Ada seorang ibu kepada beberapa orang anak remaja dan merupakan kakak sulung dalam keluarga. Umurnya sudah 40-an. Beberapa tahun lalu, dia menempuh satu pengalaman yang sangat menarik. Dia telah mengambil tanggungjawab meminang calon isteri untuk ayahnya. Waktu itu dia telah kematian ibu sejak beberapa lama. Sebelum ibunya meninggal dunia, ayahnya begitu setia menjaga si isteri yang sakit bertahun-tahun tanpa terfikir untuk berkahwin lain.
Sewaktu mengendalikan satu taklimat penulisan novel remaja, saya bertanyakan satu soalan tutorial kepada peserta-peserta yang ada kaitan dengan kisah wanita tadi: “Bolehkah kisah wanita yang berumur 40-an ini diadaptasi menjadi sebuah novel remaja?” Ramai yang mengatakan “Boleh” sambil beberapa peserta memberikan sebabnya.
Dalam taklimat sebelumnya, saya telah menerangkan bahawa menulis novel adalah mengadaptasi kisah-kisah kehidupan. Kisah realiti diadaptasi kepada kisah rekaan (fiksyen). Diambil dan dibuat pindaan serta diubah suai mengikut suka penulis.
Dalam setiap kisah kehidupan yang kita alami, kita dengar, kita baca dan kita tonton, di situ ada watak, jalan cerita (plot) dan konflik yang boleh diadaptasi kepada kisah rekaan. Kita cuma perlu meminda dan mengubah suai watak, jalan cerita dan konflik itu.
Watak, jalan cerita dan konflik itu adalah dari kisah kita sendiri, kisah orang yang dekat dengan kita, kisah jiran kita, kita yang kita dengar daripada kenalan kita, serta kisah yang kita baca, dengar dan tonton. Kita cuma perlu meminda dan mengubah suainya supaya kisah itu menjadi lebih menarik untuk dibaca.
Untuk mengadaptasi kisah benar itu kepada kisah rekaan dalam novel remaja, dia hanya perlu meminda dan mengubah suai wataknya sendiri. Berbalik kepada kisah wanita 40-an yang meminangkan calon isteri untuk ayahnya tadi, penulis novel remaja hanya perlu membayangkan watak yang disuruh meminang calon isteri untuk ayahnya itu adalah seorang remaja berusia 16 atau 17 tahun, yang masih bersekolah.
Kemudian wujudkan konflik. Misalnya ada di kalangan adik-adiknya tidak setuju dengan perkahwinan ayah mereka. Mungkin dalam beberapa orang adik-beradik, ada dua orang tidak bersetuju, masing-masing dengan alasan yang berbeza. Lalu berlaku konflik di kalangan adik-beradik dan boleh digambarkan bagaimana si kakak sulung menghadapi cabaran menyelesaikannya. Si kakak beriya-iya mahu memastikan rancangan meminang calon isteri untuk ayahnya itu berjalan lancar.
Bermakna, plot kisah itu perlu dipinda dan diubah suai daripada plot cerita asal, supaya penuh insiden dan adegan yang lebih menarik untuk dibaca. Di situ juga boleh diselitkan adegan-adegan lucu.
Novel Julia yang ditulis oleh Abu Hassan Morad berkisar pada satu watak yang diadaptasi dari watak benar anak kepada Allahyarham Tan Sri Yahya Ahmad. Dalam novel itu, watak Julia mengambil alih pengurusan syarikat arwah ayahnya apabila ayahnya meninggal dunia dalam satu kemalangan.
Apabila menulis novel, penulis juga boleh meminda dan mengubah suai latar tempat dan latar masa sesebuah kisah yang diambil untuk diadaptasi. Habiburrahman el-Shirazy mengadaptasi kisah Zulaikha dan Nabi Yusuf untuk menambah menarik perkembangan watak, plot dan konflik dalam novel Ayat-ayat Cintanya. Latar zaman Nabi Yusuf diadaptasi kepada latar moden walaupun latar tempatnya masih di Mesir.
Kita juga boleh menghasilkan sebuah novel remaja dengan latar cerita yang mempunyai watak, jalan cerita dan konflik yang seakan-akan kisah Zulaikha dan Nabi Yusuf itu tetapi digambarkan berlaku di sebuah sekolah atau sebuah taman perumahan, misalnya. Yang perlu dibuat hanya memasukkan kisah itu ke dalam latar moden di alam persekolahan atau kehidupan di sebuah taman perumahan.
Oleh kerana menulis novel adalah mengadaptasi kisah kehidupan, wajarlah bagi novelis atau calon novelis untuk menajamkan daya pemerhatian kepada rencah-rencah kehidupan.
Bagaimanapun, untuk menulis novel berunsur Islam, tidak cukup andainya penulis sekadar memerhati dan memasang telinga kepada cerita-cerita kehidupan di sekelilingnya. Sebaliknya, penulis perlu cuba mengamalkan dan menghayati Islam dalam kehidupannya sendiri. Barulah penulis dapat secara bersahaja (tanpa memaksa-maksa diri) menyuntikkan nilai-nilai didikan Islam ke dalam karyanya. Barulah penulis dapat menghasilkan karya yang boleh dianggap ‘syariah compliant’ dan ada roh Islam.
No comments:
Post a Comment