BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, May 19, 2009

Kriteria Menjadi Penyunting

“Apakah kriteria untuk menjadi seorang penyunting?” soal seorang calon penyunting.

Pertama, calon penyunting mestilah mampu menulis dengan baik. Oleh itu, jika seseorang itu ada pengalaman menulis, dia boleh menjadi penyunting. Ini kriteria paling asas. Apabila mampu menulis dengan baik, penyunting akan lebih berkeyakinan untuk membantu membaiki tulisan orang lain.

Kedua, calon penyunting mesti ada ilmu tentang satu-satu genre penulisan. Jika dia mahu menyunting novel misalnya, dia mesti ada ilmu tentang asas-asas menulis novel. Ada ilmu tentang plot, watak, latar dan sebagainya. Begitu juga jika dia mahu menyunting cerpen, buku motivasi dan lain-lain. Untuk itu, dia mesti membaca banyak buku dalam satu-satu genre itu. Adalah satu bonus jika penyunting menguasai banyak genre penulisan kerana dia akan mampu menyunting apa saja bahan dalam mana-mana genre.

Ketiga, calon penyunting mesti ada ilmu pengetahuan am yang baik. Ini dapat membantunya mengesan fakta yang silap dan tidak tepat. Untuk menyunting bahan berunsur Islam, penyunting harus ada pengetahuan asas Islam yang baik.

Keempat, calon penyunting harus memiliki atau ada kemahuan untuk membina sifat-sifat asas yang perlu ada pada seorang penyunting iaitu:

a. Berlapang dada
Penyunting harus boleh menerima kelemahan penulis dan hasil tulisannya, tidak menjatuhkan (condemn) hasil tulisan dan lebih-lebih lagi tidak menjaja kelemahan penulis.

b. Memahami dan menghormati hak integriti penulis
Penyunting harus seboleh mungkin menghormati hak integriti ini dengan menjaga gaya penulisan penulis dan tidak mengubah hasil kerja penulis sesuka hati.

c. Sanggup dipertanggungjawabkan ke atas bahan suntingan
Penyunting harus bertanggungjawab ke atas fakta yang dimuatkan dalam tulisan yang disuntingnya dan harus bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pandangan yang terkandung dalam sesebuah tulisan.

Di GISB, penerbit bertanggungjawab sepenuhnya ke atas setiap tulisan yang disiarkan di dalam majalah atau diterbitkan dalam bentuk buku atau novel. Setiap pandangan yang termuat di dalam majalah atau buku GISB adalah mewakili pandangan penerbit. Penyunting harus memahami hal ini supaya dapat menyaring pandangan yang tidak selari dengan pandangan dan pendirian penerbit.

d. Tinggi rasa tanggungjawab
Penyunting harus memiliki rasa tanggungjawab yang tinggi untuk membantu mencantikkan hasil tulisan walaupun tanpa mendapat apa-apa kredit. Dia juga harus ada rasa tanggungjawab untuk menyelamatkan tulisan, untuk menjaga maruah atau kredibiliti penulis, dan untuk menjaga maruah dan kredibiliti penerbit.

e. Berani dan berkeyakinan
Penyunting juga harus berani dan berkeyakinan untuk meminda, memotong atau mengolah semula. Malah dalam sesetengah keadaan, penyunting harus berkeyakinan untuk berdepan dengan penulis, memberi cadangan, membuat teguran atau meminta penulis membaiki tulisannya jika perlu, biar siapa pun penulis itu. Di sini perlunya penyunting sendiri mampu menulis dengan baik dan ada ilmu tentang genre penulisan yang ditukanginya.


No comments: