BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Tuesday, August 4, 2009

Baca dan Baiki Berkali-kali

Tugas pengarang belum selesai sewaktu dia meletakkan noktah akhir pada karyanya. Dengan erti kata lain, pengarang tidak boleh cepat puas hati sebaik selesai menyempurnakan kerja menulis. Apabila cepat puas hati, itu petanda tidak baik, khususnya apabila mengarang fiksyen.

Zaharah Nawawi, penerima SEA Write Award 1996 dan penulis novel Malaysia paling tebal, Anugerah, menyarankan agar pengarang membaca semula karyanya berkali-kali. Baca semula dan dalam masa yang sama baiki di sana sini. Karya seperti cerpen atau novel lebih perlu diulang baca berkali-kali.

"Saya sendiri membaca semula sepuluh kali," beritahu Zaharah dalam Bengkel Penulisan Cerpen yang beliau kendalikan di DBP kelmarin (1-2 Ogos). Saya hadir dalam bengkel yang menarik anjuran Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI) itu. Bonda Zaharah bergandingan dengan Dr. Mawar Shafie membimbing lebih 20 peserta.

Disiplin membaca karya yang baru disiapkan berkali-kali ini menjadi disiplin ramai sasterawan dan penulis. Untuk melihat karya sendiri dalam nafas yang lebih segar, ramai penulis melupakan dulu karya yang baru disiapkannya buat beberapa lama. Lalu timbul istilah 'memeram' karya.

Tinggalkan dulu karya itu untuk seminggu dua (walaupun ada yang memeramnya hanya untuk sejam dua, seperti yang dibuat oleh Faisal Tehrani), kemudian baru dicetak dan dibaca semula. Kita akan melihat sebuah karya yang ‘lain’. Tidak hairanlah, SN Dato’ A. Samad Said membaca manuskrip novelnya sampai 30 kali!

Baca dan baiki. Baca semula dan baiki lagi. Ini adalah proses pra menulis yang normal bagi penulis yang sangat mementingkan kualiti. Pada setiap kali ulang baca, akan ada kesilapan dan kelewahan yang dikesan. Yang silap, dibaiki. Yang lewah, dipadatkan.

Lebih baik penulis sendiri membaiki kesilapan dan mengatasi kelewahan pada karyanya, daripada membiarkannya terlepas ke tangan editor. Editor akan sangat berterima kasih kepada penulis yang bersungguh-sungguh 'menjernihkan' karyanya sebelum diserahkan kepada editor, sebagaimana dia bersungguh-sungguh menghasilkannya sebelum itu.

1 comment:

WZWY said...

Kelemahan ketara dalam pertama kali menulis. Semoga ia menjadi panduan pada masa akan datang. Belajar daripada pengalaman.