BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, May 20, 2009

Lagi Tentang Membaca

“Baca, baca, baca, baca, baca … Kalau tak membaca, tenggelam,” tutur Tan Sri Sanusi Junid, arkitek di belakang projek Kampung Buku (book village) di Langkawi. Kampung Buku Langkawi pernah satu ketika diiktiraf sebagai Kampung Buku tercantik di dunia namun kini hampir dilupakan.

Beliau dikenali sangat ghairah dengan dunia buku sejak zaman kanak-kanaknya. Membaca 30 buku dalam satu-satu masa adalah amalan biasanya. Beliau biasa menghabiskan bacaan sepuluh buku serentak, yang dibacanya secara ‘speed reading’.

Malam tadi saya bersama Tuan Haji Abu Hassan Morad dan seorang rakan bahagian pemasaran GISB, berkesempatan duduk di dalam majlis Wacana Intelektual di DBP bersama Tan Sri Sanusi yang diundang sebagai ahli panel. Lebih 30 orang hadir dalam majlis yang dipengerusikan dengan begitu baik oleh Tuan Syed Munawwar itu. Mereka termasuk rakan-rakan penerbit, penggiat industri buku dan tokoh sastera.

Dua jam bersama Tan Sri Sanusi di Sanggar Zaaba, DBP, masa bergerak begitu cepat. Dalam usia 66 tahun, beliau mempunyai stamina yang cukup tinggi untuk berbicara tentang dunia buku dan dunia membaca.

Menarik untuk dikongsi adalah kisah bagaimana beliau mula berminat membaca. Waktu zaman kanak-kanaknya, Sanusi sering menemani ayahnya membawa lori ikan. Sambil memandu, ayahnya sering bercerita kisah nabi-nabi dan kisah-kisah lain. Tiba di destinasi tempat memunggah ikan, ayahnya akan meminta Sanusi menceritakan semula kisah yang diceritakannya. Dia akan memanggil rakan-rakan pemandu lori untuk mendengar cerita Sanusi. Selepas Sanusi bercerita, timbul soal jawab. Untuk mengelak daripada malu jika tidak dapat menjawab soalan yang ditanya, Sanusi mula minat membaca. Dengan membaca, dia mengetahui banyak perkara.

Maka bagi Tan Sri Sanusi, “Malu gagal adalah modal paling besar untuk menggalakkan orang membaca.”

Beliau tidak menyebut nama-nama penulis tertentu yang beliau sarankan supaya dibaca buku-bukunya. Beliau cuma menyebut bidang-bidang yang beliau baca.

Beliau membaca banyak buku agama Islam. Beliau membaca buku tentang kuasa. Beliau membaca buku tentang wang. Beliau membaca biografi hampir kesemua pemimpin dunia. Beliau mempunyai lebih 2,000 naskhah buku tentang kepimpinan. Beliau juga membaca buku-buku tentang pengurusan dan buku-buku sejarah.

“Bangsa kita jika hendak suruh dia survive, dengan ilmu. Untuk ada ilmu, perlu membaca,” ungkap beliau. “Penyelesaian kepada masalah Melayu ini, membaca.”

Hal ini juga benar dalam konteks penulis. Penulis jika mahu menyumbang kepada usaha menyelesaikan masalah masyarakat melalui tulisan, tidak dapat tidak, mesti banyak membaca.

5 comments:

iLHamWaN said...

salam...sememangnya proses pembacaan akan mematangkan seseorang dan seterusnya meningkatkan keupayaan seseorang itu dalam ilmu pengetahuan.Amatlah rugi bagi seseorang yang mensia-siakan masa lapang dengan pelbagai aktiviti yang tidak berfaedah dan melalaikan

anTusufi @ SA Sufi said...

Salam...

menarik...

Saya masih kurang membaca, dan liat utk membaca...walaupun tahu, itulah kunci utk maju dlm penulisan...

mungkin ada tips dpt dikongsi oleh Sifu utk mencari 'semangat' membaca?

:)

syak said...

Assalamualaikum..

Perkongsian menarik

Ruzain Syukur Mansor
www.akademipenulisbebas.wordpress.com

Zakaria said...

Wkmsalam,

Kepada anTusufi,
Untuk memulakan semula momentum membaca yang mungkin terbantut, kita boleh cuba cari beberapa buku/karya seorang penulis dan cuba mengenali lebih dekat penulis itu melalui karyanya. Saya buat masa ini sedang membaca secara serentak novel Tuhan Manusia, Tunggu Teduh Dulu dan Karya Nan Indah untuk mengenali secara dekat Faisal Tehrani.

Kepada syak,
Moga ada manfaatnya.

Sekolah Tinggi Managemen Informatika dan Komputer (STMIK)Jakarta said...

salam kenal pak... mampir