BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, July 2, 2010

Memasukkan Kerja Menulis Dalam Jadual

Ada penulis yang menjadi penulis tanpa dirancang-rancang. Timbul keinginan yang kuat untuk menulis disebabkan satu-satu insiden dalam hidup. Insiden itu memberi rangsangan untuk menulis atau menimbulkan minat yang mendalam untuk menulis.

Ada yang memang sedari awal membina diri sebagai penulis, iaitu dengan mula menulis dan terus menulis.

Apa pun keadaannya, saya perhatikan mereka yang giat menulis adalah mereka yang mempunyai disiplin menulis yang sudah sebati dengan dirinya. Mereka memaksa diri untuk menulis kerana menganggap kerja menulis itu sebahagian daripada rutin harian. Kerja menulis sudah menjadi agenda besar dalam hidup sehari-hari. Ia ada dalam jadual harian. Bererti, ia ada juga di dalam kepala, dijadikan bahan berfikir.

Kerja menulis sebahagian besarnya melibatkan proses mematangkan bahan tulisan di dalam kepala. Apabila sudah diproses dan 'masak' di dalam kepala, baru ia dituliskan. Sekiranya tidak dijadikan bahan berfikir, tidak dibiarkan bermain-main di dalam kepala, mungkin tulisan yang dihasilkan kurang mantap, kerana ia baru dijadikan bahan berfikir ketika menulis. Melainkan bagi penulis yang fikirannya sudah sedia tersusun, yang mampu menulis secara spontan.

Apabila kerja menulis sudah dijadualkan, atau dengan kata lain ada jadual yang dikhususkan untuk menulis, seseorang penulis akan terbantu untuk menulis secara konsisten. Satu kelebihan bagi penulis yang mempunyai blog dan mengemaskini blognya secara berjadual - misalnya, seminggu sekali - dia akan memaksa diri untuk menulis walaupun jadual hariannya sudah padat. Kerana, kerja menulis itu sendiri ada di dalam jadual hariannya.


No comments: