Alhamdulillah, hari ini, setelah membayar harga sebuah pertemuan bersama Kang Abik, setelah 'ditarik' dan 'disentak' oleh Faisal Tehrani, setelah direndam dan dibasuh dengan ilmu-ilmu di sebuah tempat bernama 'galeri', kepudaran dunia penulisan saya itu hendak saya warnai kembali.
Keduanya, saya cuba membersihkan (beberapa isu yang tercapai dek kajian dan jari saya) tanggapan yang mencemarkan keagungan Islam sebagai agama yang menjadi obor penyuluh jalan. (Islam bukan disesuaikan mengikut zaman). Contohnya sikap skeptisme tentang ajaran Islam oleh pihak liberalis dan kepercayaan bahawa Islam itu agama pemunduran.
Ketiganya, saya cuba untuk memperlihatkan keindahan dunia Islam melalui 'percikan-percikan' sejarah tamadun Islam di Andalusia bagi pembaca yang bukan Islam serta yang tidak 'mahu menyentuh/ambil tahu' tentang kegemilangan tamadun ini. Dari penyelidikan saya, ramai pembaca novel hanya teruja untuk membaca segmen-segmen cinta manusiawi yang bertemakan Islam lebih daripada mencintai ajaran Islam itu sendiri. Oleh itu cinta yang ingin saya garap ini adalah cinta yang 'luar dari kebiasaan'.
Namun demikian, saya harus juga berpijak pada realiti bahawa pembaca remaja memang suka elemen cinta. Untuk meraikan keinginan mereka itu, saya tampilkan watak Leyla Zulaikha. Watak ini nanti mempunyai 'fungsinya' yang tersendiri. Tuan yang dihormati,
Pada pandangan peribadi saya, masalah umat Islam dari segi global dan glokal tidak banyak bezanya. Masjid yang kita bina sebagai tempat beribadat sebenarnya mempunyai peranan yang amat besar. Di situ ada kekuatan. Di situ juga boleh melahirkan perpecahan. Saya tidak bisa menulis senario di Malaysia kerana bimbang dikatakan saya menulis tentang si polan dan si polan. Terjunnya saya ke bidang kepengarangan ini adalah untuk merawati, bukan melukai! Untuk itu, latar belakang Granada saya lakarkan. Tentu Tuan maklum kini, mengapa saya bertanya kepada Tuan Haji Abu, adakah perlu seseorang itu menjejaki latar kepada novelnya?
Benar, sudahlah saya ini mentah metah, tidak pernah seumur hidup memijak tanah Andalusia, kini berangan-angan pula hendak mengangkat Granada sebagai latar novel saya!
Inilah antara punca mengapa sinopsis novel ini kelewatan. Saya hampir 'masak' dengan kajian sehingga pernah bersuara pada suami: "Jika abang letak saya kat tengah-tengah Albaicin, insya-Allah saya boleh balik sendiri!" Tetapi apabila memikirkan manuskrip novel ini bakal ditertawakan, saya hampir sahaja berputus asa! Jika Tuan Zakaria mahu saya menulis 'sesuatu' yang lain, saya terlebih dahulu memohon maaf kerana buat masa ini, inilah ilham yang Allah kurniakan kepada saya. Buat masa ini saya tidak mampu menulis yang lain. Kadang kala, ilham dan bahan kajian yang datang bagaikan disusun-susun urutannya.
Maka saya pasrah dengan keadaan dan mengetepikan segala rasa yang berkecamuk di dalam diri. Sudah sampai masa agaknya saya perlu keluar dari kepompong dan menge-melkan manuskrip ini untuk penilaian Tuan. Insya-Allah saya tidak akan berkecil hati jika manuskrip novel ini Tuan tolak. Saya memang masih 'hingusan' dan masih memerlukan bimbingan.
Dengan berbekalkan formula 'What if' yang Tuan ajarkan dan dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya persembahkan manuskrip novel Lantera Cinta Albaicin. Sekian, terima kasih.
MMR
No comments:
Post a Comment