BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, July 7, 2010

Gate Keeper

Salah satu daripada tugas editor perolehan adalah memberikan maklum balas kepada proposal atau manuskrip yang sampai di mejanya. Setiap minggu ada proposal dan manuskrip baru yang menjengah peti masuk e-melnya atau singgah di mejanya. Semua itu perlu dinilai dan diberikan maklum balas.

Ketika saya mula-mula duduk di meja editor perolehan Seksyen Novel, belum begitu banyak proposal dan manuskrip yang sampai. Saya dapat menanganinya satu persatu. Tetapi sekarang saya sudah tidak menang tangan. Untuk membaca proposal pun kadang-kadang sudah kesuntukan waktu. Mujurlah rakan editor Puan Suraiya Pauzi membantu menilai proposal dan manuskrip. Beliau mencatatkan ulasannya. Dari situ, saya memberikan maklum balas kepada penulis dengan membuat tambahan di sana sini berdasarkan penilaian saya sendiri.

Itu pun, masih bersusun proposal dan manuskrip yang belum sempat dilayan. Saya semakin merasakan perlunya seorang editor menggalas tugas ini, manakala saya memantaunya saja.

Dalam memberikan maklum balas ke atas proposal dan manuskrip yang diterima, editor harus bersikap adil dan saksama, dan dalam masa yang sama tidak mematahkan semangat penulis. Tetapi, kadang-kadang itulah yang berlaku - ada penulis yang patah semangat apabila proposalnya diulas. Mungkin ini sangkaan saya saja, tetapi mungkin juga sangkaan itu betul. Saya anggap penulis itu patah semangat apabila dia tidak membalas lagi e-mel saya selepas saya memberikan maklum balas.

Saya tertanya-tanya, adakah penulis sudah kongsikan karyanya dengan pembaca kedua sebelum dilayangkan kepada editor. Ramai penulis hebat yang mengamalkan kebiasaan ini, iaitu memberikan karya mereka kepada pembaca kedua yang mampu berterus-terang memberikan ulasan. Daripada ulasan itu, penulis dapat melihat kekuatan dan kelemahan karyanya serta dapat membaikinya.

Cara ini membantu penulis memperkemas karyanya hingga dia sendiri berpuas hati.

Penulis perlu berpuas hati dahulu dengan karyanya sebelum menyerahkannya kepada editor, melainkan dia bersedia mendengar ulasan-ulasan daripada editor yang mungkin menggugat ketahanan jiwanya.

Apabila penulis tidak cuba memperkemas karyanya hingga dia sendiri berpuas hati, lalu menyerahkannya kepada editor dalam keadaan dia tahu karyanya itu masih banyak kelemahan, bermakna dia membuka ruang kepada editor untuk membuat ulasan yang mungkin dia tidak sanggup dengar atau terima. Hal ini yang kadang-kadang membuatkan penulis patah semangat, melainkan dia memang bersedia untuk menerima apa pun ulasan editor dan meletakkan dirinya sebagai pelajar yang bersedia ditegur.

Mungkin juga patah semangat itu disebabkan cara editor yang salah dalam memberikan maklum balas atau ulasan kepada karya penulis.

Sebaik-baiknya, editor menyenaraikan dahulu kekuatan karya, sebelum menyenaraikan kelemahannya. Tetapi mungkin disebabkan kekuatan karya itu hanya disebut sedikit saja, manakala kelemahan disenaraikan satu persatu, penulis merasakan seolah-olah karyanya memang sangat lemah di mata editor dan tidak ada potensi untuk diterbitkan oleh syarikat penerbitan berkenaan.

Amalan biasa saya, dalam menilai proposal atau manuskrip, saya melihat nilai isinya dahulu sebelum melihat gaya penyampaian. Saya mencari-cari kekuatan nilai tarbiah atau mesej Islamnya. Apabila nilai tarbiahnya bagus dan kuat, ia perlu diperkuat oleh gaya penyampaian yang kemas dan teknik bercerita yang betul. Kedua-dua aspek perlu seimbang.

Bagi penulis yang gaya penyampaiannya baik dan kemas, dia mungkin sukar menerima ulasan yang dikaitkan dengan nilai tarbiah yang kurang menyerlah. Penulisannya kemas, tetapi mungkin suntikan nilai tarbiahnya kurang. Maka kepada penulis ini, saya akan menyarankan supaya dia menguatkan atau menyuntik lebih nilai tarbiah dalam aliran cerita novelnya.

Saya dan rakan-rakan editor di Galeri Ilmu komited melahirkan karya-karya yang mempunyai nilai tarbiah atau nilai didikan Islam yang jelas dan baik. Bagi kami, cerita yang bagus, gaya penyampaian yang kemas dan teknik penceritaan yang menarik, adalah 'alat' untuk menyampaikan nilai tarbiah atau nilai didikan. Tanpa nilai tarbiah, sesebuah karya itu kekurangan nilai isi (content value), kerana nilai tarbiah adalah 'tujuan' sebenar sesebuah karya Islami itu diterbitkan.

Sebagai editor yang peranannya adalah juga sebagai 'gate keeper', karya-karya yang kekurangan nilai isi ini akan ditahan di 'pintu pagar'. Hanya apabila penulisnya bersedia untuk memantapkan nilai isinya, barulah karya itu akan dilepaskan masuk.

Ada juga karya yang nilai isinya bagus tetapi gaya penyampaiannya kurang menyerlah. Karya ini juga ditahan di 'pintu pagar' dan editor akan menyenaraikan cadangan-cadangan kepada penulis untuk memperkemas gaya penyampaiannya
.

4 comments:

Ummu Auni Afif said...

Ramai orang beranggapan karya yang ditulis oleh mereka bagus. Itu persepsi yang sukar untuk diubah. Saya merasakan penulis yang baik adalah penulis yang terbuka hati untuk dikritik dan menerimanya dengan tenang

ainhany said...

salam sdra SZ

ohh betapa telitinya tugas sbg editor buku..ALLAH jua mmblas dan mmberkati tugas tersebut..ganjaran disebalik....saham hingga ke akhirat!!

Zalisa Maz @ ZN Isa said...

beruntungnya penulis yg bertemu dengan editor yang ikhlas menegur kelemahannya. Saya menunggu2 editor begitu :)

MARSLI N.O said...

Sdr Zakaria: Saya membaca entri Sdr yang ini, sebagai cermin.