BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, October 10, 2008

Buku Kisah Benar

Sebagai editor, antara pengalaman paling menarik bagi saya adalah sewaktu menangani manuskrip buku kisah benar, Atiq Wazif: Satu Anugerah tulisan sahabat saya, Sdr Hasan Suyut. Buku kisah benar (true account story) belum banyak dihasilkan di negara ini.

Saya suka kepada genre ini, mungkin disebabkan latar belakang saya dalam bidang kewartawanan. Lebih-lebih lagi selepas ada pengalaman sebagai editor perunding untuk buku Maunah: Kebenaran Yang Sebenar yang ditulis oleh rakan penulis, Sdr Zabidi Mohamed, peguam yang beralih arah menjadi penulis.

Daripada pengalaman saya dengan dua buku ini, saya melihat salah satu kriteria yang perlu ada pada penulis buku genre ini adalah kepekaan dan ketelitian dengan fakta. Kriteria ini ada pada Zabidi Mohamed dan Hasan Suyut. Zabidi mempunyai latar belakang sebagai peguam manakala Hasan mempunyai latar belakang sebagai jurutera.

Bidang tugas peguam memang memerlukan ahli profesyen ini peka dan teliti dengan fakta. Peguam sudah terlatih membentangkan fakta kes. Ini satu kelebihan yang telah dimanfaatkan dengan baik oleh Zabidi ketika menulis bukunya Maunah dan buku ‘bestseller’ sebelumnya, Arqam: Tersungkur Di Pintu Syurga – kedua-duanya buku kisah benar.

Hasan pula dapat memanfaatkan keahliannya sebagai jurutera, ditambah dengan pengalaman sebagai konsultan dan business developer, untuk menulis bukunya Satu Anugerah.

Teringat kata-kata SifuPTS Puan Ainon Mohd, “Penulis adalah jurutera.”

Saya mula mengesan skill penulisan Hasan ketika membaca laman web yang dibangunkannya untuk mengumpul dana bagi mendapatkan rawatan untuk anak istimewanya Atiq Wazif. Tidak pula saya tahu dia memang pernah menulis satu ketika dulu. (Nota: Menurut Hasan, beliau pernah menghasilkan sebuah manuskrip novel yang ‘hilang’ sebelum sempat diterbitkan. Manuskrip fizikalnya hilang, tapi masih tersimpan kemas dalam memorinya.)

Hasan bukan saja dapat memanfaatkan ketelitiannya dengan fakta. Hasan juga dapat memanfaatkan daya ingatannya yang kuat untuk mengingat kembali detik-detik membesarkan Atiq Wazif.

Percaya atau tidak, Hasan mengambil masa hanya tiga bulan untuk mengumpul pengalaman selama kira-kira 8 tahun menjadi sebuah buku setebal 263 halaman. Amat mengagumkan bagaimana dia boleh ingat detik demi detik yang dilaluinya sepanjang tempoh lapan tahun itu, lalu dirakamkannya dengan terperinci. Hasan dapat menurunkan semula dialog-dialog beliau, isteri, anak-anak dan watak-watak lain yang terlibat dalam kembara anak istimewanya itu.

Saya sendiri terangsang, malah sebenarnya sudah pun merangka-rangka, untuk menulis sebuah buku kisah benar. (Doakan agar ia menjadi kenyataan.) Mungkin kelebihan yang dapat saya manfaatkan untuk tujuan itu adalah pengalaman sebagai wartawan. Wartawan adalah juga insan yang telah terlatih agar teliti dan peka dengan fakta. Buku kisah benar tidak banyak berbeza daripada hasil kerja kewartawanan yang saya biasa buat.

2 comments:

Hasan said...

Salam Sdr Zack,
Tahniah kerana sudah mula mem-blog. Seorang sahabat saya dari kedah beberapa bulan lalu melabelkan org yg mula mem-blog sudah go-blog. Kalau di Johor goblog sudah bermaksud lain.
Anyway Tahniah.

Zakaria said...

Salam Sdr Hasan,
Terima kasih. Kalau begitu kena elak guna istilah go-blog, takut disalahertikan sebagai goblog. Ejaannya berbeza tapi sebutannya sama. Tidak kemaskinikan blog Wazif? Boleh saya 'link'kan.