BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, May 7, 2009

Sinopsis Novel Mestilah Lengkap A-Z

Apabila penulis menghantar sinopsis novelnya kepada editor untuk dinilai, editor hendak tahu cerita yang terkandung di dalam novel itu dari awal sampai akhir. Walaupun ia sekadar sinopsis atau ringkasan jalan cerita, editor mahu tahu perkembangan cerita secara keseluruhan. Dari situ, barulah editor dapat menilai secara menyeluruh.

Kesilapan yang biasa ditemui pada proposal novel adalah apabila penulis menamatkan sinopsisnya dengan menimbulkan tanda tanya, “Bagaimanakah kesudahan yang berlaku?” atau ayat yang seumpamanya.

Di GISB, sinopsis novel hanya akan diluluskan selepas editor berpuas hati dengan jalan cerita keseluruhan. Oleh itu penulis disyaratkan menghantar sinopsis dari A hingga Z.

Apabila penulis menghantar sinopsis yang tidak lengkap, editor akan beranggapan bahawa penulis masih tidak jelas dengan penutup novelnya. Proses menulis novel akan terganggu malah terbantut sekiranya penulis tidak tahu bagaimana hendak menamatkan ceritanya. Meminjam kata-kata Faisal Tehrani dalam bengkel penulisan novel di IKIM baru-baru ini, “Selalunya cerita tidak habis sebab penulis tidak membuat pemetaan (mapping).” Penulis tidak merangka ceritanya dari awal hingga ke hujung.

Selalunya saya memberi tempoh tiga bulan kepada penulis untuk menyiapkan manuskrip novelnya selepas meluluskan sinopsis yang diajukan. Saya bukan saja meminta penulis mengajukan sinopsis keseluruhan. Saya juga meminta mereka mengajukan sinopsis bab ke bab. Biasanya saya akan memberikan cadangan atau pandangan berpandukan sinopsis yang dirangka itu.

Plot mungkin berubah sedikit daripada yang dirangka apabila penulis sudah mula menulis. Tetapi penulis akan lebih mudah menggarap dan menyudahkan ceritanya apabila sudah menyediakan sinopsis.

Ada juga proposal novel yang saya luluskan walaupun penulisnya tidak mengajukan sinopsis bab ke bab, sekadar memberitahu saya sinopsis keseluruhan. Tetapi ini kes terpencil. Saya harus benar-benar yakin akan kemampuan penulis ini untuk menggarap cerita itu sampai ke hujung berpandukan pemetaan yang dia sudah sediakan sebagai alat (tool) untuk mula bercerita. Sudah merangka watak-watak, latar tempat, latar masa dan plot (sebab dan akibat) ceritanya dengan jelas. Dan yang penting, sudah nampak apa yang hendak disampaikan melalui ceritanya supaya novelnya boleh dikategorikan sebagai novel Islami.

Bagainamapun, kepada penulis baru, saya sarankan supaya merangka sinopsis bab ke bab. Dan sinopsis itu mestilah dari A sampai Z. Sinopsis tergantung hanya sesuai dijadikan 'blurb' di kulit belakang novel untuk menimbulkan tanda tanya kepada pembaca.

7 comments:

Azimah Rupilen said...

salam...terkena batang hidung ..hehe

owh...saya akan cuba buat yang terbaik...

SangPelangi said...

Salam ustaz,
Adakah penting untuk memperkenalkan watak secara menyeluruh di dalam sinopsis, atau cukup sekadar menyelitkan di mana-mana?

Zakaria said...

Wkmslm SangPelangi,
Perincian tentang watak-watak tak perlu untuk menyokong sinopsis, tetapi perlu sebagai 'guide' kepada penulis sendiri untuk menggarap ceritanya.
Pengalaman Hilal Asyraf - dia menyediakan 'kertas watak'. Setiap watak ada perinciannya di kertas.

Azimah Rupilen said...

dalam merancang cerita...penting untuk kita cipta watak2 secara teerperinci..barulah dapat fokus ..betulkah pendapt ni sifu?

Zakaria said...

Setuju. Penulis mesti kenal betul pada watak-watak ciptaannya. Apabila ciri-ciri perwatakan setiap watak dicatat, penulis boleh rujuk pada catatan itu jika terlupa.
Jika penulis lupa pada perincian watak, dia mungkin silap dalam menggerakkan watak ketika watak itu berdepan dengan satu-satu situasi. Misalnya satu-satu watak tiba-tiba saja merungut sendirian ketika dimarah oleh bos, sedangkan dalam babak lain, watak itu digambarkan sebagai orang yang sabar.
Dengan memperincikan watak, kita juga tahu 'trademark' setiap watak utama. 'Trademark' ini mesti berbeza-beza antara satu watak dengan satu watak lain, tidak boleh tertukar.

qamar_muneera said...

Salam ziarah. saya akui banyak lompong-lompong kekurangan dan perkara yang saya abaikan ketika menulis manuskrip pertama terdahulu.Sayang sekali saya telah menyiapkan manuskrip sebelum membaca artikel-artikel dalam blog encik Zakaria. Insyaallah, saya akan jadikan ini sebagai panduan untuk manuskrip-manuskrip akan datang. moga saya diizinkn oleh Allah untuk turut serta dalam bengkel penulisan yang dianjurkan oleh pihak galeri ilmu pada masa akan datang

Zakaria said...

Tak mengapa, Qamar Muneera. Perjalanan masih panjang, insya-Allah, khususnya bagi bakat-bakat baru yang sudah menyerlah lewat karya sulungnya. Semoga Allah redha.