Sewaktu beliau mampir di pejabat Galeri Ilmu menyuakan proposal bukunya pada akhir November lalu, saya lantas bersetuju dengan konsep penulisan buku itu. Beliau menampilkan satu kelainan dalam penulisan buku motivasi. Bukan saja lain daripada yang lain, bahkan cukup menarik dan mempunyai kekuatan tersendiri.
Kira-kira sebulan kemudian, Ustaz Zul Ramli menyerahkan manuskrip lengkap bukunya. Sementara manuskrip bukunya diproses, beliau bertindak proaktif dengan berusaha sendiri membantu memudahkan laluan untuk kerja mentashih dan melakukan kerja pra promosi bukunya. Apabila lafaz-lafaz hadis qudsi untuk bukunya siap ditaip oleh editor Sdr Zuraimi Ismail, Ustaz Zul Ramli membawa naskhah bertaip tulisan Arab dan terjemahannya itu kepada sahabatnya, Ustaz Ramdhan Rafflis untuk ditashihkan (disemak dan disahkan betul). Dengan inisiatif ini, beliau sudah memudahkan satu kerja editor!
Tidak cukup dengan itu, apabila manuskrip bukunya siap direkaletak, Ustaz Zul Ramli meminta beberapa salinan untuk diberikan kepada beberapa orang kenalan berprofail tinggi untuk dibaca dan diberikan komen. Sekali lagi, beliau sudah memudahkan satu kerja editor. Aspek promosi ini sepatutnya difikirkan oleh editor, tetapi Ustaz Zul Ramli menawarkan diri untuk membantu, sekali gus sudah memulakan langkah awal untuk mempromosi bukunya sendiri.
Perkara ini jarang dilakukan oleh penulis. Hanya seorang penulis Galeri Ilmu sebelumnya yang melakukan perkara yang sama iaitu Sdr Hilal Asyraf untuk novelnya VT. Hilal berusaha mendapatkan testimoni beberapa pembaca novelnya dan mengemelkannya kepada saya. Oleh sebab itu, pada kulit belakang novel VT, pembaca boleh membelek testimoni atau komen ringkas daripada beberapa orang pembaca awal novel itu. Hanya komen daripada Dr. Amida Abdulhamid datang daripada inisiatif editor (saya sendiri).
Testimoni yang serupa terdapat pada kulit belakang buku U-Turn Ke Jalan Lurus. Dari aspek promosi, testimoni-testimoni ini membantu melancarkan penjualan buku terutama apabila buku diletakkan di rak-rak kedai. Pembaca akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai kekuatan buku apabila membaca testimoni daripada orang-orang yang sudah membacanya. Lebih-lebih lagi ia datang daripada orang-orang yang berkredibiliti seperti Dr. Robiah K.Hamzah, Ir. Ahmad Jais dan beberapa orang tokoh korporat.
Blog Ustaz Zul Ramli lahir secara ‘instant’ sewaktu berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini. Terima kasih kepada Sdr Nasri Nasir, editor perolehan di Jabatan Buku GISB (seksyen buku motivasi) yang melapangkan masa untuk membantu meluncurkan blog itu di celah-celah kesibukan tugas di gerai. Wajah blog itu memang belum begitu mantap, namun isinya bagi saya, sangat bernilai. Sebagaimana bicaranya dalam kuliah-kuliah dan di corong radio (slot Durul Hikmah di Radio IKIM.fm dan Eksplorasi Masjid di Radio Pahang.fm), begitulah isi tulisan-tulisannya. Sifu saya Sdr Pahrol Mohd Juoi mengulas begini mengenai buku U-Turn Ke Jalan Lurus: “Fokus dan tersirat. Mudah, tapi mesejnya mantap.”
No comments:
Post a Comment