BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, April 8, 2009

Pembedahan Ke Atas V T


Sewaktu menerima manuskrip novel VT daripada penulisnya Hilal Asyraf, jadual saya sedang padat dengan kerja-kerja penerbitan ekoran ‘demam’ pra pesta buku. Pada awalnya, saya sendiri bercadang untuk menangani kerja penyuntingan novel ini kerana kami belum mempunyai editor tetap yang mampu menyunting novel. Bagaimanapun, saya tidak dapat mencari ruang waktu yang sesuai untuk menekuni kerja penyuntingan VT.

Ketika itu Puan Shahrizad (Ngajad), puteri Kak Anis yang juga calon novelis di GISB, menawarkan diri untuk menanyakan kesediaan ibunya membantu menangani manuskrip novel. Tetapi, hendak berikan VT kepada Kak Aniskah untuk diedit? Saya berasa agak kurang selesa, kerana beliau bekas guru saya.

Memang saya masih meneruskan hubungan baik dan mesra dengan beliau walaupun telah 25 tahun saya meninggalkan kuliah Kak Anis di Universiti Malaya. Pada awal penerbitan majalah Anis pada Julai 1997, saya menawarkan Kak Anis mengisi ruangan Semaian Kasih sebagai kolumnis. Beliau setia bersama Anis sampai sekarang.

Bagaimanapun, untuk meminta bantuan guru membantu kerja kita, saya masih teragak-agak. Sehinggalah Puan Shahrizad memberi isyarat lampu hijau kepada saya bahawa Kak Anis bersedia membantu. Lalu, saya terus menghubungi Kak Anis.

Jadi, manuskrip VT saya serahkan kepada Kak Anis untuk di’bedah’. Oleh kerana VT sebuah novel yang tebal, saya memecahkan naskah ‘printout’ novel ini kepada dua jilid untuk diberikan kepada Kak Anis. Setiap satu jilid setebal kira-kira 200 halaman, bertaip ‘single spacing’. Sewaktu Kak Anis ada program di Kota Bharu, dia membawa jilid yang pertama. Apabila beliau kemudiannya ada program di Kedah, beliau membawa jilid yang satu lagi, selepas selesai menyemak jilid yang pertama.

“Kak Anis cuba cari bahagian-bahagian yang mungkin boleh dipotong untuk memadatkan novel ini, tetapi Kak Anis tak jumpa. Kalau ada bahagian yang dibuang, nanti terjejas jalan cerita,” beritahu Kak Anis.

Alhamdulillah, Kak Anis melakukan ‘minor operation’ ke atas VT dengan cukup berhati-hati, namun efisyen. Di tangan Kak Anis, VT sebagai sebuah novel yang mantap, dikuatkan dan dicantikkan lagi. Beberapa kekurangan dapat beliau baiki, dengan menjaga gaya penulisan yang asal dan sama sekali tidak merosakkan jalan cerita.

Setelah hampir seminggu VT berada di tangan Kak Anis, saya ‘kacau’ Kak Anis dengan bertanyakan komen awalnya tentang VT.

“Subjek luar biasa dan sentuhan Islami yang berkesan,” komen Kak Anis melalui sms.

Selesai beliau menyemak VT secara keseluruhan, saya meminta Kak Anis menulis komentar beliau tentang VT untuk tujuan promosi.

Dalam komentarnya, Kak Anis menulis, VT menjanjikan kepuasan membaca yang seimbang. “Ceritanya menarik, moral ceritanya menambat hati.”

Menurut Kak Anis, Hilal cekap menukangi VT. “Aksi-aksi wataknya mengembangkan plot sedikit demi sedikit. Cerita berkembang dengan memancing sensitiviti kita melalui episod yang pelbagai rona emosi: mengharukan, menyedihkan, memeranjatkan, mendebarkan, dan menggelikan hati. Dengan ramuan-ramuan ini, membaca VT menjadi satu aktiviti yang mengasyikkan!”

Kak Anis melihat VT bukan semata-mata sebagai sebuah novel tentang pemain dan permainan bola tampar, sebaliknya menggalas misi ulung menyuntik nilai Islami kepada pemain dan permainan bola tampar itu sendiri.

“Sentuhan Islami ini dilakukan dengan halus, terancang, dan bermatlamat. Hilal Asyraf mengatur taktik naratifnya agar objektif membawa Islam kepada pemain dan permainan mengalir licin dan logikal. Elemen dakwahnya bersahaja,” ujar Kak Anis.

Kak Anis mempunyai naluri yang kuat dalam menilai karya sastera kerana mempunyai banyak pengalaman menilai karya-karya sayembara. Beliau merupakan Ketua Hakim Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil.

Kak Anis berbisik kepada saya, "VT boleh lawan Ayat-ayat Cinta. Nilai Islaminya bukan hanya di permukaan, tapi sampai ke dalam."

"Bolehkah VT menarik minat pembaca perempuan?" saya menduga, kerana VT adalah sebuah novel remaja jantan, tanpa watak perempuan. VT lari daripada tradisi kebanyakan novel remaja lain, yang dihidupkan oleh watak-watak perempuan. Memang kebanyakan penulisnya pun perempuan.

"Eh, saya pun perempuan, saya seronok baca sampai tak tidur malam," kata Kak Anis sambil tergelak kecil.

"Saya tidak faham sangat tentang sukan, tetapi apabila baca VT, saya dapat faham. Barulah saya tahu apa yang dinamakan 'digging', ‘setting’ dan lain-lain dalam bola tampar. Dia (Hilal Asyraf) dapat menggambarkan permainan bola tampar hingga kita boleh 'nampak' depan mata."

VT, novel setebal 511 halaman yang dijual dengan harga RM25, mengisahkan perjuangan Hussam, jurulatih misteri, untuk membawa angin baru kepada pasukan bola tampar MATRI, sebuah sekolah kampung. Pasukan ini pernah mencipta fenomena menewaskan juara yang digeruni dari sebuah sekolah sukan. Tetapi sepuluh tahun kemudian, pasukan ini tenat dan hampir dibubarkan. Menggunakan formula Islam, Hussam menggalas cabaran ‘merawat’ pemain-pemain yang sangat bermasalah dan menangani konflik mereka di luar gelanggang.

2 comments:

Mujahid said...

Tak sangka ye, hilal yang duduk serumah ngan saya ni hebat betul die ni, dah la pandai masak...pastu pandai tulis novel pulak...

Aurora Trading & Services said...

salam...

wow menarik ~
tak sangka abang2 dari GKLN daat buat novel yg mampu mngalakan AAC

tahniah sekali lagi untuk abg Hilal