BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Friday, October 10, 2008

Menadah Resipi Dari Sifu (2)

“Dulu mereka tak buka pintu pada buku-buku Melayu. Sekarang pintu dah terbuka, ikut saja mana ruang yang PTS dah buka. Penuhi rak-rak itu,” kata Puan Ainon Mohd ketika menceritakan penerokaan PTS yang beliau terajui, untuk mewujudkan 'supermarket' buku Melayu.

Apa yang beliau maksudkan dengan ‘supermarket’ buku Melayu adalah ruang yang besar untuk buku berbahasa Melayu di rangkaian kedai-kedai buku elit sedia ada seperti MPH, Popular, Times, Borders dan Kinokuniya.

Apabila ada ‘supermarket’ buku Melayu ini, pembeli akan berbelanja lebih di situ kerana banyak pilihan.

“Mesti ada banyak pilihan buku Melayu, baru orang ada dorongan untuk membelok ke seksyen buku Melayu. Mesti ada harapan yang ditanam di hati pembaca – pengharapan untuk dapatkan apa yang nak dicari. Pengharapan inilah yang mendorong orang masuk ke seksyen buku Melayu. Kalau tidak dapat pun buku yang dicari, dia akan beli buku lain. Ini psikologi orang beli buku. Sebab itu PTS mahu banyak penerbit buku Melayu besar-besar supaya kita dapat pasarkan banyak judul buku Melayu. Sentiasa ada new arrival. Barulah pembeli buku akan datang berulang kali.”

PTS telah ‘meneroka’ dengan susah payah selama lapan tahun sebelum akhirnya diberi rak buku khas di rangkaian kedai buku yang besar seperti MPH misalnya.

Industri Buku Akan Berkembang Baik
PTS meramalkan industri buku Melayu akan terus berkembang dengan baik.

“Ada dua faktor. Pertama, rakyat Malaysia bertambah pandai. Kelulusan bertambah baik. pendidikan bertambah bagus. Buku adalah produk untuk orang pandai. Hanya orang pandai saja beli buku. Lebih banyak orang pandai, lebih banyaklah buku akan laku. Kita mesti ingat, kita berniaga dengan orang pandai. Jadi, sebagai contoh, buku kita jangan membodoh-bodohkan pembaca kita.

“Kedua, ekonomi berkembang. Ekonomi Malaysia bertambah baik, bermakna wang lebihan akan bertambah banyak. Buku dibeli menggunakan wang lebihan. Orang dah bayar sewa, dah bayar kereta, beli beras dan sebagainya, kalau ada lebihan, baru orang beli buku. Siapa yang sekarang mampu beli satu buku, mereka lama-kelamaan mampu beli dua buku. Mereka yang sekarang membeli buku murah, nanti lama-kelamaan mereka hendak buku mahal. Sebab itu buku hardcover bahasa Melayu di kedai-kedai makin banyak,” kata Puan Ainon.
PTS menguji pasaran dengan menerbitkan buku dalam dua bentuk, versi kulit lembut dan kulit keras. Atau versi kulit lembut dan versi paperback. Didapati kedua-duanya laku dijual.

“Bermakna, ada orang yang memang dia hendak buku yang lebih besar. Ada orang dia tak banyak duit, dia beli buku paperback. Begitu juga buku kulit lembut dan kulit keras. Misalnya buku biografi Nabi Muhammad, dua-dua laju.”

Mesti Fleksibel
Saran beliau, penerbit harus fleksibil. Beliau memberi contoh, dengan kenaikan harga minyak yang diikuti kenaikan harga barang, wang lebihan di tangan pembeli akan jatuh merudum. Dalam menghadapi situasi ini, PTS menyusun semula jadual penerbitannya. Ada buku-buku tertentu terutama buku harga mahal ditarik balik dari jadual cetak. Tumpuan diberi pada menerbitkan buku-buku berharga RM20 ke bawah.

“Itu juga memerlukan kita mempunyai stok manuskrip yang banyak. Kalau tidak ada stok manuskrip, apa kita nak ganti bila ditarik balik buku yang nak dicetak. Kita tidak dapat menyusun strategi bisnes kita,” beritahu Puan Ainon.

No comments: