BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, April 16, 2009

Pesta Buku Akan Bermula

Esok, Jumaat 17 April 2009, akan bermula Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 (PBAKL 2009) di PWTC. Ramai staf Galeri Ilmu Sdn Bhd akan berkampung di sana seawal 9.30 pagi hingga 8.30 atau 9.30 malam. Editor buku mahupun majalah, semuanya turun bertemu langsung dengan pembaca. Jangan terkejut jika editor perolehan buku pun turut menjadi cashier!

PBAKL adalah pesta buku terbesar di Malaysia. Memang tidak boleh lawan Pesta Buku Jakarta, namun di peringkat nasional, inilah pesta buku paling 'grand' yang diintai-intai oleh kebanyakan penerbit buku. Selepas PBAKL, menduduki tempat kedua adalah Pesta Buku Selangor yang akan berlangsung sekitar bulan Ogos.

Sebagai pemain baru dalam industri buku, Galeri Ilmu tentulah menaruh harapan besar agar wadah Islam yang dibawa melalui buku-buku dan novel yang diterbitkan, mampu memberi impak kepada khalayak.

Ini kali kedua Galeri Ilmu ambil bahagian dalam PBAKL. Kali ini, selain mengetengahkan buku-buku motivasi dan buku kanak-kanak, Galeri Ilmu membariskan novel. Judul yang diketengahkan hanya enam buah iaitu novel-novel remaja Islami. Kami menamakannya Novel Motivasi Remaja. Kesemuanya membawa cerita yang berkisar tentang pergolakan dunia remaja di sekolah menengah. Watak-watak pelajar mendominasi keseluruhan novel ini.

Novelis-novelis yang diketengahkan adalah nama-nama baru, kecuali Ummu Hani Abu Hassan. Norehan M.Nooh, Nor Hayati Sapii, Sayidah Mu'izzah Kamarul Shukri, Zulina Hassan dan novelis paling muda, Hilal Asyraf, belum dikenali oleh penggemar-penggemar novel. Namun, Galeri Ilmu yakin pada potensi setiap novelis ini, baik dalam kemahiran menggarap cerita mahupun dalam membawa mesej Islam.

Novel-novel yang mereka hasilkan membawa mesej Islam yang mungkin tidak sama 'dos'nya antara satu dengan yang lain. Ada yang dosnya sedikit, ada yang banyak. Ada yang sentuhan Islaminya lebih, ada yang kurang. Tetapi yang pasti, mereka adalah penulis-penulis yang mempunyai jiwa Islam. Ada jiwa hendak mendidik pembaca. Mereka bukan sekadar bercerita, tetapi juga menyampaikan hasrat dan idealisme yang berteraskan Islam.

Sebagai editor, saya bermohon kepada Allah agar Dia memberkati hasil karya mereka dan meredhai mereka. Moga-moga karya-karya itu mampu membawa 'hasanah' dalam kehidupan penulis dan pembaca, walaupun dalam skala yang kecil.

1 comment:

Hilal Asyraf said...

Saya hanya mampu melayangkan doa dari jauh sahaja.

Semoga ALLAH memberkati, mempermudahkan, dan meredhai segala kerja-kerja yang dilakukan oleh GISB.

Moga, bukan karya saya sahaja, tetapi semua buku GISB akan mendapat sambutan di KLIBF ini.

Ya ALLAH, permudahkanlah,jangan KAU susahkan.

~yang berharap, dan terus berharap

Hilal Asyraf