BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, April 29, 2009

Hendaklah Membaca, Membaca, Membaca

Buya Hamka berpesan, penulis mesti lebih banyak membaca daripada menulis. Menarik untuk dikongsi adalah pengalaman Faisal Tehrani ketika berguru dalam bidang penulisan dengan Sasterawan Negara A.Samad Said.

Kelmarin saya menghadiri bengkel penulisan novel Islami yang Saudara Faisal kendalikan di Dewan Besar IKIM. Dalam bengkel itu, Saudara Faisal bercerita tentang jawapan Pak Samad ketika beliau bertanya kepadanya tentang syarat untuk menjadi seorang pengarang kreatif.

“Pertama, mesti membaca,” begitu jawapan Pak Samad.

“Yang kedua?” soal Saudara Faisal.

“Membaca.”

“Yang ketiga?”
“Membaca.”

“Syarat keempat?”

“Membaca.”

“Yang kelima?”

“Menulis.”

“Bagaimana kalau yang kelima itu juga membaca?”

Maka jawab Pak Samad, “Ya, tidak akan jadi penulis.”

Berpegang kepada kata-kata Pak Samad ini, Saudara Faisal berpesan kepada peserta-peserta bengkel, “Membaca syarat penting untuk menjadi pengarang. Kalau saudara bukan pembaca, saudara selalunya tidak boleh menjadi pengarang. Tidak boleh menulis. Tidak boleh menurunkan apa-apa pun di atas kertas.”

Sepanjang pengalaman saya, saya belum pernah bertemu dengan penulis yang tidak suka membaca.

Apakah yang kita dapat apabila membaca? Sudah tentu, ilmu pengetahuan kita bertambah dan horizon pemikiran kita lebih luas. Dengan banyak membaca bahan yang baik dan bermutu, ia membantu fikiran menjadi lebih matang. Kita dapat menyelami cara berfikir, pengalaman dan perasaan orang lain. Kita dapat berguru sewaktu membaca, walaupun secara sehala. Dan banyak lagi kelebihan membaca yang boleh disenaraikan.

Tetapi yang paling penting bagi penulis, membaca adalah aktiviti yang dapat merangsang keinginan menulis dan menguatkan daya untuk menulis.

Keinginan menulis datang daripada naluri untuk berbuat sesuatu seperti yang orang lain buat. Kalau orang lain boleh menulis, maka kita juga boleh menulis. Ini rangsangan.

Daya untuk menulis pula datang daripada pemikiran bawah sedar apabila otak memproses data dan tulisan, yang dengan sendirinya meningkatkan kemahiran bahasa. Kemahiran bahasa ini adalah aset yang sangat penting bagi penulis. Kemahiran bahasa berkait rapat dengan kemahiran menyampaikan isi tulisan. Hanya dengan adanya kemahiran bahasa, penulis dapat menulis dengan baik. Dapat menyampaikan apa yang hendak disampaikan dengan berkesan. Dapat memujuk, menegaskan sesuatu, meruntun emosi, menghidupkan fitrah, membelai jiwa dan mengisi rohani dengan bahasa yang sampai maksud.

Kemahiran bahasa ini melibatkan kemahiran membina ayat, membina perenggan, menggunakan perkataan yang sesuai, menggunakan tatabahasa yang betul, membuat tajuk yang menarik, menulis dialog, dan menguasai perkara sekecil-kecilnya seperti ejaan dan tanda bacaan.

Maka untuk menjadi penulis yang baik, kita harus menjadi pembaca yang baik. Jangan hanya rajin menulis tetapi tidak rajin membaca karya orang lain. Novelis prolifik Azmah Nordin menyarankan, “bacalah sebanyak mungkin karya-karya sastera yang hebat seperti karya A. Samad Said, Shahnon Ahmad, Chekhov, Raymond Carver, Azizi Hj Abdullah, Ernest Hemingway, Alice Munro, Tobias Wolff dan ramai lagi. Ini boleh membantu anda dalam dunia penulisan, lebih daripada apa-apa yang mampu diajar oleh seorang sifu mana-mana bengkel penulisan kreatif.”

Berbalik kepada pesan Buya Hamka dan kata-kata A.Samad Said, kita harus membaca, membaca, membaca, membaca dan kemudian menulis.


10 comments:

IlhamHamdani said...

Assalamualaikum Tuan Zakaria,

Maaf, soalan saya: adakah 'membaca' itu khusus untuk membaca buku? Atau makna 'membaca' itu juga bisa ditakwilkan kepada 'membaca' pemikiran manusia, misalnya, atau mengembara, iaitu 'membaca' budaya orang, atau 'membaca' yang lain.

Apa pandangan Tuan?

IlhamHamdani,
Canberra, Australia.

Syukri Sapuan said...

salam ziarah.

terima kasih Tuan Zakaria atas perkongsian ilmu yang menarik ini.

atifgazali@gmail.com said...

Membaca dengan hati.menulis juga dengan mata hati.Itu yang berkesan dan terbaik.
Banyak yg dapatku pelajari di sini.

anTusufi A.k.A. SA Sufi said...

Salam sua...

Saya bersetuju dgn persoalan drpd Tuan Ilham Hamdani...membaca dlm bentuk 'maknawi' juga merupakan tips penting untuk membumikan sesuatu penulisan ataupun karya...

Tp dlm waktu yg sama, jgn ditinggalkan pembacaan terhadap karya penulis lain agar kita dpt membiasakan diri dgn gaya dan kaedah penulisan itu sendiri.

Sekadar pandangan kecil drpd saya...apa kata Sifu? :)

Zakaria said...

Waalaikumussalam,
Tuan IlhamHamdani, membaca yang saya fokuskan di sini adalah membaca buku, makalah dan lain-lain bahan bacaan. 'Membaca' dalam konteks yang lain itu pun perlu serta penting untuk perkembangan minda dan rohani, tapi yang benar-benar akan memberi rangsangan menulis dan daya untuk menulis adalah membaca dalam konteks yang saya fokuskan itu.

Sdr Syukri, sama-sama, moga ada manfaatnya.

atif gazali, terima kasih atas input. Ya, kita seharusnya membaca bukan hanya dgn fikiran tapi juga dgn hati dan perasaan. Begitu jugalah sewaktu menulis, mesti dgn hati dan perasaan, bukan hanya dgn akal. Wallahu a'lam.

Zakaria said...

Wkmsalam Tuan anTusufi,
Ya, setuju. Jika membaca yang maknawi, kita akan terangsang dan memiliki daya untuk 'menulis' secara maknawi. Perlu disokong dgn membaca secara zahir.

Apa pun, yang penting, seperti kata Pak Samad - baca, baca, baca, baca dan tulis!
Insya-Allah.

zulramli said...

terima kasih atas permata berharga

Zakaria said...

Sama-sama Ustaz Zulramli, moga ada manfaatnya. Tahniah atas kehadiran blog yang sangat bagus isinya, semoga dinilai sebagai ibadah oleh Allah.

saifulmujahidah said...

salam...

saya tersangkut di topik inilah...
Apa penyelesaian kalau kita serba salah nak baca buku pelajaran dan buku selain itu?

atau saya yang perlu ubah pemikiran??

mugkin sebab pengurusan masa yang teruk kot..

Zakaria said...

Wkmslm saifulmujahidah,
Maksudnya, konflik dalam memilih apa yang nak dibaca? Harapnya, bukan konflik antara study dengan tidak study.
Apa pun, kadang-kadang memang ada 'tarik tali' dalam memilih untuk membaca apa yang kita minat, dengan meminati apa yang kita baca. Lalu, kalau kita rasa perlu membaca tapi nafsu kata 'tidak mahu', maka ubatnya hanyalah mujahadah.
Dalam mengurus masa, apa yang saya faham, perlu ada 'tawazun' (keseimbangan) - walaupun sibuk dengan buku pelajaran, ada masa untuk buku lain dan perkara lain. Wallahu a'lam.