BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, May 5, 2009

Cabaran Menampilkan Wadah Islam Yang Orang Suka

Penulis dan penerbit sama-sama menggalas cabaran untuk menerbitkan buku-buku berkualiti yang orang suka tengok dan suka baca. Kata Sifu PTS Puan Ainon Mohd, “yang lebih penting daripada menganjurkan kempen membaca adalah menerbitkan buku-buku yang digemari oleh pembaca. Kalau buku-bukunya ada, insya-Allah buku-buku itu akan dibaca.”

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini menyingkap kebenaran perkara ini, khususnya dalam mengetengahkan buku-buku yang menjadi wadah Islam. Pesta buku seperti ini adalah satu bentuk ‘kempen membaca’ yang sangat berkesan. Dalam keadaan ekonomi yang gawat, pengunjung PBAKL kali ini berbelanja lebih besar daripada PBAKL yang lalu.

Pada hari ketiga Pesta Buku lagi, Tuan Fauzul Naim Ishak, Pengurus Besar (Penerbitan) Kumpulan PTS, memberitahu saya bahawa tanda-tanda menunjukkan pengunjung Pesta Buku kali ini “memang datang untuk membeli buku”. Jangkaan itu tepat. PTS sendiri mencatat peningkatan jualan 60% berbanding tahun lepas. Manakala Galeri Ilmu mencatat peningkatan hampir 50%.

Membeli buku mungkin tidak sinonim dengan membaca buku, tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi kayu ukur kepada kesediaan khalayak untuk membaca. Ketika ramai orang berhati-hati untuk membelanjakan duit kepada perkara-perkara ‘kurang perlu’, 1.8 juta pengunjung Pesta Buku ini meletakkan buku-buku dalam senarai ‘perlu’. Sudah tentu mereka tidak akan berbuat demikian kalau membeli buku hanya untuk disimpan di rak, bukan untuk dibaca.

Di gerai Galeri Ilmu (kali ini empat lot berbanding tahun lalu hanya dua lot), kutipan jualan sepanjang sepuluh hari berlangsungnya PBAKL 2009, adalah RM250,000, berbanding RM130,000 dalam penyertaan kali pertama pada 2008. Salah satu faktornya mungkin disebabkan judul buku yang bertambah dan kehadiran novel-novel motivasi remaja Islami – sektor yang baru diterokai oleh Galeri Ilmu. Walaupun baru enam buah novel yang diterbitkan, ia mula menarik perhatian penggemar novel dan pencinta buku Islami.

Seperti tahun lalu, buku tulisan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil terus mengungguli kutipan jualan. Tambahan pula, kali ini dua buah buku terbaru beliau dilancarkan iaitu Aku Terima Nikahnya 2: Bercinta Sampai Ke Syurga dan Travelog Tarbiah: Rindu Bau Pohon Tin. Kedua-dua buku itu memberi penangan yang sama seperti buku Aku Terima Nikahnya yang sudah dicetak sebanyak enam kali dalam tempoh setahun. Dan buku Aku Terima Nikahnya itu pun masih dijual macam goreng pisang panas.

Sambutan kepada buku-buku Ustaz Hasrizal adalah bukti kepada penangan kuasa blog. Apabila kehadiran buku-buku terbarunya diuar-uarkan di SaifulIslam.Com, laman blog yang dikunjungi sekitar 3,000 hingga 4,000 kali sehari, pengunjung-pengunjung setia blog beliau datang ‘menyerbu’ gerai Galeri Ilmu. Terutama apabila beliau muncul pada program Bicara Buku di pentas utama PWTC.

Fenomena yang hampir sama berlaku kepada buku dan novel garapan penulis muda, Hilal Asyraf. Walaupun tidak sama penangannya dengan buku-buku Ustaz Hasrizal, ramai di kalangan pengunjung gerai Galeri Ilmu yang datang mencari novel VT dan buku motivasi Langit Ilahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita karangan Hilal, adalah terdiri daripada pengunjung laman blog beliau, LangitIlahi.Com. Namun oleh kerana Hilal tidak berada di sini untuk meraikan pengunjung-pengunjung blognya (beliau sedang menuntut di Jordan), maka sambutan kepada buku-bukunya tidak semeriah sambutan kepada buku-buku Ustaz Hasrizal. Saya yakin jika Hilal turut berada di gerai Galeri Ilmu, keadaan akan jauh berbeza.

Ustaz Hasrizal sempat beberapa kali muncul di gerai untuk membantu mempromosi buku-bukunya, tetapi Hilal hanya mampu memberi sokongan dan ‘menembak’ doa dari jauh. Mereka yang datang mencari buku Hilal termasuklah guru-guru dan anak muridnya (beliau pernah menjadi guru sementara pada awal 2007 sementara menanti keputusan SPM). Turut menjenguk ialah Ustaz Mahadzir Mohamad, warden di MATRI (bekas sekolah Hilal), yang wataknya wujud dalam novel VT.

Buku Langit Ilahi menghimpun 60 tazkirah yang disampaikan dengan gaya penulisan mirip nukilan Dr. ‘Aidh Abdullah al-Qarni dalam buku motivasi ‘bestseller’ La Tahzan (Jangan Bersedih). Ringkas, santai tetapi mantap. Gaya penulisan yang sama juga terdapat pada buku Ustaz Amaluddin Mohd Napiah, Bawa Hatimu Kepada Tuhan, juga buku terbaru terbitan Galeri Ilmu yang turut menghimpun 60 tazkirah. Buku ini juga mendapat sambutan yang baik, terutama apabila Ustaz Amal muncul di gerai sebanyak dua kali bersama-sama Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali. Ustaz Amal dikenali ramai sebagai penasyid dan pendakwah.

Buah tangan Ustaz Zul Ramli, U-Turn Ke Jalan Lurus, mencatat jualan yang agak memberangsangkan. Mungkin kerana keunikan judulnya di samping kekuatan isinya dan faktor penulisnya. Sudah ramai yang mengenali beliau sebagai pembicara slot Durul Hikmah dalam Radio IKIM.fm dan Eksplorasi Masjid dalam Radio Pahang.fm. (Malam Jumaat lalu Ustaz Zul Ramli muncul dalam slot bicara buku di Radio IKIM.fm dan pagi ini bukunya dibicarakan dalam MHI TV3.)

Dari satu aspek, ia satu petanda bahawa buku-buku motivasi berpendekatan Islam mendapat tempat tersendiri di hati khalayak. Buku Satu Rasa Dua Hati buah tangan Pahrol Mohd Juoi, kolumnis majalah Anis, terus mendapat sambutan setelah lebih setahun berada di pasaran. Lebih-lebih lagi kerana menerima sentuhan wajah baru. Buku terbaru seorang lagi kolumnis majalah Anis, Hajah Rohani Dato' Hj Mohd Shahir, Ke Mana Wang Anda, juga disambut baik oleh pengunjung yang mencari-cari tip untuk mengurus kewangan secara Islam dalam keadaan ekonomi gawat.

Faktor penulis saja tentunya tidak memadai. Orang mencari-cari buku nukilan penulis yang mereka kenali kerana mereka sebenarnya sudah jatuh hati dengan sentuhan penulis itu sama ada melalui penulisan di blog, buku terdahulu atau buah fikiran yang dilontarkan melalui kuliah serta kemunculan di radio dan televisyen. Selebihnya adalah faktor pakej kulit buku dan kualiti buku itu sendiri. Kulit dan isi sama penting untuk memberi impak kepada para pencinta ilmu, termasuk khalayak yang mahukan sentuhan Islami.

Berdasarkan pengalaman Galeri Ilmu, Pesta Buku seperti ini adalah gelanggang yang sangat baik untuk menarik minat membaca rakyat Malaysia. Jika kita hendak menggalakkan orang ramai membaca buku yang menjadi wadah Islam khususnya, kita haruslah menerbitkan lebih banyak buku dengan sentuhan Islami yang menarik kulitnya dan baik isinya. Buku-buku yang orang suka tengok dan suka baca. Orang akan beli asalkan mereka melihat buku itu sebagai barang ‘perlu’.
“Terbukti industri buku adalah kebal-gawat, yakni tidak lut serangan krisis kewangan yang sedang berlaku saat ini. Semakin gawat, semakin naik permintaan bagi buku-buku berkualiti,” ulas Puan Ainon Mohd dalam blog UnikaPTS.
Sekali lagi, ini adalah cabaran buat penulis dan penerbit buku, khususnya yang memperjuangkan wadah Islam. Islam itu tinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripada Islam, maka ketinggian Islam harus diperlihatkan pada wadahnya.

2 comments:

Unknown said...

Assalamualaikum Tuan,
saya sempat singgah di booth Galeri Ilmu.Memandangkan kita hanya bersua di alam maya,saya sekadar memandang Tuan dari jauh tanpa sempat menyapa Tuan di sana(saya pun ke sana pada hari terakhir).2 buku Ustaz Hasrizal dan novel VT sempat juga saya borong.

p/s:kalau Tuan berminat,jenguk-jenguklah ulasan saya mengenai novel VT di sini http://tanya-ustaz.blogspot.com/2009/05/ulasan-novel-vt-gelanggang-ibadah.html ^_^

Zakaria said...

Waalaikumussalam wr.wb.

muhammad fakhruddin,
Terima kasih atas sokongan, saya sudah menjenguk ke blog tuan dan membaca ulasan sepintas novel VT.