BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, August 5, 2009

Memahami Sensitiviti Pembaca

Apabila menulis, satu perkara yang tidak boleh kita abaikan adalah tanggapan pelbagai khalayak pembaca. Walaupun sekadar menulis karya fiksyen (cerpen, novel), kita harus memikirkan sensitiviti pembaca yang mempunyai bermacam-macam latar belakang. Bermacam-macam latar belakang itu menyebabkan setiap orang mempunyai berbagai-bagai tanggapan tentang satu-satu perkara.

Ini pengalaman terbaru saya yang terlepas pandang akan sensitiviti pembaca dalam isu gender. Mudah-mudahan dapat dijadikan panduan bersama.
Saya menghadiri Bengkel Penulisan Cerpen anjuran KEPEZI pada hujung minggu yang lepas (1-2 Ogos). Pembimbing bengkel ialah penulis tersohor Zaharah Nawawi, dibantu oleh penulis mapan Dr. Mawar Shafie. Setiap peserta diminta mengajukan cerpen karya sendiri untuk di’bedah’ dan diulas dalam bengkel. Saya mengajukan cerpen ‘Pengurus Itu Bernama Anis’ yang saya siapkan di saat akhir, selepas hampir kebah daripada demam.

Cerpen saya mengisahkan anak muda bernama Muhammad Anis yang memohon menjadi Pengurus Rumah di banglo milik sepasang suami isteri yang ada dua orang anak kecil yang sudah bersekolah. Si isteri memiliki perniagaan yang berdaya maju dan sangat-sangat jarang berada di rumah. Boleh dibilang dengan jari bilangan hari dia makan di rumah bersama suami dan anak-anak. Si suami yang berjawatan tinggi juga sentiasa sibuk dengan tugas tetapi masih dapat meluangkan sedikit waktu dengan anak-anak di rumah.

Di akhir cerita, Anis ditamatkan perkhidmatannya selepas tempoh percubaan tiga bulan. Bukan kerana gagal berkhidmat dengan baik, malah kerana berkhidmat dengan begitu cemerlang. Lantaran ‘terpukul’ dengan banyaknya tugas rumah tangga yang dibuat oleh Anis, yang sepatutnya diberi sentuhan peribadi oleh si isteri sendiri, si isteri ‘pulang’ ke rumah untuk menjadi surirumah sepenuh masa. Si suami meletak jawatan untuk menggantikan tempat isteri mengurus perniagaan, manakala si isteri hanya memberi komitmen sebagai penasihat syarikat. Anis pula, disebabkan khidmat cemerlangnya sebagai pengurus rumah, ditawarkan jawatan pengurus untuk cawangan baru syarikat.

Walaupun mendapat kredit daripada beberapa rakan peserta, cerpen saya ditafsirkan sebagai tidak adil dalam menangani isu gender. Malah saya menerima hukuman berat apabila dicop sebagai ‘male chauvinist’ oleh Bonda Zaharah.

“Apa pandangan pembaca kepada karya kita harus diambil kira. Jadilah penulis yang memartabatkan lelaki tanpa menjatuhkan wanita,” pesan Bonda Zaharah.

Saya akur. Saya silap kerana kurang memahami sensitiviti pembaca. Saya tidak memaksudkan untuk ‘menjatuhkan’ wanita melalui karya saya, tetapi sesetengah pembaca akan menafsir begitu. Isteri saya mungkin tidak, kerana kerjayanya sebagai tukang masak di dapur sebuah Maahad Tahfiz hanya menuntut waktu pagi hingga tengah hari di luar rumah. Oleh itu komennya positif saja kepada cerpen saya. Tetapi ramai wanita kerjaya lain yang mungkin tidak selesa dengan idea cerita saya. Saya harus mengubah sedikit jalan ceritanya.

Watak si isteri dalam cerpen itu mungkin tidak meninggalkan terus perniagaannya, tetapi berehat buat sementara waktu. Mungkin kebetulan dia sakit dan perlu berehat di rumah. Dia akan kembali aktif dalam perniagaan apabila sihat semula. Dia nampak hikmah kenapa Allah 'rehatkan' dia iaitu supaya dia dapat memberi sentuhan peribadi dengan baik kepada tugas asasinya di rumah.

Maka sekali lagi saya pesankan kepada diri saya sendiri dan rakan penulis, lihatlah siapa yang akan membaca tulisan kita. Setiap orang mempunyai sensitiviti yang menyebabkan dia mudah tersinggung. Dengan bersikap lebih berhati-hati dalam memahami dan menjaga sensitiviti itu, kita akan lebih berhemah dan berhikmah dalam menulis. Tulisan kita akan lebih mudah diterima.


3 comments:

WZWY said...

Ia pengalaman bermakna semasa berkursus 2 hari bersama Bonda Zaharah Nawawi. Inilah dikatakan proses belajar tidak pernah ada penghujungnya. Kita akan terus belajar dan belajar.Ia memang menjadi tugas pembaca menilai hasil karya seseorang penulis, apatah lagi ia datang daripada seseorang yang arif dalam dunia penulisan. Terima kasih buat semua.

shahkang said...

salam,
bab sensitiviti memang saya kurang ambil tahu ketika menulis.
cerpen saya juga banyak mengkritik secara langsung sesetengah golongan. Mungkin perlu berjaga-jaga juga lepas ni :D

Isma Ae Mohamad said...

Tuan,
Jika ada kursus penulisan harap hebah di sini. Saya berada di hujung dunia Melayu agak terpencil dengan kursus sebegini.