Seorang pelajar sebuah IPTA dalam emelnya bertanyakan pandangan saya tentang sejauh mana media dapat digunakan untuk tujuan dakwah. Satu persoalan besar yang memerlukan jawapan yang panjang lebar juga. Tetapi sekadar untuk membantu membuka minda, inilah yang dapat saya coretkan.
Media cetak, elektronik mahupun maya (internet) memang sangat berpotensi digunakan untuk tujuan dakwah dan tarbiah. Cuma soalnya, kebanyakan organisasi media yang dominan di dunia hari ini terutama media Barat, dimiliki oleh bukan Islam. Mereka ini menyimpan prasangka dan sentimen tak sukakan Islam. Oleh itu, jangan hairan jika mereka menggunakan media untuk memburukkan Islam dan merosakkan umat Islam.
Sama ada untuk propaganda atau sebagai alat dakwah, semua bergantung pada cara menggunakannya oleh siapa pun yang berada di belakang media itu.
Untuk menjelaskan perkara ini, saya boleh katakan bahawa kandungan bahan dalam media hari ini tidak lari daripada empat kategori – berita, cerita, hiburan dan iklan. Inilah empat kategori bahan pengisian media yang selama ini banyak merosakkan nama baik Islam dan merosakkan umat Islam, kerana digunakan dengan begitu berkesan oleh pengamal media yang tidak sukakan Islam.
Media itu cuma alat yang boleh digunakan untuk tujuan baik atau tujuan buruk. Kalau kita boleh kuasai alat ini dengan baik, kita boleh gunakan untuk tujuan dakwah dan tarbiah dengan amat berkesan. Kita boleh ‘Islamkan’ berita, cerita, hiburan dan iklan, supaya media benar-benar menguntungkan umat Islam. Soalnya, mampukah kita?
Untuk menjawab soalan ini, mari tengok beberapa perkara:
Pertama sekali, kalau hendak ‘Islamkan’ pengisian media, pengamal media itu mestilah orang-orang Islam yang komited dengan agamanya. Ada ilmu, cuba beramal dengan seluruh ajaran Islam, dan ada sifat ingin menyampaikan. Ada jiwa dakwah.
Kefahaman Islam, kesedaran beragama dan sifat ingin menyampaikan ini mesti ada pada seluruh team produksi, terutama tenaga utama yang berpengaruh dalam penghasilan majalah, suratkhabar, produksi tv, filem, laman web, blog dan apa saja bentuk media. Kalau dalam produksi drama misalnya, dari penerbit, pengarah hingga penulis skrip mesti terdiri daripada orang yang komited dengan Islam. Komited beramal dan komited menyampaikan. Beramal dengan ilmu dan menyampaikan pun dengan ilmu juga. Barulah ada dorongan yang kuat untuk ‘mengislamkan’ drama (kategori pengisian media berbentuk cerita). Supaya bukan saja pengisian drama, tapi juga cara pembikinannya termasuk etika lakonan dan soal menjaga waktu solat sewaktu penggambaran, semua selari dengan kehendak Islam.
Kedua, mesti tahu cara menyampaikan dakwah dengan baik, berhikmah dan berkesan melalui media. Mesti tahu asas dalam selok-belok dakwah. Contohnya berdakwah melalui berita. Kejadian atau perkara yang biasa-biasa pun mungkin ada nilai berita jika wartawan atau pemberita melihatnya dari kacamata pendakwah. Ada jiwa hendak ajak orang buat kebaikan dan mencari redha Allah melalui paparan peristiwa atau kejadian yang boleh mendorong orang buat baik dan jauhi perkara tak baik. Misalnya, aktiviti amar makruf yang orang lain boleh tiru atau tersentuh apabila tengok. Atau mengulas satu-satu insiden atau tragedi yang boleh dikaitkan dengan unsur tauhid, dengan qada’ dan qadar Allah.
Dalam melapor berita tentang krisis melibatkan dua pihak, wartawan yang ada jiwa hendak didik masyarakat, tak akan semata-mata muatkan kata-kata pihak sana begian-begin dan kata-kata pihak sini pula begian-begian. Dia akan gunakan pertimbangan saksama dalam memetik mana-mana pihak, antara menyiar atau tidak menyiarkan. Dia membawa watak pendamai, bukan pengapi-api, kerana berpegang pada prinsip yang Allah ajarkan:
“Hai orang-orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa satu berita, periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaan yang menyebabkan kamu menyesali perbuatanmu.” (Al-Hujurat: 6)
Masalah hari ini, kita terlalu ‘setia’ dengan etika kewartawanan atau pemberitaan yang diperkenalkan Barat. Kita tidak bebas mengolah berita supaya berita itu boleh jadi bahan dakwah dan tarbiah.
Dalam etika kewartawanan Barat, wartawan tidak boleh masukkan pandangan sendiri dalam laporan berita. Wartawan juga mesti dapatkan dua pandangan pro dan kontra untuk seimbangkan sudut pandangan dalam berita. Tak boleh ‘bias’. Sedangkan dalam Islam, kita kena ‘bias’ pada kebenaran. Itu pun, sebenarnya media Barat sendiri banyak melanggar apa yang disebut-sebut etika kewartawanan yang mereka sendiri lagang untuk kepentingan propaganda mereka. Tengok sajalah berita-berita CNN. Banyak sudut pandangan (point of view) dukungan Barat diselitkan secara halus untuk burukkan Islam, negara Islam atau umat Islam.
Kalau kita jujur melulu pada etika kewartawanan ini, tidak bebaslah kita untuk sampaikan dakwah. Bagi pengamal media yang ada jiwa dakwah, jiwa mendidik dan jiwa perjuangan membela agama, dia harus sentiasa fikir untuk selitkan sudut pandangan yang boleh untungkan Islam dan umat Islam. Misalnya, kalau kita hendak beri mata pada umat Islam di dunia hari ini, kita akan paparkan kejayaan dan pencapaian umat Islam dalam pelbagai bidang, bukan hanya paparkan kedaifan umat Islam di merata-rata walaupun realitinya yang daif itu lebih ramai.
Jadi kalau kita ikut sepenuhnya etika kewartawanan Barat, memang di situ ada pertentangan dengan prinsip Islam. Tapi, alat (media) kalau sudah di tangan kita, sepatutnya kita dapat corakkan ikut acuan kita.
Ketiga, kalau hendak ‘Islamkan’ pengisian media, umat Islam mesti kuasai media. Bukan sekadar kuasai pegangan ekuitinya, tapi lebih penting lagi, menguasai pengisiannya. Kita mungkin dapat kuasai ekuiti media, dengan ertikata lain memiliki organisasi media, tapi belum tentu kita dapat kuasai corak pengisiannya. Belum tentu kita dapat ketengahkan bahan berita, cerita dan iklan yang menguntungkan Islam dan umat Islam.
Untuk benar-benar ‘berkuasa’ ke atas organisasi media itu, kita mesti tahu mencorakkan bahan-bahan berita, cerita dan iklan mengikut acuan Islam. Sekali lagi, ini bergantung pada orang-orang yang mengendalikan media itu sendiri. Sejauh mana komited dengan Islam (mengamal dan menyampaikan). Sejauh mana rasa tanggungjawab terhadap agama dan umat lebih dominan berbanding tuntutan komersil. Sejauh mana kerja-kerja seharian dalam organisasi media itu cuba dijadikan ibadah, suatu pengabdian kepada Allah. Diwujudkan suasana pengamalan Islam dan diberi kefahaman Islam kepada seluruh tenaga kerja, supaya sama-sama mendukung misi yang sama untuk menyampaikan Islam dan membesarkan syiar Islam melalui media.
Keempat, untuk ‘Islamkan’ berita, cerita dan iklan, pengamal media mestilah bersikap selektif. Contoh: untuk tarik pengiklan agar mengiklan dalam saluran media kita, kita mesti ada dasar tentang iklan yang perlu dipatuhi. Ini merangkumi apa produk yang boleh diiklankan, bentuk iklan, etika berpakaian dan etika lakonan dalam iklan. Kalau pengamal media betul-betul ‘berkuasa’ ke atas medianya, tentu semua ini dalam bidang kuasanya.
Soalnya, dana dari iklan sangat diperlukan, malah memberi sumbangan amat besar untuk menampung kos operasi media dan untuk buat untung. Jadi, mampukah pengamal media memastikan semua iklan yang disiarkan adalah mengikut acuan yang ditetapkan oleh pihaknya, bukan oleh pihak pengiklan.
Ya, mampukah pengamal media bersikap selektif dan berpendirian teguh dalam perkara ini? Selektif dalam memilih iklan yang boleh dan tak boleh disiarkan. Sekali lagi, ini bergantung pada sejauh mana pengamal media itu komited pada Islam.
Kalau dilihat perkara-perkara di atas, memang boleh dibilang dengan jari media yang mendukung cita-cita Islam atau benar-benar berlandaskan Islam, khususnya di Malaysia. Ada, tapi bilangannya amat kecil jika dibandingkan dengan begitu banyak media yang tidak berlandaskan Islam walaupun organisasi media itu dimiliki oleh orang-orang Islam. Saya kira saya tak perlu sebut nama-nama media itu, kita sama-sama boleh lihat sendiri.
Untuk menyediakan orang-orang yang boleh mengisi berita, cerita, hiburan dan iklan dengan nilai-nilai Islam memang lebih sukar, berbanding dengan menyediakan tenaga kerja teknikal untuk menghasilkan berita, cerita, hiburan dan iklan itu. Kerana untuk buat pengisian nilai-nilai Islam perlukan pengetahuan dalam selok-belok dakwah. Supaya dapat menyampaikan dengan berhikmah dan berkesan. Ini tidak ramai yang ambil serius.
No comments:
Post a Comment