BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, July 16, 2009

Mencari Masa Bersendirian

Penulis perlu mencari masa bersendirian untuk duduk menulis. Malah kadang-kadang perlu membawa langkah sendirian untuk mencari bahan atau membuat penyelidikan.

Pada 2001, sewaktu masih bersama majalah Anis, saya mengikut rombongan penggambaran siri dokumentari Salam Nusantara ke Brunei Darussalam selaku wartawan dan penyelidik. Dokumentari itu adalah untuk siaran di RTM. Kira-kira dua minggu di sana, saya mengikut ke mana saja krew membuat penggambaran. Tetapi pada dua hari terakhir sebelum pulang, saya meminta izin penerbit, Tuan Haji Abu Hassan Morad, untuk ‘mufarakah’ daripada krew dan keluar bersendirian.

Ah, merdeka rasanya dua hari itu. Rakan-rakan menghabiskan baki penggambaran di sebuah sekolah Islam, manakala saya membawa kaki atas pilihan sendiri. Dari hotel penginapan, saya berjalan kaki ke jeti Kianggeh di Bandar Seri Begawan, yang suasananya mengingatkan saya kepada Pasar Payang di Kuala Terengganu. Banyak penjaja menjual makanan tradisi Brunei di situ.

Dari jeti Kianggeh, saya menaiki ‘teksi air’ (bot penambang) dengan tambang B$0.50 (RM1) ke Kampung Ayer, perkampungan atas air di pesisir Sungai Brunei, berhampiran Bandar Seri Begawan. Perjalanannya tidak sampai lima minit. Saya menemui Ketua Kampung Lurong Sekuna, salah sebuah daripada 42 kampung atas air di situ. Hj. Ahmad Hj Bujang memiliki satu-satunya rumah rehat di Kampung Ayer ketika itu. Saya juga menemui beberapa orang penduduk, menjalin silaturrahim sambil mengadakan interviu. Sempat juga berkongsi pengalaman Hj. Murni Tahir, pemandu ‘teksi air’ yang berpendapatan purata B$2,000 (RM4,000) sebulan.

Pada hari kedua, saya bertamu di pejabat Ustazah Pengiran Alizah, orang yang bertanggungjawab mengarang teks khutbah untuk dibacakan oleh khatib di 102 buah masjid di seluruh Brunei. Dia ialah Ketua Bahagian Penyelidikan dan Perkembangan di Jabatan Hal-Ehwal Masjid, Brunei. Saya juga meninjau kampung-kampung baru di atas air yang dibangunkan bagi menggantikan kampung-kampung tradisional. Kampung-kampung baru ini lebih tersusun dan dilengkapi kemudahan moden. Pelantar dan jetinya diperbuat daripada konkrit, berbanding kampung tradisional atas air yang berpelantar kayu.

Alhamdulillah, dengan memisahkan diri sebentar daripada krew penggambaran, saya dapat melengkapkan bahan untuk ditulis apabila pulang ke Malaysia. Saya menulis laporan eksklusif tentang Kampung Ayer untuk majalah Anis (November 2001) berserta beberapa artikel lain untuk pelbagai kolum di dalam Anis. Bahan-bahan lain saya perolehi sewaktu mengikut krew, termasuk ketika penggambaran di rumah Datin Sarimah yang ketika itu masih menetap di sana.

Pada waktu lain, saya memisahkan diri daripada krew untuk menerima ‘jemputan’ dua orang bekas rakan wartawan di Bernama yang pada waktu itu bertugas dengan akhbar di Brunei. Menjalin semula ikatan yang lama terputus oleh kesibukan masing-masing. Mereka menjemput saya di hotel untuk pergi minum pada satu malam ketika krew penggambaran keluar ke tempat lain. Abdul Latif Abu Bakar dan Wan Razman adalah rakan satu regu sewaktu kami sama-sama mendaftar masuk di Bernama pada Ogos 1984. Malah Abdul Latif adalah juga rakan sekuliah dan sekursus saya di Universiti Malaya.

Ketika menunaikan umrah pada Jun 2006, pada hari kedua terakhir saya mencuri-curi waktu mufarakah daripada rombongan Andalusia Travel & Tour. Pada waktu Dhuha, sewaktu rakan sebilik pergi ke Masjidil Haram untuk beribadah dan melakukan tawaf sunat, saya keluar bersendirian ke destinasi berbeza.

Saya berjalan kaki kira-kira 2km ke perkuburan Maala berhampiran Masjidil Haram. Beberapa hari sebelum itu, mutawif hanya menunjukkan kepada anggota rombongan arah perkuburan yang menempatkan makam Sayidatina Khadijah itu. Di sana juga bersemadinya ulama besar Syeikh Muhammad Alawi al-Maliki (meninggal pada satu malam Jumaat dalam bulan Ramadan tahun 2004). Hati saya ditarik-tarik untuk ke sana. Di perkuburan itu, saya bertafakur dan menyedekahkan al-Fatihah kepada arwah penghuni kubur.

“Kenapa tidak ajak saya sekali?” tanya rakan sebilik, Sdr Yuzaini, apabila dia mengetahui saya pergi ke perkuburan Maala seorang diri. Dia nampak teruja. Sebab pada hari-hari sebelumnya, saya juga ‘tinggalkan’ dia apabila dipelawa oleh Dato’ Ustaz Daud Che Ngah berkunjung ke Rumah Kupang di Jabal Abi Qubaish dan kemudian ke Kakkiah di luar kota Makkah.

“Awak dah niat nak buat tawaf sunat, sebab itu saya tidak ajak,” jawab saya. Dalam hati, kasihan juga dia kena ‘tinggal’ lagi.

No comments: