kepada semua peserta bengkel.semoga dunia buku dan ilmu semakin subur di tanahair tercinta ini.kita sebenarnya ramai bakat terpendam.
saya mohon maaf kpd cik suriati dan tuan kerana tak dpt hadir bengkel tersebut krn anak kecil saya dmam panas bersangatan.

Khairy Tajudin said...

"Semarakkan dunia penulisan Islami supaya manusia tahu, masih ramai orang yang baik di dunia ini..."

Zakaria said...

Assalamualaikum semua.

Puan Suraiya dan Ustaz Shahrul khususnya, akan semakin sibuk dua tiga bulan lagi dengan kebanjiran manuskrip daripada para peserta bengkel ... insya-Allah.

Harap-harap semua manuskrip itu tidak sampai ke meja editor serentak!