BENGKEL PENULISAN ISLAM

BENGKEL PENULISAN ISLAM TARIKH & TEMPAT: Belum ditetapkan dalam waktu terdekat.

Thursday, December 10, 2009

Kemahiran Menulis & Kemahiran Bercerita

Penulis yang mahu bergiat aktif dalam penulisan karya fiksyen (novel, cerpen, skrip drama/filem/teater) perlu mempunyai kemahiran bercerita. Selain mahir dalam teknik-teknik menulis, dia mesti mahir dalam teknik bercerita. Apabila kedua-dua kemahiran ini dapat dikuasai, dia dapat menjadi penulis karya fiksyen yang baik.

Setiap kemahiran dapat dikuasai dengan cara belajar dan praktik. Bagi penulis yang bakatnya besar, dia lebih mudah belajar dan menguasai kemahiran menulis serta kemahiran bercerita. Penulis berbakat besar ini adalah ‘fast learner’ dalam bidang penulisan. Dia mampu belajar tanpa diajar. Kadang-kadang dia hanya belajar secara memerhati dan mempraktik. Dia banyak membaca karya orang lain, lalu dia sudah menemui kunci-kunci untuk melahirkan karya yang baik. Apabila mendapat pendedahan dan bimbingan yang lebih baik, lebih cepat bakatnya berkembang.

Bagi penulis yang bakatnya sederhana tetapi ada minat dan kesungguhan untuk belajar, dia juga akan dapat menguasai kemahiran-kemahiran itu, dengan izin Allah. Dia perlu lebih bersungguh-sungguh belajar dan praktik – membaca buku-buku tentang teknik penulisan dan teknik bercerita, menghadiri bengkel dan kursus, kemudian terus menulis.

Saya menerima banyak proposal novel daripada penulis yang hanya ada kemahiran menulis tetapi kurang menguasai kemahiran bercerita. Penulis ini mengolah ceritanya dengan agak baik dan kemas, tetapi kurang pandai mengembangkan cerita menjadi lebih menarik. Dia kurang tahu tentang struktur cerita (story structure), tentang plot dan subplot, tentang pembinaan watak, tentang unsur-unsur penguat cerita.

Ada juga penulis yang ada kemahiran bercerita tetapi kurang menguasai kemahiran menulis – mampu mengetengahkan jalan cerita yang agak baik tetapi dengan gaya olahan yang lemah. Dia kurang tahu bagaimana membina paragraf, bagaimana membina ayat dialog yang betul, bagaimana memecahkan bab-bab dalam novel, bagaimana membahagikan babak-babak untuk skrip drama/filem, dan lain-lain teknik penulisan.

Namun, ada penulis yang menguasai kedua-dua kemahiran – kemahiran menulis dan kemahiran bercerita. Beberapa orang daripadanya memang berbakat besar, manakala yang lain mempunyai bakat sederhana tetapi ada minat dan kesungguhan, membolehkan mereka menyerlah sebagai penulis novel yang baik. Sesetengahnya menyerlah selepas diberi bimbingan melalui bengkel dan perbincangan.

Apabila dua kemahiran ini ditambah pula dengan kemahiran dalam teknik menyampaikan dakwah dan nilai didikan Islam secara berhikmah (sesuai dengan medium yang digunakan), maka seseorang penulis itu akan mampu menyerlah sebagai penulis karya fiksyen Islami – novel Islami, cerpen Islami, skrip drama Islami, filem Islami dan teater Islami.


3 comments:

muhammad fakhruddin said...

Assalamualaikum Tuan,
adakah medium blog sesuai untuk mengasah kemahiran menulis dan kemahiran bercerita?

Penulis blog yang mendapat banyak komen,adakah ini indikator si penulis punya kemahiran menulis atau kemahiran bercerita?

Zakaria said...

Waalaikumussalam Tuan Muhammad Fakhruddin,

Beberapa nama penulis mula membina tapak melalui blog. Di Galeri Ilmu sendiri, Ustaz Hasrizal dan Hilal Asyraf adalah dua nama penulis yang bermula dengan blog.

Banyaknya komen di blog adalah salah satu indikator, tetapi penulis yang mengasah kemahiran di blog perlu membiasakan diri menulis dengan format penulisan dan gaya bahasa yang sesuai dengan standard sebuah buku.

WZWY said...

Mahu jadi penulis? Ia bukan semudah yang disangka. Pelbagai kemahiran perlu dipelajari dan dikuasai.Dengan Keazaman Membara dan Matlamat Jelas, Insya-Allah sesiapa pun mampu kuasai Kemajiran Menulis dan Kemahiran Bercerita.