BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, April 23, 2009

Kemahiran Memfokus

Salah satu perkara yang menguatkan sesebuah tulisan adalah kekuatan memfokus. Penulisnya mempunyai kemahiran memfokus. Dia tahu perkara apa yang dia hendak tekankan dalam tulisannya. Dia tidak kehilangan fokus dari awal ke hujung tulisan.

Dan antara kelemahan pada sesebuah tulisan adalah kelemahan memfokus. Penulisnya tidak jelas tentang subjek atau perkara paling utama yang dia hendak sampaikan. Maka tulisannya menjadi kurang berkesan.

Menulis adalah seperti memasak. Apabila kita memasak, kita memasukkan pelbagai bahan untuk menghasilkan satu-satu jenis masakan. Oleh kerana kita sudah memfokus untuk memasak mi goreng misalnya, hasilnya adalah mi goreng walaupun bahan-bahan yang sama boleh digunakan untuk memasak mi kari, dengan ditambah sedikit bahan lain dan berlainan cara memasaknya.

Apabila kita menulis, kita harus mengenal pasti perkara utama yang hendak kita sampaikan. Dalam masa yang sama, kita mungkin menyentuh perkara-perkara lain tetapi kita tidak boleh hilang fokus pada perkara utama tadi. Perkara-perkara lain itu hanya sebagai rencah. Jika ‘rencah’ itu tidak relevan, ia boleh ditiadakan. Tetapi jika rencah itu memang relevan, ia akan menguatkan tulisan.

Dalam penulisan novel, perlukisan latar tempat dan perlukisan watak adalah rencah. Ia relevan apabila dilukiskan ‘secukup rasa’, tidak berlebih-lebihan. Dalam novel-novel Hamka, seingat saya, tidak banyak beliau selitkan perlukisan latar tempat. Hamka banyak memfokus pada perkembangan cerita dan perkembangan watak, tidak banyak melencong dengan melukiskan latar tempat, pakaian watak dan latar situasi. Saya tidak mengatakan Hamka benar dan penulis lain salah, cuma pada diri Hamka, kita boleh belajar tentang sebahagian teknik bercerita yang berkesan. Memfokus pada perkembangan cerita dan perkembangan watak. Kemahiran memfokus dalam bercerita menjadikan novel-novel Hamka ‘evergreen’ dan sedap dibaca sampai sekarang.

Kemahiran memfokus selalunya ada pada penulis yang jelas fikrah dan idealismenya. Dia menulis kerana digerakkan oleh fikrah dan idealisme itu. Maka dia tahu benar apa yang dia hendak sampaikan, lalu dia memfokus pada perkara itu dan tidak menerawang kepada perkara-perkara lain.

Perkara yang benar dan idea bernas jika bukan berada di tempat yang betul, akan dilihat janggal. Begitulah jika sesebuah tulisan menampung banyak perkara dan idea tetapi tidak memfokus pada satu-satu perkara yang utama, maka ia hilang kekuatan. Ia dilemahkan oleh perkara-perkara yang tidak relevan, walaupun benar dan bernas. Perkara-perkara tidak relevan inilah yang dipanggil ‘darling’ dalam tulisan. Penulis dapat mengesannya sewaktu menyemak semula tulisan yang telah disiapkan.

Tulisan yang membawa idea-idea yang baik, tidak akan dianggap tulisan yang baik sekiranya idea-idea itu hanya berupa lambakan tanpa fokus yang jelas.

Tulisan yang memfokus selalunya dapat dikenal pasti subjek atau perkara utama yang ditekankan, dengan membaca pendulu dan penutupnya. Namun kadang-kadang, fokus tulisan hanya dapat dikenal pasti apabila tiba kepada penghujung tulisan. Perkara-perkara lain disentuh dengan halatujunya membawa ke situ. Ini terutamanya dapat dikesan pada tulisan berbentuk penceritaan, termasuk travelog atau catatan kembara. Ceritanya digarap cantik dan ditutup indah dengan mesej yang jelas. Apa yang diceritakan itu relevan dengan perkara sebenar yang hendak disampaikan.

Kemahiran memfokus dapat dikuasai apabila penulis tahu memilih aspek atau ‘angle’ mana yang hendak disentuh mengenai satu-satu perkara. Jika hendak menulis tentang epal misalnya, kita harus memilih aspek apa tentang epal itu yang hendak disentuh. Apakah tentang rasanya, tentang khasiatnya, tentang pokoknya atau mana-mana aspek lain. Dengan itu, kita tidak menulis terlalu umum tentang epal tetapi memilih secara spesifik satu-satu aspek tentang epal.

Jika hendak menulis tentang seseorang figur untuk satu ruangan majalah umpamanya, kita harus mengenal pasti ‘angle’ tulisan terlebih dulu. Aspek mana pada diri figur itu yang hendak kita tonjolkan supaya dapat dikongsi manfaatnya dengan pembaca. Aspek yang dipilih mestilah sesuai dengan konsep ruangan di dalam majalah itu. Jika majalah itu berbentuk kekeluargaan, sudah tentu kita menonjolkan aspek kekeluargaan pada figur itu.

Memfokus adalah sebahagian resipi kejayaan buku-buku bestseller.

2 comments:

GuwaSufi said...

Salam...

Satu perkongsian yg berguna. iAllah saya akan ambilnya sebagai panduan dalam penulisan...TK

Zakaria said...

Wkmslm
Semoga Allah memberkati penulisan kita, saudara anTusufi.