BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Wednesday, October 29, 2008

Belajar Berenang Di Dalam Air


“Bagaimana cara yang betul hendak belajar menulis?” Seorang rakan bertanyakan soalan ini kepada saya hampir 20 tahun lalu.

Saya ketika itu masih berkhidmat di BERNAMA. Rakan yang bertanya itu baru hendak berjinak-jinak dengan penulisan.

Saya pun menjawab, “Mulalah menulis dan terus menulis.”


Saya juga memberitahunya bahawa penulisan adalah antara perkara yang boleh dipelajari tanpa perlu diajar. Saya berpegang kepada kata-kata yang pernah saya baca tetapi saya lupa siapa penuturnya bahawa ada perkara-perkara di dalam kehidupan kita ini yang “cannot be teach, but can be learn.”


Oleh itu, saya meyakinkan rakan itu bahawa sekiranya dia hendak belajar menulis, dia perlu mula menulis dan terus menulis. Rakan itu memang cepat belajar. Bukan belajar daripada saya tetapi belajar daripada amalinya sendiri dengan melakukan aktiviti menulis yang berterusan. Dia sekarang adalah editor sebuah majalah yang berwibawa terbitan sebuah syarikat penerbitan yang besar.

Menulis ini adalah satu bentuk kemahiran (skill). Apabila dikatakan kemahiran, ia bukan soal susah atau senang, tetapi soal biasa atau tidak biasa saja.

Orang yang tidak pernah memandu kereta akan berasa susah hendak mula memandu. Orang yang tidak pernah berenang akan berasa susah untuk mula berenang. Bukan sebab memandu atau berenang itu susah, tetapi sebab tidak biasa melakukannya. Apabila aktiviti memandu atau aktiviti berenang itu sudah dilakukan berkali-kali, sudah menjadi biasa, ia tidak akan dirasakan susah lagi.

Makan menggunakan sepit juga dirasakan sangat susah bagi yang tidak biasa. Tetapi lihatlah orang yang sudah biasa makan menggunakan sepit. Dia melakukannya dengan begitu mudah dan bersahaja seperti dia makan dengan suapan tangan.

Menulis pun begitu juga. Ia perlu dibiasakan supaya senang dilakukan.

Satu perkara lagi, apabila dikatakan menulis itu satu kemahiran, cara belajar menulis yang paling berkesan adalah belajar sambil membuatnya.

“Keahlian berenang tidak perlu dipelajari dari buku tetapi dipraktikkan di dalam air,” ungkap Dr. ‘Aidh Abdullah al-Qarni, pengarang buku best-seller, La Tahzan (Jangan Bersedih).

Apabila saya mengambil kata-kata Dr. ‘Aidh ini dan mengaitkannya dengan penulisan, saya melihat banyak kebenarannya. Sewaktu saya memasuki BERNAMA pada penghujung 1984, saya berada dalam barisan tenaga-tenaga baru wartawan yang sebahagian besarnya tidak mempunyai asas langsung dalam penulisan.

Salah seorang daripada mereka belajar di Universiti Malaya bersama saya, tetapi mengambil jurusan sosiologi dan antropologi. Saya lihat dia dan kesemua rakan yang lain dapat mengembangkan kemahiran menulis apabila setiap hari berlatih menulis berita.

Memang kami ada diberi sedikit pendedahan kepada selok-belok penulisan berita di peringkat awal, tetapi kemahiran menulis berita yang sebenar hanya dikuasai apabila sudah berada di lapangan. Apabila setiap hari dilatih mencari dan menulis berita, masing-masing belajar walaupun tanpa perlu lagi diajar.

Kami juga belajar untuk membaiki mutu penulisan kami apabila setiap hari membaca semula hasil penulisan kami yang telah disunting oleh editor. Kami tahu apa yang betul dan apa yang salah. Apa yang boleh dan apa yang tidak boleh. Apa yang sesuai dijadikan intro dan apa yang tidak sesuai.

Proses ‘belajar sambil membuatnya’ ini dialami oleh ramai orang yang akhirnya dikenali sebagai penulis atau novelis. Mereka berjaya mengembangkan kemahiran menulis kerana telah melalui proses tersebut. Yang penting, mereka melakukannya dengan penuh minat. Tidak mungkin seseorang itu akan melakukan sesuatu secara berterusan sekiranya dia tidak berminat dengan apa yang dilakukannya.

Calon-calon penulis boleh mendapatkan panduan-panduan menulis daripada buku. Mereka juga boleh mempelajari tip-tip penulisan daripada bengkel. Bagaimanapun, semua panduan dan tip itu hanya berguna sebaik-baik sahaja mereka mula menulis. Sebagaimana panduan dan tip berenang hanya berguna apabila seseorang pelatih renang mula masuk ke dalam air untuk mempraktikkannya.

No comments: