“Selesai recording novelis Hello?” saya bertanya Encik Wan Azmin, suami kepada novelis Zulina Hassan, melalui sistem pesanan ringkas sebentar tadi.
“Ok. On air Isnin 9.15 malam,” balas Encik Wan.
Puan Zulina adalah novelis pertama GISB yang bakal ke udara di Radio IKIM melalui rancangan yang dikendalikan oleh DJ Fairus.
Novel Hello, Anak-anak Ayah! garapan beliau adalah sebuah ‘novel episod’ – novel yang mempunyai watak tetap tetapi setiap episod mempunyai struktur cerita sendiri dan ceritanya tidak bersambung-sambung. Ia mendekati gaya sitcom di televisyen.
Ia membawa kisah kenakalan, ragam dan keletah lima orang kanak-kanak apabila ayah mereka bertugas di luar negara.
Selepas menerima sinopsis novel ini pada pertengahan Julai tahun lalu, dan menerima dua bab (episod) contohnya dua minggu kemudian, saya memberikan maklum balas berserta surat tawaran untuk menerbitkan novel ini. Tempoh yang saya beri kepada penulis adalah tiga bulan. Bagaimanapun seperti sesetengah penulis lain, Puan Zulina kemudian meminta dilanjutkan tempoh itu kerana dalam masa yang sama, beliau sedang menyiapkan siri buku kanak-kanak yang juga bakal diterbitkan oleh GISB.
Alhamdulillah, saya menerima manuskrip lengkap novel ini pada 2 Disember lalu dan terus menyerahkannya kepada rakan editor, Encik Zuraimi Ismail, untuk ditangani. Manuskrip novel ini juga saya e-melkan kepada pelukis untuk disiapkan lukisan watak dan ilustrasi di celah-celah bab.
Dalam masa yang sama, saya juga memberikan salinan manuskrip ini kepada pembaca peribadi saya (siapa lagi kalau bukan isteri saya, Fauziah) untuk dibaca. Isteri saya memberikan komen yang memberangsangkan. Rakan editor Puan Suraiya yang membuat semakan pruf novel ini, juga memberikan komen yang baik.
Istimewanya novel ini, ia memaparkan realiti kehidupan kanak-kanak yang mencuit hati dan diselitkan nilai didikan Islam secara bersahaja. Walaupun hanya terdiri daripada 10 episod (bab) yang setiap satu daripadanya boleh berdiri sendiri, novel ini adalah adaptasi yang berjaya kepada sebuah kehidupan yang melingkungi dunia kanak-kanak dalam sebuah keluarga Melayu-Islam.
Bayangkan apabila ayah jauh di mata, ibu mengambil alih jadi nakhoda, manakala lima orang anak selalu saja memeningkan kepala, ditambah dengan jiran dua beranak yang dianggap ‘pengacau’. Dalam situasi ini, ada-ada saja yang berlaku!
Puan Zulina adalah bekas wartawan majalah yang kini memilih menjadi surirumah sepenuh masa dan berkreatif di rumah. Novel kecil beliau yang setebal 112 halaman, dijual dengan harga RM10.
Jangan lupa pasang Radio IKIM jam 9.15 malam, Isnin ini.
No comments:
Post a Comment