BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Sunday, April 19, 2009

Penulis Sebagai Promoter

Petang Jumaat kelmarin, ketika saya sedang bertugas di booth Galeri Ilmu Sdn Bhd di PBAKL 2009, PWTC, mesej Ustaz Hasrizal Abdul Jamil menjengah inbox telefon bimbit saya. Beliau mahu datang menjenguk. Saya pun memaklumkan hal itu kepada rakan-rakan petugas dan beberapa pengunjung yang kebetulan sedang membelek-belek buku.

Kira-kira jam 4.15 petang, Ustaz Hasrizal muncul dengan berbaju Melayu putih dan berkopiah putih. Seperti biasa, beliau tidak lupa beg sandangnya. Beberapa orang pengunjung yang memang mahu mendapatkan buku-buku terbaru beliau, kelihatan teruja melihat kemunculan beliau yang tidak disangka-sangka.

Selama kira-kira tiga jam beliau berada di booth, penulis buku bestseller Aku Terima Nikahnya itu, menandatangani kira-kira 100 naskhah bukunya. Sebelum pulang, atas permintaan kami, beliau menurunkan tandatangan kepada beberapa naskhah lagi bukunya. Memang ramai pembeli bukunya yang mahu mendapatkan autograf beliau tetapi tidak semua berpeluang bertemu beliau. Bagi mereka, mendapat autograf seperti mendapat ‘ijazah’ sanad buku daripada penulis.

Kehadiran penulis di gerai adalah antara faktor yang membantu jualan buku-buku, khususnya dalam pesta buku yang besar seperti ini. Semalam tiga orang novelis, Puan Norehan Mohd Nooh, Puan Nor Hayati Sapii dan Sayidah Mu’izzah, hadir dalam program yang kami sudah susun. Memang dalam setiap pesta buku, adalah amalan biasa bagi penerbit untuk menyusun jadual kehadiran penulis-penulis di gerai jualan.

Bagaimanapun, kehadiran Ustaz Hasrizal pada hari Jumaat itu adalah atas inisiatifnya sendiri. Sudah tentu, bagi penerbit, hal ini sangat digalakkan. Apabila penulis sama-sama turun bertemu pembaca, jualan bukunya akan meningkat. Ia bukan hanya menguntungkan penulis dari segi royalti bukunya, tetapi juga menguntungkan penerbit daripada keuntungan jualan langsung buku itu. Selepas ditolak harga promosi 15%, penerbit masih mendapat margin untung jualan secara langsung tanpa melalui orang tengah (agen pengedaran).

Hari ini, Ahad, giliran Ustaz Zul Ramli M.Razali dan Ustaz Amaluddin Mohd Napiah mengisi slot bersama pembaca di booth Galeri Ilmu. Ustaz Zul Ramli muncul dengan bukunya U-Turn Ke Jalan Lurus, manakala Ustaz Amal dengan bukunya Bawa Hatimu Kepada Tuhan. Kedua-dua buku dalam siri Tarbiah Rohani ini mempunyai kekuatan tersendiri.

Kalau waktu ini Hilal Asyraf berada di tanah air, sudah pasti beliau tidak akan melepaskan peluang untuk turut turun menemui pembaca dan pengunjung setia blognya (LangitIlahi.Com). Para pengunjung blognyanya juga pastinya tidak mahu ketinggalan bertemu Hilal. Malah saya sendiri belum berkesempatan bertemu muka dengan beliau. Beliau sudah berada di Jordan ketika saya mula menghubungi beliau untuk mengajak beliau menerbitkan buku bersama Galeri Ilmu. Pertama kali saya berpeluang berbual dengan beliau adalah apabila beliau menelefon saya kelmarin. Beliau menelefon dari Jordan ketika saya dalam perjalanan pulang dari pesta buku pada hari Jumaat itu.

Inisiatif penulis, selain daripada langkah promosi yang dibuat oleh penerbit, sangat kuat menyokong peningkatan jualan buku-buku. Ustaz Hasrizal sudah membuktikan bahawa inisiatif beliau mewar-warkan bukunya di blog dan kemudian rajin menjengah ke gerai jualan, adalah faktor penyumbang yang besar kepada sambutan baik para pembaca kepada buku-bukunya. Memang buku-buku beliau sedap dibaca dan tinggi nilai tarbiahnya, tetapi kesungguhan beliau itulah yang banyak membantu kelancaran jualan buku-bukunya.

No comments: